Lompat ke isi

Kitab Suci Zabur dan Injil/Yakobus

Dari Wikisumber bahasa Indonesia, perpustakaan bebas

diterjemahkan oleh tim Pengamat Kitab Mulia (2013); CC-BY-ND 4.0

Pasal 1 2 3 4 5


1

1Surat ini daripada Yakobus, hamba Allah dan hamba Junjungan Isa al-Masih. Kepada dua belas suku yang tersebar di serata dunia: Sambutlah salam daripadaku.

Cubaan dan godaan

2Saudara-saudaraku, anggaplah sebagai suatu kebahagiaan apabila kamu menghadapi pelbagai cubaan, 3kerana kamu tahu bahawa ujian terhadap imanmu menghasilkan ketabahan. 4Pastikan bahawa ketabahanmu itu berterusan, sehingga kamu menjadi sempurna tanpa sebarang kekurangan pun. 5Sekiranya seseorang di antaramu kurang bijaksana, dia haruslah berdoa kepada Allah supaya mengurniakan kebijaksanaan kepadanya, kerana Allah memberi dengan murah hati kepada semua orang tanpa memandang kesalahan mereka. 6Akan tetapi, apabila dia memohon, dia mesti beriman sepenuhnya. Dia tidak harus ragu-ragu, kerana orang yang ragu-ragu itu umpama ombak laut yang terumbang-ambing ditiup angin. 7Orang seperti itu tidak boleh berharap untuk menerima apa-apa daripada Tuhan; 8pendiriannya tidak tetap dan dia sentiasa teragak-agak melakukan sesuatu;

9Saudara yang hidup dalam keadaan sederhana patut bermegah dengan kedudukannya yang tinggi. 10Orang yang kaya pula patut bermegah dengan kedudukannya yang rendah, kerana dia boleh lenyap laksana bunga rumput. 11Sewaktu matahari meninggi, sinarnya yang panas menyebabkan bunga itu layu dan gugur lalu musnah keindahannya. Begitulah halnya dengan orang kaya yang akan lenyap ketika mengurus perniagaannya.

12Diberkatilah orang yang tabah menghadapi cubaan. Apabila mereka berjaya menangani cubaan itu, mereka akan mendapat mahkota kehidupan yang telah dijanjikan Allah kepada orang yang mengasihi-Nya.

13Sekiranya seseorang tergoda ketika menghadapi cubaan demikian, tidaklah wajar dia berkata, ‘Godaan ini datang daripada Allah.’ Allah tidak dapat digoda oleh kejahatan dan Allah tidak menggoda sesiapa. 14Seseorang tergoda kerana terjerat oleh nafsu jahatnya sendiri. 15Apabila dia menurutkan nafsu jahatnya itu, wujudlah dosa; dan dosa yang matang akan membawa kepada kematian.

16Saudara-saudara yang kukasihi, janganlah terpedaya. 17Segala pemberian yang baik dan sempurna diturunkan dari syurga oleh Bapa, sumber segala cahaya. Dia tidak berubah dan tidak seperti bayangan yang berubah-ubah bentuknya. 18Dengan kehendak-Nya Dia mencipta kita melalui firman-Nya yang benar. Dengan demikian kita menjadi yang sulung antara semua makhluk-Nya.

Pendengar dan pelaku

19Saudara-saudara yang kukasihi, sebagaimana kamu tahu, seseorang haruslah cepat mendengar, lambat bercakap, dan lambat menjadi marah. 20Orang yang marah tidak dapat melakukan perbuatan yang benar dan diredai Allah. 21Oleh itu, kikislah segala tabiat buruk dan kelakuan jahat. Kemudian terimalah firman yang disemaikan-Nya ke dalam hatimu dengan rendah hati, kerana firman itu dapat menyelamatkanmu.

22Namun, jangan tipu dirimu dengan hanya mendengar firman; lakukanlah firman itu.

23Seseorang yang mendengar firman tetapi tidak melakukannya adalah ibarat orang yang berdiri di hadapan cermin, 24meneliti dirinya, kemudian pergi dari situ dan terus lupa akan rupanya. 25Namun, orang yang meneliti hukum yang sempurna, iaitu hukum yang dapat membebaskan manusia, dan melakukannya, akan diberkati dalam segala tindakannya, kerana dia tidak hanya mendengar lalu melupakannya.

26Jika seseorang menganggap dirinya taat beribadat tetapi tidak mengekang lidahnya, maka ibadatnya sia-sia dan dia menipu diri sendiri. 27Allah Bapa berfirman bahawa ibadat yang murni dan tulen ialah: menolong anak yatim piatu dan balu yang menanggung kesusahan, serta menjaga diri daripada dicemari kejahatan dunia.

↑ ↑ ↑ 2

Pilih kasih dilarang

1Saudara-saudaraku, sebagai orang yang beriman kepada Junjungan kita Isa al-Masih yang mulia itu, janganlah amalkan sikap pilih kasih. 2Andaikan dua orang datang ke tempat pertemuanmu, yang seorang kaya, berpakaian indah, bercincin emas; yang seorang lagi miskin, berpakaian buruk.

3Kamu menyambut orang kaya itu dengan hormat sambil berkata, ‘Silakan duduk di tempat terbaik ini.’ Sebaliknya, kepada orang miskin itu kamu berkata, ‘Berdiri di sana’ atau ‘Duduk di atas lantai dekat kakiku.’ 4Dengan demikian, kamu membeza-bezakan orang dan menjadi hakim yang berfikiran jahat.

5Ketahuilah, saudara-saudara yang kukasihi, Allah telah memilih orang miskin di dunia ini menjadi orang yang kaya dalam iman. Mereka akan menikmati kerajaan Allah sebagaimana telah dijanjikan-Nya kepada orang yang mengasihi-Nya. 6Kamu menghina orang miskin, sedangkan orang kayalah yang menindasmu, menyeretmu ke mahkamah, 7dan menghina nama mulia yang kamu terima daripada Tuhan.

8Kamu melakukan apa yang benar jika kamu mematuhi hukum kerajaan Allah yang tersurat di dalam Kitab Suci, ‘Kasihilah sesama manusia sebagaimana kamu mengasihi dirimu sendiri.’

9Sebaliknya, jika kamu memperlakukan orang berasaskan keadaan lahir, kamu berdosa, dan menurut hukum, kamu melanggar hukum. 10Melanggar satu perintah Taurat bererti melanggar seluruh hukum, 11kerana Allah yang berfirman, ‘Jangan berzina,’ juga berfirman, ‘Jangan membunuh.’ Dengan demikian, walaupun kamu tidak berzina, namun sekiranya kamu membunuh, maka kamu telah melanggar hukum.

12Dalam perkataan dan tindakanmu, ingatlah bahawa kamu akan diadili berdasarkan hukumhukum yang membebaskan manusia. 13Orang yang tidak mengamalkan belas kasihan akan dihukum tanpa diberi belas kasihan, tetapi mereka yang mengamalkan belas kasihan tidak akan takut diadili.

Iman dan perbuatan

14Saudara-saudaraku, apa gunanya seorang berkata, ‘Aku beriman,’ jika dia tidak membuktikan imannya melalui perbuatannya? Iman sedemikian tidak dapat menyelamatkannya. 15Katakanlah seorang saudara lelaki atau saudara perempuan memerlukan pakaian dan kekurangan makanan.

16Apakah gunanya kamu berkata kepadanya, ‘Selamat jalan, pakailah baju panas dan makanlah secukupnya,’ jika kamu tidak menghulurkan keperluan sehari-hari itu kepadanya? 17Demikian juga dengan iman, jika tidak dinyatakan melalui perbuatan, maka sia-sialah iman itu.

18Mungkin ada orang yang berkata, ‘Kamu mempunyai iman; aku mempunyai perbuatan.’ Tunjukkan kepadaku seorang yang beriman tetapi tidak mengamalkan perbuatan baik, maka dengan perbuatan baikku akan kutunjukkan bahawa aku beriman. 19Kamu beriman kepada Allah Yang Esa. Bagus! Roh-roh iblis juga beriman demikian dan gementar ketakutan.

20Alangkah tumpul fikiranmu, mengapakah kamu memerlukan bukti bahawa iman tanpa perbuatan baik itu sia-sia sahaja? 21Apakah sebabnya Allah meredai moyang kita Ibrahim? Allah meredainya kerana perbuatannya, iaitu mempersembahkan anaknya Ishak sebagai korban kepada Allah. 22Tidak jelaskah kepadamu bahawa Ibrahim menunjukkan imannya melalui perbuatannya? Dengan demikian, sempurnalah iman Ibrahim. 23Hal itu selaras dengan ayat di dalam Kitab Suci: ‘Ibrahim percaya kepada Allah, maka hal itu diperhitungkan kepadanya sebagai kebenaran.’ Oleh itu Ibrahim dipanggil sahabat Allah. 24Nyatalah bahawa Allah meredai seseorang itu kerana perbuatannya, bukan imannya semata-mata.

25Demikian juga dengan Rahab, wanita pelacur itu. Allah meredai Rahab kerana perbuatannya: Rahab menyambut pengintip-pengintip Israel dan membantu mereka melarikan diri melalui jalan lain. 26Tubuh tanpa roh, tubuh yang mati. Begitu jugalah, iman tanpa perbuatan, iman yang mati.

↑ ↑ ↑ 3

Mengawal lidah

1Saudara-saudaraku, seharusnya hanya segelintir daripadamu berusaha untuk menjadi guru. Kamu tahu bahawa kita yang menjadi guru akan diadili dengan lebih keras daripada orang lain.

2Kita semua selalu melakukan kesalahan. Sekiranya seseorang tidak pernah melakukan sebarang kesalahan melalui tutur katanya, maka dia itu seorang yang sempurna. Dia dapat menguasai seluruh dirinya.

3Kita memasang kekang pada mulut kuda supaya kuda menurut kemahuan kita. Dengan kekang, kita dapat mengendalikan kuda. 4Begitu juga dengan kapal, walaupun besar dan digerakkan oleh angin kencang, tetapi kapal hanya dikendalikan oleh kemudi yang amat kecil. Kapal bergerak ke arah yang ditentukan oleh jurumudi. 5Demikianlah dengan lidah kita, walaupun kecil, namun dapat bermegah tentang hal-hal yang besar. Betapa luasnya hutan yang dapat dibakar oleh api yang amat kecil. 6Lidah laksana api. Lidah kita ibarat dunia yang dikuasai kejahatan dan memenuhi seluruh diri kita dengan kejahatan. Lidah menghanguskan hidup kita dengan api dari neraka.

7Manusia dapat dan sudahpun menjinakkan makhluk lain – binatang buas, burung, haiwan menjalar, dan binatang-binatang di laut. 8Akan tetapi tiada sesiapapun dapat menjinakkan lidah manusia. Lidah itu jahat, tidak dapat dikuasai, dan penuh dengan racun yang membunuh.

9Kita menggunakan lidah untuk memuji Tuhan dan Bapa kita, tetapi juga untuk mengutuk sesama manusia yang telah dicipta menurut gambaran Allah. 10Kata-kata berkat dan kata-kata kutukan lahir daripada mulut yang sama. Ini tidak sepatutnya berlaku, saudara-saudaraku. 11Dapatkah air tawar dan air masin dikeluarkan daripada mata air yang sama? 12Saudara-saudaraku, pokok ara tidak mungkin menghasilkan buah zaitun, manakala pokok anggur tidak mungkin mengeluarkan buah ara. Mata air yang masin tidak mungkin memancarkan air tawar.

Kebijaksanaan dari syurga

13Adakah wujud di kalanganmu seorang yang bijak bestari? Sifat ini terbukti melalui kelakuan baik dan kebajikan yang diamalkan dengan rendah hati serta bijaksana. 14Akan tetapi, sekiranya kamu bersikap hasad dengki dan mementingkan diri, janganlah bermegah dengan kebijaksanaan itu atau menafikan yang benar. 15Kebijaksanaan demikian tidak berasal dari syurga tetapi dari dunia, tabiat manusia yang berdosa, dan roh iblis. 16Sikap hasad dengki dan mementingkan diri akan menimbulkan kekacauan serta pelbagai kejahatan.

17Sebaliknya, apabila seseorang memiliki kebijaksanaan yang berasal dari syurga, maka dia bersifat murni, mencintai kedamaian, lemah lembut dan ramah-tamah. Dia juga bersikap belas kasihan serta mengamalkan segala jenis perbuatan baik. Dia tidak bersikap berat sebelah dan tidak munafik atau bertalam dua muka. 18Kebenaran adalah hasil daripada benih kedamaian yang disemaikan oleh orang yang mencintai kedamaian.

↑ ↑ ↑ 4

Tunduk kepada Allah

1Apakah punca segala pergaduhan dan pertengkaran di kalanganmu? Puncanya ialah keinginan hawa nafsu yang sentiasa bergolak dalam dirimu. 2Kamu berhasrat akan sesuatu tetapi tidak mendapatnya, maka kamu ingin membunuh. Kamu ingin memiliki sesuatu tetapi tidak berjaya, lalu kamu bertengkar dan bergaduh. Kamu tidak mendapat apa yang kamu ingini kerana kamu tidak memohonnya daripada Allah. 3Kalau kamu memohonnya sekalipun, kamu tidak mendapatnya, kerana tujuanmu jahat. Kamu memintanya untuk kesenangan diri sendiri.

4Kamu tidak setia. Tidakkah kamu tahu bahawa sesiapa yang bersahabat dengan dunia menjadi musuh Allah? Oleh itu, sesiapa yang mahu bersahabat dengan dunia menjadikan dirinya musuh Allah. 5Atau kamu menganggap Kitab Suci mengatakan tanpa sebab bahawa Roh yang ditempatkan di dalam diri kita oleh Allah amat mengingini kita. 6Walaupun demikian, kasih kurnia yang dianugerahkan oleh Allah lebih kuat, maka tersurat di dalam Kitab Suci: ‘Allah menentang orang yang angkuh tetapi menganugerahi orang yang rendah hati.’

7Oleh yang demikian, taatlah kepada Allah. Lawanlah Iblis, maka Iblis akan lari daripadamu.

8Dampingi Allah, Allah akan mendampingimu. Basuh bersih tanganmu, wahai kamu yang berdosa. Sucikan hatimu, wahai kamu yang munafik. 9Menyesallah, menangis dan merataplah kamu. Biar ketawamu menjadi tangisan, kerianganmu menjadi kesedihan. 10Rendahkan dirimu di hadapan Tuhan, maka Dia akan meninggikanmu.

11Saudara-saudaraku, janganlah fitnah-memfitnah. Sesiapa yang memfitnah atau menghakimi saudara seimannya, maka dia memfitnah atau menghakimi hukum. Jika dia menghakimi hukum, maka dia tidak lagi mematuhi hukum. 12Hanya ada seorang Pemberi hukum dan Hakim. Hanya Dia yang dapat menyelamatkan atau membinasakan seseorang. Siapakah kamu maka ingin menghakimi sesama manusia?

Jangan memegahkan hari esok

13Sekarang, dengarlah nasihatku, wahai kamu yang berkata, ‘Hari ini atau esok kami akan bertolak ke sebuah negeri dan tinggal di situ selama setahun untuk berniaga dan mencari wang.’ 14Tetapi kamu tidak tahu apa yang akan terjadi dengan kehidupan esok. Kamu umpama wap, yang kelihatan sejurus lantas lenyap. 15Sepatutnya kamu berkata demikian, ‘Kalau diizinkan Tuhan, kami akan terus hidup dan melakukan sekian-sekian.’ 16Sebaliknya kamu angkuh dan bercakap besar. Bercakap besar demikian itu adalah salah. 17Apabila seseorang tidak melakukan sesuatu yang baik dan sepatutnya dilakukan, maka orang itu berdosa.

↑ ↑ ↑ 5

Amaran kepada orang kaya

1Dengarlah nasihatku, wahai orang kaya. Menangis dan merataplah, kerana kesusahan akan menimpamu. 2Kekayaanmu akan reput dan pakaianmu dimakan gegat. 3Emas perakmu akan berkarat, karatnya akan menjadi saksi menuduhmu dan akan menghanguskan tubuhmu seperti api. Kamu telah mengumpulkan harta pada akhir zaman ini. 4Kamu tidak membayar upah orang yang bekerja di ladangmu. Dengarlah rintihan mereka! Orang yang menuai hasil ladangmu berseru minta dibela nasibnya dan suara mereka telah sampai ke telinga Tuhan Maha Kuasa. 5Hidupmu di dunia ini senang-lenang dalam kemewahan melimpah-limpah. Kamu bagaikan menggemukkan diri untuk hari penyembelihan. 6Kamu menghukum dan membunuh orang yang tidak bersalah, dan mereka tidak melawanmu.

Tabah menanggung kesengsaraan

7Saudara-saudaraku, bersabarlah menanti kedatangan Tuhan. Lihatlah betapa sabarnya seorang peladang menunggu tanahnya mengeluarkan hasil yang bernilai. Dengan sabar dia menanti hujan musim luruh dan hujan musim bunga. 8Demikian jugalah kamu harus bersabar. Tabahkan hatimu, kerana hari kedatangan Tuhan sudah hampir tiba. 9Saudara-saudaraku, janganlah bersungutsungut, supaya kamu tidak dihukum. Hakim kian dekat dan akan segera sampai.

10Saudara-saudaraku, ingatlah nabi-nabi yang bersabda dengan nama Tuhan. Teladanilah kesabaran dan ketabahan mereka menanggung kesengsaraan. 11Kami mengatakan mereka orang yang diberkati kerana mereka tabah menanggung kesengsaraan. Kamu telah mendengar kisah kesabaran Ayub, dan kamu tahu pada akhirnya Tuhan memberkatinya. Tuhan amat berbelas kasih dan penuh belas kasihan.

12Saudara-saudaraku, ini sangat penting-janganlah bersumpah ketika mengikat janji. Jangan bersumpah demi langit, bumi atau apa-apapun. Katakan ‘ya’ apabila maksudmu ya, dan ‘tidak’ apabila maksudmu tidak. Dengan demikian tidaklah kamu dihukum Allah.

Doa orang yang benar

13Adakah sesiapa di kalanganmu yang sedang mengalami kesusahan? Berdoalah. Adakah sesiapa yang sedang bergembira? Nyanyikanlah lagu pujian kepada Allah. 14Adakah sesiapa yang sakit? Panggillah para tua-tua jemaah untuk mendoakannya dan menyapukan minyak padanya dengan nama Tuhan. 15Doa yang dilafazkan dengan iman akan menyembuhkan orang sakit itu. Tuhan akan memulihkan kesihatannya, dan dosanya akan diampunkan. 16Oleh itu, hendaklah kamu saling mengakui kesalahan serta mendoakan satu sama lain, supaya kamu disembuhkan. Doa orang yang benar mempunyai kuasa yang hebat.

17Ilyas seorang manusia biasa seperti kita. Dia berdoa bersungguh-sungguh supaya hujan tidak turun, maka selama tiga tahun setengah hujan tidak turun. 18Selepas itu dia berdoa lagi, lalu langit menurunkan hujan mencurah-curah dan tanah mengeluarkan hasil.

19Saudara-saudaraku, jika seorang di kalanganmu sesat, lalu yang lain memimpinnya kembali kepada Allah, 20ingatlah ayat ini: Sesiapa memimpin seorang yang berdosa kembali daripada jalan yang salah, maka dia menyelamatkan roh orang yang berdosa itu daripada kematian dan menutupi banyak dosa.

↑ ↑ ↑