Lompat ke isi

Kitab Suci Zabur dan Injil/1 Petrus

Dari Wikisumber bahasa Indonesia, perpustakaan bebas

diterjemahkan oleh tim Pengamat Kitab Mulia (2013); CC-BY-ND 4.0

Pasal 1 2 3 4 5


1

1Daripada Petrus, rasul Isa al-Masih, Kepada umat pilihan Allah yang tinggal merata-rata di Pontus, Galatia, Kapadokia, Asia dan Bitinia.

2Kamu terpilih menurut rancangan Allah Bapa, dijadikan umat-Nya dengan Roh Suci, supaya taat akan Isa al-Masih dan disucikan dengan darah-Nya: Semoga kamu dilimpahi kasih kurnia dan damai sejahtera daripada Allah.

Harapan dan iman

3Puji bagi Allah, Bapa Junjungan kita Isa al-Masih! Kerana belas kasihan-Nya yang amat besar Dia telah mengurniai kita kelahiran baru dengan membangkitkan Isa al-Masih daripada kematian. Dengan demikian, kita hidup dengan harapan yang tidak akan binasa, dan 4kita mengharapkan warisan yang tidak mungkin reput, tercemar atau lenyap – disimpan untukmu di syurga. 5Kamu dipelihara dengan kuasa Allah, melalui iman untuk penyelamatan yang akan ternyata sepenuhnya pada akhir zaman. 6Oleh yang demikian bersukacitalah, meskipun sekarang untuk seketika mungkin kamu berdukacita kerana menghadapi pelbagai cubaan. 7Segalanya ini untuk menguji imanmu yang lebih berharga daripada emas, kerana emas tetap musnah walaupun telah diuji dengan api. Imanmu kelak ternyata tulen dan akan mendapat puji, penghormatan serta kemuliaan apabila Isa al-Masih datang kembali. 8Kamu mengasihi-Nya walaupun belum pernah melihat-Nya. Kamu percaya kepada-Nya tanpa melihat-Nya. Oleh itu, kamu merasa kebahagiaan yang tidak terkata dan penuh dengan kemuliaan 9kerana kamu akan mencapai matlamat imanmu, iaitu penyelamatan jiwamu.

10Nabi-nabi telah mengkaji penyelamatan ini dan bernubuat tentang kasih kurnia Allah kepadamu. 11Roh al-Masih yang ada pada nabi-nabi bernubuat tentang penderitaan al-Masih dan kemuliaan-Nya kelak. Mereka berusaha untuk mengetahui bila dan bagaimana perkara itu akan terjadi. 12Allah telah menyatakan kepada nabi-nabi bahawa segala yang dilakukan oleh mereka itu bukan untuk mereka tetapi untuk kita. Sekarang perkara yang disampaikan oleh nabi-nabi itu telah kamu dengar melalui Injil yang diisytiharkan dengan kuasa Roh Suci dari syurga. Para malaikat juga ingin mengerti perkara itu.

Hendaklah kamu suci

13Oleh yang demikian, bersedialah, berjaga-jaga dan sandarkanlah harapan kepada kasih kurnia yang akan kamu terima apabila Isa al-Masih datang kembali. 14Jadilah anak-anak yang taat akan Allah, dan janganlah hidup mengikut nafsumu seperti dahulu, sebelum kamu mengenal-Nya.

15Pastikanlah segala perbuatanmu suci, sebagaimana Tuhan yang memanggilmu itu suci. 16Ada tersurat di dalam Kitab Suci, ‘Hendaklah kamu suci, kerana Aku suci.’ 17Jika kamu berdoa kepada Allah Bapa, yang menghakimi manusia dengan adil menurut perbuatan masing-masing, maka sepanjang hayatmu di dunia ini takuti dan patuhilah Dia. 18Kamu mengetahui bahawa untuk membebaskanmu daripada hidup sia-sia warisan nenek moyangmu, tebusannya bukanlah sesuatu yang dapat dibinasakan seperti perak atau emas 19tetapi darah al-Masih yang amat berharga, darah anak domba yang tiada cacat celanya. 20Dia telah ditetapkan sebelum dunia dicipta, tetapi dinyatakan pada akhir zaman ini untukmu. 21Melalui-Nya kamu percaya kepada Allah, yang telah membangkitkan-Nya daripada kematian dan memberi-Nya kemuliaan, supaya kamu beriman dan berharap kepada Allah.

22Oleh sebab kamu telah menyucikan rohmu dalam mematuhi kebenaran supaya mempunyai kasih yang ikhlas kepada saudara-saudara seimanmu, maka kasihilah satu sama lain dengan sepenuh perasaan dan suci hati; 23kerana kamu telah dilahirkan semula, bukan daripada benih yang dapat dibinasakan tetapi daripada yang tidak mungkin dimusnahkan, melalui firman Allah yang hidup kekal selama-lamanya. 24Kerana, ‘Semua jasad umpama rumput, dan semua kemuliaan manusia bak bunga di padang; rumput akan layu, dan bunganya akan gugur,

25tetapi firman Tuhan kekal selama-lamanya.’ Inilah firman yang disampaikan kepadamu.

↑ ↑ ↑ 2

1Oleh itu, singkirkan segala niat jahat, penipuan, kepura-puraan, iri hati dan semua fitnah.

2Seperti bayi yang baru lahir, hendaklah kamu selalu haus akan air susu suci firman Allah, supaya kamu bertumbuh subur sehingga beroleh penyelamatan. 3Kamu sendiri telah mengalami kebaikan Tuhan.

Isa al-Masih batu penjuru

4Datanglah kepada Dia yang seperti batu hidup, yang dibuang oleh manusia tetapi dipilih oleh Allah dan berharga di hadirat-Nya. 5Kamu juga umpama batu hidup, yang digunakan untuk membina rumah rohani bagi para imam yang suci, untuk mempersembahkan korban rohani yang diredai Allah melalui Isa al-Masih. 6Ada tersurat di dalam Kitab Suci: ‘Lihatlah, Kuletakkan di Sion, batu penjuru yang terpilih, berharga, dan sesiapa yang percaya kepada-Nya tidak akan diaibkan.’

7Bagi kamu yang percaya, batu itu berharga, tetapi bagi mereka yang tidak percaya, ‘Batu yang dibuang oleh pembina telah menjadi batu penjuru,’

8dan, ‘Batu tempat orang tersandung dan sebuah batu pejal yang membuat mereka terjatuh.’ Mereka tersandung kerana mereka ingkar akan firman Allah, yang telah ditetapkan bagi mereka.

9Tetapi kamu umat terpilih, para imam Raja, bangsa suci, umat-Nya sendiri, yang dipilih untuk mengisytiharkan puji-pujian bagi Dia yang telah memanggilmu daripada kegelapan kepada cahaya-Nya yang gemilang. 10Dahulu kamu bukan suatu umat tetapi sekarang kamu umat Allah. Dahulu kamu tidak mendapat belas kasihan Allah tetapi sekarang kamu telah mendapat belas kasihan-Nya.

11Saudara-saudara yang kukasihi, aku merayu padamu sebagai orang asing dan pendatang di dunia, jauhilah hawa nafsu yang sentiasa menyerang jiwa. 12Amalkan kelakuan yang mulia, maka apabila orang di kelilingmu yang tidak mengenal Allah mengata kamu berbuat jahat, mereka tetap melihat perbuatanmu yang baik lalu memuliakan Allah pada waktu Tuhan datang kembali.

Berserah kepada pemerintah

13Demi Tuhan berserahlah kepada pemerintah dalam kerajaan manusia, baik raja sebagai pemerintah tertinggi 14mahupun para gabenor yang dilantiknya untuk menghukum orang yang berbuat jahat dan menghargai orang yang berbuat baik. 15Inilah kehendak Allah, bahawa dengan berbuat baik kamu menutup mulut orang jahil dan bodoh yang hendak mengatamu. 16Hiduplah dengan bebas, tetapi jangan gunakan kebebasan untuk menutup maksiat. Hiduplah sebagai hamba Allah. 17Hormati semua orang: Kasihi saudara-saudara seimanmu, takuti Allah, dan hormati raja.

18Hamba, berserahlah kepada tuanmu dengan penuh hormat, bukan tuan yang baik dan lemah lembut sahaja, tetapi yang kejam juga. 19Kamu layak dipuji jika kerana Allah kamu tabah menanggung derita akibat perlakuan yang tidak adil. 20Apakah istimewanya jika kamu menerima dengan sabar apabila dipukul kerana kesalahanmu? Tetapi apabila kamu berbuat baik lalu menderita, jika kamu menerimanya dengan sabar, maka kamu terpuji di sisi Allah. 21Justeru inilah kamu telah dipanggil, kerana al-Masih juga menderita untuk kita, memberi kita teladan, supaya kita menurut jejak langkah-Nya.

22‘Dia tidak melakukan dosa, dan lidah-Nya tidak pernah berdusta.’

23Apabila Dia dicela, Dia tidak mencela kembali. Apabila Dia menderita, Dia tidak mengugut, tetapi menyerahkan diri-Nya kepada Allah yang menghakimi dengan adil. 24Dia menanggung dosa kita dalam tubuh-Nya sendiri di kayu salib, supaya kita mati terhadap dosa dan hidup untuk kebenaran. Luka-luka-Nya telah menyembuhkan kamu. 25Dahulu kamu seperti domba yang sesat, tetapi sekarang kamu telah kembali kepada Gembala dan Pemelihara jiwamu.

↑ ↑ ↑ 3

Isteri dan suami

1Demikian juga kamu, isteri, berserahlah kepada suamimu. Dengan demikian, suami yang tidak percaya kepada firman Allah dapat ditarik untuk percaya tanpa sepatah kata, hanya dengan kelakuan isterinya 2ketika mereka melihat betapa murni dan salihnya hidupmu. 3Janganlah hiasi dirimu di luar sahaja – mendandan rambut, memakai emas atau pakaian indah. 4Hiasilah batinmu, dengan keindahan yang tidak dapat dimusnahkan, iaitu bersikap lembut dan tenang, yang sangat berharga di sisi Allah. 5Demikianlah hiasan perempuan zaman dahulu yang salih dan berharap pada Allah. Mereka berserah kepada suami, 6seperti Sarah yang taat kepada Ibrahim dan memanggilnya tuan. Kamu adalah anak-anak perempuan Sarah jika kamu berbuat baik dan tidak takut apa-apa.

7Suami, kamu juga hendaklah hidup bersama isterimu dengan sikap mengerti. Berilah penghormatan kepada isteri sebagai kaum yang lebih lemah dan sebagai rakan pewarismu yang sama-sama menerima kasih kurnia hidup. Dengan demikian doamu kepada Allah tidak akan terhalang.

Menderita kerana berbuat baik

8Sebagai kesimpulan, bersatu hatilah kamu semua, dan amalkan belas ihsan antara satu sama lain. Jalinkanlah kasih persaudaraan antaramu, dengan hati yang lembut dan adab sopan yang baik.

9Jangan balas kejahatan dengan kejahatan atau celaan dengan celaan. Sebaliknya balaslah dengan memohon Allah memberkati mereka. Kamu mengetahui bahawa Allah telah memanggilmu supaya kamu mendapat berkat kelak. 10Kerana, ‘Sesiapa yang ingin menikmati hidup dan mengalami masa yang baik hendaklah menjaga lidahnya daripada kejahatan dan bibirnya daripada kata-kata yang palsu.

11Hendaklah dia tinggalkan kejahatan dan lakukan kebaikan; hendaklah dia cari dan buru kedamaian. 12Kerana mata Tuhan tertuju kepada orang yang benar dan telinga-Nya mendengar doa mereka, tetapi wajah Tuhan menentang mereka yang berbuat jahat.’

13Siapakah yang akan menyakitimu jika kamu berbuat kebaikan dengan penuh semangat? 14Namun, kalaupun kamu menderita kerana melakukan yang benar, kamu akan diberkati. ‘Jangan takut akan ugutan mereka dan janganlah bimbang.’ 15Hormatilah al-Masih sebagai Junjungan Yang Esa dalam hatimu dan sentiasa bersedia memberi jawapan yang meyakinkan apabila seseorang bertanyakan asas harapan di hatimu. Jawab dengan lembut dan hormat, 16serta dengan suara hati yang murni. Dengan demikian mereka yang mencela kelakuan baikmu sebagai pengikut al-Masih akan berasa malu. 17Jika dikehendaki Allah kamu menderita kerana melakukan kebaikan, itu lebih baik daripada menderita kerana melakukan kejahatan. 18Al-Masih juga telah mati sekali untuk selama-lamanya kerana dosa kita. Dia yang tidak bersalah telah menderita untuk kita yang bersalah supaya Dia dapat membawa kita kepada Allah. Dia telah dibunuh secara jasmani tetapi dihidupkan semula sebagai Roh. 19Dalam keadaan demikian, Dia pergi menyampaikan perkhabaran kepada roh-roh yang dipenjarakan. 20Roh-roh itu tidak taat akan Allah yang menantikan mereka dengan sabar sepanjang masa Nuh membina bahteranya. Hanya lapan orang menaiki bahtera itu dan diselamatkan melalui air.21 Air bah itu melambangkan pengimadan yang sekarang menyelamatkan kita, pengimadan – bukan pembersihan kotoran badan tetapi sambutan hati nurani yang suci terhadap Allah – melalui pembangkitan Isa al-Masih daripada kematian. 22Dia telah pergi ke syurga dan sekarang berada di kanan Allah. Para malaikat, penguasa dan pemerintah telah diletakkan di bawah-Nya.

↑ ↑ ↑ 4

Hidup demi Allah

1Oleh sebab al-Masih telah menderita secara jasmani untuk kita, teguhkanlah dirimu untuk menghadapi penderitaan demikian. Dia yang telah menderita secara jasmani itu telah mengatasi dosa. 2Dia tidak meneruskan hidupnya secara jasmani untuk memuaskan nafsu insani tetapi untuk melakukan kehendak Allah. 3Sudah cukuplah waktu hidup silam yang kita habiskan dengan melakukan kehendak orang yang tidak mengenal Allah – hidup cabul, memuaskan nafsu, mabukmabuk bersuka ria, minum arak di majlis, dan melakukan kerja terkutuk menyembah berhala.

4Dalam hal ini, mereka hairan kerana kamu tidak lagi menyertai mereka dalam kancah maksiat itu, lalu mereka mencela kamu. 5Mereka kelak harus mempertanggungjawabkan perbuatan mereka kepada Allah yang sedia menghakimi orang hidup dan orang mati. 6Itulah sebabnya Injil juga disampaikan kepada orang yang telah mati, supaya mereka yang dihakimi sebagai manusia secara jasmani, dapat hidup secara rohani menurut kehendak Allah.

7Sudah hampir waktunya bagi segala-galanya berakhir. Oleh itu berdoalah dengan bersungguhsungguh dan berjaga-jaga. 8Paling utama, kasihilah satu sama lain kerana kasih akan menutup banyak dosa. 9Raikan satu sama lain tanpa bersungut. 10Setiap orang antaramu telah menerima pelbagai kurnia daripada Allah. Sebagai pengurus yang baik bagi kurnia Allah, gunakanlah kurnia itu untuk kebaikan semua. 11Jika sesiapa menyampaikan perkhabaran, sampaikanlah berita daripada Allah. Jika sesiapa memberi pertolongan, berilah dengan keupayaan yang dibekalkan oleh Allah. Dengan demikian, dalam semua hal Allah akan dimuliakan melalui Isa al-Masih yang memiliki kemuliaan dan kekuasaan selama-lamanya. Amin.

Menderita kerana menjadi pengikut al-Masih

12Saudara-saudara yang kukasihi, janganlah hairan bahawa kamu diuji dengan penderitaan yang berat, jangan anggap perkara itu luar biasa. 13Sebaliknya, bergembiralah bahawa kamu turut mengalami penderitaan al-Masih. Dengan demikian, apabila kemuliaan-Nya ternyata, kamu juga dapat berasa sukacita yang tidak terhingga. 14Sekiranya kamu dicela kerana menjadi pengikut dan mengambil nama al-Masih, diberkatilah kamu kerana Roh yang mulia iaitu Roh Allah ada bersamamu. 15Namun, janganlah seorang pun di antara kamu menderita kerana kesalahan membunuh, mencuri, berbuat jahat atau mencampuri hal orang. 16Tetapi jika sesiapa menderita sebagai seorang Masihi, janganlah berasa malu, malah muliakanlah Allah kerananya. 17Sudah tiba masanya penghakiman dimulai, dan pertama-tama dihakimi adalah umat Allah sendiri. Jika penghakiman itu dimulai dengan kita, bagaimanakah kesudahannya orang yang tidak mentaati Injil daripada Allah? 18Dan, ‘Jika orang benar pun sukar diselamatkan, apa jadinya orang yang ingkar dan yang berdosa?’

19Oleh itu, mereka yang menderita menurut kehendak Allah hendaklah berbuat baik sambil berserah kepada Allah, Pencipta yang setia.

↑ ↑ ↑ 5

Jemaah umat Allah

1Kepada tua-tua jemaah di kalanganmu, kutujukan pesanan ini. Aku, sebagai seorang tuatua juga yang telah menyaksikan penderitaan al-Masih dan yang akan turut dimuliakan apabila kemuliaan-Nya ternyata, menyerumu: 2Jagalah jemaah Allah sekitarmu seperti gembala menjaga kawanan domba. Awasi mereka – bukan secara terpaksa tetapi dengan rela; bukan untuk mendapat keuntungan yang tidak wajar, tetapi dengan sepenuh hati; 3bukan sebagai tuan bagi mereka yang diamanahkan kepadamu, tetapi sebagai teladan untuk mereka. 4Apabila Gembala Agung datang kelak, kamu akan menerima mahkota kemuliaan yang kekal.

5Demikian juga kamu, orang muda, tunduklah kepada orang tua yang memimpinmu. Ya, kamu semua hendaklah saling menghormati dan merendah diri, kerana, ‘Allah menentang orang yang angkuh tetapi menganugerahi orang yang rendah hati.’

6Oleh itu, rendahkan dirimu di bawah kuasa Allah, supaya kamu ditinggikan-Nya pada waktu yang telah ditetapkan. 7Serahkan segala kerunsinganmu kepada Allah, kerana Dia mengambil berat tentangmu.

8Kawallah dirimu dan berwaspadalah, kerana musuhmu Iblis merayau seperti singa yang mengaum mencari mangsa. 9Lawanlah Iblis dengan iman yang teguh. Kamu tahu bahawa penderitaan yang sama sedang ditanggung oleh saudara-saudara seimanmu serata dunia.

10Tetapi setelah kamu menderita beberapa waktu, Allah, sumber segala kasih kurnia, yang telah memanggil kamu untuk turut menikmati kemuliaan-Nya yang kekal, akan menyempurnakan, menegakkan, mengukuhkan dan menenteramkan kamu. 11Bagi Allah segala kemuliaan dan kekuasaan selama-lamanya. Amin.

Salam akhir

12Aku menulis surat ringkas ini kepadamu dengan pertolongan Silwanus, yang kuanggap saudara kita yang setia. Tujuanku ialah menasihatimu dan memberi ringkasan kesaksianku bahawa inilah kasih kurnia sejati daripada Allah untukmu. Berdiri teguhlah di dalamnya.

13Jemaah di Babel, yang sepertimu juga dipilih Allah, berkirim salam kepadamu, begitu juga anakku Markus. 14Bersalamanlah dengan kasih sayang. Selamat sejahtera kepada kamu semua milik al-Masih.

↑ ↑ ↑