Lompat ke isi

Kitab Suci Zabur dan Injil/Ibrani

Dari Wikisumber bahasa Indonesia, perpustakaan bebas

diterjemahkan oleh tim Pengamat Kitab Mulia (2013); CC-BY-ND 4.0

Pasal 1 2 3 4 5 67 8 9 10 11 12 13


1

Allah berfirman melalui Putera-Nya

1Allah telah berfirman pada pelbagai zaman dan dengan aneka cara kepada nenek moyang kita melalui nabi-nabi. 2Tetapi pada akhir zaman ini Allah telah berfirman kepada kita melalui Putera-Nya, yang telah dijadikan-Nya pewaris kepada segala-galanya; melalui Putera-Nya itu Allah telah mencipta alam semesta. 3Putera itu adalah sinar gemilang kemuliaan Allah dan gambaran sempurna kewujudan-Nya. Dia memelihara segala-segalanya dengan kekuasaan firman-Nya. Setelah menghapuskan dosa kita melalui diri-Nya sendiri, Dia duduk di sebelah kanan Yang Maha Mulia yang bertakhta di syurga. 4Diri-Nya jauh lebih baik daripada para malaikat; kerana melalui warisan, Dia telah mendapat nama yang lebih cemerlang daripada mereka.

5Kepada malaikat manakah Allah pernah berfirman: ‘Engkau Putera-Ku, pada hari ini Aku menjadi Bapa-Mu’? Dan juga: ‘Aku akan menjadi Bapa-Nya, dan Dia akan menjadi Putera-Ku’?

6Selanjutnya, apabila Allah menghantar semula putera sulung-Nya ke dalam dunia maka firman-Nya: ‘Hendaklah semua malaikat Allah menyembah-Nya.’

7Dan tentang para malaikat, Dia berfirman: ‘Dia menjadikan para malaikat-Nya angin, dan para pelayan-Nya nyala api.’

8Tetapi tentang Putera itu Dia berfirman: ‘Takhta-Mu, Ya Allah, kekal selama-lamanya; Tongkat kebenaran adalah tongkat kerajaan-Mu.

9Engkau telah mencintai kebenaran dan membenci kejahatan; Oleh itu Allah, Tuhan-Mu, telah mengurapi-Mu dengan minyak kebahagiaan lebih daripada teman-teman-Mu.’

10Dan: ‘Pada mulanya, Engkau, Tuhanku, yang meletakkan asas bumi, dan seluruh langit adalah hasil kerja tangan-Mu;

11Bumi dan langit akan binasa, tetapi Engkau kekal; dan segalanya akan menjadi usang seperti pakaian;

12Seperti jubah, Engkau akan menggulungnya; seperti baju yang ditukar, semuanya akan diubah. Tetapi Engkau tetap sama, dan zaman-Mu tidak berkesudahan.’

13Tetapi kepada malaikat manakah Allah pernah berfirman: ‘Duduklah di sebelah kanan-Ku, sehingga Aku menjadikan musuh-Mu alas kaki-Mu’?

14Bukankah semua malaikat itu roh-roh pelayan yang dihantar untuk melayani manusia yang akan mewarisi penyelamatan?

↑ ↑ ↑ 2

Amaran supaya berwaspada

1Oleh itu kita harus memberikan perhatian yang lebih kepada segala yang telah kita dengar; takut kita hanyut kelak. 2Jika firman yang disampaikan melalui para malaikat terbukti benar, dan setiap pelanggaran serta keingkaran mendapat balasan yang setimpal, 3bagaimana kita mungkin terlepas daripadanya jika kita mengabaikan penyelamatan yang sedemikian besar? Pada mulanya Junjungan telah menyebutkannya, dan kemudian orang yang telah mendengar kata-kata-Nya itu turut mengesahkannya. 4Allah juga telah memberikan kesaksian dengan pelbagai tanda, keajaiban, mukjizat dan pengurniaan Roh Suci, menurut kehendak-Nya sendiri.

5Dia tidak meletakkan dunia akan datang, yang kita perkatakan ini, di bawah takluk para malaikat.

6Tetapi terdapat seorang yang telah memberikan kesaksian di suatu tempat: ‘Apakah manusia maka Engkau memberinya perhatian, Apakah putera insan maka Engkau memeliharanya?

7Engkau telah menjadikannya rendah sedikit daripada malaikat; Engkau memahkotakannya dengan kemuliaan dan kehormatan, 8dan Engkau meletakkan segala-galanya tertakluk di bawah kakinya.’ Dengan meletakkan segalanya tertakluk di bawahnya, Allah tidak meninggalkan suatu apapun di luar kekuasaannya. Tetapi sekarang kita masih belum melihat segala-galanya diletakkan di bawahnya.

Isa dijadikan rendah seketika

9Tetapi kita melihat Isa, yang dijadikan rendah sedikit daripada malaikat, dimahkotakan dengan kemuliaan dan kehormatan kerana telah menderita kematian; supaya Dia, dengan kasih kurnia Allah, mengalami kematian untuk setiap manusia.

10Allah, yang segala-galanya adalah untuk-Nya dan segala-galanya dicipta oleh-Nya, membawa beberapa ramai anak-Nya kepada kemuliaan. Memang wajarlah Dia menjadikan Perintis penyelamatan mereka itu sempurna melalui penderitaan. 11Dia yang menyucikan dan mereka yang disucikan adalah satu asalnya. Oleh itu Dia tidak malu memanggil mereka saudara-saudara. 12Dia berkata: ‘Aku akan mengisytiharkan nama-Mu kepada saudara-saudaraku; Di tengah-tengah perhimpunan Aku akan menyanyikan pujian untuk-Mu.’

13Dan juga: ‘Aku akan meletakkan kepercayaan-Ku kepada-Nya.’ Seterusnya: ‘Lihatlah, ini Aku dan anak-anak yang telah diberikan Allah kepada-Ku.’

14Oleh sebab anak-anak itu telah mendapat tubuh manusia, Dia sendiri pun mendapatkannya, supaya melalui kematian Dia dapat memusnahkan Iblis yang berkuasa ke atas kematian, 15dan membebaskan mereka yang tertakluk kepada belenggunya seumur hidup kerana takut mati. 16Dia tidak memberi pertolongan kepada para malaikat, tetapi Dia memberi pertolongan kepada keturunan Ibrahim.

17Dengan demikian, dalam segala hal Dia harus disamakan dengan saudara-saudaranya, supaya Dia menjadi Imam Besar yang pengasihan dan setia dalam segala yang berkenaan dengan Allah, untuk menebus dosa umat manusia. 18Oleh sebab Dia Sendiri telah menderita, menghadapi godaan, maka Dia dapat menolong orang yang menghadapi godaan.

↑ ↑ ↑ 3

Isa lebih tinggi daripada Musa

1Dengan demikian, saudara-saudara yang salih, yang juga mendapat panggilan dari syurga, fikirkanlah Rasul dan Imam Besar yang kita akui, Isa al-Masih. 2Dia setia kepada Allah yang melantik-Nya, sebagaimana Musa juga setia dalam seisi rumah Allah. 3Dia dikira layak menerima lebih banyak kemuliaan daripada Musa, sebagaimana pembina rumah lebih dimuliakan daripada rumah. 4Setiap rumah ada pembinanya, tetapi Dia yang membina segalanya ialah Allah. 5Musa memang setia dalam seisi rumah Allah sebagai seorang khadam, untuk kesaksian terhadap segala perkara yang akan dikatakan kemudian. 6Tetapi al-Masih setia sebagai Putera ke atas seisi rumah-Nya. Kita adalah isi rumah-Nya jika kita berpegang teguh kepada kebahagiaan harapan ini hingga ke akhir.

Amaran terhadap murtad

7Oleh itu, sebagaimana dikatakan oleh Roh Suci: ‘Hari ini, jika kamu mendengar suara-Nya,

8Jangan keraskan hatimu seperti dalam pemberontakan dahulu pada masa cubaan di gurun,

9Ketika nenek moyangmu menguji-Ku, menduga-Ku, meskipun mereka telah melihat perbuatan-Ku selama empat puluh tahun.

10Oleh itu Aku murka dengan keturunan itu, dan Aku berkata, “Hati mereka sentiasa sesat, dan mereka tidak mengenal jalan-Ku.”

11Maka Aku bersumpah dalam kemurkaan-Ku, “Mereka tidak akan masuk ke dalam rehat-Ku.” ’

12Awaslah, saudara-saudara, jangan ada dalam diri seorang pun daripadamu hati durjana yang tidak beriman lalu berpaling daripada Allah yang hidup. 13Nasihatilah sesama sendiri setiap hari, selagi masih disebut ‘Hari ini’, jangan sampai sesiapa di antaramu menjadi keras hatinya akibat dosa yang memperdaya. 14Kita telah menyertai al-Masih jika kita berpegang kepada keyakinan kita yang kita miliki dari mula-mulanya hingga ke akhir, 15seperti mana dikatakan: ‘Hari ini, jika kamu mendengar suara-Nya, Jangan keraskan hatimu seperti dalam pemberontakan dahulu.’

16Siapa yang memberontak setelah mendengar? Bukankah semua mereka yang telah dibawa oleh Musa keluar dari Mesir? 17Dengan siapakah Allah murka empat puluh tahun? Bukankah dengan mereka yang melakukan dosa, yang bergelimpangan mayatnya di gurun? 18Dan kepada siapakah Allah bersumpah bahawa mereka tidak akan masuk ke dalam rehat-Nya? Tak lain tak bukan kepada mereka yang tidak taat. 19Oleh itu nyatalah kepada kita bahawa mereka tidak dapat masuk kerana tidak beriman.

↑ ↑ ↑ 4

Hari rehat yang disediakan Allah

1Dengan demikian, oleh sebab janji untuk masuk ke dalam rehat-Nya tetap wujud, kita haruslah bimbang kalau-kalau ada di antaramu yang dikira tidak layak. 2Injil telah disampaikan kepada kita dan kepada mereka; tetapi firman yang mereka dengar tidak menguntungkan mereka kerana tidak berpadu dengan iman. 3Kita yang telah beriman memang masuk ke dalam rehat itu, sebagaimana firman-Nya: ‘Maka Aku bersumpah dalam kemurkaan-Ku, “mereka tidak akan masuk ke dalam rehat-Ku,” ’ walaupun pekerjaan-Nya telah selesai sejak dunia diasaskan. 4Allah telah berfirman demikian di suatu tempat tentang hari ketujuh: ‘Dan Allah berehat pada hari ketujuh daripada segala pekerjaan-Nya.’; 5Kemudian di sini pula: ‘Mereka tidak akan masuk ke dalam rehat-Ku.’ 6Memandangkan sebilangan manusia pasti masuk ke dalam rehat itu, dan mereka yang terlebih dahulu mendengar Injil tidak masuk disebabkan mereka ingkar, 7maka Dia menetapkan satu hari lain, dalam firman-Nya kepada Daud, ‘Hari ini,’ setelah sekian lama, iaitu: ‘Hari ini, jika kamu mendengar suara-Nya, jangan keraskan hatimu.’

8Andainya Yusak telah memberikan rehat kepada mereka, Dia tidak akan berfirman kemudian tentang satu hari lain. 9Oleh itu masih ada rehat-Sabat untuk umat Allah. 10Orang yang telah masuk ke dalam rehat-Nya juga telah berhenti daripada pekerjaannya, sebagaimana Allah telah berhenti daripada pekerjaan-Nya. 11Jadi, marilah kita berusaha untuk masuk ke dalam rehat itu, supaya jangan ada yang gagal kerana mengikut contoh mereka yang ingkar.

12Firman Allah hidup dan berkuasa, lebih tajam daripada pedang dua mata, menembusi ke garis pemisah nyawa dan roh, sendi dan sumsum, serta mengenal antara fikiran dan niat di hati. 13Tidak ada makhluk yang terlindung daripada penglihatan-Nya. Segala-galanya terdedah dan terbuka kepada mata Allah; kepada-Nya nanti kita dipertanggungkan tentang segala perlakuan kita.

Isa Imam Besar

14Memandangkan kita mempunyai Imam Besar yang agung yang telah melalui syurga, iaitu Isa Putera Allah, marilah kita berpegang teguh kepada pengakuan kita. 15Kita tidaklah mempunyai Imam Besar yang tidak dapat merasakan kelemahan kita. Sebaliknya dalam segala hal Dia telah menghadapi godaan seperti yang kita hadapi, tetapi Dia tidak melakukan dosa. 16Oleh itu marilah kita tampil dengan berani ke hadapan takhta kasih kurnia, supaya kita mendapat belas kasihan dan kasih kurnia untuk menolong kita ketika kita memerlukannya.

↑ ↑ ↑ 5

1Setiap Imam Besar dari kalangan manusia dilantik untuk mewakili manusia dalam hal-hal yang berkaitan dengan Allah, supaya dia dapat memberikan persembahan dan korban untuk menghapuskan dosa. 2Dia dapat merasakan belas kasih kepada mereka yang jahil dan sesat, kerana dia sendiri menghadapi kelemahan diri. 3Oleh itu dia dikehendaki membuat persembahan bukan sahaja untuk menghapuskan dosa orang lain tetapi juga dosanya sendiri.

4Tiada sesiapapun mengambil kehormatan ini untuk dirinya, kecuali yang dipanggil oleh Allah, seperti Harun. 5Demikian jugalah al-Masih, Dia tidak memuliakan diri-Nya untuk menjadi Imam Besar, tetapi Allah telah berfirman kepada-Nya: ‘Engkau Putera-Ku, pada hari ini Aku menjadi Bapa-Mu.’

6Allah berfirman juga di suatu tempat lagi: ‘Engkau menjadi imam untuk selama-lamanya menurut peraturan Melkisedek.’

7Ketika Isa hidup sebagai manusia, Dia telah berdoa dan merayu dengan ratap tangis kepada Allah yang berkuasa menyelamatkan-Nya daripada kematian, dan Allah telah mendengar-Nya kerana kewarakan-Nya. 8Sungguhpun Dia Putera, namun Dia belajar taat melalui segala penderitaan-Nya.

9Setelah Dia dijadikan sempurna, Dia menjadi sumber penyelamatan yang kekal bagi semua yang mematuhi-Nya. 10Dia dipanggil Allah menjadi Imam Besar menurut peraturan Melkisedek.

Amaran supaya jangan menjadi murtad

11Tentang ini kami ada banyak untuk dikatakan, namun sukar hendak diterangkan, kerana pendengaranmu sudah tumpul. 12Sepatutnya sekarang ini kamu sudah boleh mengajar, tetapi kamu masih perlu diajar lagi tentang prinsip-prinsip asas firman Allah; seolah-olah kamu masih perlu minum susu sahaja, belum boleh menerima makanan pepejal. 13Orang yang hanya boleh minum susu itu tidak mahir dalam ajaran tentang kebenaran, kerana dia masih bayi. 14Makanan pepejal adalah untuk orang yang sudah dewasa, iaitu mereka yang telah membiasakan akalnya membezakan baik dengan buruk.

↑ ↑ ↑ 6

1Dengan demikian, marilah kita tinggalkan perbincangan asas ajaran tentang al-Masih dan terus beralih kepada kesempurnaan. Usahlah kita letakkan asas lagi, iaitu taubat daripada perbuatan yang sia-sia, dan beriman kepada Allah, 2ajaran tentang pengimadan, meletakkan tangan, kebangkitan daripada kematian, dan hukuman yang kekal. 3Kita akan melakukannya jika Allah mengizinkan.

4Bagi orang yang pernah mengenal kebenaran, telah mengecap pemberian dari syurga, telah menerima Roh Suci, 5telah merasakan kebaikan firman Allah dan kuasa zaman akan datang,

6jika mereka berpaling, mustahil untuk membawa mereka bertaubat semula, kerana mereka telah menyalib Putera Allah sekali lagi bagi diri mereka serta memalukan-Nya di mata orang ramai.

7Tanah yang menghirup air hujan yang sering menimpanya, lalu mengeluarkan tanam-tanaman yang berguna bagi orang, adalah diberkati Allah. 8Sebaliknya, jika tanah itu mengeluarkan duri dan lalang, maka ia disingkirkan serta hampir dilaknat, dan akhirnya dibakar.

Berdiri teguh dalam iman

9Namun, saudara-saudara yang dikasihi, sungguhpun kami berkata demikian, kami yakin bahawa perkara yang lebih baik akan berlaku kepadamu, ya, perkara yang mengiringi penyelamatan. 10Allah sentiasa adil dan tidak akan melupakan kerja serta usaha kasih yang telah kamu tunjukkan untuk nama-Nya, iaitu kamu telah dan sedang melayan orang yang salih. 11Kami mahu setiap seorang daripada kamu menunjukkan kesungguhan usaha yang sama untuk memberi sepenuh keyakinan terhadap harapan kita hingga ke akhir. 12Janganlah kamu menjadi lembap; teladani mereka yang mewarisi janji itu melalui iman dan kesabaran.

13Apabila Allah berjanji kepada Ibrahim, Dia tidak mungkin bersumpah dengan nama lain kerana tiada siapa lebih besar daripada-Nya, lalu Dia bersumpah dengan nama-Nya sendiri. 14Allah berfirman: ‘Sesungguhnya Aku akan memberkatimu dan memperbanyak keturunanmu.’ 15Dengan demikian, setelah Ibrahim menanggung kesusahan dengan sabar, dia mendapat janji itu.

16Orang memang bersumpah dengan nama yang lebih besar daripada dirinya, dan suatu sumpah sebagai pengesahan mengakhiri segala pertikaian. 17Dengan demikian Allah, untuk menunjukkan kepada waris-waris janji itu bahawa kehendak-Nya tidak mungkin berubah, telah mengesahkannya dengan sumpah. 18Dengan adanya dua perkara yang tidak mungkin berubah, sedangkan Allah tidak mungkin berdusta, maka hati kita tetap. Kita telah lari mencari tempat berlindung untuk berpegang kepada harapan yang dihulurkan kepada kita. 19Kita mempunyai harapan ini sebagai sauh kepada jiwa kita, tetap dan teguh, dan masuk sampai ke balik tirai. 20Di situ perintis jalan telah masuk untuk kita, iaitu Isa, yang telah menjadi Imam Besar untuk selama-lamanya menurut peraturan Melkisedek.

↑ ↑ ↑ 7

Imam Melkisedek

1Melkisedek ini raja Salem, Imam Allah Yang Maha Tinggi. Dia telah bertemu dengan Ibrahim yang dalam perjalanan pulang setelah menewaskan raja-raja, lalu dia memberkati Ibrahim. 2Kepadanya juga Ibrahim menyerahkan sepersepuluh daripada segala yang dibawanya. Melkisedek mula-mula diterjemahkan sebagai ‘raja kebenaran’; kemudian dia dipanggil juga sebagai ‘raja Salem’, bermakna ‘raja kesejahteraan’. 3Dia tidak mempunyai ibu bapa, tidak bersalasilah, tiada tarikh permulaan atau penghabisan hayatnya, tetapi seperti Putera Allah, dia terus-menerus menjadi Imam.

4Sekarang fikirkanlah betapa besarnya orang itu, hinggakan moyang kita Ibrahim menyerahkan kepadanya sepersepuluh daripada rampasan perangnya. 5Keturunan Lewi yang menerima jawatan imam dikehendaki memungut sepersepuluh hasil daripada kaum itu menurut hukum Taurat, iaitu daripada saudara-saudara mereka, walaupun dari benih Ibrahim. 6Tetapi seorang yang bukan daripada keturunan mereka telah menerima bayaran sepersepuluh hasil daripada Ibrahim dan telah memberkati Ibrahim, penerima janji-janji Allah. 7Tidak boleh dinafikan bahawa orang yang lebih rendah kedudukannya diberkati oleh orang yang lebih tinggi. 8Di sini manusia biasa yang akan mati menerima bayaran sepersepuluh hasil, tetapi di sana dia menerimanya, yang telah disaksikan hidup berterusan. 9Lewi yang menerima bayaran sepersepuluh hasil pun boleh dikatakan membayarnya melalui Ibrahim, 10kerana dia masih dalam sulbi moyangnya apabila Melkisedek berjumpa dengannya.

Isa al-Masih sama seperti Melkisedek

11Oleh itu, kalaulah kesempurnaan didapati daripada keimaman Lewi (kerana di bawahnya orang menerima hukum Taurat), mengapakah perlu bangkitnya seorang imam lagi menurut peraturan Melkisedek, yang tidak dipanggil menurut peraturan Harun? 12Dengan berubahnya keimaman, semestinya berubahlah hukum Taurat. 13Dia yang disebut berkaitan segala ini datang dari suku lain, yang belum pernah menghasilkan imam untuk bertugas di tempat persembahan. 14Jelas bahawa Junjungan kita keturunan Yahuda, tetapi tentang suku ini Musa tidak pernah mengatakan sesuatu berkaitan imam-imam. 15Jauh lebih jelas lagi jika, seperti Melkisedek, bangkit seorang imam lagi,

16yang datang bukan menurut perintah berkenaan hal jasmani, tetapi menurut kuasa hidup yang tidak berkesudahan. 17Tentang Dia, telah disaksikan: ‘Engkau menjadi imam untuk selama-lamanya menurut peraturan Melkisedek.’

18Perintah dahulu telah terbatal disebabkan lemah dan tidak berguna, 19kerana hukum Taurat tidak menyempurnakan apa-apapun. Di samping itu, telah dibawa masuk harapan yang lebih baik, yang membawa kita lebih dekat kepada Allah.

20Dan semua ini tidaklah dilakukan tanpa sumpah. 21Imam-imam lain telah diangkat tanpa sumpah, tetapi Isa al-Masih telah menjadi imam dengan sumpah daripada Allah yang berfirman kepada-Nya: ‘Tuhan telah bersumpah dan tidak akan mengubah ketetapan: “Engkau menjadi imam selama-lamanya.” ’

22Dengan demikian Isa menjadi jaminan yang lebih kukuh bagi perjanjian yang lebih baik.

23Ramai yang telah menjadi imam itu, kerana kematian menghalang mereka daripada berterusan dalam jawatan. 24Tetapi Isa, kerana Dia berterusan selama-lamanya, mempunyai keimaman yang tidak mungkin berubah. 25Oleh itu Dia dapat menyelamatkan sepenuhnya mereka yang datang kepada Allah melalui-Nya, kerana Dia hidup selama-lamanya untuk berdoa syafaat bagi mereka.

26Demikianlah Imam Besar yang sesuai bagi kita. Dia suci, tidak bercela, tidak tercemar, terasing daripada orang berdosa, dan telah dijadikan lebih tinggi daripada isi syurga; 27Imam Besar yang dahulu perlu mempersembahkan korban setiap hari, mula-mula untuk menghapuskan dosa mereka sendiri dan kemudian dosa orang lain. Tetapi Dia tidak perlu berbuat demikian. Dia telah melakukannya sekali untuk selama-lamanya ketika Dia mempersembahkan diri-Nya. 28Hukum melantik manusia biasa dengan segala kelemahannya untuk menjadi Imam Besar. Tetapi firman dan sumpah Allah, yang datang selepas hukum Taurat, melantik Putera yang telah disempurnakan untuk selama-lamanya.

↑ ↑ ↑ 8

Imam Besar perjanjian baru

1Pokok segala yang kami katakan: Kita mempunyai Imam Besar yang duduk di sebelah kanan takhta Allah Yang Maha Mulia di syurga. 2Dia adalah Penjawat di tempat suci dan di khemah sejati, yang dibina oleh Tuhan, bukan oleh manusia. 3Setiap Imam Besar dilantik untuk membuat persembahan dan korban. Oleh itu Imam Besar ini juga mesti ada sesuatu untuk dipersembahkan. 4Sekiranya Dia di bumi, Dia tidaklah menjadi imam, kerana ada imam yang membuat persembahan menurut hukum Taurat. 5Imam di dunia mempersembahkan salinan dan bayang-bayang perkara di syurga. Demikianlah arahan kepada Musa tatkala dia bersedia untuk membuat khemah itu. Allah berfirman, ‘Pastikan bahawa engkau membuat segalanya menurut contoh yang ditunjukkan kepadamu di atas gunung itu.’ 6Tetapi sekarang Dia telah mendapat jawatan yang lebih tinggi, kerana Dia juga menjadi Pengantara bagi perjanjian yang lebih baik, yang diasaskan pada janji-janji yang lebih baik.

7Andainya perjanjian pertama itu tidak bercela, tidaklah perlu diadakan perjanjian lagi. 8Tetapi Allah telah mendapati mereka bercela lalu berfirman: ‘Lihatlah, akan tiba harinya, firman Tuhan, apabila Aku membuat perjanjian baru dengan kaum Israel dan dengan kaum Yahuda –

9tidak seperti perjanjian yang telah Kubuat dengan nenek moyang mereka ketika Aku membimbing tangan mereka untuk membawa mereka keluar dari tanah Mesir, kerana mereka tidak terus-menerus memegang janji-Ku, lalu Aku berpaling daripada mereka; demikian firman Tuhan. 10Inilah perjanjian yang akan Kubuat dengan kaum Israel selepas zaman itu, Tuhan berfirman. Aku akan meletakkan hukum-Ku di dalam fikiran mereka dan menuliskannya di hati mereka; Aku akan menjadi Allah Tuhan mereka, dan mereka akan menjadi umat-Ku.

11Tiada seorang pun daripada mereka akan mengajar jirannya atau saudaranya dengan berkata, “Kenalilah Tuhan,” kerana semuanya akan mengenal-Ku, daripada yang terkecil kepada yang terbesar antara mereka. 12Aku akan berbelas kasihan terhadap kesalahan mereka; dan dosa serta perbuatan mereka yang ingkar tidak akan Kuingati lagi.’

13Dengan menyebut ‘perjanjian baru,’ Tuhan telah menjadikan perjanjian pertama dahulu tidak terpakai lagi. Sesuatu yang kian tidak terpakai dan usang sudah sampai masanya untuk lenyap.

↑ ↑ ↑ 9

Ibadat di bumi dan di syurga

1Perjanjian pertama itu mempunyai rukun-rukun ibadat dan tempat suci di bumi. 2Suatu khemah telah disediakan: di bahagian pertama terdapat kaki pelita, meja dan persembahan roti; ini disebut Tempat Suci. 3Di balik tirai kedua ialah bahagian khemah yang disebut Tempat Paling Suci. 4Di situ terdapat perasapan emas, peti perjanjian yang bersalut emas, bokor emas yang berisi manna, tongkat Harun yang bertunas, dan loh-loh perjanjian. 5Di atasnya kerub kemuliaan yang menaungi tempat belas kasihan. Perkara ini tidak dapat diperkatakan satu persatu sekarang.

6Setelah segala ini disediakan, imam-imam sentiasa masuk ke bahagian pertama khemah itu dan menyempurnakan ibadatnya. 7Tetapi ke bahagian kedua, Imam Besar masuk seorang diri setahun sekali sahaja, tidak boleh tidak membawa darah, yang dipersembahkannya untuk dosa dirinya dan untuk dosa orang lain yang dilakukan akibat kejahilan. 8Roh Suci membayangkan bahawa jalan masuk ke Tempat Paling Suci tidak dinyatakan selagi bahagian pertama khemah masih tetap berdiri. 9Ini melambangkan zaman ini, ketika persembahan dan korban dipersembahkan tetapi tidak menjadikan orang yang menjalankan ibadat itu sempurna dari segi hati nurani. 10Semua ini hanya soal makanan dan minuman, pelbagai upacara pembasuhan iaitu peraturan-peraturan lahiriah yang dikenakan hingga sampai masa pembaharuan.

Al-Masih Pengantara manusia

11Tetapi al-Masih datang sebagai Imam Besar bagi perkara-perkara baik yang akan datang, dengan khemah yang lebih besar dan lebih sempurna, yang bukan buatan manusia, bukan sebahagian daripada kejadian alam. 12Bukan dengan darah kambing atau anak lembu, tetapi dengan darah-Nya sendiri, Dia masuk ke dalam Tempat Paling Suci, sekali untuk selama-lamanya, kerana Dia mendapatkan penebusan yang kekal. 13Jika darah lembu jantan dan kambing serta abu lembu betina muda yang direnjiskan ke atas orang bernajis dapat menyucikan badannya, 14lebih-lebih lagilah darah al-Masih, yang melalui Roh kekal mempersembahkan diri-Nya tanpa cela kepada Allah, menyucikan hati nuranimu daripada perbuatan yang mati supaya kamu dapat beribadat kepada Allah yang hidup.

15Itulah sebabnya Dia menjadi Pengantara bagi perjanjian baru, melalui kematian, untuk menebus kesalahan di bawah perjanjian pertama, supaya mereka yang dipanggil dapat menerima janji warisan yang kekal.

16Apabila ada wasiat, semestinya ada kematian pewasiat. 17Wasiat berkuatkuasa selepas kematian seseorang, kerana langsung tiada kuasanya selagi pewasiat masih hidup. 18Perjanjian pertama itupun tidaklah ditentukan tanpa darah. 19Setelah Musa menyampaikan segala ajaran kepada semua orang menurut hukum Taurat, dia mengambil darah anak lembu dan kambing, dengan air, bulu domba berwarna merah dan zufa, lalu merenjiskan ke atas kitab serta semua orang, 20sambil berkata: ‘Ini darah bagi perjanjian yang telah diperintahkan Allah kepadamu.’ 21Selepas itu dia merenjiskan juga darah ke atas khemah dan segala alat ibadat. 22Menurut hukum Taurat hampir segala-galanya disucikan dengan darah, dan tanpa darah tidak ada pengampunan.

23Salinan segala yang terdapat di syurga perlu disucikan dengan ini, tetapi segala yang di syurga itu sendiri memerlukan korban yang lebih mulia. 24Al-Masih tidaklah masuk ke tempat suci yang dibuat dengan tangan manusia, iaitu salinan tempat suci sejati. Dia telah masuk ke syurga itu sendiri, ke hadirat Allah untuk kita. 25Dia tidak perlu mempersembahkan diri-Nya berkali-kali, sebagaimana Imam Besar masuk ke Tempat Paling Suci setiap tahun dengan membawa darah makhluk lain.

26Andainya demikian, terpaksalah Dia menderita berkali-kali sejak permulaan dunia. Dia tampil sekali sahaja, sewaktu akhir zaman ini, untuk menghapuskan dosa dengan mengorbankan diri-Nya.

27Sebagaimana manusia ditentukan mati sekali, dan selepas itu dihakimkan, 28begitulah al-Masih telah dikorbankan sekali untuk dosa semua manusia. Kepada mereka yang menunggu-Nya dengan penuh pengharapan, Dia akan datang bagi kali kedua, bukan untuk menanggung dosa tetapi untuk menyelamatkan mereka.

↑ ↑ ↑ 10

Korban al-Masih yang sempurna

1Hukum hanya bayang-bayang perkara baik yang akan datang, bukan hakikat perkara itu sendiri. Dengan demikian hukum itu sekali-kali tidak akan dapat menyempurnakan orang yang mempersembahkan korban-korban yang demikian itu tahun demi tahun. 2Andainya dapat, tidakkah persembahan itu dihentikan? Sekiranya orang yang beribadat itu telah disucikan, mereka tidaklah merasa diri mereka berdosa lagi. 3Tetapi segala korban itu mengingatkan tentang adanya dosa setiap tahun. 4Tidaklah mungkin darah lembu jantan dan kambing dapat menghapuskan dosa.

5Oleh itu, apabila al-Masih datang ke dunia, Dia berkata: ‘Korban dan persembahan tidak Kauingini, tetapi Engkau telah menyediakan tubuh bagi-Ku.

6Persembahan dan korban bakaran penghapus dosa tidak Kauredai.

7Kemudian Aku berkata, “Lihatlah, Aku telah datang – dalam naskhah kitab tersurat tentang-Ku – untuk melakukan kehendak-Mu, Ya Allah.” ’

8Mula-mula Dia berkata, ‘Korban dan persembahan bakaran, dan persembahan untuk menebus dosa, tidak Kauingini dan tidak Kauredai,’ (iaitu yang dipersembahkan menurut Hukum). 9Kemudian Dia berkata, ‘Lihatlah, Aku telah datang untuk melakukan kehendak-Mu, Ya Allah.’ Dia menyingkirkan yang pertama untuk mengasaskan yang kedua. 10Dengan kehendak Allah itu kita telah disucikan melalui persembahan tubuh Isa al-Masih, sekali untuk selama-lamanya. 11Setiap imam berdiri dan beribadat setiap hari serta mempersembahkan berkali-kali korban yang serupa, yang sampai bilabila pun tidak akan dapat menghapuskan dosa. 12Tetapi Imam ini, setelah Dia mempersembahkan satu korban untuk menebus dosa selama-lamanya, duduk di sebelah kanan Allah. 13Dari saat itu Dia menanti hingga musuh-musuh-Nya dijadikan alas kaki-Nya. 14Dengan satu persembahan Dia telah menyempurnakan untuk selama-lamanya semua orang yang disucikan.

15Roh Suci juga memberi kesaksian kepada kita; kerana setelah Dia berfirman,

16‘Inilah perjanjian yang akan Kubuat dengan mereka selepas zaman itu, Tuhan berfirman: Aku akan meletakkan hukum-Ku di hati mereka dan menuliskannya di dalam fikiran mereka.’

17Dia menambah, ‘Dosa dan perbuatan mereka yang ingkar tidak akan Kuingati lagi.’

18Setelah ada pengampunan, tidaklah ada lagi persembahan untuk menebus dosa.

Bertekun selalu

19Oleh itu, saudara-saudara, kita telah mempunyai keberanian untuk masuk ke Tempat Paling Suci melalui darah Isa, 20melalui jalan yang baru dan hidup, yang dibukakan-Nya untuk kita, menerusi tirai, iaitu tubuh-Nya. 21Kita mempunyai Imam Besar di atas isi rumah Allah. 22Maka marilah kita hampir dengan hati yang tulus dan iman yang teguh sepenuhnya. Hati kita telah direnjis sehingga suci daripada kejahatan dan tubuh kita telah dibasuh dengan air yang bersih. 23Marilah kita berpegang teguh kepada pengakuan harapan kita tanpa berganjak, kerana Dia yang berjanji sentiasa setia. 24Marilah kita saling perhatikan satu sama lain untuk menimbulkan kasih dan perbuatan yang baik. 25Jangan berhenti daripada berhimpun, seperti yang dilakukan oleh setengah-setengah orang. Nasihatilah sesama sendiri, terutamanya setelah kamu sedar Hari Tuhan itu kian hampir.

26Jika kita sengaja melakukan dosa setelah kita mengenal kebenaran, tiada lagi korban untuk menebus dosa. 27Yang ada hanyalah ketakutan menanti hukuman, dan api kemurkaan yang akan memusnahkan semua yang ingkar. 28Sesiapa yang menolak hukum Musa mati tanpa belas kasihan atas kesaksian dua atau tiga orang saksi. 29Pada hematmu, betapakah lebih dahsyatnya hukuman yang dianggap setimpal bagi orang yang telah melanyak Putera Allah di bawah kakinya, memandang ringan kepada darah perjanjian yang telah menyucikannya, dan menghina Roh kasih kurnia? 30Kita mengenal Dia yang berfirman, ‘Pembalasan adalah hak-Ku, Aku akan membalas, demikian firman Tuhan.’ Dan juga, ‘Tuhan akan menghakimi umat-Nya.’ 31Sungguh dahsyatnya jatuh ke tangan Allah yang hidup.

32Tetapi ingatlah masa silam, ketika kamu diberi cahaya kebenaran, kemudian kamu dengan ketetapan yang gigih menanggung penderitaan yang hebat; 33sebahagiannya apabila kamu sendiri diaibkan di khalayak ramai dengan celaan serta seksaan, dan sebahagiannya apabila kamu menjadi teman mereka yang diperlakukan demikian. 34Kamu telah merasakan belas kasih terhadap mereka yang terpenjara. Kamu telah menerima dengan sukacita apabila hartamu dirampas, kerana kamu tahu bahawa kamu mempunyai milik yang lebih baik dan kekal di syurga.

35Oleh itu janganlah buangkan keyakinanmu, yang akan diberi ganjaran besar. 36Kamu perlu tabah menderita. Dengan demikian, setelah kamu melakukan kehendak Allah, kamu dapat menerima janji itu: 37‘Seketika sahaja lagi, Dia yang akan datang itu akan sampai tanpa berlengah-lengah.

38Sekarang orang yang benar akan hidup dengan iman; Tetapi jika sesiapa undur, jiwa-Ku tidak meredainya.’

39Tetapi kita bukanlah antara mereka yang undur ke arah kebinasaan, tetapi antara mereka yang beriman dan diselamatkan.

↑ ↑ ↑ 11

Berasaskan iman

1Iman adalah kepastian akan perkara-perkara yang diharapkan, keyakinan akan perkara-perkara yang tidak dilihat. 2Melaluinya nenek moyang kita telah dipuji.

3Melalui iman kita mengerti bahawa seluruh alam dibentuk dengan firman Allah. Nyatalah bahawa segala yang dilihat sekarang tidak dicipta daripada benda yang dapat dilihat.

4Melalui iman Habil telah mempersembahkan kepada Allah korban yang lebih baik daripada yang dipersembahkan oleh Kabil. Dengan demikian dia mendapat kesaksian bahawa dia seorang yang warak; Allah memberikan kesaksian tentang persembahannya. Oleh itu setelah Habil mati pun, dia masih berkata-kata. 5Melalui iman Henokh (juga disebut Idris) dipindahkan supaya dia tidak mengalami kematian, ‘dan tidak dapat dijumpai kerana Allah telah memindahkannya’; kerana sebelum dia dipindahkan, dia telah menerima kesaksian, bahawa dia mendapat keredaan Allah. 6Tetapi tanpa iman, mustahil didapati keredaan-Nya. Sesiapa yang datang kepada Allah mestilah beriman bahawa Allah wujud dan Dia memberikan ganjaran kepada mereka yang berusaha untuk mencari-Nya.

7Melalui iman, Nuh yang diberi amaran tentang perkara-perkara yang belum dilihat telah bertindak dengan rasa takut akan Allah. Nuh telah menyediakan bahtera untuk menyelamatkan seisi rumahnya. Dengan demikian dia telah mempersalahkan dunia dan mewarisi kebenaran menurut iman. 8Melalui iman Ibrahim taat apabila disuruh pergi ke tempat yang kemudian diterimanya sebagai warisannya. Dia pergi tanpa mengetahui ke mana dia pergi. 9Melalui iman dia tinggal di tanah yang dijanjikan itu seperti di negara asing. Dia tinggal di khemah-khemah dengan Ishak dan Yakub, yang bersamanya menjadi waris janji itu; 10kerana dia menanti kota yang berasas, yang dibina dan dicipta oleh Allah. 11Melalui iman Sarah juga mendapat kekuatan untuk mengandungkan benih lalu melahirkan anak padahal usianya sudah lanjut; kerana dia yakin bahawa Dia yang berjanji itu setia. 12Oleh itu daripada seorang lelaki yang dianggap hampir dengan maut, telah lahir keturunan sebanyak bintang-bintang di langit, tidak terkira bilangannya seperti butir-butir pasir di pantai.

13Semua mereka ini telah mati dalam iman. Mereka belum menerima janji itu. Akan tetapi setelah melihatnya pada masa yang akan datang mereka yakin terhadapnya, dan mengakui mereka orang asing dan musafir di muka bumi ini. 14Mereka yang berkata demikian menyatakan terang-terang bahawa mereka sedang mencari tempat untuk dijadikan tanah air mereka. 15Sesungguhnya, kalaulah mereka teringat akan negara yang telah mereka tinggalkan dahulu, mereka akan mendapat peluang untuk kembali. 16Tetapi kini mereka inginkan tempat yang lebih baik, iaitu di syurga. Oleh itu Allah tidak malu disebut sebagai Allah Tuhan mereka; Dia telah menyediakan sebuah kota untuk mereka.

17Melalui iman Ibrahim, apabila diuji, menyerahkan Ishak sebagai korban; dia yang menerima janji-janji itu mempersembahkan anak lelakinya yang tunggal. 18Tentang anak itu telah disebutkan, ‘Dalam Ishak, benih keturunanmu akan dipanggil.’ 19Allah berkuasa membangkitkannya daripada kematian; dan secara perlambangan dia telah menerimanya semula daripada kematian.

20Melalui iman, Ishak telah memberkati Yakub dan Esau berkenaan perkara-perkara yang akan datang.

21Melalui iman, Yakub ketika akan mati telah memberkati setiap orang anak lelaki Yusuf lalu menyembah sambil bersandar kepada kepala tongkatnya.

22Melalui iman Yusuf, apabila hampir sampai ajalnya, telah menyebut pemergian kaum Israel dan berpesan tentang tulang-tulangnya.

23Melalui iman Musa telah disembunyikan oleh ibu bapanya selama tiga bulan sejak lahirnya, kerana mereka melihat bahawa dia seorang bayi yang berparas istimewa dan mereka tidak takut akan perintah raja.

24Melalui iman Musa, setelah besar, tidak mahu disebut anak kepada puteri Firaun. 25Dia memilih untuk menanggung kesusahan bersama umat Allah daripada menikmati nikmat sementara melakukan dosa. 26Baginya celaan yang ditanggung al-Masih lebih berharga daripada seluruh kekayaan Mesir; kerana dia berharap mendapat ganjaran. 27Melalui iman dia meninggalkan Mesir, tanpa takut akan kemurkaan raja; kerana hatinya teguh seolah-olah dia melihat Allah yang tidak mungkin dilihat. 28Melalui iman dia mengadakan perayaan Paska dan perenjisan darah, supaya pembunuh anak-anak sulung tidak menyentuh anak-anak sulung Israel.

29Melalui iman mereka menyeberangi Laut Merah seolah-olah berjalan di darat, sedangkan orang Mesir yang cuba berbuat demikian mati lemas.

30Melalui iman tembok Yerikho telah roboh setelah dikepung tujuh hari.

31Melalui iman wanita pelacur yang bernama Rahab tidak musnah bersama orang yang tidak beriman, setelah dia menyambut para perisik dalam sejahtera.

32Apa lagi yang harus kukatakan? Aku kesuntukan waktu untuk bercerita tentang Gideon, Barak, Simson, Yefta, Daud, Samuel dan nabi-nabi, 33yang melalui iman telah menaklukkan kerajaan, menegakkan keadilan, mendapatkan janji, menutup mulut singa, 34memadamkan api yang ganas, terselamat daripada mata pedang, menjadi berani dalam peperangan, mengusir tentera-tentera asing. 35Ada wanita yang mendapat kembali ahli keluarganya yang telah mati dan dihidupkan semula. Ada orang yang diseksa tetapi tidak mahu diselamatkan kerana mereka ingin mendapat kebangkitan yang lebih baik. 36Setengah-setengahnya pula menghadapi dugaan dengan diejek, dipukul, dirantai dan dipenjarakan. 37Mereka direjam dengan batu, digergaji putus dua; mereka digoda, dan dibunuh dengan pedang. Mereka merayau-rayau berpakaian kulit kambing dalam keadaan papa, menderita, terseksa – 38dunia tidak layak menampung mereka. Mereka merayaurayau di gurun dan gunung-ganang, di gua-gua serta lubang-lubang di tanah.

39Semua mereka ini, sungguhpun mendapat kesaksian yang baik melalui iman, tidak menerima janji itu. 40Allah telah menyediakan sesuatu yang lebih baik untuk kita, supaya mereka tidak disempurnakan tanpa kita.

↑ ↑ ↑ 12

Teguh dalam iman

1Oleh itu kita juga, yang dikelilingi dengan sebegitu ramainya saksi, hendaklah menjauhi beban dan dosa yang amat mudah menjerat kita, dan berlari dengan gigih dalam perlumbaan yang ditentukan bagi kita. 2Kita harus meneladani Isa, yang mewujudkan dan menyempurnakan iman kita. Untuk kebahagiaan yang ditentukan bagi-Nya, Dia telah menanggung seksa salib, tanpa menghiraukan pengaiban itu, dan sekarang Dia duduk di sebelah kanan takhta Allah. 3Fikirkanlah Dia yang tabah menderita apabila orang berdosa memusuhi-Nya, supaya kamu tidak berasa bosan dan tawar hati.

4Dalam perjuangan melawan dosa, kamu belum lagi bertahan sehingga tumpah darahmu. 5Kamu telah melupakan nasihat yang disampaikan kepadamu seperti kepada anak-anak sendiri: ‘Anakku, jangan pandang ringan pengajaran Tuhan, dan jangan tawar hati apabila Dia menegurmu,

6Kerana Tuhan mengajari orang yang dikasihi-Nya, Dan menghukum sesiapa yang diterima-Nya sebagai anak.’

7Jika kamu tahan diajari, Allah memperlakukan kamu sebagai anak; kerana anak manakah yang tidak diajari oleh bapanya? 8Tetapi jika kamu tidak diajari, sedangkan orang lain menerima pengajaran, maka kamu adalah anak haram dan bukanlah anak yang sah. 9Tambahan pula, kita mempunyai bapa di dunia yang mengajari kita dan kita menghormati mereka. Tidakkah sepatutnya kita lebih rela lagi tunduk kepada Bapa segala roh untuk hidup? 10Bapa kita di dunia mengajari kita beberapa waktu menurut apa yang terasa baik bagi mereka. Tetapi Tuhan mengajari kita untuk menguntungkan kita, supaya kita mendapat sebahagian kesucian-Nya. 11Tiada pengajaran yang menggembirakan ketika dilaksanakan; semuanya terasa teruk. Tetapi kemudiannya pengajaran itu menghasilkan kebenaran yang mendatangkan rasa aman kepada mereka yang telah dididik dengannya.

12Oleh itu, kuatkanlah tangan yang lesu dan lutut yang lemah, 13serta buatkan lorong yang lurus bagi kakimu, supaya yang tempang tidak terpelecok tetapi sembuh.

Amaran terhadap mereka yang menolak Tuhan

14Berusahalah mendapatkan perdamaian dengan semua orang, serta kesucian; tanpanya tiada sesiapapun dapat melihat Tuhan. 15Awaslah, jangan sampai ada sesiapapun yang tidak mendapat kasih kurnia Allah. Jangan biarkan kepahitan menimbulkan kekacauan, sehingga ramai yang tercemar. 16Janganlah ada di antaramu penzina atau pencinta dunia seperti Esau, yang menjualkan hak warisannya untuk sesuap makanan. 17Kamu ketahui bahawa kemudiannya, apabila dia hendak mewarisi berkat itu, dia ditolak, kerana dia tidak mendapat ruang untuk bertaubat, walaupun dia memohon berkat itu dengan air mata.

18Kamu tidak pernah datang ke gunung yang dapat disentuh dan menyala dengan api, ke dalam gelap-gelita serta ribut taufan, 19dan bunyi sangkakala bersama suara yang menuturkan kata-kata, sehingga sekalian yang mendengarnya merayu supaya kata-kata itu tidak dilafazkan lagi kepada mereka. 20Mereka tidak tahan mendengar apa yang diperintahkan: ‘Jika seekor binatang pun menyentuh gunung ini, ia mesti direjam dengan batu atau ditembusi dengan anak panah.’ 21Penglihatan itu begitu menggerunkan sehingga Musa berkata, ‘Aku amat ketakutan dan menggeletar.’

22Tetapi kamu telah datang ke Gunung Sion dan ke kota Allah yang hidup, Baitulmaqdis yang di syurga, kepada para malaikat yang tidak terkira banyaknya, 23ke perhimpunan besar dan ke jemaah anak sulung yang didaftarkan di syurga, kepada Allah Hakim ke atas sekaliannya, kepada roh-roh orang benar yang telah disempurnakan, 24kepada Isa, Pengantara perjanjian baru, dan kepada darah renjisan yang menuturkan perkara-perkara yang lebih baik daripada darah Habil.

Kerajaan yang tidak dapat diruntuhkan

25Jangan sekali-kali kamu ingkar kepada Dia yang bersuara. Mereka yang ingkar kepada Dia yang bersuara di bumi tidak dapat lari daripada kebinasaan. Lebih-lebih lagi dengan kita, jika kita berpaling daripada Dia yang bersuara dari syurga. 26Dulu suara-Nya menggoncang bumi. Tetapi sekarang Dia telah berjanji: ‘Sekali lagi Aku menggoncang bukan sahaja bumi tetapi juga syurga.’ 27‘Sekali lagi’ ini bermaksud bahawa segala yang digoncang, iaitu semua benda buatan akan dihapuskan manakala segala yang tidak dapat digoncang akan tetap wujud.

28Oleh sebab kita menerima sebuah kerajaan yang tidak dapat digoncang, biarlah kita mendapat kasih kurnia, kerana dengannya kita dapat menjalankan kehendak Allah secara yang diredai-Nya, dengan penuh hormat dan takut akan Dia. 29Allah Tuhan kita adalah api yang menghanguskan.

↑ ↑ ↑ 13

Nasihat akhir

1Pastikan kasih persaudaraan berpanjangan. 2Jangan lupa meraikan orang asing, kerana dengan berbuat demikian ada orang yang telah meraikan para malaikat tanpa mengetahuinya. 3Ingatlah kepada orang yang terpenjara seolah-olah kamu terantai bersama mereka; kenanglah orang yang dianiaya seolah-olah kamu juga dianiaya, kerana kamu dan mereka adalah satu.

4Hendaklah perkahwinan dianggap mulia oleh semua, dan tempat tidur dijaga supaya tidak tercemar kerana Allah akan menghukum penzina baik yang bujang mahupun yang sudah berkahwin dan mengkhianati pasangannya. 5Jaga kelakuanmu supaya jangan mengejar kebendaan; kamu harus merasa cukup dengan apa yang ada padamu. Dia Sendiri telah berjanji: ‘Aku tidak sekali-kali akan meninggalkanmu Aku tidak sekali-kali akan membiarkanmu.’

6Oleh itu kita boleh berkata dengan bersemangat: ‘Tuhan Penolongku; Aku tidak akan takut. Apa yang dapat dilakukan manusia kepadaku?’

7Ingatlah mereka yang menjadi ketuamu yang telah menyampaikan firman Allah kepadamu. Teladani iman mereka, perhatikan hasil jalan hidup mereka. 8Isa al-Masih tetap sama kelmarin, hari ini dan selama-lamanya.

9Jangan terikut-ikut pelbagai ajaran yang berlainan daripada ajaran yang benar. Tetapkan hati dengan kasih kurnia Allah, bukan dengan makanan yang tidak menguntungkan mereka yang asyik dengannya. 10Kita mempunyai tempat persembahan di mana orang yang menjalankan ibadat khemah tidak berhak makan sesuatu daripadanya.

11Bangkai semua binatang, yang darahnya dibawa masuk ke tempat suci oleh Imam Besar untuk menebus dosa, dibakar di luar perkhemahan. 12Oleh itu Isa juga, untuk menyucikan umat manusia dengan darah-Nya sendiri, menderita di luar pintu gerbang. 13Dengan demikian marilah kita pergi mendapatkan-Nya, di luar perkhemahan, dan menanggung celaan yang dideritai-Nya. 14Di sini kita tidak ada kota kekal, tetapi kita berusaha mendapatkan kota yang akan datang.

Korban yang diredai Allah

15Oleh itu melalui-Nya marilah kita terus-menerus mempersembahkan korban iaitu pujian kepada Allah, sebagai buah-buahan hasil bibir kita, sambil bersyukur kepada nama-Nya. 16Tetapi jangan lupa berbuat baik dan berkongsi, kerana korban demikianlah yang diredai Allah.

17Taati ketua-ketuamu, dan hendaklah kamu bersikap patuh, kerana mereka mengawasi keselamatan rohanimu, sebagai orang yang dipertanggungjawabkan kelak atas perlakuanmu. Pastikanlah bahawa mereka melakukannya dengan sukacita, bukan dengan dukacita kerana itu tidak akan membawa keuntungan kepadamu.

18Doakanlah kami; kerana kami yakin hati nurani kami bersih, ingin hidup bermaruah dalam segala hal. 19Tetapi aku terutamanya mendesakmu berbuat demikian, supaya aku dikembalikan ke kalanganmu lebih awal.

Doa berkat

20Semoga Allah Tuhan kesejahteraan yang telah membangkitkan Junjungan kita Isa daripada kematian, Gembala yang mulia itu, melalui darah perjanjian kekal, 21melengkapkan kamu dalam setiap kerja kebajikan untuk melakukan kehendak-Nya, mengusahakan dalam dirimu apa yang diredai-Nya, melalui Isa al-Masih, bagi-Nya kemuliaan selama-lamanya. Amin.

22Aku merayu kepadamu, saudara-saudara, dengarlah nasihatku ini dengan sabar, kerana aku menulis ringkas sahaja kepadamu.

23Ketahuilah bahawa saudara kita Timotius telah dibebaskan. Aku akan menemui kamu bersamanya jika dia datang segera.

24Sampaikan salamku kepada semua ketuamu dan saudara seiman kita. Saudara-saudara dari Itali berkirim salam kepadamu.

25Semoga kasih kurnia Allah menyertai kamu sekalian. Amin.

↑ ↑ ↑