Kitab Suci Zabur dan Injil/Filipi

Dari Wikisumber bahasa Indonesia, perpustakaan bebas

diterjemahkan oleh tim Pengamat Kitab Mulia (2013); CC-BY-ND 4.0

Pasal 1 2 3 4


1

1Daripada Paulus dan Timotius, hamba-hamba Isa al-Masih, Kepada semua orang salih dalam Isa al-Masih di Filipi, serta para pengurus dan penolong jemaah:

2Kasih kurnia dan sejahtera kepadamu daripada Bapa kita Allah dan daripada Junjungan Isa al-Masih.

Ucapan syukur dan doa

3Aku bersyukur kepada Tuhan setiap kali aku teringat akan kamu 4dan aku sentiasa mendoakanmu dengan sukacita dalam setiap permohonanku, 5kerana persahabatanmu dalam Injil dari mulanya hingga sekarang. 6Aku yakin bahawa Allah yang telah memulakan suatu pekerjaan yang baik dalam dirimu akan menyudahkannya hingga hari Isa al-Masih.

7Wajarlah aku memikirkan demikian tentang kamu semua kerana kamu sentiasa dalam hatiku. Kamu telah mendapat kasih kurnia Allah bersamaku, baik dalam hal aku dipenjarakan ini mahupun dalam mempertahankan dan meneguhkan Injil. 8Allah menjadi saksiku bahawa aku amat merindui kamu dengan kasih Isa al-Masih.

9Inilah doaku: Semoga kasihmu bertambah-tambah dengan pengetahuan dan pengertian,

10supaya kamu dapat mengetahui perkara-perkara yang baik, sentiasa tulus ikhlas dan tidak bersalah hingga hari al-Masih, 11serta dipenuhi dengan segala yang dibuahi oleh kebenaran yang datang melalui Isa al-Masih, untuk memuji dan memuliakan Allah.

Kesaksian Paulus dalam penjara

12Aku ingin memberitahumu, saudara-saudaraku, bahawa segala yang telah berlaku kepadaku sebenarnya semakin memajukan penyebaran Injil. 13Dengan demikian, nyatalah di kalangan seluruh pengawal istana dan orang ramai bahawa aku dipenjarakan kerana al-Masih. 14Juga, kebanyakan saudara kita dalam Tuhan menjadi yakin kerana aku dipenjarakan, mereka semakin berani menyebarkan firman Allah tanpa ketakutan.

15Ada orang yang mengajarkan firman Allah kerana hasad dengki dan persaingan, manakala ada juga dengan niat baik. 16Mereka ini melakukannya dengan kasih, kerana tahu bahawa aku telah ditugaskan untuk mempertahankan Injil. 17Sebaliknya, golongan yang pertama itu mengajar tentang al-Masih untuk kepentingan diri sendiri, bukan dengan ikhlas, kerana mereka menyangka dengan berbuat demikian mereka dapat menyusahkan lagi aku yang terpenjara. 18Oleh itu, bagaimana pula? Hal itu, bagiku tidak penting. Walau dengan apa cara sekalipun, baik berpurapura mahupun ikhlas, al-Masih sedang diberitakan. Dan kerana ini aku bersukacita dan akan terus bersukacita. 19Kerana aku tahu bahawa ini akan membawa kepada penyelamatanku melalui doamu dan pertolongan Roh Isa al-Masih. 20Adalah jangkaan dan harapanku yang bersungguh-sungguh bahawa dalam apa hal pun aku tidak dipermalukan, melainkan dengan segala keberanianku seperti biasa, maka sekarang juga al-Masih akan ditinggikan dalam diriku, baik melalui hidup mahupun mati.

21Kerana bagiku, hidup adalah al-Masih, dan mati adalah keuntungan. 22Tetapi jika aku terus hidup dari segi jasmani, ini akan bermakna usahaku membuahkan hasil. Namun yang mana akan kupilih? Aku tidak tahu! 23Aku sukar memilih antara dua: Aku ingin pergi dan bersama dengan al-Masih, itu jauh lebih baik, 24tetapi kerana kamu, aku merasa perlu terus hidup dari segi jasmani.

25Dengan keyakinan ini, aku tahu bahawa aku akan terus bersama kamu semua untuk kemajuan dan kebahagiaanmu dalam iman, 26supaya rasa sukacitamu dalam Isa al-Masih akan melimpah-limpah kerana aku, apabila aku menemuimu sekali lagi.

27Cuma pastikanlah kelakuanmu selaras dengan Injil al-Masih. Dengan demikian, sama ada aku datang menemuimu ataupun tidak, aku akan dapat mendengar tentangmu, bahawa kamu berdiri teguh dalam satu roh, berjuang bersama dengan satu hati untuk iman berdasarkan Injil, 28dan sama sekali tidak takut akan musuh-musuhmu. Bagi mereka, ini adalah tanda kebinasaan tetapi bagimu adalah tanda penyelamatan daripada Allah. 29Kerana kepadamu telah dikurniakan bagi pihak al-Masih, bukan sahaja untuk beriman kepada-Nya tetapi juga untuk menderita kerana-Nya.

30Dan kerana kamu juga menghadapi pertarungan yang kualami dahulu, perjuangan yang masih ada padaku.

↑ ↑ ↑ 2

Mencontohi kerendahan hati al-Masih

1Oleh itu, jika ada galakan kerana bersatu dengan al-Masih, jika ada penghiburan hati kerana kasih-Nya, jika ada keakraban dalam Roh, jika ada lemah lembut dan belas kasih, 2sempurnakanlah kebahagiaanku dengan berkeadaan sejiwa, mempunyai kasih yang sama, sepakat dan bersatu hati.

3Janganlah lakukan apapun kerana kepentingan diri sendiri atau keangkuhan. Dalam kerendahan hati biarlah setiap orang menganggap yang lain lebih tinggi daripada dirinya. 4Tiap seorang daripada kamu janganlah menjaga kepentingan diri sahaja, jagalah juga kepentingan orang lain.

5Hendaklah ada dalam dirimu pemikiran yang ada dalam diri Isa al-Masih:

6Dia yang sekalipun dalam bentuk Allah, tidak menganggap kesetaraan dengan Allah sesuatu yang harus dipertahankan,

7tetapi Dia telah mengetepikan martabat diri-Nya, mengambil bentuk seorang hamba, dan datang dengan rupa manusia.

8Dalam keadaan sebagai manusia, Dia telah merendahkan diri-Nya dan taat hingga kepada kematian – bahkan kematian di salib! 9Itulah sebabnya Allah sangat meninggikan-Nya dan menganugerahkan kepada-Nya nama yang di atas segala nama,

10supaya kepada nama Isa segala-galanya bertelut, segala isi langit, bumi dan yang di bawah bumi, 11dan semua lidah mengaku bahawa Isa al-Masih adalah Junjungan Yang Esa, untuk mendatangkan kemuliaan kepada Allah Bapa.

Menyerlah seperti bintang

12Oleh itu, saudara-saudara yang dikasihi, sebagaimana kamu sentiasa taat, hendaklah kamu mengerjakan penyelamatanmu sendiri dengan takut dan gementar, bukan sahaja ketika aku ada bersamamu malah lebih-lebih lagi sekarang sewaktu aku jauh daripadamu. 13Kerana Allah yang bekerja dalam dirimu, menyebabkan kamu berkehendak dan menjalankan kerja untuk keredaan-Nya.

14Dalam segala perbuatanmu janganlah bersungut-sungut dan berbantah-bantah, 15supaya dirimu suci dan tidak bersalah, dan kamu menjadi anak-anak Allah yang tidak bercela antara manusia. Dalam zaman yang penuh tipu daya dan perbuatan songsang, maka terserlahlah kamu seperti bintang dalam dunia, 16berpegang teguh kepada firman yang memberikan kehidupan. Dengan demikian aku dapat bersukacita pada hari al-Masih kerana hidup dan usahaku tidak sia-sia.

17Walaupun sekiranya aku dicurahkan seperti minuman yang dipersembahkan sebagai korban dan khidmat imanmu, aku berbahagia dan bersukacita bersama kamu semua. 18Demikian jugalah kamu harus bahagia dan bersukacita bersamaku.

Timotius dan Epafroditus

19Dalam Junjungan Isa aku berharap akan dapat mengutus Timotius kepadamu dengan segera, supaya hatiku dihiburkan apabila mengetahui segala hal ehwalmu. 20Kerana tiada seorang bersamaku yang sama sepertinya dan bersungguh-sungguh mengambil berat tentang hal ehwalmu.

21Ini kerana semua orang mementingkan hal sendiri, tetapi bukan mereka yang kepunyaan al-Masih.

22Tetapi kamu mengetahui kelakuannya yang sudah teruji, seperti anak dengan bapa dia berkhidmat bersamaku dalam penyebaran Injil. 23Oleh itu aku berharap akan mengutusnya dengan segera, sebaik-baik aku mengetahui bagaimana keadaanku. 24Tetapi aku yakin dalam Tuhan bahawa aku pun akan datang tidak lama lagi.

25Namun, aku merasakan perlu menghantar kepadamu Epafroditus, saudaraku, rakan sekerja dan seperjuanganku, pesuruhmu yang telah melayaniku dalam keadaanku yang serba kekurangan. 26Ini kerana dia merindui kamu semua, dan berasa susah hati disebabkan kamu telah mendengar bahawa dia sakit. 27Memang benar dia sakit, hampir mati, tetapi Allah berbelas kasihan kepadanya, bukan hanya dia tetapi aku juga, supaya kesedihanku tidak bertimpa-timpa. 28Oleh itu aku menghantarnya dengan rela dan segera, supaya kamu bersukacita dapat bertemu lagi dengannya, dan supaya aku juga kurang khuatir. 29Sambutlah dia dalam Tuhan dengan sepenuh sukacita, dan hormatilah orang yang sedemikian. 30Kerana untuk pekerjaan al-Masih dia hampir mati, mempertaruhkan nyawanya untuk menyempurnakan apa-apa yang kurang dalam layananmu kepadaku.

↑ ↑ ↑ 3

Segalanya untuk al-Masih

1Akhir kata, saudara-saudaraku, bersukacitalah dalam Tuhan! Bagiku menuliskan perkara yang sama kepadamu tidaklah menjemukan, dan ini memastikan keselamatanmu.

2Awas orang yang bersikap seperti anjing, awas orang yang berbuat jahat, awas tukang sunat yang palsu. 3Kerana kita ini orang bersunat, yang menyembah Allah dalam Roh, bermegah dalam Isa al-Masih, dan tidak mengharapkan hal lahiriah – 4walaupun aku sendiri ada alasan untuk mengharapkan hal lahiriah. Jika sesiapa menyangka dia ada alasan untuk mengharapkan hal lahiriah, aku lebih lagi. 5Aku disunatkan ketika berumur lapan hari, berbangsa Israel, daripada suku Benyamin, seorang Ibrani keturunan orang Ibrani; dalam hal Taurat aku orang Farisi; 6dari segi kesungguhan, aku telah menganiaya jemaah; tentang kebenaran dalam mentaati Taurat, aku tiada cacat cela.

7Tetapi segala yang dahulu merupakan untung bagiku, sekarang kukira rugi kerana al-Masih.

8Bahkan segala perkara kukira rugi berbanding keagungan mengenal Isa al-Masih, Junjungan kita Yang Esa. Oleh sebab Dialah aku telah kerugian segalanya, yang kukira sampah sarap belaka, supaya aku mendapat untung iaitu al-Masih, 9dan didapati di dalam-Nya, bukan dengan kebenaran sendiri yang datang dari Taurat, melainkan yang datang melalui iman kepada al-Masih, kebenaran daripada Allah melalui iman. 10Aku hendak mengenal-Nya dan kuasa kebangkitan-Nya, dan turut merasai penderitaan-Nya, serta menjadi seperti Dia dalam kematian-Nya, 11supaya pada akhirnya aku dapat mencapai kebangkitan daripada kematian.

Terus berusaha ke arah matlamat

12Bukanlah aku telah mencapainya, atau telah disempurnakan, tetapi aku terus berusaha, semoga aku dapat mengambil sesuatu yang kerananya aku telah diambil oleh Isa al-Masih. 13Saudarasaudara, aku tidak menganggap diriku telah dapat mengambilnya, tetapi satu perkara kulakukan: Melupakan segala yang di belakang dan cuba mendapatkan segala yang di hadapan, 14aku terus berusaha ke arah matlamat mendapatkan ganjaran, iaitu panggilan Allah ke syurga dalam Isa al-Masih.

15Oleh itu semua yang matang antara kita hendaklah berfikiran sedemikian, dan jika berbeza fikiranmu dalam apapun, Allah akan menyatakan hal itu juga kepadamu. 16Tetapi setakat yang telah kita capai, marilah kita menempuhnya demikian juga.

17Saudara-saudara, bersatulah menurut teladanku, dan perhatikan mereka yang hidup selaras dengan teladan yang kami berikan. 18Kerana, seperti yang sudah sering kukatakan kepadamu, dan sekarang kukatakan lagi dengan tangisku, ramai orang hidup sebagai seteru kepada salib al-Masih.

19Kesudahan mereka adalah kebinasaan, tuhan mereka adalah perut mereka, kemuliaan mereka adalah dalam keaiban mereka. Mereka menumpukan perhatian kepada perkara dunia. 20Tetapi kewargaan kita adalah di syurga, dari situ kita menanti-nantikan Penyelamat, Junjungan Isa al-Masih.

21Dia akan mengubah tubuh kita yang hina ini supaya serupa dengan tubuh-Nya yang mulia, melalui kuasa-Nya yang dapat menaklukkan segalanya kepada diri-Nya.

↑ ↑ ↑ 4

1Oleh itu, saudara-saudaraku yang dikasihi dan dirindui, yang menjadi kebahagiaanku dan mahkotaku, berdirilah dengan teguh dalam Tuhan, wahai sekalian yang kusayangi!

Nasihat-nasihat terakhir

2Aku merayu kepada Euodia dan Sintikhe supaya bersatu hati dalam Tuhan. 3Dan aku meminta kepadamu juga, teman sejati, bantulah perempuan-perempuan ini yang telah berusaha bersamaku untuk Injil, juga dengan Klemen serta teman sekerjaku yang lain, yang nama-nama mereka ada dalam Kitab Hidup.

4Bersukacitalah dalam Tuhan sentiasa. Kukatakan lagi: Bersukacitalah! 5Biar sikapmu yang lemah lembut diketahui oleh semua orang. Tuhan ada berhampiran. 6Jangan bimbangkan apapun. Dalam segala hal, dengan berdoa dan memohon, dengan mengucapkan kesyukuran, beritahulah hasratmu kepada Allah. 7Dan sejahtera Allah yang melebihi pengertian manusia akan memelihara hati dan fikiranmu dalam Isa al-Masih. 8Akhir sekali, saudara-saudaraku, apa sahaja yang benar, apa sahaja yang mulia, apa sahaja yang adil, apa sahaja yang suci, apa sahaja yang indah, apa sahaja yang dipandang tinggi – jika ada sesuatu yang baik dan jika ada sesuatu yang terpuji – tumpukan fikiran kepadanya. 9Segala yang kamu pelajari, terima, dengar dan lihat dalam diriku – lakukanlah. Maka Allah yang memberikan segala sejahtera akan bersertamu.

Bersyukur kerana pemberian jemaah

10Tetapi aku amat bersukacita dalam Tuhan kerana akhirnya sekarang prihatinmu terhadapku telah semarak semula. Sebenarnya dahulu pun kamu sudah mengambil berat terhadapku, tetapi tidak ada kesempatan bagimu. 11Aku tidak bercakap disebabkan kekurangan, kerana dalam keadaan apapun aku telah belajar merasa cukup. 12Aku tahu bagaimana hidup miskin hina dan bagaimana hidup mewah mulia. Di mana-mana dan dalam apa sahaja, aku telah belajar merasa cukup, baik kenyang atau lapar, senang atau susah. 13Aku dapat melakukan segalanya melalui al-Masih yang memberiku kekuatan. 14Namun demikian kamu telah berbuat baik dengan mengambil bahagian dalam kesusahanku.

15Kamu orang Filipi juga tahu bahawa apabila Injil mula dikhabarkan, ketika aku baru keluar dari Makedonia, tiada jemaah yang memberikan layanan kepadaku dalam memberi dan menerima kecuali kamu. 16Ketika aku di Tesalonika pun kamu telah mengirimkan bantuan untuk menampung kekuranganku. 17Bukanlah aku hendakkan pemberian itu, tetapi aku hendakkan kebaikan itu menambahkan jumlah perbuatan baik dalam kira-kiramu. 18Sebenarnya aku ada segalanya, bahkan berlebihan; sudah cukuplah bagiku, setelah menerima kirimanmu dari tangan Epafroditus, bau yang harum dan persembahan yang diterima serta diredai Allah. 19Allah Tuhanku akan membekalkan segala keperluanmu daripada kekayaan-Nya dalam kemuliaan melalui Isa al-Masih.

20Segala kemuliaan bagi Bapa kita Allah selama-lamanya. Amin.

Salam akhir

21Sampaikan salamku kepada setiap orang yang salih dalam Isa al-Masih. Saudara-saudara yang bersamaku mengirim salam kepadamu. 22Semua orang salih di sini mengirim salam kepadamu, terutamanya isi istana Kaisar.

23Semoga kasih kurnia Junjungan Isa al-Masih menyertai rohmu. Amin.

↑ ↑ ↑