Kitab Suci Zabur dan Injil/Efesus
1
1Daripada Paulus, rasul Isa al-Masih dengan kehendak Allah, Kepada semua orang salih di Efesus, iaitu orang yang beriman kepada Isa al-Masih:
2Kasih kurnia dan sejahtera kepadamu daripada Bapa kita Allah dan daripada Junjungan Isa al-Masih.
3Segala puji bagi Allah, Bapa Junjungan kita Isa al-Masih, yang telah memberkati kita dengan segala berkat rohani di syurga dalam al-Masih. 4Ini kerana Dia telah memilih kita dalam al-Masih sebelum dunia ini dijadikan, supaya kita suci dan tidak bercela di hadapan-Nya. Dalam kasih, 5Dia telah menentukan kita dari mulanya untuk diangkat sebagai anak oleh Isa al-Masih kepada diri-Nya, menurut keredaan dan kehendak-Nya – 6supaya terpujilah kemuliaan kasih kurnia-Nya, yang dianugerahkan-Nya kepada kita dalam Dia yang dikasihi-Nya. 7Dalam-Nya kita mendapat penebusan melalui darah-Nya, pengampunan dosa, menurut limpah kasih kurnia-Nya 8yang dilimpahkan-Nya kepada kita dengan segala kebijaksanaan dan pengertian. 9Dia memberitahu kita rahsia kehendak-Nya, menurut keredaan-Nya yang sudah ditentukan-Nya dalam al-Masih, 10bahawa setelah sampai masa pelaksanaannya – Dia akan menyatukan segala sesuatu di bawah al-Masih sebagai kepala, baik yang di syurga mahupun yang di bumi.
11Dalam-Nya juga kita telah mendapat warisan, kerana telah ditentukan dari mulanya menurut maksud Allah yang melakukan segalanya seperti pertimbangan kehendak-Nya, 12bahawa kami yang mula-mula menaruh harapan pada al-Masih akan mendatangkan puji bagi kemuliaan-Nya. 13Kamu juga dalam al-Masih setelah mendengar kata kebenaran, iaitu Injil tentang penyelamatanmu. Dan dalam-Nya, setelah mempercayai-Nya, kamu telah dimaterai dengan Roh Suci yang dijanjikan-Nya,
14yang menjadi jaminan bagi warisan kita hingga penebusan orang yang dimiliki Allah – segala puji bagi kemuliaan-Nya.
15Oleh itu aku juga, setelah mendengar bahawa kamu beriman kepada Junjungan Isa dan mengasihi semua orang yang salih, 16tidak putus-putus bersyukur tentangmu dan menyebutmu dalam doaku. 17Aku berdoa semoga Allah Tuhan Junjungan kita Isa al-Masih, Bapa kemuliaan, memberimu roh kebijaksanaan dan wahyu untuk mengenali-Nya. 18Semoga Allah menerangkan mata hatimu untuk mengetahui harapan daripada panggilan-Nya, limpah kemuliaan warisan-Nya dalam orang yang salih, 19dan betapa besar kuasa-Nya bagi kita yang beriman. Demikianlah pelaksanaan kuasa-Nya yang agung itu 20dalam al-Masih apabila membangkitkan-Nya daripada kematian dan mendudukkan-Nya di sebelah kanan-Nya di syurga. 21Allah meletakkan al-Masih jauh di atas segala penguasa dan kekuasaan, kuasa dan pemerintahan, dan setiap nama yang dinamakan, bukan sahaja pada zaman ini tetapi juga pada zaman akan datang. 22Allah meletakkan segalanya di bawah kaki-Nya dan menjadikan-Nya kepala semua hal ehwal jemaah, 23yang merupakan tubuh-Nya, disempurnakan oleh Dia yang menyempurnakan segala-galanya.
↑ ↑ ↑ 2
1Kamu telah mati akibat kesalahan dan dosa 2yang dahulu kamu lakukan menurut jalan dunia, menurut raja segala kuasa di udara, roh yang sekarang bertindak dalam diri anak-anak derhaka.
3Kami semua juga pernah hidup sedemikian, memuaskan hawa nafsu, menunaikan kehendak tubuh dan fikiran, dan secara tabii merupakan anak-anak yang dimurkai, seperti yang lain juga. 4Namun Allah, yang kaya dengan belas kasihan, kerana kasih-Nya yang amat besar kepada kita, 5walaupun ketika kita telah mati disebabkan kesalahan kita, telah menghidupkan kita bersama al-Masih – kamu telah diselamatkan dengan kasih kurnia-Nya. 6Allah telah membangkitkan kita bersama al-Masih, serta mendudukkan kita bersama-Nya di syurga, 7supaya pada zaman-zaman akan datang Allah dapat menunjukkan limpah kekayaan kasih kurnia-Nya dalam keihsanan-Nya kepada kita dalam Isa al-Masih. 8Kamu telah diselamatkan dengan kasih kurnia-Nya melalui iman – ini bukan daripada kamu sendiri tetapi adalah kurnia Allah – 9bukan kerana usaha amalmu supaya tiada seorangpun yang dapat bermegah. 10Kerana kita ini buatan-Nya, dicipta dalam Isa al-Masih untuk melakukan perbuatan baik, yang telah disediakan terdahulu oleh Allah untuk kita lakukan.
11Oleh itu ingatlah bahawa dari segi tubuhmu kamu ini dahulu orang bangsa asing, disebut ‘orang tidak bersunat’ oleh mereka yang disebut ‘orang bersunat’ (iaitu sunat yang dibuat dengan tangan orang pada tubuh). 12Pada masa itu kamu tanpa al-Masih, terasing daripada perhimpunan orang Israel dan daripada perjanjian Allah, tanpa harapan dan tanpa Tuhan di dunia ini. 13Tetapi sekarang dalam Isa al-Masih, kamu yang dahulu jauh sudah dibawa dekat oleh darah al-Masih.
14Kerana Dia sendiri adalah perdamaian kita, Dia menyatukan kedua-dua pihak dan meruntuhkan dinding pemisah, iaitu perseteruan. 15Dia menghapuskan dengan tubuh-Nya perseteruan itu, iaitu Taurat dengan hukum-hukum yang diperintahkan di dalamnya, untuk mencipta dalam diri-Nya seorang yang baru daripada dua, dan mengadakan perdamaian demikian, 16serta untuk mendamaikan kedua-duanya dengan Allah dalam satu tubuh melalui salib, dengan itu mematikan perseteruan itu. 17Dan Dia datang membawa ajaran perdamaian kepada kamu yang jauh dan kepada mereka yang dekat. 18Kerana melalui-Nya kita, kedua-dua pihak, dapat menghampiri Allah Bapa dengan satu Roh.
19Oleh itu, sekarang, kamu bukan lagi orang asing dan pendatang, tetapi sesama warganegara dengan orang yang salih dan ahli-ahli keluarga Allah, 20yang telah dibina atas asas para rasul dan para nabi, dengan Isa al-Masih sendiri sebagai batu penjuru utama. 21Dalam al-Masih seluruh bangunan itu disatukan lalu menjadi tempat ibadat suci dalam Tuhan, 22maka dalam-Nya kamu pun dibina bersama menjadi tempat kediaman Allah dalam Roh.
↑ ↑ ↑ 3
1Dengan demikian aku, Paulus, yang terpenjara kerana Isa al-Masih untuk kamu, orang bukan bani Israel. 2Tentu kamu telah mendengar, bahawa aku diberi tugas melaksanakan kasih kurnia Allah untukmu. 3Melalui wahyu, Allah telah memberitahuku rahsia itu sebagaimana sudah kutuliskan secara ringkas. 4Apabila kamu membacanya kamu akan mengerti pengetahuanku dalam rahsia al-Masih. 5Pada zaman-zaman silam rahsia itu tidak diberitahu kepada anak Adam, sebagaimana sekarang telah dinyatakan oleh Roh kepada para rasul dan para nabi-Nya yang suci – 6bahawa orang bukan bani Israel sama-sama menjadi waris, satu tubuh, dan sama-sama mendapat bahagian daripada perjanjian Allah dalam al-Masih melalui Injil.
7Aku telah menjadi seorang hamba Injil dengan kasih kurnia Allah yang telah diberikan-Nya kepadaku melalui pelaksanaan kuasa-Nya. 8Kepadaku, yang lebih rendah daripada orang salih yang paling rendah, kasih kurnia ini telah diberikan supaya aku pergi mengajar orang bukan bani Israel tentang kekayaan al-Masih yang tidak mungkin dapat dicari itu, 9dan menjelaskan kepada semua orang pelaksanaan rahsia itu, yang dari permulaan zaman telah terselindung dalam hati Allah yang menjadikan segala-galanya. 10Dengan demikian sekarang pelbagai kebijaksanaan Allah diberitahu oleh jemaah kepada segala pemerintah dan kuasa di syurga. 11Ini adalah menurut maksud-Nya yang kekal yang telah ditunaikan-Nya dalam Isa al-Masih, Junjungan kita; 12yang dalam-Nya kita mendapat kebebasan dan keyakinan menghampiri Allah melalui iman. 13Oleh itu aku meminta kepadamu, janganlah tawar hati akibat kesusahan yang kutanggung keranamu, ini adalah kemuliaanmu.
14Dengan sebab itulah aku bertelut kepada Bapa, 15yang daripada-Nya seluruh bangsa di syurga dan di bumi telah dinamakan. 16Aku berdoa semoga Dia mengurniakan kepadamu, menurut limpah kemuliaan-Nya, kekuatan melalui Roh-Nya dalam dirimu. 17Semoga al-Masih mendiami hatimu melalui iman. Dan kamu, setelah berakar umbi dalam kasih, 18akan mengerti bersama semua orang salih berapa lebarnya, panjangnya, tingginya dan dalamnya kasih al-Masih, 19dan mengetahui kasih ini yang tidak terjangkau oleh pengetahuan manusia – supaya kamu dipenuhi dalam seluruh kepenuhan Allah.
20Kepada Allah yang berkuasa melakukan segala-galanya dengan limpah kurnia melebihi permintaan dan sangkaan kita, menurut kuasa-Nya yang bertindak dalam diri kita, 21kepada-Nya kemuliaan dalam jemaah melalui Isa al-Masih zaman-berzaman selama-lamanya! Amin.
↑ ↑ ↑ 4
1Oleh itu aku, yang terpenjara kerana Tuhan, merayu agar kamu, sebagai orang yang telah dipanggil, hiduplah berpadanan dengan panggilan itu. 2Kamu haruslah selalu rendah hati dan lemah lembut; sabar, bertolak-ansur satu sama lain dalam kasih, 3dan berusaha memelihara perpaduan dalam Roh dengan ikatan sejahtera. 4Kamu hendaklah satu tubuh dan satu Roh – sebagaimana kamu telah dipanggil dengan satu harapan panggilan itu – 5satu Junjungan, satu iman, satu pengimadan;
6satu Allah iaitu Bapa sekalian, yang di atas sekalian, melalui sekalian, dan dalam kamu sekalian.
7Tetapi masing-masing diberi kasih kurnia sekadar pemberian al-Masih. 8Oleh itu firman-Nya: ‘Apabila Dia naik ke atas, Dia menawan tawanan, dan memberi pemberian kepada manusia.’
9(Apakah maksud ‘Dia naik ke atas’? Tentulah ertinya bahawa sebelum itu Dia telah turun ke bahagian terbawah di bumi. 10Dia yang telah turun itu adalah juga Dia yang naik jauh ke atas semua lapisan langit, untuk memenuhi segala-galanya.) 11Dan Dialah yang memberi sesetengah orang menjadi rasul, nabi, penyebar Injil, pembimbing jemaah dan pengajar, 12untuk menyediakan orang yang salih bagi kerja melayani, untuk meneguhkan tubuh al-Masih. 13Dengan itu kita semua mencapai kesatuan dalam iman dan pengetahuan akan Putera Allah, agar menjadi dewasa, dan memiliki pertumbuhan yang sesuai dengan kadar kesempurnaan al-Masih.
14Maka, kita tidaklah lagi berupa kanak-kanak, dipukul ombak dan ditiup ke sana ke mari oleh setiap angin pengajaran orang, tipu daya manusia, dan putar belit muslihat jahat. 15Sebaliknya, kita sentiasa bercakap benar dalam kasih, dan bertumbuh dalam segala hal ke arah Dia yang menjadi Kepala, iaitu al-Masih. 16Daripada-Nya, seluruh tubuh yang dihubungkan dan dijalin erat oleh setiap sendi dalam kelengkapannya manakala setiap bahagian menjalankan peranan masing-masing, bertumbuh untuk meneguhkan dirinya dalam kasih.
17Oleh itu aku berkata demikian dan bersaksi demi Tuhan, janganlah lagi kamu hidup seperti orang yang tidak mengenal Allah, menurut pemikiran yang sia-sia. 18Akibatnya, daya pengertian mereka dimalapkan, dan diri mereka tersisih daripada kehidupan Allah, kerana kejahilan mereka, kerana kedegilan hati mereka. 19Oleh sebab sudah hilang perasaan, mereka telah menceburkan diri dalam kancah maksiat, bergelumang dalam segala noda dengan rakus.
20Tetapi bukan demikian yang kamu pelajari tentang al-Masih, 21jika kamu telah mendengar-Nya dan diajar oleh-Nya, sebagaimana kebenaran itu dalam Isa. 22Berkenaan kelakuanmu yang dahulu, kamu menyingkirkan dirimu yang lama, yang dirosakkan oleh hawa nafsu tipu daya; 23dan kamu dibaharui dalam roh pemikiranmu; 24serta berubah kepada diri baru yang dicipta menurut teladan Allah dalam kebenaran dan kesucian sejati.
25Oleh itu, janganlah lagi berdusta. Hendaklah setiap orang daripada kamu bercakap benar sesama manusia kerana kita adalah sesama anggota. 26‘Apabila kamu marah, janganlah sampai melakukan dosa.’ Jangan kekalkan kemarahanmu hingga matahari terbenam, 27dan jangan beri tempat kepada iblis. 28Orang yang mencuri hendaklah berhenti mencuri dan mula bekerja, membuat sesuatu yang baik dengan tangannya, supaya dapat memberi kepada orang yang kekurangan.
29Janganlah biarkan kata-kata yang kesat keluar dari mulutmu, tetapi lafazkanlah teguran yang membina, mengikut keperluannya, supaya membawa berkat kepada yang mendengar. 30Dan janganlah kamu menyedihkan Roh Suci Allah yang telah mematerai kamu bagi hari penebusan.
31Singkirkanlah segala kepahitan, keberangan dan kemarahan, pergaduhan dan umpatan, bersama segala niat jahat. 32Dan berbelas kasihlah satu sama lain, bersikap baik, saling memaafkan, sebagaimana Allah telah mengampunimu dalam al-Masih.
↑ ↑ ↑ 5
1Oleh itu ikutlah teladan Allah seperti anak-anak yang dikasihi. 2Hiduplah dalam kasih, sebagaimana al-Masih mengasihi kita dan menyerahkan diri-Nya untuk kita sebagai persembahan dan korban yang harum bagi Allah.
3Tetapi perzinaan dan segala kecemaran atau tamak haloba, jangan disebut pun di kalanganmu, kerana demikianlah sepatutnya bagi orang salih. 4Jauhi kekotoran, percakapan tidak berakal dan lawak jenaka lucah, kerana segala ini tidak wajar, sebaliknya eloklah kamu mengucapkan kata-kata kesyukuran. 5Kerana kamu tahu bahawa orang yang berzina, melakukan kecemaran, atau tamak haloba – yang sama dengan penyembah berhala tidak akan mewarisi kerajaan al-Masih dan Allah.
6Jangan tertipu dengan kata-kata kosong, kerana itulah sebabnya kemurkaan Allah menimpa anakanak derhaka. 7Oleh itu, janganlah kamu sepakat dengan mereka.
8Kerana dahulu kamu gelap tetapi sekarang sudah menjadi cahaya dalam Tuhan kita. Hiduplah sebagai anak-anak cahaya 9(kerana yang dihasilkan oleh cahaya terdapat dalam segala yang baik, wajar dan benar), 10maka kajilah apa yang diredai oleh Tuhan. 11Jangan bersubahat dengan perbuatan gelap yang tidak berfaedah, sebaliknya dedahkan perbuatan itu. 12Ini kerana perkaraperkara yang dilakukan oleh mereka secara rahsia itu, jika disebut pun adalah memalukan. 13Tetapi segala yang didedahkan itu dinyatakan oleh cahaya, kerana yang menyatakan adalah cahaya. 14Oleh itu firman Tuhan: ‘Bangunlah, hai kamu yang tidur, bangkit daripada kematian, dan al-Masih akan memberimu cahaya.’
15Hiduplah dengan hati-hati – bukan seperti orang tidak arif tetapi sebagai orang bijaksana, 16dan pergunakan setiap peluang dengan sebaiknya kerana ini zaman durjana. 17Dengan demikian janganlah bodoh, tetapi mengertilah kehendak Tuhan. 18Dan janganlah mabuk anggur, yang berupa maksiat. Sebaliknya, penuhi diri dengan Roh. 19Berkata-katalah sesama sendiri dengan mazmur, lagu pujian serta nyanyian rohani, menyanyi dan berlagu untuk Tuhan dalam hatimu. 20Sentiasalah bersyukur atas segala-galanya kepada Allah Bapa dengan nama Junjungan kita Isa al-Masih.
21Tunduklah kepada satu sama lain dengan takut akan Tuhan.
22Isteri, tunduklah kepada suamimu seperti kepada Tuhan. 23Kerana suami adalah kepala kepada isteri sebagaimana al-Masih kepala jemaah dan Penyelamat tubuh itu. 24Oleh itu, sebagaimana jemaah tunduk kepada al-Masih, begitulah juga isteri terhadap suaminya dalam segala hal.
25Suami, kasihilah isterimu, sebagaimana al-Masih mengasihi jemaah dan menyerahkan diri-Nya untuk jemaah. 26Dengan demikian Dia dapat menyucikan dan membersihkan jemaah dengan air melalui firman, 27dan menghadapkannya kepada diri-Nya sebagai jemaah yang mulia, tanpa cela atau kerut, tetapi suci dan sempurna. 28Demikian juga, suami harus mengasihi isterinya seperti tubuhnya, lelaki yang mengasihi isterinya itu mengasihi dirinya sendiri. 29Tiada siapapun pernah membenci tubuhnya sendiri, tetapi memelihara dan menyayanginya, seperti dilakukan oleh al-Masih kepada jemaah – 30kerana kita adalah anggota tubuh-Nya. 31‘Oleh sebab itu seorang lelaki meninggalkan ibu bapanya dan bersatu dengan isterinya, lalu mereka berdua menjadi satu.’ 32Ini adalah suatu rahsia besar – tetapi aku bercakap tentang al-Masih dan jemaah. 33Walau bagaimanapun, setiap orang daripada kamu hendaklah mengasihi isterinya seperti dirinya sendiri, dan isteri hendaklah menghormati suaminya.
↑ ↑ ↑ 6
1Anak-anak, turutlah perintah ibu bapamu dalam Tuhan, kerana ini adalah wajar. 2‘Hormatilah ibu bapamu’ – iaitu perintah pertama yang disertai dengan janji – 3‘supaya kamu mendapat kebaikan dan umurmu panjang di bumi ini.’
4Kamu, bapa, janganlah sakitkan hati anak-anak; tetapi peliharalah mereka dalam didikan dan nasihat Tuhan.
5Hamba sahaya, taatlah kepada tuanmu di dunia ini, dengan takut dan hormat, dengan hati yang ikhlas, seperti kepada al-Masih. 6Janganlah lakukan secara bermuka-muka, sekadar menyukakan hati orang, tetapi sebagai hamba al-Masih, melakukan kehendak Allah setulus hati. 7Bekerjalah dengan niat bersih, seperti untuk Tuhan, bukan untuk manusia. 8Ketahuilah bahawa apa sahaja kebaikan yang dilakukan oleh seseorang akan dibalas sewajarnya oleh Tuhan, baik hamba mahupun orang merdeka.
9Kamu, tuan kepada hamba, hendaklah juga berbuat baik kepada mereka, dan jangan lagi mengugut mereka, kerana kamu tahu bahawa Tuan mereka dan Tuanmu sendiri ada di syurga, dan Dia memandang semuanya sama rata.
10Akhir kata, saudara-saudaraku, hendaklah kamu kuat dalam Tuhan dan dalam kekuatan kuasa-Nya. 11Pakailah selengkap senjata Allah, supaya kamu dapat bertahan terhadap tipu daya iblis. 12Ini kerana kita berlawan bukan dengan manusia tetapi dengan para penghulu dunia daripada kegelapan zaman ini, para pemerintah dan penguasanya, dan tentera roh iblis di langit. 13Oleh itu pakailah selengkap senjata Allah, supaya kamu dapat bertahan pada masa yang penuh kejahatan, dan berdiri tegap setelah kamu melakukan segalanya. 14Dengan demikian, berdirilah dengan tegap setelah mengikat pinggangmu dengan kebenaran, memakai keadilan sebagai perisai dada, 15menyarungkan ke kakimu persediaan menyebarkan Injil perdamaian. 16Paling utama, memakai perisai iman, untuk memadamkan segala anak panah berapi si durjana, 17dan ketopong penyelamatan serta pedang Roh, iaitu firman Allah. 18Sambil itu, pohonlah sentiasa dengan segala doa dan rayuan dalam Roh, serta berjaga-jaga dengan segala ketekunan dan permohonan untuk semua orang yang salih.
19Berdoalah juga untukku, supaya aku dikurniai daya pengucapan dan aku membuka mulut dengan berani untuk memberitahu rahsia Injil, 20sedangkan aku adalah utusan yang terpenjara, supaya dengannya aku dapat bertutur dengan berani, sebagaimana sepatutnya aku bertutur.
21Tetapi supaya kamu tahu hal ehwalku dan bagaimana keadaanku, maka Tikhikus, seorang saudara yang dikasihi dan hamba yang beriman kepada Tuhan, akan memberitahu segalanya kepadamu. 22Aku menghantarnya kepadamu untuk tujuan ini, supaya kamu mengetahui hal ehwal kami dan dia dapat menetapkan hatimu.
23Salam sejahtera kepada saudara-saudara kita, dan kasih dengan iman daripada Allah Bapa dan Junjungan Isa al-Masih. 24Kasih kurnia Allah bagi semua yang mengasihi Junjungan kita Isa al-Masih dengan kasih yang kekal.