Lompat ke isi

Kitab Suci Zabur dan Injil/Kolose

Dari Wikisumber bahasa Indonesia, perpustakaan bebas

diterjemahkan oleh tim Pengamat Kitab Mulia (2013); CC-BY-ND 4.0

Pasal 1 2 3 4


1

1Daripada Paulus, rasul Isa al-Masih dengan kehendak Allah dan daripada saudara kita Timotius,

2Kepada semua orang salih dan saudara-saudara yang beriman kepada al-Masih di Kolose: Kasih kurnia dan sejahtera daripada Bapa kita Allah.

Ucapan syukur dan doa

3Kami mengucapkan syukur kepada Allah, Bapa Junjungan kita Isa al-Masih, dan kami sentiasa mendoakan kamu, 4sejak kami mendengar bahawa kamu beriman kepada Isa al-Masih dan mengasihi semua orang salih – 5kerana harapan yang ada bagimu di syurga, yang telah kamu dengar dalam kata kebenaran, iaitu Injil, 6yang telah datang kepadamu. Di seluruh dunia, Injil ini sedang membuahkan manfaat dan tersebar luas, seperti di kalanganmu sejak kamu mendengar dan mengetahui kasih kurnia Allah dalam segala kebenarannya. 7Kamu telah mendengar juga daripada teman sekerja kami yang dikasihi, Epafras, yang menjadi hamba al-Masih yang beriman bagi kami, 8yang juga telah menceritakan kepada kami kasihmu dalam Roh.

9Oleh itu, sejak kami mendengarnya, kami juga tidak putus-putus mendoakan kamu, dan memohon supaya kamu dipenuhi pengetahuan tentang kehendak-Nya dalam segala kebijaksanaan dan pengertian rohani. 10Kami mendoakan demikian supaya hidupmu layak di hadapan Tuhan, dan kamu mendapat sepenuh keredaan-Nya dalam segala hal: membuahkan manfaat dalam setiap pekerjaan yang baik, bertambah-tambah mengenal Allah, 11diteguhkan dengan segala kekuatan berdasarkan kuasa-Nya yang mulia, yang mendatangkan kesabaran dan kebahagiaan. 12Kita mengucapkan syukur kepada Bapa kita yang telah melayakkan kita menerima sebahagian warisan orang yang salih dalam cahaya. 13Dia telah melepaskan kita daripada kuasa kegelapan dan memindahkan kita ke dalam kerajaan Putera yang dikasihi-Nya, 14melalui Dialah kita ditebus dan mendapat pengampunan dosa.

Keulungan al-Masih

15Dia adalah gambar Allah yang tidak kelihatan, Dialah anak sulung antara segala yang diciptakan.

16Kerana melalui Dia segala sesuatu diciptakan: yang wujud di bumi dan di syurga, yang kelihatan dan tidak kelihatan, baik semua roh yang berkuasa mahupun yang memerintah; segala-galanya telah dicipta melalui-Nya dan untuk-Nya. 17Dia terdahulu daripada segalanya, dan setiap yang wujud ada dalam-Nya. 18Dan Dia adalah kepala kepada tubuh iaitu jemaah; Dia adalah permulaan, anak sulung yang bangkit daripada kematian, supaya dalam segalanya Dialah yang terutama. 19Kerana Allah berkenan bahawa seluruh diri-Nya berada dalam Dia. 20Juga melalui Dia, Allah mendamaikan segalanya dengan diri-Nya, baik yang di bumi mahupun di syurga, dengan mengadakan perdamaian melalui pencurahan darah-Nya di atas salib.

21Kamu dahulu tersisih daripada Allah dan merupakan seteru dalam pemikiranmu kerana perbuatanmu yang jahat. 22Akan tetapi, sekarang Allah telah mendamaikan kamu dengan diri-Nya melalui kematian tubuh-Nya, supaya Dia dapat memperhadapkan kamu sebagai orang suci, yang tidak bercela dan tidak bersalah di hadapan-Nya – 23jika kamu tetap beriman, mantap dan berdiri teguh, tidak berganjak daripada harapan Injil yang kamu dengar. Inilah Injil yang diajarkan kepada seluruh ciptaan di bawah langit, dan yang aku, Paulus, menjadi hambanya.

Pengabdian Paulus untuk jemaah

24Aku sekarang bersukacita atas penderitaanku untukmu, dan aku menyempurnakan dengan tubuhku apa yang kurang dalam kesengsaraan al-Masih, untuk tubuh-Nya yang suci, iaitu jemaah.

25Aku sudah dijadikan hamba jemaah, menurut amanat Allah yang telah diberikan kepadaku untuk kamu, bagi menyampaikan firman Allah dengan sepenuhnya – 26iaitu rahsia yang telah tersembunyi daripada segala zaman dan keturunan tetapi sekarang telah dinyatakan kepada orang salih-Nya.

27Kepada mereka Allah berkehendak supaya diberitahu betapa kayanya kemuliaan rahsia itu di kalangan orang bukan bani Israel, iaitu al-Masih dalam kamu, harapan untuk mendapat kemuliaan.

28Al-Masihlah yang kami ajarkan. Kami menasihati dan mengajar setiap orang dengan sepenuh bijaksana, supaya dapat kami hadapkan setiap orang dalam keadaan sempurna dalam Isa al-Masih.

29Untuk tujuan inilah juga aku berusaha, berjuang dengan segala kekuatan kuasa-Nya yang bertindak hebat dalam diriku.

↑ ↑ ↑ 2

1Aku mahu kamu tahu betapa perasaanku bergolak keranamu dan orang Laodikia, juga semua yang belum lagi bertemu muka denganku. 2Aku ingin hati mereka terhibur, terjalin rapat dalam kasih, dan mereka mencapai pengertian penuh dalam segala kekayaan serta kepastiannya, supaya mereka mengetahui rahsia Allah Bapa dan al-Masih, 3yang dalam-Nya tersembunyi seluruh kebijaksanaan dan pengetahuan. 4Aku mengatakan ini supaya kamu tidak tertipu dengan hujah.

5Sungguhpun tubuhku tiada di sisimu, namun rohku tetap bersamamu, dan aku sukacita kerana melihat keadaanmu yang teratur rapi dan imanmu yang kukuh dalam al-Masih.

Kemerdekaan dalam al-Masih

6Oleh sebab kamu telah menerima Isa al-Masih sebagai Junjungan, melangkahlah sewajarnya dalam Dia, 7berasas dan terbina dalam-Nya serta bertapak teguh dalam iman, sebagaimana kamu telah diajar, penuh melimpah dengan kesyukuran. 8Awaslah, jangan tertipu oleh orang yang menggunakan falsafah dan tipu daya yang sia-sia, menurut adat manusia, menurut prinsip-prinsip asas dunia, bukan menurut al-Masih. 9Dalam-Nya terhimpun seluruh ketuhanan berbentuk jasmani, 10dan kamu sempurna dalam-Nya, yang merupakan kepala segala perintah dan kuasa. 11Dalam-Nya juga kamu telah disunatkan dengan persunatan tanpa menggunakan tangan, iaitu dengan membuangkan segala dosa hawa nafsu dunia daripada tubuhmu, melalui persunatan al-Masih. 12Kamu telah dikuburkan bersama-Nya dengan pengimadan, dan telah dibangkitkan bersama-Nya melalui iman dalam kuasa Allah yang telah membangkitkan-Nya daripada kematian.

13Kamu dahulu mati kerana melakukan kesalahan dan menurut kebiasaan dunia yang tidak bersunat. Allah telah menghidupkan kamu bersama Tuhan dan mengampunkan segala kesalahanmu.

14Dia telah memansuhkan hukum-hukum bertulis yang menghimpit dan menghalang kita; Dia telah mencabutnya dan memakukannya pada salib. 15Setelah menumpaskan segala roh yang berkuasa dan memerintah, Dia mendedahkan mereka di hadapan orang ramai dan menunjukkan bahawa Dia telah menakluki mereka dalam salib. 16Oleh itu, janganlah siapapun menyalahkan kamu tentang makanan atau minuman, hari raya, bulan baru atau hari Sabat. 17Segala ini hanya bayang-bayang perkara akan datang, sedangkan yang nyata adalah al-Masih. 18Janganlah ganjaranmu dikurangkan oleh seseorang yang purapura bersikap rendah diri dan menyembah malaikat. Orang seperti itu berpaut pada penglihatanpenglihatannya dan tanpa alasan menyombongkan dirinya dengan fikiran-fikirannya yang duniawi,

19dan tidak berpegang teguh kepada al-Masih sebagai Kepala. Daripada-Nya seluruh tubuh, yang dibesarkan dan dijalin rapat dengan sendi urat, bertumbuh seperti yang dikehendaki oleh Allah.

20Oleh itu, jika kamu telah mati bersama al-Masih daripada prinsip-prinsip asas dunia, mengapakah kamu berkelakuan seolah-olah kamu hidup berpandukan kebiasaan dunia, dengan mematuhi peraturan-peraturannya, iaitu: 21‘Jangan sentuh! Jangan kecap! Jangan pegang!’? 22Peraturan sedemikian melibatkan perkara-perkara yang lenyap setelah dipakai. Mengapa kamu masih menurut hukum-hukum dan pengajaran manusia? 23Peraturan-peraturan begini memang kelihatan seolaholah bijaksana, dalam pegangan agama yang dikenakan pada diri sendiri, sikap merendah diri yang palsu, dan pengabaian tubuh, tetapi segalanya tidak menolong kamu melawan hawa nafsu dunia.

↑ ↑ ↑ 3

Peraturan untuk hidup suci

1Dengan demikian, jika kamu telah dibangkitkan bersama al-Masih, carilah perkara-perkara yang berkaitan dengan syurga, tempat al-Masih duduk di sebelah kanan Allah. 2Tumpukan pemikiranmu kepada hal-hal di syurga, bukan hal-hal di bumi. 3Kerana kamu telah mati, dan kehidupanmu tersembunyi bersama al-Masih dalam Allah. 4Apabila al-Masih yang merupakan kehidupan kamu itu muncul, kamu akan muncul bersama-Nya dalam kemuliaan.

5Oleh itu matikanlah dalam dirimu segala yang bersifat dunia: perzinaan, kecemaran, hawa nafsu, keinginan jahat dan tamak haloba, yang sama dengan menyembah berhala. 6Disebabkan semua inilah kemurkaan Allah akan menimpa anak-anak derhaka. 7Dulu kamu pun berkelakuan demikian, pada masa kamu masih dalam kehidupan itu. 8Tetapi sekarang kamu haruslah menyingkirkan segalanya seperti: marah, geram, niat jahat, menghina Allah, mengeluarkan kata-kata kotor dari mulutmu. 9Jangan bercakap bohong satu sama lain, kerana kamu sudah melucutkan dirimu yang lama itu dengan segala kelakuannya 10dan mengenakan diri yang baru, yang terus-menerus dibaharui dengan pengetahuan menurut rupa Allah yang menjadikannya. 11Dengan demikian tiada lagi orang Yunani atau orang Yahudi, orang bersunat atau orang tidak bersunat, orang gasar, orang Skit, hamba atau merdeka. Al-Masih segala-galanya dan dalam segala-galanya.

12Sebagai orang pilihan Allah yang suci dan amat dikasihi-Nya kamu haruslah bersifat belas kasih, baik budi, rendah hati, lemah lembut dan sabar. 13Bersabarlah terhadap satu sama lain, maaf-memaafi, jika seseorang ada sesuatu aduan terhadap yang lain. Sebagaimana Tuhan telah mengampuni kamu, demikianlah kamu harus mengampuni sesama sendiri. 14Paling utama amalkanlah kasih, ikatan yang sempurna.

15Biarlah damai al-Masih menguasai hatimu. Kamu telah dipanggil untuk mendapat damai itu dalam satu tubuh. Kamu haruslah bersyukur. 16Biarlah sabda al-Masih menetap dalam dirimu dengan segala kekayaan dan kebijaksanaannya. Ajar dan nasihati satu sama lain dengan mazmur, lagu puji-pujian dan nyanyian rohani, serta nyanyikanlah lagu rohani dengan rasa syukur kepada Allah dalam hatimu. 17Segala yang kamu katakan dan lakukan haruslah dengan nama Junjungan Isa sambil mengucap syukur kepada Bapa kita Allah melalui-Nya.

Corak kehidupan dan rumah tangga

18Isteri, tunduklah kepada suamimu, sebagaimana yang patut dalam Tuhan.

19Suami, kasihilah isterimu dan jangan berlaku keras terhadapnya.

20Anak-anak, turutlah perintah ibu bapamu dalam segala perkara, kerana demikianlah yang diredai Tuhan. 21Bapa, jangan sakitkan hati anak-anakmu, supaya mereka tidak tawar hati.

22Hamba sahaya, dalam segala hal turutlah perintah orang yang menjadi tuanmu dalam perkara dunia; bukan secara bermuka-muka, untuk menyukakan hati manusia, tetapi dengan tulus ikhlas dan takut akan Allah. 23Lakukan segala kerja dengan sebulat hatimu untuk Tuhan, bukan untuk manusia,

24kerana kamu tahu bahawa daripada Tuhan kamu akan menerima warisan sebagai ganjaranmu. Junjungan al-Masih adalah Tuanmu dan kamu hamba-Nya. 25Orang yang melakukan kesalahan akan mendapat balasan yang setimpal, tidak kira siapa dia.

↑ ↑ ↑ 4

1Kamu sekalian yang menjadi tuan, berilah apa yang adil dan wajar kepada hamba-hambamu, kerana kamu tahu bahawa kamu pun mempunyai Tuan di syurga.

Arahan-arahan lain

2Bertekunlah dalam doa dan berjaga-jaga serta mengucap syukur. 3Doakan kami juga, semoga Allah membukakan kami suatu pintu bagi firman-Nya, supaya kami bercakap tentang rahsia al-Masih. Oleh sebab rahsia itulah aku terpenjara ini, 4semoga aku dapat menyatakannya dengan jelas, sebagaimana yang sewajarnya. 5Dekatilah orang luar dengan bijaksana, dan pergunakanlah peluang dengan baik. 6Perkataanmu hendaklah sentiasa penuh dengan kasih kurnia, digarami kebijaksanaan, supaya kamu tahu menjawab setiap orang dengan sewajarnya.

Salam akhir

7Saudara kita Tikhikus yang dikasihi akan memberitahumu segala hal ehwalku. Dia seorang hamba yang beriman, dan teman sekerjaku dalam pekerjaan Tuhan. 8Aku mengutusnya kepadamu supaya dia mengetahui hal ehwal kamu dan menggalakkan hatimu. 9Bersamanya ialah saudara kita Onesimus yang beriman dan dikasihi, dia orang kamu. Mereka berdua akan memberitahu kamu segala yang berlaku di sini.

10Aristarkhus, temanku dalam penjara, berkirim salam kepadamu. Demikian juga Markus, saudara sepupu kepada Barnabas. (Kamu telah mendapat arahan tentangnya; kamu harus menyambut jika dia datang mengunjungimu.) 11Yesua, yang dipanggil Yustus, juga berkirim salam kepadamu. Mereka inilah sahaja orang bersunat yang bekerja bersamaku untuk kerajaan Allah, dan mereka menjadi penghibur hatiku. 12Epafras, saleh seorang daripada kamu, juga berkirim salam kepadamu. Dia hamba Isa al-Masih dan sentiasa mendoakanmu bersungguh-sungguh, supaya kamu berdiri teguh dalam segala yang dikehendaki Allah. 13Aku bersaksi bahawa dia amat berusaha untuk kamu dan orang di Laodikia serta di Hierapolis. 14Lukas, tabib yang dikasihi itu, pun berkirim salam kepadamu, begitu juga Demas. 15Sampaikan salamku kepada saudara-saudara di Laodikia, dan kepada Nimfa serta jemaah di rumahnya itu.

16Apabila surat ini dibacakan di kalanganmu, pastikan bahawa surat ini dibacakan pula dalam jemaah orang Laodikia. Kamu pula bacalah surat dari sana.

17Katakan kepada Arkhipus, ‘Berilah perhatian kepada kerja yang telah kamu terima dalam Tuhan, supaya kamu dapat melaksanakannya.’

18Salam daripadaku, Paulus, dengan tulisan tanganku sendiri. Ingatlah bahawa aku terpenjara. Semoga kasih kurnia Allah menyertaimu.

↑ ↑ ↑