Kitab Suci Zabur dan Injil/Galatia

Dari Wikisumber bahasa Indonesia, perpustakaan bebas

diterjemahkan oleh tim Pengamat Kitab Mulia (2013); CC-BY-ND 4.0

Pasal 1 2 3 4 5 6


1

1Daripada Paulus, seorang rasul – bukan daripada manusia atau melalui manusia, tetapi melalui Isa al-Masih dan Allah Bapa, yang telah membangkitkan-Nya daripada kematian – 2dan daripada semua saudara yang bersamaku,

Kepada semua jemaah di Galatia:

3Kasih kurnia dan sejahtera kepadamu daripada Allah Bapa dan daripada Junjungan Isa al-Masih

4yang telah menyerahkan diri-Nya untuk menebus dosa kita agar Dia melepaskan kita daripada zaman durjana ini, menurut kehendak Bapa kita Allah. 5Bagi-Nyalah kemuliaan selama-lamanya. Amin.

Hanya satu Injil

6Aku hairan bahawa kamu telah berpaling begitu cepat daripada Dia yang telah memanggilmu dalam kasih kurnia al-Masih, kepada suatu injil lain – 7yang bukannya injil. Tetapi ada orang yang mengacau kamu dan hendak memesongkan Injil al-Masih. 8Tetapi jikalau kami atau malaikat dari syurga sekalipun kelak mengkhabarkan kepadamu suatu injil yang lain daripada Injil yang telah kami khabarkan kepadamu, maka terlaknatlah orang yang mengkhabarkan itu! 9Sebagaimana aku sudah berkata dulu, sekarang kukatakan lagi: Jika sesiapa mengkhabarkan injil kepadamu lain daripada yang telah kamu terima, terlaknatlah orang itu!

10Adakah aku hendak membuktikan diri kepada manusia atau kepada Allah? Adakah aku berusaha mendapatkan keredaan manusia atau keredaan Allah? Jika aku masih cuba mendapatkan keredaan manusia, aku bukanlah hamba al-Masih.

Bagaimana Paulus menjadi rasul

11Aku memberitahu kepadamu, saudara-saudara, Injil yang kuajarkan bukanlah menurut manusia.

12Aku tidak menerimanya daripada manusia, dan aku tidak pula mempelajarinya; tetapi Injil itu datang melalui wahyu daripada Isa al-Masih.

13Kamu telah mendengar tentang kelakuanku dulu ketika dalam agama Yahudi, betapa aku telah menganiaya jemaah Allah habis-habisan dan cuba membinasakannya. 14Aku jauh lebih maju dalam agama Yahudi daripada orang sebayaku di kalangan bangsaku, kerana aku teramat kuat berpegang kepada segala adat nenek moyangku. 15Tetapi apabila Allah, yang telah mengasingkanku daripada rahim ibuku dan memanggilku, melalui kasih kurnia-Nya 16untuk menyatakan Putera-Nya dalamku, berkenan agar aku mengajar tentang-Nya di kalangan bangsa lain, aku tidaklah bermesyuarat dengan sesama manusia. 17Aku tidak juga pergi ke Baitulmaqdis untuk menemui mereka yang telah menjadi rasul terdahulu daripadaku, tetapi aku ke tanah Arab, lalu pulang semula ke Damsyik.

18Tiga tahun kemudian, aku ke Baitulmaqdis bertemu dengan Petrus lalu tinggal dengannya lima belas hari. 19Tetapi aku tidak melihat para rasul yang lain – kecuali Yakobus, saudara Junjungan.

20Sesungguhnya, di hadapan Allah, perkara-perkara yang kutuliskan kepadamu ini benar, aku tidak berbohong. 21Selepas itu aku pergi ke rantau Siria dan Kilikia. 22Mukaku masih belum dikenali oleh jemaah di tanah Yudea yang mempercayai al-Masih. 23Mereka hanya mendengar: ‘Orang yang dulu menganiaya kita sekarang mengajarkan iman yang hendak dibinasakannya dulu.’ 24Lalu mereka memuji Allah keranaku.

↑ ↑ ↑ 2

Paulus diakui oleh para rasul

1Kemudian, selepas empat belas tahun, aku naik lagi ke Baitulmaqdis dengan Barnabas, serta membawa Titus bersama. 2Aku pergi ke sana untuk mematuhi wahyu yang diterima daripada Allah, dan membentangkan kepada mereka Injil yang kukhabarkan di kalangan bangsa asing. Tetapi aku melakukan ini secara persendirian kepada orang yang terkemuka, takut kalau-kalau pekerjaanku siasia, baik pada masa itu mahupun sebelum itu. 3Namun demikian, walaupun Titus yang bersamaku itu seorang Yunani, dia pun tidak dipaksa bersunat. 4Ini disebabkan beberapa orang yang pura-pura beriman telah dibawa masuk. Mereka mencuri-curi masuk untuk mengintip kebebasan yang kami miliki dalam Isa al-Masih agar mereka dapat memperhambakan kami. 5Namun, seketika pun kami tidak tunduk menyerah kepada mereka, supaya kebenaran Injil tetap bersamamu.

6Tetapi daripada orang yang kelihatan berwibawa – walau apapun mereka, sama sahaja bagiku; Allah tidak bersikap pilih kasih kepada sesiapa – mereka tidak menambah apa-apa kepada pengajaranku.

7Sebaliknya, mereka sedar bahawa penyampaian Injil kepada orang yang tidak bersunat telah diamanahkan kepadaku, sebagaimana penyampaian Injil kepada orang yang bersunat telah diamanahkan kepada Petrus. 8Kerana Dia yang telah bekerja dengan berkesan dalam Petrus bagi pengutusan kepada orang yang bersunat, telah bekerja dengan berkesan juga dalamku bagi pengutusan kepada orang yang tidak bersunat. 9Dan apabila Yakobus, Petrus dan Yahya, yang dipandang sebagai asas yang kukuh, menyedari kasih kurnia yang telah diberikan kepadaku, mereka berjabat tangan denganku dan Barnabas sebagai tanda persahabatan, supaya kami pergi kepada bangsa asing manakala mereka pergi kepada orang yang bersunat. 10Mereka hanya meminta agar kami ingat akan orang miskin, sesuatu yang sememangnya hendak kulakukan.

Paulus bertentangan dengan Petrus

11Tetapi apabila Petrus datang ke Antiokhia, aku bersemuka dengannya dan membantah perbuatannya, kerana dia bersalah. 12Sebelum beberapa orang datang daripada Yakobus, Petrus makan bersama bangsa asing. Akan tetapi apabila mereka datang, dia berundur dan mengasingkan diri, disebabkan takut akan orang yang berpegang kepada persunatan. 13Orang Yahudi yang lain turut bersikap munafik, sehingga Barnabas pun tersesat kerana kemunafikan itu.

14Aku lihat kelakuan mereka itu tidak menepati kebenaran Injil, lalu aku berkata kepada Petrus di hadapan semuanya, ‘Jika kamu, orang Yahudi, hidup seperti orang bangsa asing dan tidak seperti orang Yahudi, mengapakah kamu memaksa orang bangsa asing menurut adat orang Yahudi?

15‘Kita yang memang asal orang Yahudi, bukan “orang berdosa daripada bangsa asing”

16mengetahui bahawa seseorang itu diperbenar bukanlah kerana mengerjakan hukum Taurat tetapi kerana beriman akan al-Masih. Oleh itu kita pun mempercayai al-Masih, supaya kita diperbenar kerana beriman akan al-Masih, bukan kerana mengerjakan hukum Taurat. Tiada seorang pun manusia yang diperbenar kerana mengerjakan hukum Taurat.

17‘Tetapi, ketika kita berusaha untuk diperbenar melalui al-Masih, ternyata kita sendiri didapati berdosa, adakah ini bermakna al-Masih mengajar kita berdosa? Tidak sekali-kali! 18Kalaulah kubina semula apa yang pernah kuruntuhkan, nyatalah aku seorang pelanggar hukum. 19Melalui hukum Taurat, aku telah mati kepada hukum itu untuk hidup kepada Allah. 20Aku telah disalib bersama al-Masih, bukanlah aku lagi yang hidup, tetapi al-Masih yang hidup dalam aku. Dalam hidup jasadku sekarang aku hidup dengan iman kepada Putera Allah, yang mengasihiku dan menyerahkan diri-Nya untukku. 21Aku tidak mengetepikan kasih kurnia Allah, kerana jika kebenaran datang daripada hukum Taurat, sia-sialah kematian al-Masih!’

↑ ↑ ↑ 3

Diperbenar melalui iman

1Wahai orang Galatia yang tidak berakal! Siapakah yang telah menyihirkan kamu sedangkan di hadapan matamu Isa al-Masih telah jelas ditunjukkan tersalib? 2Hanya ini yang ingin kuketahui daripadamu: Adakah kamu menerima Roh Suci kerana mengerjakan hukum Taurat, atau kerana percaya kepada Injil yang dikhabarkan? 3Di manakah akalmu? Setelah bermula dengan Roh, sekarang kamu hendak menyempurnakan diri dengan kekuatan jasmani? 4Adakah segala yang kamu deritai itu sia-sia sahaja – kalaulah sebenarnya sia-sia? 5Tuhan yang mengurniakan Roh-Nya kepadamu dan mengerjakan mukjizat di kalanganmu, adakah Dia melakukannya kerana kamu mengerjakan hukum Taurat, atau kerana kamu percaya Injil yang dikhabarkan?

6Samalah sebagaimana Ibrahim: ‘Dia mempercayai Allah, dan hal itu diperhitungkan baginya sebagai kebenaran.’ 7Oleh itu ketahuilah, hanya mereka yang beriman dianggap anak cucu Ibrahim.

8Oleh sebab telah diketahui bahawa Allah akan memperbenar bangsa asing melalui iman, Kitab Suci telah menyampaikan Injil itu kepada Ibrahim terlebih dahulu: ‘Melalui engkau, semua bangsa akan diberkati.’ 9Dengan demikian, semua orang yang beriman diberkati bersama Ibrahim yang beriman.

10Setiap orang yang bergantung kepada usahanya sendiri mengerjakan hukum Taurat adalah terlaknat, kerana sudah tersurat: ‘Terlaknatlah mereka yang tidak terus-menerus melakukan segala yang tersurat dalam Hukum Kitab Taurat.’ 11Jelaslah bahawa tiada siapapun diperbenar di sisi Allah dengan mengerjakan hukum Taurat, kerana, ‘Orang yang benar akan hidup dengan iman.’ 12Hukum Taurat tidak berdasarkan iman; tetapi, ‘Orang yang melakukan hal-hal ini akan hidup dengannya.’

13Al-Masih telah menebus kita daripada laknat hukum Taurat itu dengan menanggung laknat itu untuk kita, kerana telah tersurat: ‘Terlaknatlah setiap orang yang tergantung pada kayu salib.’ 14Dia menebus kita supaya berkat Ibrahim datang kepada bangsa asing melalui Isa al-Masih, dan kita menerima Roh yang dijanjikan itu melalui iman.

Hukum Taurat atau perjanjian

15Saudara-saudara, aku hendak menggunakan contoh daripada hidup sehari-hari. Walaupun suatu perjanjian hanya antara manusia, namun setelah ditetapkan, tiada siapa harus memansuhkannya atau menolak-tambah padanya, begitulah juga hal ini. 16Janji Allah telah dibuat kepada Ibrahim dan benihnya. Kitab Suci tidak menyebut ‘dan kepada benih-benih,’ dengan erti ramai orang, tetapi ‘dan kepada Benihmu,’ yang bererti seorang sahaja, iaitu al-Masih. 17Aku berkata bahawa hukum Taurat, yang datang 430tahun kemudian, tidak dapat memansuhkan perjanjian yang telah ditetapkan dahulu oleh Allah atau menjadikan janji itu tidak sah lagi. 18Jika warisan itu daripada hukum Taurat, itu bukanlah lagi berdasarkan janji; tetapi Allah dalam kasih kurnia-Nya telah memberikannya kepada Ibrahim melalui janji.

19Kalau begitu, apakah tujuan hukum Taurat? Hukum itu ditambahkan kerana pelanggaran manusia. Hukum itu berterusan sehingga datangnya Benih yang dijanjikan itu, dan hukum itu diberikan melalui malaikat oleh seorang pengantara. 20Pengantara tidaklah menjadi pengantara bagi satu pihak sahaja; tetapi Allah itu Esa.

21Jadi, adakah hukum Taurat itu berselisih dengan janji-janji Allah? Tidak sekali-kali! Kerana kalaulah ada hukum yang dapat memberikan kehidupan, tentulah kebenaran didapati melalui hukum itu. 22Namun, Kitab Suci telah menentukan bahawa semuanya terbelenggu oleh dosa, supaya apa yang dijanjikan melalui iman dalam Isa al-Masih dapat diberikan kepada mereka yang percaya.

23Sebelum datangnya iman, kita dikawal oleh hukum Taurat, dikurung sementara menantikan iman yang akan dinyatakan kelak. 24Oleh itu, hukum Taurat adalah guru kita, yang membawa kita kepada al-Masih untuk dibenarkan oleh iman. 25Tetapi selepas datangnya iman, kita tidak lagi di bawah pengawasan hukum Taurat.

Anak dan waris melalui al-Masih

26Kamu semua telah menjadi anak Allah melalui iman terhadap Isa al-Masih. 27Dan semua di antara kamu yang telah diimadkan dalam al-Masih telah meliputi dirimu dengan al-Masih.

28Tiadalah lagi orang Yahudi atau orang Yunani, hamba atau orang merdeka, lelaki atau perempuan, kamu semua menjadi satu dalam Isa al-Masih. 29Dan jika kamu milik al-Masih, kamu adalah benih Ibrahim, dan menjadi waris menurut janji itu.

↑ ↑ ↑ 4

Tiada lagi perhambaan

1Sekarang aku berkata bahawa waris, selagi dia masih kanak-kanak, tidak berbeza daripada hamba, walaupun dia tuan kepada segala miliknya. 2Dia di bawah kawalan para penjaga dan pengurus sehingga masa yang ditetapkan oleh bapanya. 3Demikianlah kita, ketika masih kanakkanak, diperhamba menurut pelajaran peringkat awal dunia. 4Tetapi apabila sampai waktunya, Allah telah menghantar Putera-Nya, yang dilahirkan melalui seorang perempuan, di bawah hukum Taurat,

5untuk menebus mereka yang di bawah hukum itu, supaya kita mendapat hak sepenuh sebagai anak.

6Dan kerana kamu anak-anak-Nya, Allah telah menghantar Roh Putera-Nya ke dalam hatimu, Roh yang berseru, ‘Abba, Bapa.’ 7Dengan demikian kamu bukan lagi hamba tetapi anak; dan sebagai anak, Allah telah menjadikan kamu waris-Nya.

Paulus bimbang tentang orang Galatia

8Dulu, ketika kamu belum mengenal Allah, kamu telah memperhambakan diri kepada dewa-dewa yang sebenarnya bukan tuhan. 9Tetapi sekarang, setelah kamu mengenal Allah – atau lebih tepat, dikenali Allah – mengapakah kamu berpaling semula kepada ajaran peringkat awal yang lemah dan serba kurang itu, dan ingin terbelenggu semula sebagai hamba kepadanya? 10Kamu mematuhi hukum tentang hari, bulan, musim dan tahun! 11Aku bimbang tentangmu, takut kalau-kalau aku berusaha untukmu dengan sia-sia.

12Saudara-saudara, aku meminta supaya kamu menjadi sepertiku, kerana dulu aku pun seperti kamu. Kamu tidak pernah menganiayaku. 13Kamu tahu bahawa kerana kedaifan jasmani, aku mula-mula mengajarkan Injil kepadamu. 14Dan kamu tidak menghina atau menyingkirkan aku kerana cubaan jasmani yang kutanggung. Sebaliknya kamu telah menyambutku seperti malaikat Allah, malah seperti Isa al-Masih. 15Betapakah berkat yang kamu nikmati ketika itu? Kerana aku bersaksi bahawa, kalau boleh, kamu rela mencungkil matamu sendiri dan memberikannya kepadaku.

16Adakah aku telah menjadi seterumu kerana aku menyatakan yang benar kepadamu?

17Mereka bersungguh-sungguh menawan hatimu, tetapi bukan dengan niat yang baik. Mereka hendak mengasingkan kamu, supaya kamu bersungguh-sungguh hendak menawan hati mereka.

18Memang elok bersungguh-sungguh dalam perkara yang baik, dan bukan hanya ketika aku ada bersamamu. 19Hai anak-anak kecilku, aku mengalami sengsara seperti hendak melahirkan kamu sekali lagi sehingga al-Masih terbentuk dalam dirimu. 20Aku rindu hendak bersama kamu sekarang dan mengubah nada suaraku, kerana aku amat bimbang tentangmu!

Hagar dan Sarah

21Katakan kepadaku, kamu yang ingin hidup di bawah hukum Taurat, tidakkah kamu dengar kata-kata hukum itu? 22Tersurat bahawa Ibrahim mempunyai dua orang anak lelaki, seorang dengan hamba perempuan dan seorang lagi dengan perempuan merdeka. 23Anak dengan hamba perempuan itu dilahirkan sebagaimana kebiasaan manusia; tetapi anak dengan perempuan merdeka itu dilahirkan kerana janji.

24Ini adalah ibarat kerana dua perempuan itu mewakili dua perjanjian – satu daripada Gunung Sinai yang melahirkan anak-anak perhambaan, iaitu Hagar, 25kerana Hagar adalah Gunung Sinai di tanah Arab, melambangkan Baitulmaqdis yang ada sekarang, dan berada dalam perhambaan bersama anak-anaknya. 26Tetapi Baitulmaqdis yang di atas adalah merdeka, dan ia ibu kepada kita semua. 27Kerana telah tersurat: ‘Bergembiralah, hai perempuan mandul, kamu yang tidak melahirkan anak; bersorak-sorailah, kamu yang tidak pernah merasa sakit melahirkan anak; kerana perempuan yang sepi lara mempunyai lebih ramai anak daripada yang bersuami.’

28Saudara-saudaraku, kita seperti Ishak, iaitu anak perjanjian. 29Tetapi, sebagaimana anak yang dilahirkan menurut jasad telah menganiaya anak yang dilahirkan menurut Roh, begitulah yang berlaku sekarang. 30Walau bagaimanapun, apakah yang dikatakan dalam Kitab Suci? ‘Singkirkan hamba perempuan itu dengan anaknya, kerana anak kepada hamba perempuan itu tidak akan menjadi waris bersama anak kepada perempuan merdeka.’ 31Dengan demikian, saudara-saudara, kita bukanlah anak kepada hamba perempuan, tetapi kepada perempuan yang merdeka.

↑ ↑ ↑ 5

Kemerdekaan dalam al-Masih

1Demi kemerdekaan al-Masih telah memerdekakan kita. Oleh itu berpegang teguhlah kepada kemerdekaan yang telah diberikan oleh al-Masih kepada kita, dan jangan biarkan diri diperhambakan semula. 2Dengarlah kata-kataku! Aku, Paulus, bersaksi kepadamu bahawa jika kamu bersunat kelak, tiada berfaedahlah al-Masih kepadamu. 3Dan aku bersaksi lagi kepada setiap orang yang bersunat, bahawa dia berhutang dan mesti mengerjakan seluruh hukum Taurat. 4Kamu yang berusaha untuk diperbenar melalui hukum Taurat telah terpisah daripada al-Masih. Kamu telah terkeluar daripada kasih kurnia Allah. 5Kita, melalui Roh, bersungguh-sungguh menantikan harapan mendapat kebenaran dengan iman. 6Kerana dalam Isa al-Masih, baik bersunat mahupun tidak bersunat tidak menghasilkan apa-apa, melainkan iman bekerja melalui kasih.

7Dahulu perjalananmu baik. Siapakah yang telah menghalangmu sehingga kamu tidak lagi menurut yang benar? 8Pujukan ini bukannya daripada Tuhan yang memanggilmu. 9‘Sedikit ragi pun akan meragikan tepung segumpal.’ 10Aku yakin padamu, dalam Tuhan, bahawa fikiranmu tidak akan bercabang; tetapi orang yang mengacau fikiranmu itu akan menerima hukumannya, walau siapapun dia. 11Saudara-saudara, jika aku masih mengajar supaya orang bersunat, mengapakah aku masih dianiaya? Kalau begitu, salib itu tidak lagi menjadi penghalang. 12Ingin kuminta agar orang yang mengacau fikiranmu itu mengasingkan diri mereka sendiri!

13Kerana kamu, saudara-saudara, telah dipanggil untuk mendapat kebebasan. Cuma, janganlah gunakan kebebasan sebagai kesempatan memuaskan hawa nafsu; tetapi berkhidmatlah untuk satu sama lain dengan kasih. 14Kerana seluruh hukum Taurat terlaksana dalam satu ayat: ‘Kasihilah sesama manusia sebagaimana kamu mengasihi dirimu sendiri.’ 15Tetapi jika kamu gigit-menggigit dan makan-memakan sesama sendiri, hati-hatilah, jangan sampai kamu saling membinasakan.

Hidup menurut Roh

16Aku berkata, melangkahlah menurut Roh, maka kamu tidak akan memuaskan hawa nafsu dunia.

17Kerana hawa nafsu dunia menentang Roh, dan Roh menentang hawa nafsu dunia. Kedua-duanya berlawanan, supaya kamu tidak melakukan apa yang hendak kamu lakukan. 18Tetapi jika kamu dipimpin oleh Roh, kamu tidaklah di bawah hukum Taurat.

19Kelakuan hawa nafsu dunia adalah nyata: zina, kecemaran dan kelucahan; 20menyembah berhala dan sihir; kebencian, perbalahan, hasad dengki, letusan kemarahan, cita-cita untuk kebesaran diri, perselisihan, berpuak-puak 21dan iri hati; kemabukan, berpesta keterlaluan, dan sebagainya. Tentang ini aku berkata kepadamu, sebagaimana sudah kukatakan kepadamu dulu, bahawa orang yang mengamalkan perkara-perkara demikian tidak akan mewarisi kerajaan Allah.

22Sebaliknya, buah Roh ialah kasih, sukacita, damai sejahtera, kesabaran, kemurahan, kebaikan, kesetiaan, 23lemah lembut dan penguasaan diri. Tiada hukum yang menentang segala ini. 24Mereka yang menjadi milik al-Masih telah menyalib hawa nafsu dunia berserta keghairahan dan keinginan.

25Jika kita hidup dalam Roh, marilah kita berbuat segalanya dalam Roh juga. 26Janganlah kita menjadi bongkak, saling menyakitkan hati, dan berdengki-dengkian sama sendiri.

↑ ↑ ↑ 6

Saling membantu

1Saudara-saudara, jika seseorang didapati melakukan sesuatu kesalahan, kamu yang bersifat rohani pimpinlah dia ke jalan baik dengan lemah lembut, sambil menjaga dirimu, jangan sampai kamu turut tergoda. 2Tanggung-menanggunglah beban satu sama lain, dan dengan demikian laksanakan hukum al-Masih. 3Jika seseorang menyangka dirinya mempunyai kelebihan sedangkan dia sebenarnya tidak mempunyainya, maka dia menipu dirinya sendiri. 4Setiap orang harus meneliti kerjanya sendiri, supaya dia dapat bermegah atas apa yang ada pada dirinya sahaja, bukan berbanding dengan apa yang ada pada orang lain. 5Ini kerana setiap orang akan menanggung bebannya sendiri.

6Orang yang diajari firman hendaklah berkongsi segala yang baik dengan pengajarnya.

7Janganlah tertipu: Allah tidak dapat dipermainkan, kerana apa yang disemai oleh seseorang, itulah yang akan dituainya. 8Orang yang menyemai bagi hawa nafsu dunia akan menuai kebinasaan daripadanya; manakala orang yang menyemai bagi Roh akan menuai hidup yang kekal. 9Janganlah kita jemu berbuat baik, kerana pada musimnya nanti kita akan menuai jika kita tidak berputus asa.

10Oleh itu, apabila ada peluang, kita haruslah berbuat baik kepada semua orang, lebih-lebih lagi saudara-saudara kita yang seiman.

Bukan persunatan tetapi satu ciptaan baru

11Lihatlah betapa besarnya huruf-huruf yang kutulis kepadamu dengan tanganku sendiri!

12Mereka yang ingin menunjukkan diri baik dalam hal dunia, merekalah yang ingin memaksa kamu bersunat, semata-mata untuk mengelakkan diri mereka dianiaya kerana salib al-Masih.

13Orang yang bersunat itu pun tidak memegang hukum Taurat, tetapi mereka mahu kamu disunatkan supaya mereka dapat bermegah dengan keadaan jasmanimu. 14Tetapi aku sekali-kali tidak mahu bermegah dengan apapun kecuali salib Junjungan kita Isa al-Masih yang melalui-Nya dunia telah disalib kepadaku dan aku juga kepada dunia. 15Ini kerana sama ada bersunat ataupun tidak tiada ertinya; menjadi satu ciptaan baru, itulah yang penting. 16Bagi mereka yang hidup menurut hukum ini, sejahtera dan belas kasihan di atas mereka, dan di atas Israel Allah.

17Akhir kata, janganlah sesiapa menyusahkan aku, kerana pada tubuhku ada parut-parut Isa.

18Saudara-saudara, semoga kasih kurnia Junjungan kita Isa al-Masih menyertaimu. Amin.

↑ ↑ ↑