Kitab Suci Zabur dan Injil/2 Petrus
1
1Daripada Simon Petrus, hamba dan rasul Isa al-Masih, Kepada mereka yang seiman dengan kami melalui kebenaran Allah Tuhan dan Penyelamat kita Isa al-Masih:
2Semoga kamu dilimpahi berkat dan damai sejahtera daripada Allah, kerana kamu mengenal Allah dan Junjungan Isa.
3Dengan kuasa-Nya Allah telah mengurniai kita segala yang diperlukan untuk hidup dan kesalihan, melalui apa yang kita ketahui tentang Dia yang memanggil kita dengan kemuliaan dan kebaikan-Nya.
4Allah telah menganugerahi kita janji yang besar dan berharga. Melaluinya kamu akan mengambil bahagian dalam sifat keilahian Allah setelah menjauhi kebinasaan akibat hawa nafsu di dunia.
5Oleh itu, berusahalah untuk membekalkan imanmu dengan kebaikan; dan kebaikan dengan pengetahuan; 6dan pengetahuan dengan penguasaan diri; dan penguasaan diri dengan ketabahan; dan ketabahan dengan kesalihan; 7dan kesalihan dengan belas ihsan persaudaraan; dan belas ihsan persaudaraan dengan kasih. 8Jika kamu semakin kaya dengan segala ini, tidaklah kamu sia-sia dan hampa dalam mengenal Junjungan kita Isa al-Masih. 9Seseorang yang tidak memiliki sifat-sifat ini adalah rabun, malah buta, dan lupa bahawa dia telah disucikan daripada dosa-dosanya dahulu.
10Oleh itu, saudara-saudaraku, berusahalah lebih keras lagi untuk memastikan kekalnya panggilan dan pilihan Allah akan dirimu. Jika kamu melakukan segala ini, kamu tidak akan tersandung. 11Kamu akan diberi sepenuh hak untuk menikmati kerajaan kekal Junjungan dan Penyelamat kita Isa al-Masih.
12Oleh itu, aku tidak akan lalai daripada mengingatkan kamu tentang segala ini, walaupun kamu sudah mengetahuinya dan berpegang teguh pada ajaran benar yang kamu terima. 13Selagi ada hayatku, wajarlah aku mengingatkan kamu tentang hal-hal itu. 14Aku tahu tidak lama lagi aku akan meninggalkan dunia ini, sebagaimana telah dinyatakan jelas kepadaku oleh Junjungan kita Isa al-Masih. 15Aku akan mengusahakan supaya kamu tetap diingatkan tentang hal-hal itu setelah aku tiada lagi.
16Kami tidaklah bercerita dongeng kepadamu apabila kami memberitahumu tentang kekuasaan Junjungan kita Isa al-Masih dan kedatangan-Nya. Kami telah menyaksikan kemuliaan-Nya dengan mata kami sendiri. 17Dia telah menerima penghormatan dan kemuliaan daripada Allah Bapa. Suatu suara daripada Yang Maha Tinggi berfirman, ‘Inilah Putera-Ku yang Kukasihi dan dengan-Nya Aku berkenan.’ 18Kami telah mendengar suara yang datang dari syurga ketika kami bersama-Nya di puncak gunung suci.
19Dengan demikian, kata-kata nubuat yang ada pada kami menjadi lebih jelas. Terimalah katakata nubuat ini seperti lampu yang bersinar di tempat gelap, hingga fajar menyingsing dan bintang pagi terbit di dalam hatimu. 20Hal terutama yang harus kamu ketahui ialah bahwa tidak ada satu nubuat pun dalam Kitab Suci yang berasal dari pentafsiran sendiri, 21kerana nubuat bukanlah lahir dengan kehendak manusia, tetapi diungkapkan oleh orang ketika didorong oleh Roh Suci untuk menyampaikan firman daripada Allah.
↑ ↑ ↑ 2
1Namun demikian, ada nabi-nabi palsu di kalangan umat Allah pada zaman dahulu. Di antaramu juga akan muncul guru-guru palsu yang secara rahsia membawa masuk ajaran sesat yang memusnahkan. Mereka tergamak menyangkal Tuhan yang telah menyelamatkan mereka, lalu mereka ditimpa kemusnahan dalam sekelip mata. 2Ramai orang akan mengikut cara mereka yang memalukan itu. Oleh itu, jalan yang benar akan dikufuri. 3Dengan tamak haloba, mereka akan memperalatkan kamu melalui kata-kata dusta. Hukuman untuk mereka sudah ditetapkan dan akan menimpa mereka.
4Allah tidak melepaskan malaikat yang berdosa daripada hukuman, tetapi menghumbankan mereka ke neraka dan membelenggu mereka dalam kegelapan untuk dihakimi kelak. 5Dan Allah juga tidak melepaskan dunia purba daripada hukuman. Allah hanya menyelamatkan Nuh, penyampai kebenaran dengan tujuh orang yang lain, ketika Dia mendatangkan air bah kepada semua manusia yang ingkar. 6Allah telah memusnahkan kota Sodom dan Gomora sehingga menjadi abu, membinasakan penduduknya sebagai contoh hukuman terhadap orang yang ingkar. 7Tetapi Allah menyelamatkan Lut, seorang yang benar, yang berdukacita kerana kelakuan cabul orang durjana
8(jiwa Lut yang benar terseksa dari hari ke hari melihat dan mendengar perlakuan liar orang di kelilingnya). 9Nyatalah bahawa Tuhan mengetahui cara membebaskan orang yang warak daripada godaan dan mengasingkan orang durjana untuk dihukum pada hari penghakiman, 10terutamanya mereka yang menurut hawa nafsu cabul dan menghina kekuasaan Allah. Mereka menganggap diri mereka besar dan mengikut kehendak sendiri semata-mata. Mereka tidak takut mencela makhluk yang adikudrati. 11Sedangkan para malaikat yang lebih kuat dan berkuasa tidak pernah mencela dan menuduh makhluk yang adikudrati itu di hadapan Tuhan.
12Tetapi mereka ini, seperti binatang buas yang dijadikan untuk ditangkap dan dibunuh, mencela hal-hal yang tidak difahaminya, maka mereka akan dibinasakan.
13Mereka akan menerima balasan perbuatan maksiat mereka seperti bersuka ria pada siang hari untuk memuaskan hawa nafsu. Mereka dipenuhi cacat cela dan bergembira memperdayamu sambil berjamu bersamamu. 14Mata mereka dipenuhi nafsu cabul dan sentiasa berdosa, menggoda orang yang goyah imannya, hati mereka dikuasai tamak haloba dan mereka anak-anak yang terlaknat.
15Mereka telah meninggalkan jalan yang benar lalu sesat mengikut jalan Bileam anak Bior, yang suka mendapat upah daripada kejahatan. 16Tetapi dia telah ditegur kerana perbuatan jahatnya oleh seekor keldai yang bercakap dengan suara manusia lalu menjadikan Bileam waras semula.
17Mereka ini ibarat mata air yang kering dan kabus yang ditiup ribut. Kegelapan yang hitam pekat tersedia untuk mereka. 18Apabila mereka mengeluarkan kata-kata yang hebat tetapi kosong, mereka menggunakan hawa nafsu dan keinginan cabul untuk menggoda orang yang baru terlepas daripada golongan yang hidup sesat. 19Mereka menjanjikan kebebasan, sedangkan mereka sendiri hamba kebinasaan – kerana seseorang yang dikalahkan itu menjadi hamba kepada yang mengalahkannya.
20Sekiranya, seseorang telah terlepas daripada noda dunia dengan mengenal Junjungan dan Penyelamat kita Isa al-Masih, kemudian terjebak semula lalu tewas, maka keadaannya lebih buruk daripada sebelum dia mengenal al-Masih. 21Lebih baiklah jika dia tidak mengenal jalan yang benar, daripada mengenalnya, dan kemudian membelakangi perintah suci yang telah disampaikan kepadanya. 22Yang terjadi kepadanya itu seperti kata pepatah yang terbukti tepat: ‘Anjing akan menjilat muntahnya kembali,’ dan ‘Babi yang dimandikan akan berkubang semula di lumpur.’
↑ ↑ ↑ 3
1Saudara-saudara yang kukasihi, aku menulis surat yang kedua ini kepadamu. Aku menulis keduadua suratku untuk merangsang pemikiran murnimu untuk mengingatkanmu 2supaya kamu ingat akan nubuat para nabi yang suci dan perintah Junjungan dan Penyelamat kita sebagaimana yang disampaikan oleh para rasulmu.
3Pertama, kamu harus tahu bahawa para pencemuh akan muncul pada akhir zaman. Sambil berbuat sesuka hati memuaskan nafsu, 4mereka akan berkata, ‘Manakah “kedatangan-Nya” yang dijanjikan itu? Nenek moyang kita sudah tiada, tetapi segala-galanya berterusan seperti sejak alam mula dicipta.’ 5Mereka sengaja melupakan bahawa dahulu Allah telah mencipta langit dan bumi dengan firman-Nya dan bumi dibentuk daripada air dan dengan air, 6dan dengan air itu juga dunia yang wujud dahulu dimusnahkan dengan air bah. 7Tetapi langit dan bumi yang sekarang dipelihara dengan firman itu juga akan dimusnahkan dengan api, menjelang harinya orang ingkar dihukum dan dibinasakan. 8Tetapi, saudara-saudara yang kukasihi, jangan lupa satu perkara: Di sisi Tuhan satu hari serupa seribu tahun, dan seribu tahun serupa satu hari. 9Tuhan bukannya lengah menepati janji, seperti sangkaan sesetengah orang, tetapi amat bersabar dengan kita, kerana Dia tidak mahu seorang pun binasa dan Dia ingin semuanya bertaubat.
10Namun, hari Tuhan akan tiba seperti datangnya pencuri pada malam hari. Langit akan lenyap dengan bunyi gemuruh dan segala anasir akan lebur oleh kepanasan yang dahsyat, bumi serta segala yang wujud di dalamnya akan hangus terbakar.
11Oleh sebab segala-galanya akan musnah, bagaimanakah sewajarnya kamu hidup? Kamu harus hidup suci dan taat akan Allah, 12sementara menanti dan mempercepat menjelangnya hari penghakiman Allah. Pada hari itu langit akan musnah terbakar dan segala anasir lebur oleh kepanasan yang dahsyat. 13Tetapi kita berpegang kepada apa yang telah dijanjikan-Nya, iaitu langit baru dan bumi baru yang dipenuhi dengan segala yang baik.
14Oleh itu, saudara-saudara yang kukasihi, sementara menantikan semua itu, berusahalah untuk hidup suci dan tidak bercela di sisi Allah. 15Anggaplah kesabaran Tuhan kita sebagai penyelamatan, sebagaimana saudara kita yang dikasihi, Paulus, telah mengatakan dalam suratnya untukmu, dengan kebijaksanaan yang telah dikurniakan kepadanya. 16Paulus menulis tentang hal-hal demikian dalam semua suratnya. Sesetengahnya sukar difahami, lalu orang yang jahil dan tipis iman memesongkan ertinya ke arah kebinasaan diri mereka sendiri. Demikian juga dilakukan oleh mereka terhadap tulisan-tulisan lain dalam Kitab Suci. 17Saudara-saudara yang kukasihi, oleh sebab kamu telah mengetahui hal ini, berjaga-jagalah, jangan tergelincir daripada pendirianmu yang teguh akibat disesatkan oleh kesilapan orang durjana.
18Hendaklah kamu semakin kukuh dalam kasih kurnia Junjungan dan Penyelamat kita Isa al-Masih dan semakin mengenal-Nya. Bagi-Nya kemuliaan, sekarang dan selama-lamanya! Amin.