Lompat ke isi

Kitab Suci Zabur dan Injil/Titus

Dari Wikisumber bahasa Indonesia, perpustakaan bebas

diterjemahkan oleh tim Pengamat Kitab Mulia (2013); CC-BY-ND 4.0

Pasal 1 2 3


1

1Surat ini daripada Paulus, sebagai hamba Allah dan rasul Isa al-Masih demi iman semua orang pilihan Allah dan pengetahuan akan kebenaran yang menghasilkan kesalihan. 2Iman dan pengetahuan itu berasaskan harapan untuk memperoleh hidup yang kekal. Allah tidak berdusta, Dia telah menjanjikan hidup ini sebelum permulaan zaman. 3Pada masa yang telah ditentukan, Allah menyatakan janji itu melalui perkhabaran-Nya yang diamanahkan kepadaku. Aku menyebarkan perkhabaran ini dengan perintah Allah Penyelamat kita,

4Kepada Titus, kamu seperti anakku sendiri dalam iman kita yang sama: Semoga Allah Bapa dan Isa al-Masih Penyelamat kita menganugerahimu kasih kurnia dan sejahtera.

Tugas Titus di Kreta

5Aku telah meninggalkanmu di Kreta supaya kamu dapat melaksanakan segala hal yang masih perlu diselesaikan serta melantik tua-tua di setiap kota seperti telah kuarahkan kepadamu. 6Seorang tua-tua hendaklah tidak bercela, dan beristeri seorang sahaja, manakala anak-anaknya haruslah hidup beriman dan tidak dapat dituduh berkelakuan liar serta ingkar. 7Ini perlu kerana seorang penyelia jemaah memegang tugas mengendalikan pekerjaan Allah. Oleh yang demikian, dia mestilah tidak bercela – tidak menindas orang lain, tidak pemarah, tidak pemabuk, tidak ganas, dan tidak rakus. 8Dia haruslah bersifat mesra, mencintai kebaikan, pandai menguasai diri, tulus, suci dan berdisiplin. 9Dia mesti berpegang teguh kepada perkhabaran yang layak dipercayai serta selaras dengan asas iman. Dengan demikian dapatlah dia menggalakkan orang menerima ajaran yang benar dan menunjukkan kesilapan mereka yang menentang ajaran itu.

10Ini kerana adanya ramai pemberontak, orang yang bercakap kosong dan penipu, terutamanya orang yang dahulunya daripada mazhab persunatan. 11Mulut mereka mesti ditutupkan kerana mereka telah memesongkan seisi keluarga orang dengan mengajar ajaran yang tidak patut – untuk mendapat keuntungan yang haram. 12Seorang nabi mereka dari Kreta pernah berkata, ‘Orang Kreta pembohong. Mereka rakus dan malas laksana binatang buas.’ 13Kata-kata itu memang benar. Oleh itu tegurlah dengan tegas sesiapa yang menyebarkan ajaran palsu, supaya mereka tetap berpegang teguh kepada ajaran yang benar, 14dan tidak terpengaruh dengan cerita karut orang Yahudi atau perintah-perintah yang dikenakan oleh orang yang menolak ajaran yang benar. 15Bagi orang yang suci, segala-galanya suci. Sebaliknya bagi orang yang fikirannya dinodai dosa dan tidak percaya akan kebenaran, tiada suatu pun yang suci, kerana jiwa dan hati nuraninya sudah tercemar. 16Mereka mendakwa mereka mengenal Allah, tetapi perbuatan mereka tidak membuktikan dakwaan ini. Mereka terkutuk, ingkar kepada Allah, dan tidak dapat melakukan sesuatu yang baik.

↑ ↑ ↑ 2

Tanggungjawab orang tua dan muda

1Kamu harus sampaikan ajaran yang selaras dengan asas kepercayaan yang benar. 2Nasihatilah lelaki yang lebih tua supaya hidup sederhana, dihormati orang, mempunyai penguasaan diri, kuat beriman, penuh dengan kasih dan kegigihan.

3Seterusnya, nasihatilah perempuan yang lebih tua supaya berkelakuan santun: jangan menjadi pengumpat, peminum, sebaliknya ajarkanlah kebaikan. 4Dengan demikian dapatlah perempuan yang lebih tua membimbing perempuan muda supaya mengasihi suami dan anak-anak, 5pandai mengawal diri, suci, menjadi suri rumah yang rajin, baik hati, dan taat kepada suami. Maka tidaklah dapat orang mencela perkhabaran Allah.

6Orang lelaki muda pula, nasihatilah mereka supaya mengawal diri. 7Jadilah teladan kepada mereka dengan melakukan perbuatan yang baik. Ajarlah mereka dengan ikhlas dan bersungguhsungguh

8dan gunakan kata-kata bijak yang tidak dapat dicela, supaya musuhmu malu kerana gagal mencari kesalahan kita. 9Ajarkan hamba supaya mematuhi perintah dan menyenangkan hati tuannya dalam semua perkara. Hamba tidak harus membantah 10atau mencuri, sebaliknya hendaklah sentiasa amanah sehingga dalam segala hal mereka menjadikan ajaran tentang Allah Penyelamat kita itu menarik.

11Hal ini demikian kerana kasih kurnia Allah yang menyelamatkan seluruh umat manusia telah nyata. 12Kita diajar supaya hidup warak, tidak memburu hal-hal duniawi, mengawal diri, ikhlas, dan menghormati Allah pada zaman ini. 13Kita sedang menunggu Hari yang kita harap-harapkan, ketika kemuliaan Allah Maha Besar dan Isa al-Masih Penyelamat kita akan terserlah. 14Al-Masih telah mengorbankan nyawa-Nya untuk membebaskan kita daripada segala kejahatan, menyucikan kita, menjadikan kita milik-Nya serta mendorong kita berbuat baik.

15Ajarkanlah segala ini, dan galakkan serta tegur semua yang mendengar kata-katamu dengan penuh wibawa. Jangan biarkan sesiapa memandang rendah kepadamu.

↑ ↑ ↑ 3

Melakukan apa yang baik

1Nasihati jemaahmu supaya taat akan pemerintah dan penguasa, serta sentiasa bersedia melakukan kebaikan. 2Larang mereka mengumpat atau bertengkar, dan dorong mereka bersikap ramah-tamah serta lemah lembut kepada semua orang.

3Dahulu kita juga bodoh, ingkar dan sesat. Kita dikuasai pelbagai nafsu dan keinginan. Kita hidup dengki-mendengki dan benci-membenci. 4Tetapi Allah Penyelamat kita menunjukkan kasih dan ihsan-Nya kepada kita. 5Allah menyelamatkan kita, bukan kerana kebenaran yang kita lakukan, tetapi kerana belas kasihan-Nya. Dia menyelamatkan kita melalui pentahiran kelahiran semula dan melalui pembaharuan yang dilakukan Roh Suci. 6Allah melimpahkan Roh Suci itu kepada kita melalui Isa al-Masih, Penyelamat kita. 7Maka dengan kasih kurnia-Nya kita sudah dibenarkan untuk menjadi anak waris yang mendapat hidup kekal yang kita harapkan. 8Kata-kata ini benar. Berikanlah perhatian terhadap hal-hal tersebut, supaya orang yang beriman kepada Allah berusaha sepenuhnya untuk melakukan segala yang baik serta bermanfaat kepada semua orang.

9Sebaliknya, jauhilah perbahasan yang sia-sia, perbuatan menyusur-galur nenek moyang, pertengkaran dan pertikaian tentang hukum Taurat. Segala ini tidak membawa faedah. 10Berikan amaran kepada sesiapa yang menyebabkan perpecahan di kalangan jemaah. Nasihati dia sekurangkurangnya dua kali; jika dia tidak berubah, jauhilah dia. 11Kamu tahu bahawa orang yang demikian itu sesat dan berdosa; dia menjatuhkan hukuman atas dirinya sendiri.

Salam akhir

12Apabila aku mengutus Artemas atau Tikhikus kepadamu, cubalah seberapa daya mengunjungiku di Nikopolis, kerana aku telah membuat keputusan akan berada di situ pada musim dingin. 13Berikanlah sepenuh bantuan kepada peguam yang bernama Zenas dan kepada Apolos, supaya mereka dapat memulakan perjalanan tanpa kekurangan apa-apa. 14Jemaah kita haruslah mengamalkan kebajikan untuk membantu orang yang memerlukan pertolongan. Dengan demikian bergunalah hidup mereka.

15Semua saudara yang bersamaku berkirim salam kepada sahabat-sahabat seiman. Semoga kasih kurnia Allah menyertai kamu semua.

↑ ↑ ↑