Lompat ke isi

Kitab Suci Zabur dan Injil/2 Timotius

Dari Wikisumber bahasa Indonesia, perpustakaan bebas

diterjemahkan oleh tim Pengamat Kitab Mulia (2013); CC-BY-ND 4.0

Pasal 1 2 3 4


1

1Surat ini daripada Paulus, rasul Isa al-Masih, dengan kehendak Allah, menurut apa yang telah dijanjikan, iaitu hidup di dalam Isa al-Masih,

2Kepada Timotius, anakku yang dikasihi: Semoga Allah Bapa dan Isa al-Masih, Junjungan kita, menganugerahimu kasih kurnia, belas kasihan dan kesejahteraan.

Kesetiaan dalam iman

3Aku bersyukur kepada Allah yang kusembah dengan hati nurani yang suci sebagaimana telah dilakukan oleh nenek moyangku. Aku sentiasa mengingatimu dalam doaku siang malam. 4Apabila aku mengenang air matamu, aku sungguh ingin bertemu kembali denganmu supaya hatiku dipenuhi rasa bahagia. 5Aku juga mengingati imanmu yang tulus ikhlas, yang mula tersemai di jiwa nenekmu Lois dan ibumu Eunike, dan aku yakin bertapak dalam dirimu juga. 6Oleh itu aku mengingatkanmu supaya menggerakkan kurnia Allah yang berada dalam dirimu sejak aku meletakkan tangan ke atasmu. 7Allah tidak memberi kita semangat ketakutan, tetapi kuasa, kasih dan tatatertib.

8Oleh yang demikian, janganlah berasa malu untuk memberikan kesaksian tentang Junjungan kita atau malu bahawa aku terpenjara kerana-Nya, tetapi bersamalah denganku menanggung penderitaan kerana Injil menurut kuasa Allah. 9Allah menyelamatkan kita dan memanggil kita untuk hidup suci, bukanlah kerana amalan yang telah kita lakukan, tetapi kerana tujuan dan kasih kurnia-Nya yang telah dianugerahkan-Nya kepada kita dalam Isa al-Masih sebelum permulaan zaman.

10Sekarang segala ini telah dinyatakan dengan kedatangan Penyelamat kita Isa al-Masih, yang melenyapkan kematian dan memberikan penerangan tentang hidup kekal selama-lamanya melalui Injil. 11Aku telah ditugaskan menjadi seorang daripada pemberita Injil, rasul, dan guru. 12Oleh itu aku menanggung segala penderitaan ini. Namun, aku tidak berasa malu, kerana aku tahu akan Tuhan yang kupercayai dan aku yakin Dia dapat memelihara apa yang kuserahkan kepada-Nya hingga pada Hari itu. 13Berpegang teguhlah kepada rangkaian kata-kata benar yang telah kamu dengar daripadaku, dengan iman dan kasih dalam Isa al-Masih. 14Peliharalah perkara baik yang diamanahkan kepadamu dengan Roh Suci yang berada dalam diri kita.

15Kamu tahu bahawa semua yang di Asia telah berpaling daripadaku, termasuk Figelus dan Hermogenes.

16Semoga Tuhan menunjukkan kasihan kepada Onesiforus sekeluarga, kerana dia sering menyegarkan tubuh dan jiwaku, serta tidak malu bahawa aku dipenjarakan, 17malah apabila dia tiba di Rom, dia telah mencariku sedaya upaya sehingga bertemu. 18Semoga Tuhan mengurniainya supaya mendapat belas kasihan daripada-Nya pada Hari itu! Engkau cukup mengetahui pelbagai cara dia telah menolongku di Efesus.

↑ ↑ ↑ 2

1Anakku, kuatkan dirimu dengan kasih kurnia yang ada dalam Isa al-Masih. 2Segala yang telah kaudengar daripadaku di hadapan saksi yang ramai, sampaikan kepada orang setia yang dapat mengajarkannya kepada orang lain pula. 3Kamu mestilah ikut serta menanggung kesusahan sebagai seorang askar yang baik di bawah Isa al-Masih. 4Seseorang yang memegang tugas dalam peperangan tidak akan melibatkan dirinya dengan hal ehwal kehidupan ini, supaya dia mendapat keredaan orang yang mengambilnya sebagai askar. 5Demikian juga jika seseorang menyertai pertandingan olahraga, dia tidak akan mendapat mahkota kemenangan melainkan dia bertanding mengikut semua peraturan. 6Petani yang telah bertungkus-lumus, pasti dialah yang pertama menikmati hasil tanaman. 7Fikirkan kata-kataku kerana Tuhan akan mengurniaimu pengertian dalam semua perkara.

8Ingatlah bahawa Isa al-Masih, keturunan Daud, telah dibangkitkan daripada kematian menurut Injil yang kusampaikan, 9yang kerananya aku menderita seolah-olah aku seorang penjahat, sehingga dipenjarakan. Tetapi firman Allah tidak mungkin dipenjarakan. 10Oleh itu aku menanggung segalanya untuk mereka yang terpilih, supaya mereka juga mendapat penyelamatan dalam Isa al-Masih dengan kemuliaan yang kekal.

11Kata-kata ini benar: Jika kita mati bersama-Nya, kita juga akan hidup bersama-Nya;

12jika kita tabah, kita juga akan memerintah bersama-Nya. Jika kita menyangkal-Nya, Dia juga akan menyangkal kita;

13jika kita tidak setia, Dia tetap setia, Dia tidak boleh menyangkal diri-Nya.

Pekerja yang diredai Allah

14Ingatkan mereka tentang segala ini. Pesan kepada mereka di hadapan Allah supaya jangan bertengkar sia-sia tentang kata-kata, sehingga membinasakan orang yang mendengar.

15Berusahalah supaya ternyata kamu diredai Allah, seorang pekerja yang tidak perlu berasa malu, yang menyebarkan kebenaran dengan sewajarnya. 16Jauhi percakapan yang bercorak duniawi dan sia-sia, kerana ini akan menambah kemungkaran. 17Kata-kata mereka akan merebak seperti penyakit barah, Himeneus dan Filetus termasuk orang begini. 18Mereka telah sesat dalam hal kebenaran. Mereka berkata bahawa kebangkitan daripada kematian telah berlalu, dan mereka merosakkan iman sesetengah orang. 19Namun demikian, asas kukuh Allah tetap bertapak, diteguhkan oleh: ‘Tuhan mengenal siapa milik-Nya,’ dan ‘Setiap orang yang menyebut nama Tuhan hendaklah meninggalkan kejahatan.’

20Tetapi di dalam rumah yang besar bukan hanya ada bekas daripada emas dan perak tetapi juga daripada kayu dan tanah liat, sesetengahnya untuk kegunaan mulia dan sesetengahnya untuk kegunaan cemar. 21Dengan demikian, jika seseorang membersihkan dirinya daripada kecemaran, dia akan menjadi bekas untuk kegunaan mulia, berguna kepada Tuannya, dan bersedia untuk melakukan kerja yang baik.

22Singkirkan hawa nafsu muda. Berusaha mengamalkan kebenaran, iman, kasih dan kesejahteraan bersama mereka yang menyeru Tuhan dengan hati yang suci. 23Jauhi perbahasan yang sia-sia dan jahil, sebab kamu tahu semua ini mencetuskan perkelahian. 24Hamba Tuhan tidak harus berkelahi. Sebaliknya, mereka mestilah lemah lembut kepada semua orang, pandai mengajar, sabar, dan 25dengan rendah hati menegur orang yang menentang, semoga Allah membukakan hati mereka untuk bertaubat supaya mereka mengenal kebenaran, 26lalu mereka menjadi waras semula dan terlepas daripada cengkaman Iblis yang telah memerangkap mereka untuk melakukan kehendaknya.

↑ ↑ ↑ 3

Kemungkaran pada akhir zaman

1Ketahuilah, bahawa pada akhir zaman, akan datang suatu masa yang sukar. 2Manusia akan menjadi pencinta diri, pencinta wang, bercakap besar, berlagak bongkak, mencaci-maki, ingkar terhadap ibu bapa, tidak bersyukur, tidak suci, 3tidak mengasihi, tidak mengampuni, suka memfitnah, tidak menguasai diri, buas dan pembenci kebaikan, 4khianat, gopoh, angkuh, serta lebih mencintai keseronokan daripada mengasihi Allah. 5Mereka menjalankan kewajipan agama tetapi menyangkal kuasanya. Jauhilah orang demikian.

6Di kalangan mereka ada yang masuk secara rahsia ke rumah orang dan memerangkap perempuan lemah, yang dibebani dosa serta dipengaruhi pelbagai keinginan. 7Perempuan-perempuan ini sentiasa belajar tetapi tidak menerima kebenaran. 8Sebagaimana Yanes dan Yambres melawan Nabi Musa dahulu, demikianlah orang ini menentang ajaran yang benar – mereka tidak berfikiran waras dan telah menyeleweng daripada iman sebenar. 9Namun mereka tidak akan berjaya lebih jauh lagi, kerana semua orang akan menyedari kebodohan mereka, seperti halnya dengan Yanes dan Yambres dahulu.

Perintah Paulus untuk Timotius

10Tetapi kamu telah mengikut dengan penuh hemat segala ajaranku, cara hidupku, tujuan hidupku, imanku, kesabaranku, kasihku dan ketabahanku. 11Kau telah melihat penganiayaan dan kesengsaraan serta segala yang menimpaku di Antiokhia, Ikonium dan Listra – betapa penganiayaan yang kutanggung. Akan tetapi Tuhan telah menyelamatkanku daripada semuanya itu. 12Memang, semua orang yang ingin hidup warak dalam Isa al-Masih akan dianiaya. 13Orang durjana dan penipu akan bertambah durjana, memperdaya serta diperdaya. 14Tetapi kamu mestilah terus berpegang kepada segala yang telah kamu pelajari dan yakini, kerana kamu tahu daripada siapa segalanya telah kamu pelajari, 15dan sejak kecil kamu telah mengenal Kitab Suci yang dapat memberimu kebijaksanaan untuk diselamatkan melalui iman dalam Isa al-Masih. 16Seluruh Kitab Suci diwahyukan oleh Allah, dan berguna untuk mengajar, menegur, membetulkan dan mendidik ke arah kebenaran. 17Dengan demikian, tiap-tiap orang yang mengabdikan diri kepada Allah akan dilengkapi sepenuhnya untuk melakukan segala kerja yang baik.

↑ ↑ ↑ 4

1Di hadapan Allah dan Isa al-Masih yang akan menghakimi mereka yang hidup dan yang mati, dan demi kedatangan-Nya serta kerajaan-Nya, aku menyerumu: 2Beritakanlah firman Allah, bersedialah pada setiap masa, baik masanya sesuai mahupun tidak. Tunjukkan apa yang salah, tegur dan nasihati mereka dengan seluruh kesabaran dan ajaran, 3kerana akan sampai masanya mereka tidak menerima ajaran yang benar, tetapi mengumpulkan ramai guru mengikut kehendak mereka sendiri untuk mengajar apa yang ingin didengar oleh mereka. 4Mereka enggan mendengar ajaran yang benar tetapi menumpukan perhatian kepada cerita-cerita dongeng. 5Tetapi kamu, waspadalah dalam segala hal, tabah menanggung kesusahan, jalankan kerja menyebarkan Injil dan laksanakan tugas yang diamanahkan kepadamu dengan sempurna.

6Tentang diriku, kini aku laksana minuman yang sedang dituangkan sebagai persembahan kepada Allah, dan sudah hampir masanya aku pergi menghadap-Nya. 7Aku telah berjuang dalam perjuangan mulia ini, aku telah sampai ke garis akhir, aku telah setia dalam iman. 8Sekarang mahkota kebenaran telah disediakan untukku. Junjungan, hakim yang adil itu, akan mengurniakannya kepadaku pada Hari itu, bukan kepadaku sahaja, tetapi kepada semua orang yang telah menunggu kedatangan-Nya dengan penuh rindu.

Nasihat akhir

9Berusahalah untuk mengunjungiku dengan segera. 10Demas telah meninggalkanku kerana dia mencintai dunia ini, dia telah bertolak ke Tesalonika. Kreskes pula telah pergi ke Galatia dan Titus ke Dalmatia. 11Hanya Lukas ada bersamaku. Dapatkan Markus dan bawa dia denganmu, kerana dia dapat membantuku dalam tugasku. 12Aku telah mengutus Tikhikus ke Efesus. 13Apabila kamu datang kelak, bawa baju kot yang kutinggalkan dengan Karpus di Troas dan juga kitab-kitabku, terutamanya gulungan kulit.

14Iskandar, tukang tembaga itu, telah banyak melakukan kejahatan terhadapku. Semoga Tuhan membalasnya setimpal dengan perbuatannya. 15Kamu juga harus waspada dengannya, kerana dia menentang keras perkhabaran kita.

16Ketika aku membela diriku pada kali pertama, tiada seorang pun berdiri di sisiku, semuanya meninggalkanku. Semoga Allah tidak menyalahkan mereka kerananya. 17Tetapi Tuhan menyertaiku dan memberiku kekuatan, supaya berita baik dapat disebarkan sepenuhnya melaluiku, dan semua orang bukan bani Israel dapat mendengarnya. Juga aku telah diselamatkan daripada mulut singa.

18Tuhan akan menyelamatkanku daripada segala perbuatan durjana dan memeliharaku untuk kerajaan-Nya di syurga. Segala kemuliaan bagi-Nya untuk selama-lamanya. Amin.


Salam akhir

19Sampaikan salamku kepada Priskila dan Akwila, serta keluarga Onesiforus. 20Erastus tinggal di Korintus, tetapi Trofimus kutinggalkan di Miletus kerana dia sakit. 21Cubalah sedaya upayamu untuk datang sebelum musim dingin. Ebulus berkirim salam kepadamu, demikian juga Pudens, Linus, Klaudia dan semua saudara seiman yang lain.

22Semoga Tuhan bersama rohmu. Semoga kasih kurnia Allah menyertaimu.

↑ ↑ ↑