Lompat ke isi

Kitab Suci Zabur dan Injil/Matius

Dari Wikisumber bahasa Indonesia, perpustakaan bebas

diterjemahkan oleh tim Pengamat Kitab Mulia (2013); CC-BY-ND 4.0

Pasal 1 2 3 4 5 67 8 9 10 11 12 1314 15 1617 18 19 20 212223 2425 26 27 28

Daftar perikop:

  • Salasilah Isa al-Masih
  • Kelahiran al-Masih
  • Ahli ilmu bintang dari Timur
  • Hijrah ke Mesir
  • Pulang dari Mesir
  • Isa diimadkan
  • Godaan di padang gurun
  • Isa mula pelayanan di Galilea
  • Pengikut Isa yang pertama
  • Isa menyembuhkan orang sakit
  • Yang diberkati
  • Garam dan cahaya
  • Isa dan hukum Taurat
  • Berzina
  • Perceraian
  • Membuat sumpah
  • Mata diganti mata
  • Mengasihi musuhmu
  • Bersedekah kepada orang miskin
  • Doa
  • Berpuasa
  • Harta di syurga
  • Jangan runsing
  • Menghakimi orang lain
  • Nasihat supaya berdoa
  • Memilih jalan yang betul
  • Pokok dan buahnya
  • Dua jenis asas
  • Seorang yang mengidap penyakit kusta
  • Iman seorang ketua tentera
  • Isa menyembuhkan ramai orang
  • Mengikut Isa
  • Isa menenangkan badai
  • Isa menghalau roh iblis
  • Orang lumpuh disembuhkan
  • Matius dipanggil mengikut Isa
  • Perkara tentang puasa
  • Isa melakukan mukjizat
  • Isa menyembuhkan orang buta
  • Isa menyembuhkan seorang bisu
  • Belas kasihan Isa terhadap orang
  • Isa mengutus dua belas rasul
  • Isa dan Yahya Pengimad
  • Penduduk yang enggan bertaubat
  • Jemputan Isa
  • Junjungan atas hari Sabat
  • Isa Hamba Allah
  • Isa dan Beelzebul
  • Alamat Nabi Yunus
  • Isa dan sanak saudara-Nya
  • Ibarat seorang penabur
  • Ibarat tentang lalang di antara gandum
  • Ibarat tentang biji sesawi dan ragi
  • Ibarat tentang lalang diterangkan
  • Ibarat tentang harta tersembunyi dan mutiara
  • Ibarat tentang pukat
  • Isa ditolak di Nasaret
  • Yahya dibunuh
  • Isa memberi makan kepada lima ribu orang
  • Isa berjalan di atas air
  • Perintah Allah dan adat istiadat
  • Wanita Kanaan yang percaya
  • Isa menyembuhkan ramai orang
  • Empat ribu orang diberi makan
  • Orang Farisi menduga Isa
  • Pengakuan Petrus
  • Isa memberitahu tentang kematian-Nya
  • Isa dimuliakan di atas gunung
  • Anak lelaki yang kerasukan roh iblis disembuhkan
  • Membayar cukai
  • Yang terbesar di dalam kerajaan syurga
  • Ibarat tentang domba yang hilang
  • Saudaramu yang berdosa terhadapmu
  • Ibarat tentang pengampunan
  • Perceraian
  • Isa memberkati kanak-kanak
  • Orang muda yang kaya
  • Upah mengikut Isa
  • Ibarat tentang pekerja di ladang anggur
  • Isa memberitahu tentang kematian-Nya
  • Permintaan seorang ibu
  • Isa menyembuhkan dua orang buta
  • Ketibaan Isa di Baitulmaqdis
  • Pokok ara yang tidak berbuah
  • Kuasa Isa dicabar
  • Ibarat tentang dua orang anak
  • Ibarat tentang penyewa ladang
  • Ibarat tentang majlis perkahwinan
  • Membayar cukai kepada Kaisar
  • Perkahwinan dan kebangkitan
  • Perintah yang terutama
  • Isa mengecam orang Farisi
  • Tanda-tanda akhir zaman
  • Seksaan yang besar
  • Kedatangan yang mulia
  • Nasihat supaya berjaga-jaga
  • Ibarat sepuluh anak dara
  • Ibarat tentang wang emas
  • Hukuman
  • Rancangan untuk membunuh Isa
  • Isa dituangi minyak
  • Yudas mengkhianati Isa
  • Perjamuan Tuhan
  • Di taman Getsemani
  • Isa ditangkap
  • Isa di hadapan Majlis Agama
  • Akhirnya dua orang saksi tampil
  • Petrus menyangkal Isa
  • Yudas menggantung diri
  • Isa di hadapan Pilatus
  • Askar mengejek Isa
  • Isa disalib
  • Isa dimakamkan
  • Kebangkitan Isa
  • Laporan pengawal
  • Perintah untuk memberitakan Injil


1

Salasilah Isa al-Masih

1Inilah salasilah Isa al-Masih, keturunan Daud, keturunan Ibrahim.

2Ibrahim beroleh anak yang dinamai Ishak, Ishak beroleh Yakub, dan Yakub beroleh Yudah serta saudara-saudaranya.

3Yudah beroleh Peres dan Zerah daripada isterinya Tamar, Peres beroleh Hezron, dan Hezron beroleh Ram.

4Ram beroleh Aminadab, Aminadab beroleh Nahason, dan Nahason beroleh Salmon.

5Salmon beroleh Boas daripada isterinya Rahab, Boas beroleh Obed daripada isterinya Rut, dan Obed beroleh Isai,

6dan Isai beroleh Raja Daud. Raja Daud beroleh Sulaiman daripada isteri Uria.

7Sulaiman beroleh Rehabeam, Rehabeam beroleh Abia, dan Abia beroleh Asa. 8Asa beroleh Yosafat, Yosafat beroleh Yoram, dan Yoram beroleh Uzia. 9Uzia beroleh Yotam, Yotam beroleh Ahaz, dan Ahaz beroleh Hizkia. 10Hizkia beroleh Manasye, Manasye beroleh Amon, dan Amon beroleh Yosia. 11Yosia beroleh Yoyakhin dan saudara-saudaranya sekitar masa mereka dibawa sebagai tawanan di Babel.

12Seterusnya, Yoyakhin beroleh Sealtiel, dan Sealtiel beroleh Zerubabel. 13Zerubabel beroleh Abihud, Abihud beroleh Elyakim, dan Elyakim beroleh Azur.

14Azur beroleh Zadok, Zadok beroleh Akhim, dan Akhim beroleh Eliud. 15Eliud beroleh Eleazar, Eleazar beroleh Matan, dan Matan beroleh Yakub.

16Maka Yakub beroleh Yusuf, suami Maryam, Maryamlah yang melahirkan Isa yang dipanggil al-Masih.

17Dengan demikian, ada empat belas keturunan dari Ibrahim hingga ke Daud; empat belas keturunan dari Daud hingga ke masa pembuangan di Babel; dan empat belas keturunan dari masa itu hingga kelahiran al-Masih.

Kelahiran al-Masih

18Inilah kisah kelahiran Isa al-Masih: Ibu-Nya, Maryam bertunang dengan Yusuf, tetapi sebelum perkahwinan mereka dilangsungkan, Maryam mengandung melalui kuasa Roh Suci. 19Yusuf, seorang yang takwa dan berakhlak, tidak mahu memalukan Maryam di mata masyarakat. Dia berniat memutuskan pertunangan mereka secara diam-diam.

20Dia memikirkan hal itu sehalus-halusnya. Suatu malam dia bermimpi malaikat Tuhan memperlihatkan diri kepadanya lalu berkata, ‘Hai Yusuf keturunan Daud! Janganlah takut mengambil Maryam sebagai isterimu. Dia mengandung melalui kuasa Roh Suci. 21Maryam akan melahirkan seorang anak lelaki. Namakanlah anak itu Isa. Dia akan menyelamatkan umat-Nya daripada dosa mereka.’

22Segala ini terjadi supaya berlakulah firman Tuhan melalui nabi-Nya: 23‘Seorang anak dara akan mengandung, dan melahirkan seorang anak lelaki, maka Anak itu akan dipanggil Immanuel’ bererti, ‘Allah menyertai kita’ dalam bahasa Ibrani.

24Apabila Yusuf terjaga, dia pun mematuhi apa yang disampaikan oleh malaikat Tuhan itu lalu berkahwin dengan Maryam. 25Tetapi Yusuf tidak menyentuh Maryam sebagai isterinya hinggalah Maryam melahirkan Anak itu. Yusuf menamai Anak itu Isa.

↑ ↑ ↑ 2

Ahli ilmu bintang dari Timur

1Isa dilahirkan di Baitlahim, Yudea, semasa pemerintahan Raja Herodes. Tidak lama kemudian datanglah beberapa orang ahli ilmu bintang dari Timur ke Baitulmaqdis. 2Mereka bertanya, ‘Di manakah Anak yang baru lahir, yang akan menjadi Raja orang Yahudi? Kami melihat bintang-Nya muncul di Timur, dan kami datang hendak menyembah-Nya.’

3Apabila mendengar perkara itu, Raja Herodes berasa risau, begitu juga semua penduduk Baitulmaqdis. 4Raja Herodes memanggil semua ketua imam dan guru Taurat berhimpun lalu bertanya, ‘Raja yang dijanjikan oleh Allah itu, di manakah tempat lahirnya?’ 5Mereka menjawab, ‘Di Baitlahim, Yudea. Seorang nabi telah bernubuat tentangnya:

6‘Hai Baitlahim di Yudea, Kau bukanlah yang terkecil antara kota utama Yudea, kerana daripadamu akan muncul seorang Pemimpin yang akan memimpin umat-Ku Israel.’

7Setelah itu Raja Herodes berjumpa secara rahsia dengan ahli-ahli ilmu bintang itu dan mendapat tahu daripada mereka dengan tepat bila bintang itu terbit. 8Raja Herodes menyuruh ahli-ahli ilmu bintang pergi ke Baitlahim dengan perintah demikian: ‘Pergilah dan carilah Anak itu sedaya upaya. Apabila kamu menjumpai-Nya beritahulah aku, supaya aku juga dapat pergi menyembah-Nya.’

9Mereka pun pergi. Di pertengahan jalan, mereka melihat bintang yang telah muncul di Timur dahulu kini mendahului mereka dan berhenti di atas tempat Anak itu. 10Sungguh gembira mereka apabila melihat bintang itu. 11Mereka masuk ke situ dan melihat Anak itu dengan ibu-Nya Maryam. Mereka pun sujud menyembah Anak itu, lalu mempersembahkan emas, dupa dan mur kepada-Nya. 12Allah memberikan peringatan kepada mereka melalui mimpi supaya jangan kembali kepada Herodes. Oleh itu mereka pun pulang ke negeri mereka mengikut jalan lain.

Hijrah ke Mesir

13Selepas itu malaikat Tuhan menampakkan diri dalam mimpi kepada Yusuf lalu berkata, ‘Herodes akan mengeluarkan perintah supaya mencari dan membunuh Anak itu. Bangunlah. Bawalah Anak itu dan ibu-Nya ke Mesir. Tinggallah di situ hingga Aku berfirman kepadamu.’

14Yusuf pun bangun. Pada malam itu juga dia membawa Anak itu dan ibu-Nya ke Mesir. 15Mereka tinggal di situ hingga kematian Raja Herodes. Maka berlakulah firman Tuhan menerusi nabi-Nya: ‘Aku memanggil Putera-Ku keluar dari Mesir.’

16Setelah Raja Herodes sedar dirinya ditipu oleh ahli-ahli ilmu bintang dari Timur itu, dia pun marah lalu mengeluarkan perintah untuk membunuh semua anak lelaki yang berusia dua tahun ke bawah di Baitlahim dan kawasan yang berdekatan. Usia itu berdasarkan maklumat yang diberikan oleh ahli-ahli ilmu bintang tentang masa bintang itu mula-mula muncul. 17Oleh yang demikian berlakulah apa yang dinubuatkan oleh Yeremia:

18‘Satu suara terdengar di Ramah, rintih ratap dan perkabungan. Rahel meratapi anak-anaknya, tidak mungkin dilipur hatinya, kerana mereka tiada lagi.’

Pulang dari Mesir

19Selepas kematian Herodes, malaikat Tuhan menampakkan diri dalam mimpi kepada Yusuf di Mesir. 20Kata malaikat itu, ‘Bangunlah. Bawalah Anak itu dan ibu-Nya ke tanah Israel, kerana orang yang hendak meragut nyawa Anak itu telah mati.’

21Yusuf pun bangun lalu membawa Anak itu dan ibu-Nya ke tanah Israel. 22Tetapi apabila mendengar bahawa Arkelaus telah naik takhta menggantikan bapanya Herodes di Yudea, Yusuf pun takut pergi ke sana. Setelah mendapat peringatan daripada Allah dalam mimpi, dia pun pergi ke Galilea. 23Dia menetap di kota yang bernama Nasaret. Dengan demikian berlakulah apa yang dikatakan oleh para nabi: ‘Dia akan dipanggil Orang Nasaret.’

↑ ↑ ↑ 3

1Pada masa itu Yahya Pengimad menyampaikan berita ini di gurun di Yudea. 2Dia berseru, ‘Bertaubatlah, kerana kerajaan syurga hampir tiba!’ 3Yahyalah yang dimaksudkan dalam nubuat Nabi Yasyaya: ‘Suara seorang berseru di gurun: “Sediakanlah jalan untuk Tuhan, luruskan jalan untuk-Nya.” ’

4Pakaian Yahya diperbuat daripada bulu unta dan tali pinggangnya daripada kulit. Makanannya belalang dan madu gurun. 5Orang dari Baitulmaqdis, seluruh Yudea dan segenap kawasan sekitar Sungai Yordan datang mendapatkan Yahya. 6Mereka mengaku dosa lalu diimadkan oleh Yahya di Sungai Yordan.

7Ramai orang Farisi dan Saduki datang untuk diimadkan. Apabila melihat mereka, Yahya berkata, ‘Hai orang durjana! Siapakah yang memberitahumu bahawa kamu dapat melepaskan diri daripada hukuman Allah kelak? 8Buktikanlah dengan perbuatan bahawa kamu telah bertaubat. 9Jangan sangka kamu dapat melepaskan diri daripada hukuman dengan berkata, “Ibrahim moyang kami.” Ketahuilah, Allah berkuasa menjadikan batu-batu ini anak cucu Ibrahim! 10Kapak sudah tersedia untuk menebang pokok hingga ke akar umbinya. Setiap pokok yang tidak menghasilkan buah yang baik akan ditebang dan dihumbankan ke dalam api.

11‘Aku mengimadkanmu dengan air untuk menunjukkan bahawa kamu telah bertaubat. Tetapi Dia yang datang selepasku akan mengimadkanmu dengan Roh Suci dan api; Dia lebih berkuasa daripadaku; membawakan kasut-Nya pun aku tidak layak. 12Tangan-Nya memegang nyiru untuk menampi. Dia akan mengumpulkan gandum yang bersih di dalam jelapang dan membakar sekam di dalam api yang tidak mungkin padam.’

Isa diimadkan

13Ketika itu Isa meninggalkan Galilea lalu pergi ke Sungai Yordan. Di situ Dia berjumpa dengan Yahya dan meminta diimadkan olehnya. 14Yahya cuba menolak dengan berkata, ‘Sepatutnya Engkau yang mengimadkanku. Ini Engkau pula datang kepadaku!’

15Tetapi Isa menjawab, ‘Biarkanlah demikian untuk sekarang, kerana dengannya kita akan menunaikan segala kebenaran.’ Yahya pun patuh.

16Setelah diimadkan, Isa keluar dari air dengan segera. Lalu terbukalah langit dan dia melihat Roh Allah turun seperti burung merpati ke atas-Nya. 17Kemudian kedengaran suara Allah berfirman, ‘Inilah Putera-Ku yang Kukasihi dan dengan-Nya Aku berkenan.’

↑ ↑ ↑ 4

Godaan di padang gurun

1Setelah itu Isa dibawa oleh Roh ke gurun untuk digoda Iblis. 2Isa berpuasa empat puluh hari empat puluh malam. Dia menanggung kelaparan. 3Iblis datang kepada-Nya lalu berkata, ‘Jika Engkau Putera Allah, perintahkanlah batu-batu ini menjadi roti.’

4Isa menjawab, ‘Telah tersurat: “Manusia hidup bukan dengan roti saja tetapi dengan setiap firman Allah.” ’ 5Selepas itu Iblis membawa Isa ke kota suci Baitulmaqdis dan meletakkan-Nya di puncak rumah ibadat. 6Iblis berkata kepada Isa, ‘Jika Engkau Putera Allah, terjunlah, kerana telah tersurat: “Allah akan memerintahkan malaikat-malaikat-Nya menjaga-Mu dan mereka akan menatang-Mu supaya kaki-Mu tidak terhantuk batu.” ’

7Isa menjawab, ‘Tetapi telah tersurat: “Janganlah engkau menduga Allah, Tuhanmu.” ’

8Iblis membawa pula Isa ke atas gunung yang amat tinggi lalu menunjukkan semua kerajaan di dunia dan kekayaannya. 9Kata Iblis kepada Isa, ‘Semua ini akan kuberikan kepada-Mu jika Engkau sujud menyembahku.’

10Jawab Isa, ‘Nyah engkau, Iblis. Telah tersurat: “Hendaklah engkau menyembah Allah, Tuhanmu dan kepada-Nya saja engkau beribadat.” ’

11Iblis pun meninggalkan Isa dan para malaikat datang melayani-Nya.

Isa mula pelayanan di Galilea

12Apabila mendengar bahawa Yahya telah dipenjarakan, Isa pun pergi ke Galilea. 13Dia tidak tinggal di Nasaret tetapi di Kapernaum, sebuah kota di pinggir laut Galilea di kawasan Zebulon dan Naftali. 14Dengan demikian berlakulah nubuat Nabi Yasyaya:

15‘Tanah Zebulon, tanah Naftali, di pinggir laut, seberang Sungai Yordan, Galilea, tanah bangsa-bangsa asing.

16Bangsa yang hidup dalam kegelapan telah melihat cahaya gemilang. Bagi mereka yang di bawah bayangan maut, Cahaya telah bersinar!’

17Isa pun mula menyampaikan perkhabaran-Nya, ‘Bertaubatlah, kerana kerajaan syurga hampir tiba!’

Pengikut Isa yang pertama

18Sedang Isa berjalan di pinggir laut Galilea, Dia terpandang dua orang nelayan iaitu Simon, yang juga dipanggil Petrus, dan adiknya Andreas, sedang menjala ikan. 19Isa berkata kepada mereka, ‘Ikutlah Aku. Aku akan mengajarmu menjala manusia menjadi pengikut-Ku.’ 20Dengan serta-merta mereka dua beradik meninggalkan jala mereka lalu mengikut Isa.

21Isa meneruskan perjalanan. Dia ternampak dua beradik lagi, Yakobus dan Yahya bersama bapa mereka Zebedeus, sedang mengemaskan jala di dalam perahu. Isa memanggil dua beradik itu.

22Seketika itu juga mereka meninggalkan perahu dan bapa mereka lalu mengikut Isa.

Isa menyembuhkan orang sakit

23Isa menjelajahi seluruh wilayah Galilea. Dia mengajar di saumaah dan menyampaikan berita baik bahawa kerajaan Allah hampir tiba. Dia menyembuhkan semua jenis penyakit dan kesakitan di antara mereka. 24Berita tentang Isa tersebar di seluruh Siria. Maka, ramailah orang yang menanggung pelbagai penyakit dan penderitaan, orang yang dirasuk roh iblis, yang mengidap penyakit gila babi, dan yang lumpuh, dibawa kepada-Nya dan disembuhkan oleh-Nya. 25Ramai sekali orang mengikut-Nya: dari Dekapolis (bermaksud Sepuluh Kota), dari Baitulmaqdis, dari Yudea, dan dari kawasan di seberang Yordan.

↑ ↑ ↑ 5

Yang diberkati

1Ketika Isa melihat orang ramai itu, Dia pun mendaki ke atas sebuah bukit lalu duduk. Kemudian datanglah para pengikut-Nya kepada-Nya. 2Dia pun mula mengajar mereka:

3‘Diberkatilah mereka yang terasa kelemahan rohani, kerana kerajaan syurga untuk mereka.

4Diberkatilah mereka yang bersedih, kerana mereka akan terhibur. 5Diberkatilah mereka yang lemah lembut, kerana mereka akan mewarisi bumi ini. 6Diberkatilah mereka yang dahagakan kebenaran, kerana mereka akan dipuaskan.

7Diberkatilah mereka yang berpengasihan, kerana mereka akan dikasihani juga.

8Diberkatilah mereka yang suci hati, kerana mereka akan melihat Allah. 9Diberkatilah mereka yang mendamaikan manusia, kerana mereka akan dipanggil anak-anak Allah.’ 10Diberkatilah mereka yang dianiaya kerana menegakkan kebenaran, kerana kerajaan syurga untuk mereka.

11‘Diberkatilah kamu apabila orang menghina, menganiaya dan memfitnahmu kerana mengikut-Ku. 12Bersukacita dan bergembiralah, kerana ganjaran besar telah disediakan untukmu di syurga. Begitu jugalah para nabi zaman dahulu dianiaya.

Garam dan cahaya

13‘Kamu ialah garam bumi ini. Jika garam menjadi tawar, tidak mungkinlah masin semula. Tidaklah berguna lagi, hanya layak dibuang dan dipijak orang.

14‘Kamu ialah cahaya dunia ini. Kota di atas bukit tidak mungkin tersembunyi. 15Tiada siapa memasang pelita lalu menyorokkannya di bawah bekas; tentu dia meletakkannya di atas kaki pelita untuk menerangi seisi rumah. 16Biarlah cahayamu juga bersinar di hadapan orang ramai, supaya mereka melihat perbuatanmu yang baik lalu memuji Bapamu yang di syurga.

Isa dan hukum Taurat

17‘Jangan sangka Aku datang untuk menghapuskan Taurat dan ajaran nabi-nabi. Aku datang bukan untuk menghapuskan tetapi untuk menunaikan segala-galanya. 18Ingatlah: Selagi ada langit dan bumi, satu titik atau huruf yang terkecil pun tidak akan hapus daripada Taurat sebelum semuanya ternyata berlaku. 19Dengan demikian, jika seseorang melanggar hukum yang terkecil pun dan mengajar orang lain melanggarnya, dia akan tergolong antara mereka yang paling rendah dalam kerajaan syurga. Sebaliknya, jika seseorang mematuhi Taurat dan mengajar orang lain turut patuh, dia akan menjadi orang yang mulia dalam kerajaan syurga. 20Oleh itu ingatlah: Untuk memasuki kerajaan syurga, kamu mestilah melaksanakan kehendak Allah lebih daripada guru Taurat dan orang Farisi. 21‘Kamu telah mendengar ajaran daripada nenek moyang kita: “Jangan membunuh. Sesiapa yang membunuh orang akan dihakimi.” 22Tetapi sekarang Aku berkata kepadamu: Sesiapa yang marah terhadap saudaranya akan dihakimi. Sesiapa yang mencaci saudaranya akan dibawa ke hadapan Majlis Agama. Dan sesiapa yang memanggil saudaranya “bodoh” akan dihumbankan ke dalam api neraka. 23‘Oleh itu, jika kamu sedang meletakkan persembahan kepada Allah di atas mazbah lalu teringat bahawa saudaramu bersanggit hati denganmu, 24tinggalkanlah persembahanmu, berdamai dahulu dengan saudaramu, kemudian barulah buat persembahanmu.

25‘Berdamailah dengan orang yang hendak mendakwamu di mahkamah sewaktu kamu masih dalam perjalanan ke situ. Jika tidak, dia akan menyerahkanmu kepada hakim, kemudian hakim menyerahkanmu kepada pegawai berkenaan, yang akan memenjarakanmu. 26Sudah pasti kamu akan meringkuk di dalam penjara hingga kamu menjelaskan semua bayaran.

Berzina

27‘Kamu telah mendengar ajaran ini: “Jangan berzina.” 28Tetapi sekarang Aku berkata kepadamu: Sesiapa yang memandang seorang wanita dengan berahi, telah berzina dengannya dalam hati. 29Jika mata kananmu menyebabkan kamu berdosa, cungkil dan buangkan mata itu. Lebih baik kamu kehilangan satu bahagian tubuhmu daripada seluruh tubuhmu terhumban ke dalam neraka. 30Jika tangan kananmu menyebabkan kamu berdosa, potong dan buangkan tangan itu. Lebih baik kamu kehilangan sebelah tanganmu daripada seluruh tubuhmu masuk ke dalam neraka.

Perceraian

31‘Ada ajaran demikian: “Sesiapa menceraikan isterinya hendaklah memberinya surat cerai.”

32Tetapi sekarang Aku berkata kepadamu: Sesiapa menceraikan isterinya kecuali kerana zina, orang itu menyebabkan wanita tersebut berzina jika berkahwin lagi; dan sesiapa yang berkahwin dengan wanita yang diceraikan itu berzina juga.

Membuat sumpah

33‘Kamu telah mendengar ajaran kepada nenek moyang kita: “Jangan melanggar sumpah. Tunaikan sumpahmu kepada Tuhan.” 34Tetapi sekarang Aku berkata kepadamu: Janganlah bersumpah demi langit, kerana langit itu takhta Allah. 35Jangan bersumpah demi bumi, kerana bumi ini alas kaki-Nya. Atau demi Baitulmaqdis, kerana itu kota Raja Agung iaitu Allah. 36Demi kepalamu pun jangan, kerana kamu tidak berkuasa memutihkan atau menghitamkan rambutmu walau sehelai. 37Katakan saja “Ya” atau “Tidak” dan kotakan kata itu. Yang lebih daripada itu datang daripada si durjana.

Mata diganti mata

38‘Kamu telah mendengar ajaran begini: “Mata diganti dengan mata, gigi diganti dengan gigi.”

39Tetapi sekarang Aku berkata kepadamu: Janganlah membalas dendam terhadap orang yang berbuat jahat kepadamu. Malah jika seseorang menampar pipi kananmu, palinglah pipi kirimu juga terhadapnya. 40Jika seseorang hendak mendakwamu untuk mendapatkan bajumu, berikanlah jubahmu juga. 41Jika sesiapa memaksamu berjalan sebatu dengannya, pergilah dua batu bersamanya.

42Jika seseorang meminta sesuatu daripadamu, berikanlah. Jika seseorang hendak meminjam sesuatu daripadamu, usahlah berpaling daripadanya.

Mengasihi musuhmu

43‘Kamu telah mendengar ajaran berikut: “Kasihilah sahabatmu dan bencilah musuhmu.” 44Tetapi sekarang Aku berkata kepadamu: Kasihilah musuhmu dan doakan orang yang menganiayamu.

45Dengan demikian kamu menjadi anak-anak Bapamu yang di syurga; kerana Allah menerbitkan matahari yang dicipta-Nya untuk orang yang benar dan orang yang mungkar. Dia menurunkan hujan untuk orang yang taat mahupun yang ingkar akan kehendak-Nya. 46Jika kamu hanya mengasihi orang yang mengasihimu, layakkah kamu mendapat ganjaran daripada Allah? Bukankah pemungut cukai pun berbuat demikian? 47Jika kamu hanya beramah mesra dengan saudara-saudara selingkungan, apakah kelebihanmu daripada orang lain? Orang yang tidak mengenal Allah pun melakukannya. 48Hendaklah engkau sempurna seperti Bapamu di syurga.

↑ ↑ ↑ 6

Bersedekah kepada orang miskin

1‘Ingatlah: Jangan buat kerja amal di muka umum supaya dilihat orang; kamu tidak akan mendapat ganjaran daripada Bapamu yang di syurga.

2‘Oleh itu, ketika kamu bersedekah kepada orang miskin, jangan heboh-hebohkan seperti orang munafik di saumaah dan di jalan raya, supaya dipuji orang. Orang begitu sudahpun mendapat ganjaran mereka. 3Apabila kamu bersedekah kepada orang miskin, jangan sampai tangan kirimu tahu apa yang dilakukan oleh tangan kananmu. 4Jangan siapapun mengetahuinya. Bapamu yang melihat amalmu yang tersembunyi itu akan memberikan ganjaran kepadamu.

Doa

5‘Apabila kamu berdoa, janganlah seperti orang munafik. Mereka berdoa sambil berdiri di saumaah dan di simpang jalan supaya dilihat orang. Mereka itu sudahpun mendapatkan ganjaran mereka. 6Tetapi kamu, masuklah ke dalam bilik, tutup pintu dan berdoalah kepada Bapamu yang tidak dapat dilihat dengan mata. Dia mengetahui apa yang kamu lakukan secara tersembunyi dan akan memberikan ganjaran kepadamu. 7Ketika berdoa, jangan curah-curahkan kata-kata yang tidak bermakna, seperti orang yang tidak mengenal Allah. Mereka menyangka Allah akan mengabulkan permintaan mereka kerana doa mereka itu panjang. 8Jangan berbuat seperti mereka. Bapamu tahu apa yang kamu perlukan sebelum kamu memohonnya.

9‘Berdoalah demikian: “Ya Bapa kami yang di syurga, Sucilah Nama-Mu. 10Datanglah kerajaan-Mu. Terlaksanalah kehendak-Mu di bumi sebagaimana di syurga.

11Berilah makanan kami untuk hari ini. 12Ampunkanlah kesalahan kami sebagaimana kami mengampuni mereka yang bersalah terhadap kami.

13Janganlah biarkan kami tergoda, Selamatkanlah kami daripada si durjana. Engkaulah yang memiliki kerajaan, kekuasaan dan kemuliaan selama-lamanya. Amin.”

14‘Jika kamu mengampuni orang yang bersalah kepadamu, Bapamu yang di syurga akan mengampunkan kesalahanmu juga. 15Tetapi jika kamu tidak mengampunkan kesalahan orang, Bapamu yang di syurga juga tidak akan mengampunkan kesalahanmu.

Berpuasa

16‘Apabila kamu berpuasa, jangan tunjukkan muka lesu seperti orang munafik. Mereka memperlihatkan wajah menderita supaya semua orang tahu mereka berpuasa. Mereka ini sudahpun mendapat ganjaran mereka. 17Ketika berpuasa, basuhlah muka dan sikatlah rambutmu 18supaya orang tidak tahu kamu berpuasa. Biarlah puasamu hanya diketahui oleh Bapamu yang tidak dapat dilihat dengan mata. Bapamu melihat perbuatanmu yang tersembunyi itu dan memberikan ganjaran kepadamu.

Harta di syurga

19‘Jangan kumpulkan harta di dunia, kerana di sini gegat dan karat merosakkannya serta pencuri memecah masuk untuk mencurinya. 20Kumpulkan harta di syurga, kerana di situ gegat dan karat tidak dapat merosakkannya serta pencuri tidak memecah masuk untuk mencurinya. 21Kerana di mana hartamu terkumpul, di situlah hatimu tertumpu.

22‘Mata ialah pelita tubuh. Jika matamu terang, seluruh tubuhmu dipenuhi cahaya. 23Tetapi jika matamu kabur, seluruh tubuhmu gelap. Jika cahaya di dalam tubuhmu menjadi gelap, maka gelapgelitalah keadaannya!

24‘Seorang hamba tidak mungkin mengabdi diri kepada dua orang tuan. Dia akan membenci yang seorang dan mengasihi yang lain; atau akan setia kepada yang seorang dan mencela yang lain. Demikianlah, kamu tidak dapat menjadi hamba Allah dan juga hamba kekayaan.

Jangan runsing

25‘Oleh itu, janganlah runsing tentang hidupmu, tentang apa yang kamu makan atau minum, atau tentang tubuhmu, dan tentang apa yang akan kamu pakai untuk menutupnya. Bukankah hidup lebih daripada makanan, dan tubuh lebih daripada pakaian? 26Lihatlah burung di udara, yang tidak menyemai, menuai atau menyimpan hasil di jelapang; namun Bapamu yang di syurga memberinya makan. Bukankah kamu lebih bernilai daripada burung? 27Siapakah di kalanganmu yang dapat melanjutkan usianya sedikit pun dengan bersikap runsing?

28‘Jadi, mengapakah kamu runsing tentang pakaian? Lihatlah bunga bakung di padang, yang tidak bekerja atau bertenun. 29Tetapi Raja Sulaiman dengan segala kehebatannya pun tidak berpakaian seindah bunga itu. 30Jika Allah menghiasi rumput di padang, yang wujud hari ini dan esoknya dibakar di dapur, tidakkah Allah akan memberimu pakaian? Sungguh tipis kepercayaanmu kepada-Nya!

31Jangan runsing tentang makanan, minuman atau pakaianmu. 32Kerunsingan ini dialami oleh orang yang tidak mengenal Allah. Bapamu yang di syurga tahu bahawa kamu memerlukan semua itu. 33Utamakanlah kerajaan Allah dan laksanakan kebenaran-Nya; Allah akan memberikan semua itu kepadamu. 34Oleh itu, jangan runsing tentang hari esok, kerana hari esok akan runsing tentang hal-halnya sendiri. Setiap hari sudah cukup dengan kesusahan sehari.

↑ ↑ ↑ 7

Menghakimi orang lain

1‘Jangan hakimi orang lain, supaya kamu tidak dihakimi. 2Kerana sebagaimana kamu menghakimi orang, demikian jugalah kamu akan dihakimi. Ukuran yang kamu gunakan untuk menghakimi orang lain akan digunakan Allah untuk menghakimi kamu.

3‘Mengapakah kamu perhatikan selumbar di mata saudaramu, sedangkan kayu balak di matamu sendiri tidak kamu sedari? 4Bagaimanakah kamu dapat berkata kepada saudaramu, ‘Biarlah aku keluarkan selumbar dari mata saudara,’ sedangkan kayu balak terpampang di matamu sendiri?

5Hai munafik! Keluarkanlah dahulu kayu balak dari matamu, barulah penglihatanmu terang untuk mengeluarkan selumbar dari mata saudaramu.

6‘Jangan berikan sesuatu yang suci kepada anjing, atau mutiara kepada babi, nanti dipijak-pijaknya lalu berpaling menyerangmu.

Nasihat supaya berdoa

7‘Mintalah, dan kamu akan menerimanya; carilah, dan kamu akan mendapatnya; ketuklah pintu, dan pintu akan dibuka untukmu. 8Setiap orang yang meminta akan menerima, setiap orang yang mencari akan mendapat; dan setiap orang yang mengetuk, pintu akan dibuka untuknya.

9‘Bapa manakah akan memberikan batu kepada anaknya yang meminta roti? 10Bapa manakah akan memberikan ular kepada anaknya yang meminta ikan? 11Kamu yang berdosa pun tahu memberikan sesuatu yang baik kepada anakmu. Lebih-lebih lagi Bapamu yang di syurga: Dia akan memberikan sesuatu yang baik kepada mereka yang meminta daripada-Nya. 12Apa yang kamu mahu orang lakukan kepadamu, lakukan kepada mereka, kerana inilah ajaran Taurat dan nabi-nabi.

Memilih jalan yang betul

13‘Masuklah melalui pintu yang sempit, kerana pintu gerbang dan jalan ke neraka itu lebar dan luas, maka ramai orang yang memilihnya. 14Sebaliknya pintu dan jalan ke hidup kekal itu sempit dan sukar. Hanya segelintir orang yang menjumpainya.

Pokok dan buahnya

15‘Berjaga-jagalah tentang nabi palsu yang datang kepadamu dengan pakaian domba tetapi sebenarnya serigala ganas. 16Kamu akan mengenal mereka daripada hasil perbuatan mereka. Pernahkah orang memetik buah anggur dari rimbunan berduri? Atau pernahkah buah ara dipetik dari semak berduri? 17Pokok yang subur menghasilkan buah yang baik manakala pokok yang tidak subur menghasilkan buah yang tidak baik. 18Pokok yang subur tidak mungkin menghasilkan buah yang tidak baik dan pokok yang tidak subur tidak mungkin menghasilkan buah yang baik. 19Setiap pokok yang tidak menghasilkan buah yang baik akan ditebang dan dibakar. 20Demikianlah kamu akan mengenal orang daripada hasil perbuatan mereka.

21‘Tidak semua orang yang memanggil-Ku, “Junjungan kami, Junjungan kami,” akan memasuki kerajaan syurga, tetapi hanya mereka yang melaksanakan kehendak Bapa-Ku yang di syurga. 22Pada hari itu ramai orang akan berkata kepada-Ku, “Junjungan kami, Junjungan kami, bukankah kami telah menyampaikan perkhabaran Allah dengan nama-Mu? Bukankah kami telah menghalau rohroh iblis serta banyak melakukan mukjizat dengan nama-Mu?” 23Tetapi aku akan menjawab, “Aku tidak mengenalmu. Pergilah dari sini, hai kamu yang mungkar.”

Dua jenis asas

24‘Sesiapa yang mendengar dan menurut kata-kata-Ku ini ibarat orang bijak yang membina rumah di atas batu. 25Hujan mencurah, banjir melimpah dan angin kencang melanda, tetapi rumah itu tidak runtuh kerana berasaskan batu. 26Sesiapa yang mendengar tetapi tidak menurut kata-kata-Ku ini ibarat orang bodoh yang membina rumah di atas pasir. 27Hujan mencurah, banjir melimpah dan angin kencang melanda, lalu runtuhlah rumah itu, punah ranap!’

28Setelah selesai Isa menyampaikan kata-kata itu, orang ramai itu kagum akan cara Dia mengajar.

29Isa mengajar secara berwibawa, tidak seperti guru Taurat mereka.

↑ ↑ ↑ 8

Seorang yang mengidap penyakit kusta

1Isa turun dari bukit itu dan ramai orang mengikut-Nya. 2Seorang yang mengidap penyakit kusta datang bersujud di hadapan-Nya sambil berkata, ‘Tuan, sekiranya Tuan mahu, Tuan dapat menyembuhkanku.’

3Isa menghulurkan tangan-Nya dan menyentuh orang itu sambil berkata, ‘Aku rela. Sembuhlah!’ Pada saat itu juga penyakitnya hilang. 4Lalu Isa berkata kepadanya, ‘Dengarlah, jangan beritahu sesiapa tentang perkara ini. Pergilah dan tunjukkan dirimu kepada seorang imam. Selepas itu persembahkan korban sebagaimana diperintahkan oleh Musa, sebagai kesaksian kepada mereka.’

Iman seorang ketua tentera

5Ketika Isa sampai di Kapernaum, seorang ketua tentera Rom menjumpai-Nya dan merayu kepada-Nya:

6‘Junjungan, hambaku sakit di rumah, terlantar di katil tidak dapat bergerak, dan amat derita.’

7Isa menjawab, ‘Baiklah, Aku akan pergi menyembuhkannya.’

8Tetapi ketua tentera itu berkata, ‘Usahlah Junjungan datang ke rumahku. Aku tidak layak menyambut Junjungan sebagai tamu. Perintahkanlah sahaja, tentu dia akan sembuh. 9Aku juga di bawah perintah pegawai atasan tentera, dan ada askar di bawah tanganku. Apabila aku menyuruh seorang askar, “Pergi!” dia pun pergi. Apabila aku menyuruh askar lain, “Mari!” dia pun datang. Apabila aku menyuruh hambaku, “Buat ini!” dia melakukannya.’

10Isa terkagum mendengarnya lalu berkata kepada orang ramai yang mengikut-Nya, ‘Belum pernah Kutemui orang yang demikian teguh imannya, walau di Israel pun. 11Ketahuilah! Ramai orang akan datang dari timur dan barat lalu duduk menikmati jamuan bersama Ibrahim, Ishak dan Yakub dalam kerajaan syurga. 12Sebaliknya anak-anak kerajaan itu akan dihumbankan ke dalam kegelapan di luar; di sana akan terdapat ratapan dan kertakan gigi.’

13Lalu Isa berkata kepada ketua tentera itu, ‘Pulanglah! Apa yang kamu percayai itu akan terjadi.’ Pada ketika itu juga sembuhlah hamba ketua tentera itu.

Isa menyembuhkan ramai orang

14Isa pergi ke rumah Petrus. Dia melihat ibu mertua Petrus terbaring di katil kerana demam.

15Apabila Isa menyentuh tangannya, serta-merta demamnya hilang. Dia pun bangun, dan melayan Isa.16 Setelah hari petang, ramai orang yang dirasuk roh iblis dibawakan kepada Isa. Isa menghalau roh-roh iblis itu dengan sepatah kata sahaja. Dia juga menyembuhkan semua yang sakit. 17Isa melakukan semua itu supaya terjadilah apa yang dikatakan oleh Nabi Yasyaya: ‘Dialah yang membawa kelemahan kita dan menanggung penyakit kita.’

Mengikut Isa

18Apabila Isa melihat orang ramai di sekeliling-Nya, dia pun menyuruh para pengikut-Nya pergi ke seberang laut itu. 19Seorang guru Taurat mendapatkan Isa lalu berkata, ‘Tuan Guru, aku sanggup mengikut-Mu ke mana-mana saja.’

20Isa menjawab, ‘Musang ada lubangnya dan burung ada sarangnya, tetapi Putera Insan tidak ada tempat untuk berehat.’

21Seorang pengikut lain berkata, ‘Junjungan, izinkanlah aku pulang dahulu untuk menguburkan jenazah bapaku.’

22Tetapi Isa menjawab, ‘Ikutlah Aku. Biarlah orang mati menguburkan orang mati mereka.’

Isa menenangkan badai

23Isa menaiki sebuah perahu, dan diikut oleh pengikut-pengikut-Nya. 24Tiba-tiba badai melanda dan ombak mengganas sehingga perahu dipenuhi air. Ketika itu Isa sedang tidur. 25Para pengikut Isa datang membangunkan-Nya. Mereka berkata, ‘Ya Junjungan, selamatkan nyawa kami semua daripada maut!’

26Isa menjawab, ‘Mengapakah kamu takut? Begitu tipis kepercayaanmu kepada-Ku!’ Dia pun bangun memarahi angin dan ombak itu. Serta-merta semuanya tenang sekali.

27Para pengikut Isa tercengang lalu berkata, ‘Angin dan ombak pun mengikut perintah-Nya. Siapakah sebenarnya Dia ini?’

Isa menghalau roh iblis

28Setelah tiba di seberang, di daerah Gadara, Isa didekati oleh dua orang yang dirasuk roh iblis. Mereka keluar dari gua kubur. Kedua-duanya begitu ganas sehingga orang tidak berani lalu di situ.

29Apabila mereka melihat Isa, mereka berseru, ‘Apakah yang akan Kaulakukan kepada kami, hai Putera Allah? Adakah Engkau hendak menghukum kami sebelum sampai masanya?’

30Ada sekawan babi sedang makan agak jauh dari situ. 31Roh-roh iblis itu merayu kepada Isa, ‘Jika Engkau hendak menyuruh kami keluar, suruhlah kami masuk ke dalam tubuh babi sekawan itu.’

32Dan Isa memerintah roh-roh itu, ‘Pergilah’. Maka roh-roh itu pun keluar lalu memasuki babibabi itu. Seluruh kawanan babi itu pun lari ke pinggir jurang laut lalu terjun dan mati lemas.

33Penjaga-penjaga babi itu lari ke bandar lalu menceritakan hal itu serta apa yang telah terjadi kepada kedua-dua orang yang dirasuk roh iblis itu. 34Seluruh penduduk bandar itu pun datang berjumpa dengan Isa dan memohon-Nya pergi dari situ.

↑ ↑ ↑ 9

Orang lumpuh disembuhkan

1Isa menaiki sebuah perahu lalu ke seberang, dan sampai di bandar tempat Dia tinggal. 2Beberapa orang membawa kepada-Nya seorang lumpuh yang terbaring di atas tikar. Ketika Isa menyedari betapa teguhnya iman mereka, Dia berkata kepada orang lumpuh itu, ‘Tegapkan hatimu, anak-Ku! Dosamu telah diampunkan.’

3Sebilangan guru Taurat di situ berfikir dalam hati, ‘Orang ini mengkufuri Allah!’

4Isa tahu apa yang difikirkan oleh mereka itu lalu Dia berkata, ‘Mengapa kamu fikirkan perkara sejahat itu? 5Manakah yang lebih mudah dikatakan, “Dosamu telah diampunkan,” atau “Bangun dan berjalan?” 6Aku akan membuktikan kepadamu bahawa di bumi ini Putera Insan berkuasa mengampunkan dosa.’ Kemudian Isa berkata kepada orang lumpuh itu, ‘Bangun, angkat tikarmu dan pulanglah.’ 7Orang lumpuh itu pun bangun lalu pulang ke rumahnya. 8Melihat kejadian itu, orang di situ ketakutan dan memuji Allah yang memberikan kuasa yang sedemikian besarnya kepada manusia.

Matius dipanggil mengikut Isa

9Isa meninggalkan tempat itu. Dalam perjalanan Dia melihat seorang pemungut cukai bernama Matius sedang duduk di tempat memungut cukai. Isa berkata, ‘Ikutlah Aku’. Lalu Matius berdiri dan mengikut-Nya.

10Ketika Isa sedang makan di rumah Matius, ramai pemungut cukai dan orang berdosa makan bersama Isa dan para pengikut-Nya. 11Beberapa orang Farisi yang melihat perkara itu bertanya kepada para pengikut Isa, ‘Mengapa gurumu makan bersama pemungut cukai dan orang yang berdosa?’ 12Isa terdengar pertanyaan mereka lalu menjawab, ‘Orang sihat tidak memerlukan tabib; hanya orang sakit yang memerlukannya. 13Kajilah erti ayat ini: “Aku menghendaki belas kasihan, bukan binatang korban.” Itulah maka Aku datang bukan untuk memanggil orang benar tetapi orang berdosa.’

Perkara tentang puasa

14Selepas itu para pengikut Yahya Pengimad mendapatkan Isa lalu bertanya, ‘Mengapakah kami dan orang Farisi sering berpuasa tetapi para pengikut-Mu tidak berpuasa?’

15Isa menjawab, ‘Pada hematmu, patutkah tetamu di jamuan perkahwinan bersedih semasa pengantin lelaki masih bersama mereka? Tentu tidak. Namun akan tiba masanya pengantin lelaki itu diambil daripada mereka. Ketika itulah mereka akan berpuasa.

16‘Tiada siapa akan menampal pakaian lama dengan perca kain baru, kerana tampalan itu akan mengecut dan menyebabkan koyak yang lebih besar. 17Begitu juga, tiada siapa akan menuangkan air anggur yang baru ke dalam bekas kulit yang lama, kerana bekas itu akan pecah dan air anggur itu akan terbuang. Air anggur yang baru patut dituangkan ke dalam bekas kulit yang baru juga supaya kedua-duanya selamat.’

Isa melakukan mukjizat

18Sedang Isa berkata-kata dengan para pengikut Yahya Pengimad, seorang ketua saumaah bersujud di hadapan-Nya lalu berkata, ‘Anak perempuanku baru meninggal dunia. Datanglah, letakkan tangan-Mu di atasnya supaya dia hidup kembali.’ 19Isa pun bangun lalu pergi bersamanya, diiringi oleh para pengikut-Nya.

20Ketika itu, ada seorang wanita yang telah mengidap penyakit pendarahan selama dua belas tahun. Dia mendekati Isa dari belakang lalu menyentuh hujung jubah-Nya. 21Fikir wanita itu dalam hatinya, ‘Apabila kusentuh jubah-Nya, pasti aku akan sembuh.’

22Isa menoleh dan melihatnya lalu berkata kepadanya, ‘Tetapkanlah hatimu, anak-Ku! Kerana imanmu kamu sembuh.’ Serta-merta wanita itu sembuh. 23Apabila Isa sampai di rumah ketua itu, Dia nampak para pemain seruling dan semua orang di situ kelam-kabut. 24Dia berkata, ‘Keluarlah kamu semua! Anak ini bukan mati, cuma tidur.’ Mereka mula mentertawakan-Nya. 25Tetapi setelah mereka keluar, Isa masuk ke bilik anak perempuan itu dan memegang tangannya lalu anak itu bangun. 26Khabar ini tersebar ke seluruh daerah itu.

Isa menyembuhkan orang buta

27Ketika Isa meninggalkan tempat itu, dua orang buta mengikut-Nya sambil berseru, ‘Hai Anak Daud, kasihanilah kami!’ 28Ketika Isa masuk ke rumah, kedua-dua orang buta itu mendekati-Nya. Isa bertanya, ‘Percayakah kamu bahawa Aku dapat menyembuhkanmu?’ ‘Percaya, Junjungan!’ jawab mereka.

29Isa pun menyentuh mata mereka sambil berkata, ‘Kerana imanmu, terjadilah seperti apa yang kamu inginkan!’ 30Pada ketika itu juga mereka menjadi celik. Isa berpesan kepada mereka bersungguh-sungguh, ‘Jangan ceritakan hal ini kepada siapapun.’ 31Tetapi mereka pergi menyebarkan khabar tentang Isa ke seluruh daerah itu.

Isa menyembuhkan seorang bisu

32Selepas itu, seorang yang bisu kerana dirasuk roh iblis dibawa kepada Isa. 33Isa menghalau roh iblis itu dan serta-merta orang itu mula berkata-kata. Semua yang melihatnya tercengang lalu berkata, ‘Belum pernah kami lihat hal begini di Israel!’

34Tetapi orang Farisi berkata, ‘Ketua roh iblis telah memberi Isa kuasa untuk menghalau roh-roh iblis.’

Belas kasihan Isa terhadap orang

35Demikianlah Isa berjalan, dari bandar ke bandar, dari pekan ke pekan. Dia mengajar di saumaah dan menyampaikan berita baik tentang kerajaan Allah. Dia menyembuhkan orang daripada pelbagai penyakit. 36Apabila melihat orang yang ramai itu, Isa berasa kasihan kerana mereka bimbang dan tidak berdaya, ibarat sekawan domba tanpa gembala. 37Kata Isa kepada para pengikut-Nya, ‘Tuaian banyak sekali tetapi penuai hanya segelintir. 38Berdoalah kepada Tuan punya tuaian itu supaya menghantar pekerja untuk menuai.’

↑ ↑ ↑ 10

Isa mengutus dua belas rasul

1Isa memanggil dua belas orang pengikut-Nya lalu memberi mereka kuasa untuk menghalau rohroh durjana dan menyembuhkan pelbagai penyakit dan kesakitan.

2Dua belas orang itu ialah: Simon yang dipanggil Petrus, dan saudaranya Andreas; Yakobus dan saudaranya Yahya, iaitu anak-anak Zebedeus; 3Filipus dan Bartolomeus; Tomas, dan Matius yang dahulunya pemungut cukai; Yakobus anak Alfeus, dan Tadius; 4Simon orang Patriot, dan Yudas Iskariot yang mengkhianati Isa.

5Isa mengutus dua belas orang rasul itu dengan petunjuk demikian: ‘Janganlah pergi ke daerah bangsa-bangsa asing atau ke kota orang Samaria. 6Pergilah kepada domba-domba sesat antara bani Israel. 7Pergilah dan khabarkanlah bahawa kerajaan syurga sudah dekat. 8Sembuhkanlah orang yang sakit, hidupkan orang yang mati; ubati orang yang berpenyakit kusta dan halaukan roh-roh iblis. Sebagaimana pemberian dilimpahkan kepadamu, limpahkanlah pemberian. 9Janganlah bawa wang emas, perak mahupun tembaga. 10Jangan bawa bekas untuk menerima sedekah, atau ganti pakaian, atau kasut, atau tongkat dalam perjalananmu. Seorang pekerja layak menerima apa yang diperlukannya.

11‘Apabila kamu sampai di suatu bandar atau pekan, carilah seorang yang rela menyambutmu. Menetaplah di rumahnya hingga kamu beredar dari tempat itu. 12Ketika kamu masuk ke rumah itu, berilah salam. 13Jika penghuni di rumah itu layak, biarlah salam sejahteramu merestui mereka. Jika tidak, biarlah salammu itu kembali kepadamu. 14Sekiranya sesuatu rumah atau bandar enggan menyambutmu atau mendengar kata-katamu, tinggalkanlah tempat itu dan kebaskanlah debunya daripada tapak kakimu. 15Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu: pada hari penghakiman itu, hukuman atas Sodom dan Gomora lebih ringan daripada atas bandar itu. 16Dengarlah: Aku mengutusmu seperti domba ke tengah-tengah sekawan serigala. Hendaklah kamu bijak seperti ular dan tulus seperti merpati.

17‘Berhati-hatilah, kerana kamu akan ditangkap lalu diseret ke mahkamah, dan akan disebat di saumaah mereka. 18Kerana-Ku, kamu akan dibawa ke hadapan penguasa dan raja sebagai saksi kepada mereka dan kepada bangsa yang tidak mengenal Allah. 19Ketika dihakimi, janganlah runsing tentang apa yang harus kamu katakan atau bagaimana kamu harus mengatakannya. Apabila sampai saatnya, kamu akan diberitahu apa yang harus kamu katakan. 20Bukanlah kata-katamu sendiri yang akan kamu ucapkan, tetapi kata-kata Roh Bapamu yang dituturkan melaluimu.

21‘Saudara akan berlaku khianat terhadap saudara, bapa terhadap anak, dan anak terhadap bapa, lalu menyerahkannya untuk dibunuh. 22Setiap orang akan membencimu kerana nama-Ku. Tetapi sesiapa yang bertahan hingga akhir akan diselamatkan. 23Apabila kamu dianiaya di sesuatu bandar, larilah ke bandar lain. Ketahuilah, Putera Insan akan datang semula sebelum kamu sempat menyampaikan ajaran-Ku di semua bandar di tanah Israel.

24‘Tiada murid yang melebihi gurunya; tiada hamba yang melebihi tuannya. 25Murid haruslah berpuas hati menjadi seperti gurunya; hamba haruslah berpuas hati menjadi seperti tuannya. Jika ketua keluarga dipanggil Beelzebul, betapa lagi ahli-ahli keluarganya!

26‘Jangan takut akan manusia. Segala yang tersembunyi akan dinyatakan; setiap rahsia akan didedahkan. 27Apa yang Kukatakan kepadamu secara sulit, sampaikanlah kepada orang ramai. Apa yang dibisikkan di telingamu, umumkanlah merata-rata. 28Jangan takut akan mereka yang hanya dapat membunuh jasad tetapi tidak berkuasa memusnahkan jiwa. Takutilah Allah yang berkuasa memusnahkan jasad dan jiwa di dalam neraka. 29Bukankah dua ekor burung pipit dibeli dengan harga satu sen? Namun tidak seekor pun jatuh ke tanah tanpa izin Bapamu. 30Setiap helai rambut di kepalamu pun dihitung. 31Oleh itu, usahlah takut. Di sisi Allah, kamu lebih berharga daripada burung pipit!

32‘Sesiapa mengakui-Ku di hadapan orang ramai, akan Kuakui di hadirat Bapa-Ku di syurga.

33Sebaliknya, sesiapa yang menyangkal-Ku di hadapan orang ramai, akan Kusangkal di hadirat Bapa-Ku di syurga.

34‘Jangan sangka Aku datang untuk membawa damai ke dunia. Aku datang bukan untuk membawa damai ke dunia melainkan pedang. 35Dengan kedatangan-Ku, “anak lelaki melawan bapanya, anak perempuan melawan ibunya, dan menantu perempuan melawan ibu mertuanya.

36Ahli keluarganya sendiri akan menjadi musuhnya.”

37‘Sesiapa yang lebih mengasihi bapa atau ibunya daripada-Ku, tidak layak menjadi pengikut-Ku. Begitu juga, sesiapa yang lebih mengasihi anaknya daripada-Ku, tidak layak menjadi pengikut-Ku. 38Sesiapa yang enggan memikul salibnya dan mengikut-Ku, tidak layak menjadi pengikut-Ku. 39Sesiapa yang mempertahankan hidupnya akan kehilangannya, dan sesiapa yang kehilangan hidupnya kerana menjadi pengikut-Ku akan mendapat hidup kekal.

40‘Sesiapa yang menyambutmu, menyambut-Ku juga, dan sesiapa yang menyambut-Ku menyambut Dia yang mengutus-Ku. 41Sesiapa yang menyambut seorang pesuruh Allah kerana dia pesuruh Allah, akan menerima ganjaran seorang pesuruh Allah. Sesiapa yang menyambut seorang yang benar kerana dia seorang yang benar, akan menerima ganjaran seorang yang benar. 42Ingatlah: Sesiapa yang memberi minum walau hanya air sejuk kepada seorang pengikut-Ku yang paling rendah pun kerana dia pengikut-Ku, akan menerima ganjaran.’

↑ ↑ ↑ 11

Isa dan Yahya Pengimad

1Setelah Isa memberi petunjuk kepada dua belas orang pengikut-Nya itu, Dia meninggalkan tempat itu lalu pergi mengajar dan menyampaikan perkhabaran daripada Allah di bandar-bandar berhampiran.

2Yahya Pengimad yang meringkuk di penjara mendengar tentang apa yang dilakukan oleh al-Masih. Yahya pun menyuruh beberapa orang pengikutnya untuk pergi berjumpa Isa. 3Mereka bertanya, ‘Adakah Tuan ini orang yang dijanjikan Allah akan datang, atau perlukah kami menunggu orang lain?’

4Isa menjawab, ‘Pulanglah, beritahu Yahya segala yang kamu dengar dan lihat: 5Orang buta melihat, orang lumpuh berjalan, orang berpenyakit kusta sembuh, orang tuli mendengar, orang mati dihidupkan semula, dan berita baik daripada Allah disampaikan kepada orang miskin.

6Berbahagialah orang yang tidak meragui-Ku!’

7Ketika pengikut-pengikut Yahya beredar dari situ, Isa berkata kepada orang ramai tentang Yahya: ‘Apabila kamu mendapatkan Yahya di gurun, apakah yang ingin kamu lihat? Sehelai rumput mensiang yang ditiup angin? 8Kamu ke sana hendak melihat apa? Seorang yang berpakaian mewah? Orang yang berpakaian demikian tinggal di istana. 9Katakanlah, kamu ke situ untuk melihat apa? Seorang nabi? Benar, malah lebih daripada nabi. 10Tentang orang itulah telah tersurat dalam ayat Kitab Suci: “Aku akan menghantar utusan-Ku untuk mendahului-Mu, dialah yang akan menyediakan jalan bagi-Mu.”

11‘Sesungguhnya Aku berkata kepadamu bahawa di antara mereka yang dilahirkan oleh perempuan, belum pernah muncul seorang pun yang lebih besar daripada Yahya. Ketahuilah: Yahya Pengimad lebih utama daripada semua orang yang pernah hidup di dunia. Namun begitu, orang yang paling rendah antara yang menikmati kerajaan syurga lebih utama daripadanya. 12Sejak kedatangan Yahya Pengimad hinggalah ke hari ini, kerajaan syurga telah diserang oleh orang yang ingin menguasainya melalui kekerasan dan keganasan, dan orang yang ganas berusaha menguasainya dengan kekerasan. 13Kerana semua nabi termasuk Musa dengan Taurat bernubuat hingga datangnya Yahya. 14Sekiranya kamu mahu percaya akan perkhabaran mereka, Yahya itulah Ilyas yang telah dinubuatkan kedatangannya. 15Jika kamu ada telinga, dengarlah!

16‘Dengan apakah dapat Kubandingkan manusia zaman ini? Mereka ibarat anak-anak yang duduk di pasar, satu kumpulan berseru kepada yang lain:

17“Kami memainkan seruling lagu perkahwinan untukmu, tetapi kamu enggan menari; kami menyanyi lagu ratap, tetapi kamu enggan menangis.”

18‘Ketika Yahya datang, dia berpuasa dan tidak minum air anggur, lalu semua orang berkata, “Dia dirasuk roh iblis!” 19Ketika Putera Insan datang, Dia makan dan minum, lalu semua orang berkata, “Lihatlah dia ini: gelojoh, pemabuk, kawan kepada pemungut cukai dan orang berdosa!” Namun demikian, kebijaksanaan terbukti benar dengan perbuatannya.’

Penduduk yang enggan bertaubat

20Isa mengecam bandar-bandar tempat Dia paling banyak melakukan mukjizat, kerana penduduknya enggan bertaubat. 21‘Malangnya kamu, hai Korazin! Malangnya kamu, hai Baitsaida! Sekiranya mukjizat-mukjizat yang Kulakukan di kalanganmu itu Kulakukan di Tirus dan Sidon, tentu sudah lama orang di situ bertaubat, dengan memakai kain guni dan membubuh abu di kepala.

22Ketahuilah: Pada hari penghakiman itu kelak, Allah akan lebih mengasihani penduduk Tirus dan Sidon daripada kamu!

23Kamu juga, hai Kapernaum! Ingin kamu tinggikan diri sampai ke syurga? Kamu akan dihumbankan ke neraka! Kalaulah mukjizat-mukjizat yang Kulakukan di kalanganmu itu Kulakukan di Sodom, tentu Sodom masih ada hingga kini! 24Aku berkata kepadamu: Ketahuilah, pada hari itu kelak, hukuman ke atas Sodom lebih ringan daripada hukuman yang akan kamu terima!’

Jemputan Isa

25Selepas itu Isa mengucap syukur, ‘Ya Bapa, Tuhan langit dan bumi! Aku bersyukur kepada-Mu, kerana apa yang Kaurahsiakan daripada cerdik pandai, Kautunjukkan kepada kanak-kanak kecil, orang yang tidak terpelajar. 26Ya Bapa, memang inilah kehendak-Mu.’

27‘Bapa-Ku telah menyerahkan segala-galanya kepada-Ku. Tiada yang mengenal Putera kecuali Bapa, dan tiada yang mengenal Bapa kecuali Putera dan orang yang diberitahu oleh Putera tentang Bapa.

28‘Marilah ke sisi-Ku, wahai kamu yang lelah memikul beban berat; Aku akan membebaskanmu daripada bebanmu. 29Ikutlah perintah-Ku dan terima ajaran-Ku, kerana Aku ini lemah lembut dan rendah hati, maka jiwamu akan sejahtera. 30Perintah yang Kuberi kepadamu mudah diturut, dan beban yang Kuberi mudah dipikul.’

↑ ↑ ↑ 12

Junjungan atas hari Sabat

1Pada suatu hari Sabat, Isa berjalan melalui ladang gandum. Para pengikut-Nya lapar lalu memetik dan memakan gandum. 2Apabila orang Farisi melihat perkara ini, mereka berkata kepada Isa, ‘Lihatlah, pengikut-Mu melakukan sesuatu yang dilarang pada hari Sabat!’

3Isa menjawab, ‘Tidakkah kamu membaca apa yang dilakukan oleh Daud apabila dia dan anak buahnya lapar? 4Daud masuk ke dalam khemah Allah, lalu dia dan anak buahnya makan roti persembahan, meskipun perbuatan itu dilarang iaitu hanya imam dibenarkan makan roti itu.

5Tidakkah kamu baca dalam Taurat Musa betapa setiap hari Sabat imam di rumah ibadat melanggar hukum hari Sabat? Namun, mereka tidak disalahkan. 6Aku berkata kepadamu: Di sini ada yang lebih besar daripada rumah ibadat. 7Ada tersurat: “Aku menghendaki belas kasihan, bukan korban binatang.” Jika kamu benar-benar memahami ayat itu, tentulah tidak kamu salahkan orang yang tidak bersalah; 8kerana Putera Insan adalah Junjungan atas hari Sabat.

9Isa beredar dari situ lalu pergi ke sebuah saumaah. 10Di situ ada seorang yang lumpuh sebelah tangannya. Beberapa orang di sana cuba mencari salah Isa supaya dapat mendakwa-Nya. Mereka bertanya kepada-Nya, ‘Tidakkah menyembuhkan orang pada hari Sabat melanggar hukum?’

11Isa menjawab, ‘Apakah yang akan kamu lakukan jika seorang daripadamu mempunyai seekor domba, dan pada hari Sabat domba itu terjatuh ke dalam lubang yang dalam? Tentulah kamu berusaha menyelamatkannya. 12Betapa lebih berharganya manusia daripada domba? Oleh itu, berbuat baik pada hari Sabat tidak melanggar hukum.’

13Setelah itu, Isa berkata kepada orang yang lumpuh sebelah tangannya itu, ‘Hulurkanlah tanganmu.’ Orang itu pun menghulurkan tangannya yang lumpuh lalu pulih sama seperti tangan yang sebelahnya. 14Ketika itu orang Farisi beredar dari situ lalu berpakat hendak membunuh Isa.

Isa Hamba Allah

15Apabila Isa mengetahui pakatan itu, Dia pun meninggalkan tempat itu. Ramai orang mengikut-Nya dan ramai yang disembuhkan-Nya daripada pelbagai penyakit. 16Dia berpesan kepada mereka supaya jangan memberitahu sesiapa tentang-Nya. 17Dengan demikian terjadilah firman Allah melalui Nabi Yasyaya:

18‘Inilah hamba-Ku yang telah Kupilih, Yang Kukasihi dan Kuredai Roh-Ku akan Kuanugerahkan kepada-Nya, dan keadilan-Ku akan diisytiharkan-Nya kepada semua bangsa.

19Dia tidak akan bertengkar atau membentak, ataupun bersuara lantang di jalan raya.

20Buluh yang halus terkulai tidak akan dipatahkan-Nya, Pelita yang malap tidak akan dipadamkan-Nya, Dia akan berjuang sehingga tercapai keadilan,

21Bangsa-bangsa asing akan bersandar harap kepada-Nya.’

Isa dan Beelzebul

22Setelah itu seorang yang buta dan bisu kerana dirasuk roh iblis dibawa kepada Isa lalu disembuhkan-Nya. 23Orang ramai di situ ketakjuban lalu bertanya sama sendiri, ‘Mungkinkah dia ini Anak Daud?’ 24Apabila orang Farisi mendengar tentang itu, mereka menjawab, ‘Dia dapat menghalau roh-roh iblis kerana diberi kuasa oleh Beelzebul, ketua roh iblis.’ 25Isa mengetahui isi hati orang Farisi itu lalu berkata kepada mereka, ‘Negeri yang berpecah kepada beberapa bahagian yang bermusuhan tidak akan wujud lama. Bandar atau keluarga yang berpecah dan berlawan sesama sendiri akan hancur lebur. 26Begitu juga, andainya Iblis mengusir Iblis, dia akan berpecah belah, dan bagaimanakah kerajaannya dapat bertahan? 27Kamu berkata Aku menghalau roh-roh iblis kerana diberi kuasa oleh Beelzebul. Kalau begitu, siapa yang memberikan kuasa menghalau roh-roh iblis kepada pengikut-pengikutmu? Oleh itu merekalah yang akan menjadi hakimmu. 28Tetapi jika Aku menghalau roh-roh iblis dengan Roh Allah, maka sesungguhnya kerajaan Allah sudah mula bertapak di kalanganmu.

29‘Atau bagaimanakah orang dapat memasuki rumah seorang yang gagah dan merampas harta bendanya sekiranya orang yang gagah itu tidak diikat terlebih dahulu? Selepas itu, barulah dia dapat merompak rumahnya.

30‘Jika seseorang tidak berpihak kepada-Ku, ini bererti dia menentang-Ku. Jika seseorang tidak mengumpulkan bersama-Ku, ini bererti dia mencerai-beraikan. 31Ketahuilah: Orang yang berbuat dosa atau mengucapkan kata-kata kufur akan diampuni, tetapi mereka yang mengkufuri Roh Suci tidak akan diampuni. 32Orang yang menentang Putera Insan dengan kata-katanya dapat diampuni, tetapi mereka yang menghina Roh Suci tidak dapat diampuni, baik di dunia mahupun di akhirat.

33‘Jika kamu ingin mendapat buah yang baik, kamu harus mempunyai pokok yang baik. Jika pokok tidak baik, buahnya pun tidak baik. Baik tidaknya pokok diketahui daripada buahnya. 34Hai kamu yang seperti ular berbisa, bagaimana dapat kamu tuturkan perkara yang baik sedangkan dirimu jahat? Orang mengucapkan apa yang terkandung dalam hatinya. 35Seorang yang baik menuturkan hal-hal baik kerana hatinya penuh kebaikan. Seorang yang jahat menuturkan hal-hal jahat kerana hatinya penuh kejahatan. 36Aku berkata kepadamu: Pada hari penghakiman, setiap orang harus mempertanggungjawabkan setiap katanya yang tidak sewajarnya dituturkan. 37Kata-katamu sendiri akan dijadikan ukuran sama ada kamu bersalah atau tidak.’

Alamat Nabi Yunus

38Selepas itu beberapa orang guru Taurat dan orang Farisi berkata kepada Isa, ‘Tuan Guru, kami ingin melihat suatu alamat mukjizat daripada-Mu.’

39Tetapi Isa menjawab, ‘Manusia zaman durjana dan tidak setia ini ingin melihat alamat mukjizat. Tetapi satu alamat pun tidak akan ditunjukkan kepadanya kecuali alamat Nabi Yunus. 40Sebagaimana Yunus tinggal tiga hari tiga malam di dalam perut ikan besar, begitu jugalah Putera Insan akan tinggal tiga hari tiga malam di dalam perut bumi. 41Pada hari akhir, penduduk Niniwe akan bangkit bersama kamu, orang zaman ini. Mereka akan menuduhmu, kerana apabila mereka mendengar perkhabaran yang disampaikan oleh Yunus, mereka telah bertaubat; sedangkan kamu tidak, pada hal di hadapanmu sekarang ada yang lebih besar daripada Yunus. 42Pada hari akhir, Ratu Syeba dari Selatan akan bangkit bersama kamu, orang zaman ini. Ratu itu akan menuduhmu, kerana dia telah datang dari hujung bumi untuk mendengar ajaran Raja Sulaiman yang bijaksana; sedangkan kamu tidak mendengar ajaran daripada yang ada di hadapanmu sekarang dan yang lebih besar daripada Raja Sulaiman.

43‘Apabila roh durjana keluar daripada tubuh seseorang, roh itu akan menjelajahi kawasan yang tandus untuk mencari tempat tinggal. Sekiranya tempat tinggal tidak ditemuinya, 44roh itu akan berkata, “Aku akan pulang ke rumah yang telah kutinggalkan.” Roh itu pun pulang dan mendapati rumah itu kosong, bersih dan kemas. 45Roh itu lalu pergi memanggil tujuh roh lain yang lebih durjana daripadanya. Semuanya memasuki tubuh orang itu dan menetap di situ. Akhirnya keadaan orang itu lebih teruk daripada dahulu. Inilah yang akan terjadi kepada manusia durjana zaman ini.’

Isa dan sanak saudara-Nya

46Sedang Isa berbicara dengan orang ramai, ibu dan saudara-saudara-Nya datang berdiri di luar kerana hendak bercakap dengan Isa. 47Seorang daripada orang ramai itu memberitahu Isa, ‘Ibu dan saudara-saudara lelaki-Mu hendak bercakap dengan-Mu.’

48Tetapi Isa menjawab, ‘Siapakah ibu-Ku? Siapakah saudara-saudara lelaki-Ku?’ 49Dia menunjuk kepada para pengikut-Nya lalu berkata, ‘Inilah ibu-Ku dan saudara-saudara lelaki-Ku. 50Sesiapa yang melakukan kehendak Bapa-Ku yang di syurga, merekalah saudara lelaki, saudara perempuan dan ibu-Ku.’

↑ ↑ ↑ 13

Ibarat seorang penabur

1Pada hari itu juga, Isa keluar dari rumah lalu duduk di tepi laut. 2Sungguh ramai orang datang berhimpun mendapatkan-Nya. Isa pun masuk ke dalam sebuah perahu dan duduk di situ manakala orang ramai itu berdiri di pantai. 3Isa berbicara kepada mereka melalui ibarat: ‘Seorang penyemai benih telah pergi menabur. 4Sebahagian benih yang ditaburnya jatuh di tepi jalan lalu dimakan burung. 5Sesetengahnya jatuh di tempat-tempat berbatu yang tidak banyak tanahnya. Benih itu segera bercambah kerana tanahnya tidak dalam. 6Tetapi apabila matahari naik, tunas-tunas itu kering kepanasan, lantas layu kerana tidak berakar. 7Ada pula yang jatuh di semak duri, lalu tewas ditindas tumbuhan duri. 8Namun, ada yang jatuh di tanah yang subur dan memberikan hasil: seratus kali ganda, enam puluh kali ganda, atau tiga puluh kali ganda. 9Sesiapa yang ada telinga, dengarlah!’

10Para pengikut Isa datang bertanya kepada-Nya, ‘Mengapa Junjungan bercakap kepada mereka melalui ibarat?’ 11Isa menjawab, ‘Kamu telah diberi anugerah untuk mengetahui rahsia kerajaan syurga, tetapi mereka tidak. 12Sesiapa yang mempunyai sesuatu akan diberi lebih banyak lagi, sehingga melimpahlimpah. Sebaliknya, sesiapa yang tidak mempunyai sesuatu, sedikit yang ada padanya pun akan diambil. 13Aku bercakap kepada mereka melalui ibarat: ‘ “Kerana mereka melihat tetapi tidak nampak, mereka mendengar tetapi tidak mengerti.”

14‘Keadaan mereka ini tepat seperti terdapat dalam nubuat Nabi Yasyaya: ‘ “Kamu terus mendengar tetapi tidak mengerti; kamu akan terus melihat tetapi tidak mengetahui.

15Kerana hati umat ini telah buntu, mereka pekakkan telinga, dan pejamkan mata. Kalau tidak demikian, mereka tentu melihat dengan mata, mendengar dengan telinga, dan mengerti dengan hati, lalu berpaling kepada-Ku dan Aku menyembuhkan mereka.”

16‘Tetapi berbahagialah matamu kerana melihat, dan telingamu kerana mendengar.

17Sesungguhnya, Kukatakan kepadamu, ramai nabi dan orang yang benar berhasrat melihat apa yang kamu lihat dan mendengar apa yang kamu dengar, tetapi hasrat mereka tidak tercapai.

18‘Oleh itu dengarlah maksud ibarat penyemai benih: 19Apabila seseorang mendengar perkhabaran kerajaan Allah dan tidak memahaminya, akan datanglah si durjana menyambar apa yang telah ditabur dalam hatinya. Orang inilah yang menerima benih di tepi jalan. 20Orang yang menerima benih di tempat-tempat berbatu pula bermaksud orang yang mendengar perkhabaran itu dan terus menerimanya dengan sukacita. 21Tetapi perkhabaran itu tidak berakar dalam dirinya, maka hanya tahan seketika. Sebaik-baik dia menghadapi kesusahan atau penganiayaan kerana perkhabaran itu, imannya pun luntur. 22Orang yang menerima benih di semak duri ialah orang yang mendengar perkhabaran itu, tetapi kerunsingan tentang hal-hal duniawi dan godaan harta kekayaan mengasyikkannya lalu dia tidak dapat menghasilkan apa-apa. 23Tetapi orang yang menerima benih di tanah subur ialah orang yang mendengar perkhabaran itu dan memahaminya lalu menghasilkan seratus kali, enam puluh kali atau tiga puluh kali ganda.’

Ibarat tentang lalang di antara gandum

24Isa menceritakan satu ibarat lagi: ‘Kerajaan syurga ibarat orang menabur benih yang baik di ladangnya. 25Pada waktu malam apabila semua orang sedang tidur, musuhnya datang menanam lalang di antara gandum itu. 26Setelah gandum itu membesar, lalang pun tumbuh juga.

27‘Hamba peladang berkata, “Tuan menabur benih yang baik, dari mana pula datangnya lalang itu?” 28‘Jawab peladang itu, “Ini perbuatan musuh.” ‘Hamba itu bertanya, “Adakah tuan hendak kami mencabut lalang itu?”

29‘ “Tidak,” jawab peladang itu, “takut tercabut gandum juga. 30Biarkanlah lalang tumbuh di antara gandum hingga sampai musim menuai. Ketika itu aku akan menyuruh orang yang menuai nanti mencabut lalang dahulu, mengikat dan membakarnya. Selepas itu barulah gandum dituai dan disimpan di dalam jelapang.” ’

Ibarat tentang biji sesawi dan ragi

31Seterusnya Isa mengisahkan ibarat demikian: ‘Kerajaan syurga seperti sebutir biji sesawi yang dibawa oleh seseorang untuk ditanam di ladangnya. 32Biji sesawi itu paling kecil di antara semua benih, tetapi apabila tumbuh, menjadi tumbuhan yang lebih besar daripada semua tumbuhan lain sehingga menjadi sebatang pokok tempat burung membuat sarang.’

33Kemudian Isa menceritakan suatu ibarat lagi, ‘Kerajaan syurga seperti ini: Seorang wanita mencampurkan sedikit ragi dengan tiga sukat tepung sehingga adunan itu naik.’

34Demikianlah Isa mengajar orang ramai melalui ibarat. Tidak ada satu ajaran yang disampaikan-Nya kepada mereka tanpa ibarat. 35Maka terjadilah apa yang dikatakan oleh Nabi: ‘Aku akan bertutur kepada mereka melalui ibarat, Aku akan menyampaikan kepada mereka hal-hal yang dirahsiakan sejak dunia dicipta.’

Ibarat tentang lalang diterangkan

36Selepas itu Isa meninggalkan orang ramai lalu masuk ke rumah. Pengikut-pengikut-Nya datang kepada-Nya lalu berkata, ‘Terangkanlah kepada kami maksud ibarat lalang di antara gandum itu.’

37Isa berkata, ‘Orang yang menabur benih baik itu Putera Insan. 38Ladang itu dunia; benih yang baik itu orang yang menjadi umat Allah manakala lalang ialah orang yang menyebelahi si durjana.

39Musuh yang menanam lalang itu Iblis. Masa menuai ialah hari akhir dan para penuai itu malaikat.

40‘Sebagaimana lalang dikumpulkan dan dibakar, demikianlah halnya akan terjadi pada hari akhir.

41Putera Insan akan memerintahkan malaikat-Nya mengumpulkan semua di kalangan umat-Nya yang melakukan kejahatan dan yang menyebabkan orang berdosa. 42Mereka akan dihumbankan ke dalam relau yang berapi-api, tempat ratapan dan kertakan gigi. 43Orang yang benar akan bersinar laksana matahari dalam kerajaan Allah, Bapa mereka. Jika kamu mempunyai telinga, dengarlah!’

Ibarat tentang harta tersembunyi dan mutiara

44‘Kerajaan syurga ibarat harta yang tersembunyi di dalam sebidang tanah. Seseorang telah menjumpainya lalu menyembunyikannya semula. Setelah itu dengan penuh sukacita dia menjual segala yang dimilikinya lalu membeli tanah itu.

45‘Kerajaan syurga juga umpama seorang saudagar yang mencari mutiara yang paling tinggi nilainya. 46Apabila dia menjumpai mutiara yang paling bernilai, dia pun menjual semua yang dimilikinya lalu membeli mutiara itu.

Ibarat tentang pukat

47‘Kerajaan syurga juga seperti pukat yang dilabuhkan ke dalam laut lalu mendapat aneka jenis ikan. 48Setelah sarat dan ditarik ke darat, para nelayan memeriksanya, lalu menyimpan yang baik dan membuang yang tidak baik. 49Demikianlah yang akan terjadi pada akhir zaman. Malaikat akan datang mengasingkan orang durjana daripada orang yang benar. 50Orang durjana itu akan dihumbankan ke dalam relau yang berapi-api, tempat ratapan dan kertakan gigi.

51‘Fahamkah kamu hal-hal ini?’ Isa bertanya kepada para pengikut-Nya. ‘Kami faham,’ jawab mereka.

52Isa berkata, ‘Oleh itu setiap guru Taurat yang telah menerima ajaran tentang kerajaan syurga adalah seperti ketua rumah yang mengeluarkan barang baru dan barang lama simpanannya.’

Isa ditolak di Nasaret

53Setelah itu, Isa pun beredar dari situ. 54Lalu dia pulang ke kampung halamannya. Di situ Dia mengajar di saumaah. Orang yang mendengar-Nya hairan lalu bertanya, ‘Dari manakah dia mendapat kebijaksanaan begini? Dari manakah dia mendapat kuasa melakukan mukjizat?

55Bukankah dia anak tukang kayu? Bukankah Maryam itu ibunya, dan Yakobus, Yusuf, Simon serta Yudas itu saudaranya? 56Bukankah saudara-saudara perempuannya ada bersama kita? Dari manakah dia mendapat semua ini?’ 57Dengan demikian mereka marah dengan-Nya. Isa berkata kepada mereka, ‘Seorang Nabi dihormati kecuali di kampung halamannya dan di kalangan kaum keluarganya sendiri.’

58Isa tidak banyak melakukan mukjizat di situ kerana mereka tidak percaya.

↑ ↑ ↑ 14

Yahya dibunuh

1Pada masa itu Herodes, raja wilayah, mendengar tentang Isa. 2Herodes berkata kepada orang di bawahnya, ‘Ini tentu Yahya Pengimad. Dia telah bangkit daripada kematian! Sebab itulah dia ada kuasa melakukan mukjizat.’

3Sebelum itu Herodes telah memerintahkan supaya Yahya ditangkap, diikat dan dipenjarakan, disebabkan Herodias, isteri saudaranya Filipus. 4Yahya telah memberitahu Herodes, ‘Tuan bersalah mengahwini Herodias’ 5Herodes hendak membunuh Yahya tetapi takut kerana rakyat menganggapnya seorang nabi.

6Pada hari jadi Herodes, anak perempuan Herodias menari di hadapan majlis. 7Oleh sebab terlalu menikmati tarian itu, Herodes bersumpah akan memberikan apa saja yang diminta oleh gadis itu.

8Disuruh oleh ibunya, gadis itu memohon kepala Yahya Pengimad di atas talam pada waktu itu juga. 9Walaupun dengan berat hati, Herodes terpaksa menunaikan permintaan itu kerana telah bersumpah di hadapan majlisnya. 10Herodes pun memerintahkan orang pergi memancung kepala Yahya di penjara. 11Kepala Yahya diletakkan di atas talam dan diberikan kepada gadis itu. Gadis itu menyerahkan kepala Yahya kepada ibunya. 12Selepas itu pengikut Yahya datang mengambil jenazahnya dan mengebumikannya. Kemudian mereka pergi memberitahu Isa tentangnya.

Isa memberi makan kepada lima ribu orang

13Sebaik-baik mendengar tentang Yahya, Isa menaiki perahu dan pergi seorang diri ke suatu tempat sunyi. Namun, orang ramai mendapat tahu lalu mengikut Isa melalui jalan darat dari kota. 14Setelah Isa turun dari perahu dan melihat mereka, hati-Nya berasa kasihan lalu Dia menyembuhkan orang yang sakit di kalangan mereka.

15Apabila menjelang petang, para pengikut Isa mendapatkan-Nya lalu berkata, ‘Hari sudah hampir malam dan kawasan ini terpencil. Suruhlah orang yang ramai ini pergi, supaya dapat membeli makanan di pekan.’

16Tetapi Isa menjawab, ‘Mereka tidak usah pergi. Berilah mereka makan.’

17Kata para pengikut Isa, ‘Kita hanya ada lima buku roti dan dua ekor ikan.’

18Isa berkata, ‘Bawalah makanan itu kepada-Ku.’ 19Dia menyuruh orang ramai itu duduk di atas rumput. Dia mengambil makanan itu dan menengadah ke langit mengucap syukur kepada Allah. Kemudian Dia memecah-mecahkan roti itu dan menghulurkannya kepada para pengikut-Nya supaya diberikan kepada orang ramai itu. 20Setiap orang makan sehingga kenyang dan lebihan yang dikumpulkan oleh para pengikut Isa sebanyak dua belas bakul. 21Jumlah yang makan kira-kira lima ribu orang lelaki, belum dihitung wanita dan kanak-kanak.

Isa berjalan di atas air

22Setelah itu Isa menyuruh para pengikut-Nya menaiki perahu dan pergi ke seberang dahulu sementara Dia menyuruh orang ramai itu pulang. 23Setelah menyuruh mereka pulang, Isa naik ke bukit seorang diri lalu berdoa. Apabila hari sudah lewat petang, Isa berada di situ seorang diri.

24Ketika itu perahu yang dinaiki oleh para pengikut-Nya sudah jauh ke tengah, terumbang-ambing kerana angin berhembus dari arah bertentangan.

25Antara dinihari dan pagi, Isa berjalan di atas air menghampiri mereka. 26Apabila mereka melihat-Nya berjalan di atas air, mereka ketakutan lalu menjerit, ‘Hantu!’

27Isa segera berkata kepada mereka, ‘Tenanglah. Aku Isa. Jangan takut.’

28Petrus berkata, ‘Junjungan, jika benar Engkau, suruhlah aku berjalan di atas air mendapatkan-Mu.’ 29‘Marilah,’ sahut Isa. Petrus turun dari perahu dan mula berjalan di atas air ke arah Isa. 30Tetapi apabila menyedari betapa kencangnya angin, Petrus berasa takut lalu mula tenggelam. ‘Junjungan! Selamatkan aku!’ serunya.

31Isa segera menghulurkan tangan memegangnya lalu berkata, ‘Engkau yang kurang percaya, mengapa engkau ragu?’

32Kedua-dua mereka menaiki perahu dan angin pun tiada. 33Selepas itu para pengikut Isa yang di dalam perahu menyembah-Nya sambil berkata, ‘Sesungguhnya Engkaulah Putera Allah!’

34Mereka menyeberang ke Genesaret. 35Orang di situ mengenal Isa lalu menyebarkan berita kedatangan-Nya ke serata daerah itu. Ramailah dibawa orang sakit kepada-Nya. 36Mereka merayu Isa supaya mengizinkan orang sakit menyentuh hujung jubah-Nya. Dengan sentuhan itu sahaja pun mereka sembuh.

↑ ↑ ↑ 15

Perintah Allah dan adat istiadat

1Setelah itu beberapa orang Farisi dan guru Taurat dari Baitulmaqdis datang mendapatkan Isa lalu bertanya, 2‘Mengapa pengikut-Mu melanggar adat nenek moyang kita? Mereka tidak membasuh tangan sebelum makan!’

3Isa menjawab, ‘Mengapa kamu membelakangi perintah Allah demi mematuhi adat istiadatmu?

4Allah berfirman, “Hormatilah ibu bapamu” dan “Orang yang mencaci ibu bapanya mesti dihukum mati.” 5Sebaliknya kamu mengajar, “Jika seseorang berkata kepada ibu bapanya, ‘Apa yang patut kugunakan untuk menolong ayah dan ibu, telah kupersembahkan kepada Allah,’ 6maka tidak perlulah orang itu menghormati ibu bapanya. Demikianlah kamu menyatakan Firman Allah tidak berlaku atas sebab adat istiadatmu.” 7Kamu munafik! Benarlah nubuat Nabi Yasyaya tentangmu:

8“Allah berfirman: Bangsa ini menghormati-Ku dengan kata-kata tetapi hati mereka jauh daripada-Ku.

9Sia-sialah mereka menyembah-Ku, sedangkan ajaran yang mereka ajarkan ialah peraturan manusia.” ’

10Kemudian Isa memanggil orang ramai itu lalu berkata kepada mereka, ‘Dengar dan fahamlah!

11Apa yang masuk ke mulut seseorang tidak menajiskannya, tetapi apa yang keluar dari mulutnya, itulah yang menajiskannya.’

12Selepas itu para pengikut Isa mendapatkan-Nya dan berkata, ‘Junjungan, tahukah Engkau bahawa orang Farisi tersinggung dengan kata-kata-Mu?’

13Isa menjawab, ‘Segala tanaman selain yang ditanam oleh Bapa-Ku di syurga akan dicabut.

14Jangan hiraukan orang Farisi. Mereka itu orang buta yang memimpin orang buta. Apabila orang buta memimpin orang buta, kedua-duanya masuk ke dalam parit.’

15Petrus berkata, ‘Terangkanlah maksud ibarat tadi kepada kami.’

16Isa berkata kepada para pengikut-Nya, ‘Kamu masih tidak faham. 17Tidakkah kamu mengerti? Apa yang masuk ke dalam mulut seseorang turun ke perut lalu keluar semula. 18Sebaliknya, apa yang keluar dari mulut datang dari hati, dan inilah yang menajiskan. 19Dari hati timbul fikiran jahat yang mendorong seseorang membunuh, berzina, berbuat cabul, mencuri, memberikan kesaksian palsu, dan memfitnah. 20Segala itulah yang menajiskan, bukan makan dengan tidak membasuh tangan mengikut adat.’

Wanita Kanaan yang percaya

21Isa beredar dari situ, dan pergi ke kawasan berhampiran bandar Tirus dan Sidon. 22Seorang wanita Kanaan yang tinggal di situ datang mendapatkan Isa sambil berseru, ‘Wahai Tuan, Anak Daud! Kasihanilah aku! Anak perempuanku dirasuk roh iblis, dan menderita!’

23Isa diam tidak menjawab. Para pengikut-Nya memohon kepada-Nya, ‘Suruhlah wanita itu pergi. Dia mengikut kita meraung-raung.’

24Isa berkata kepada wanita itu, ‘Aku diutus khusus kepada orang Israel yang seperti domba sesat.’

25Wanita itu mendekati Isa dan menyembah-Nya sambil berkata, ‘Tuan, tolonglah aku.’

26Isa menjawab, ‘Tidaklah wajar mengambil makanan anak-anak dan mencampakkannya kepada anak-anak anjing.’

27‘Benar, Tuan,’ balas wanita itu, ‘tetapi anak-anak anjing pun makan sisa yang jatuh dari meja tuannya.’

28Oleh yang demikian Isa berkata kepadanya, ‘Kamu seorang wanita yang teguh iman. Apa yang kamu inginkan itu akan berlaku.’ Serta-merta anak wanita itu pulih.

Isa menyembuhkan ramai orang

29Isa beredar dari situ lalu berjalan menyusur pesisiran Laut Galilea. Setelah itu Dia mendaki sebuah bukit dan duduk di situ. 30Ramailah yang datang mendapatkan-Nya, membawa orang yang tempang, buta, lumpuh, bisu dan yang mengidap pelbagai penyakit. Isa menyembuhkan mereka.

31Orang ramai tercengang melihat yang bisu bercakap, yang cacat dipulihkan, yang tempang berjalan, dan yang buta melihat, lalu mereka memuji Tuhan orang Israel.

Empat ribu orang diberi makan

32Isa memanggil para pengikut-Nya lalu berkata, ‘Aku kasihan kepada orang ramai ini. Sudah tiga hari mereka bersama-Ku; sekarang mereka kehabisan makanan. Aku tidak mahu menyuruh mereka pulang dengan perut kosong, kalau-kalau pengsan nanti di tengah jalan.’

33Para pengikut-Nya berkata, ‘Di manakah dapat kami cari makanan yang cukup untuk orang seramai itu sedangkan kawasan ini terpencil?’

34Isa bertanya, ‘Berapa banyak roti yang ada padamu?’ ‘Tujuh buku,’ sahut mereka, ‘dan beberapa ekor ikan kecil.’

35Isa menyuruh orang ramai itu duduk di atas tanah. 36Dia mengambil tujuh buku roti dan ikan itu, mengucap syukur kepada Allah lalu membahagikan makanan itu dan menghulurkannya kepada para pengikut-Nya untuk diberikan kepada orang ramai. 37Setiap orang makan sehingga kenyang, malah lebihan makanan yang dikumpulkan oleh para pengikut-Nya tujuh bakul. 38Jumlah yang makan empat ribu orang lelaki; belum dikira wanita dan kanak-kanak. 39Setelah itu Isa menyuruh orang ramai itu pulang, lalu Dia berperahu ke daerah Magadan.

↑ ↑ ↑ 16

Orang Farisi menduga Isa

1Beberapa orang Farisi dan Saduki datang kepada Isa. Untuk menduga Isa, mereka meminta-Nya melakukan mukjizat sebagai bukti Dia datang daripada Allah.

2Isa menjawab, ‘Ketika matahari masuk, kamu berkata, “Cuaca baik, kerana langit merah.”

3Pada waktu pagi, kamu berkata, “Cuaca buruk nanti, kerana langit merah mengancam.” Munafik! Kamu dapat meramalkan cuaca dengan melihat alamat-alamat di langit, tetapi kamu tidak dapat memahami alamat-alamat zaman ini. 4Manusia zaman yang durjana dan derhaka ini ingin melihat alamat mukjizat. Tetapi satu alamat pun tidak akan ditunjukkannya kecuali alamat Nabi Yunus.’ Setelah berkata demikian, Isa pun pergi dari situ.

5Ketika para pengikut Isa berperahu ke seberang, mereka terlupa membawa roti. 6Isa berkata kepada mereka, ‘Berhati-hatilah dengan ragi orang Farisi dan Saduki.’

7Mereka mula berkata-kata sesama sendiri, ‘Dia berkata begitu kerana kita tidak membawa roti.’

8Isa tahu apa yang dikatakan oleh mereka. Dia berkata, ‘Mengapa kamu persoalkan hal tidak membawa roti? Tipis benar kepercayaanmu! 9Belum fahamkah kamu? Tidakkah kamu ingat bagaimana Aku membahagikan lima buku roti antara lima ribu orang? Berapa bakul lebihan makanan yang kamu kumpulkan? 10Bagaimana pula dengan tujuh buku roti yang Kubahagikan antara empat ribu orang? Berapa bakul lebihan makanan yang kamu kumpulkan? 11Mengapa kamu tidak mengerti bahawa Aku tidak bercakap tentang roti. Berhati-hatilah dengan ragi orang Farisi dan Saduki.’ 12Barulah mereka faham bahawa maksud Isa bukannya ragi penaik roti tetapi ajaran orang Farisi dan Saduki.

Pengakuan Petrus

13Isa pergi ke daerah berhampiran kota Kaisarea Filipi. Dia bertanya kepada para pengikut-Nya, ‘Menurut kata orang, siapakah Putera Insan ini?’

14Mereka menjawab, ‘Ada yang berkata Yahya Pengimad; ada yang berkata Ilyas; ada pula yang berkata Yeremia atau nabi lain.’ 15Isa bertanya, ‘Menurut kamu, siapakah Aku ini?’ 16Simon Petrus menjawab, ‘Junjungan, Engkau ialah al-Masih, Putera Allah Yang Hidup.’

17Isa berkata, ‘Berbahagialah engkau, Simon anak Yunus! Yang memberitahumu bukannya manusia tetapi Bapa-Ku di syurga. 18Oleh itu ketahuilah engkau Petrus, batu yang kukuh, dengan asas batu inilah akan Kubina jemaah-Ku. Maut pun tidak dapat merobohkannya. 19Aku akan memberikan kunci kerajaan syurga kepadamu. Apa yang kauikat di dunia akan diikat juga di syurga. Apa yang kauuraikan di dunia akan diuraikan juga di syurga.’ 20Selepas itu Isa berpesan kepada para pengikut-Nya supaya jangan memberitahu sesiapa bahawa Dia al-Masih.

Isa memberitahu tentang kematian-Nya

21Sejak itu, Isa mula berkata terus-terang kepada para pengikut-Nya bahawa Dia harus pergi ke Baitulmaqdis dan menanggung banyak penderitaan yang disebabkan oleh pemimpin masyarakat, ketua imam, dan guru Taurat. Dia akan dibunuh, tetapi pada hari ketiga akan dibangkitkan semula.

22Petrus menarik Isa ke tepi lalu menegur-Nya, ‘Junjungan, semoga Allah jauhi semua itu daripada-Mu! Semua itu tidak boleh berlaku kepada-Mu, Junjungan!’

23Isa berpaling sambil berkata kepada Petrus, ‘Pergilah dari sini, Iblis! Engkau menyakitkan hati-Ku kerana fikiranmu itu fikiran manusia, bukan fikiran Allah!’ 24Kemudian Isa berkata kepada para pengikut-Nya, ‘Jika sesiapa ingin mengikut-Ku, lupakan kepentingan diri, pikul salib dan ikut Aku. 25Sesiapa yang mempertahankan hidupnya akan kehilangan hidup, dan sesiapa yang mengorbankan hidupnya kerana-Ku akan memperoleh hidup.

26Apalah gunanya jika seseorang memperolehi seluruh dunia tetapi kehilangan hidupnya? Apakah yang dapat diberinya sebagai ganti untuk hidup itu? 27Sudah hampir waktunya Putera Insan datang bersama para malaikat-Nya dengan kemuliaan Bapa-Nya. Pada masa itu Dia akan memberi balasan kepada setiap orang menurut perbuatannya. 28Sesungguhnya Aku berkata kepadamu, beberapa orang di sini tidak akan menemui maut sebelum melihat Putera Insan datang sebagai Raja.’

↑ ↑ ↑ 17

Isa dimuliakan di atas gunung

1Enam hari selepas itu, Isa membawa Petrus, Yakobus dan Yahya, saudara Yakobus, pergi bersunyi di atas sebuah gunung yang tinggi. 2Apabila mereka memandang Isa, mereka mendapati-Nya berubah: Wajah-Nya bersinar seperti matahari dan pakaian-Nya putih berkilau-kilauan. 3Mereka melihat pula Ilyas dan Musa berkata-kata dengan Isa.

4Petrus berkata kepada Isa, ‘Junjungan, sungguh baik bagi kita berada di sini. Kalau Junjungan mahu, biar kudirikan tiga buah khemah suci; satu untuk Junjungan, satu untuk Musa, dan satu lagi untuk Ilyas.’

5Sedang Petrus berkata-kata, segumpal awan yang bersinar-sinar meliputi mereka. Dari awan itu kedengaran suara berkata, ‘Inilah Putera-Ku yang Kukasihi dan dengan-Nya Aku berkenan. Dengarlah kata-Nya!’

6Mendengar suara itu, para pengikut Isa ketakutan lalu meniarap di tanah. 7Isa datang menyentuh mereka sambil berkata, ‘Bangunlah. Jangan takut.’ 8Apabila mereka memandang keliling, tiada siapapun kelihatan kecuali Isa.

9Mereka turun dari atas gunung itu. Isa mengeluarkan perintah, ‘Jangan beritahu sesiapapun apa yang telah kamu lihat, selagi Putera Insan belum dibangkitkan daripada kematian.’

10Para pengikut Isa bertanya kepada-Nya, ‘Mengapakah guru Taurat berkata Ilyas mesti datang dulu?’ 11Isa menjawab, ‘Memang benar Ilyas mesti datang dulu untuk menyediakan semuanya. 12Tetapi sesungguhnya Aku berkata kepadamu, Ilyas sudahpun datang tetapi orang tidak mengenalnya. Mereka berbuat sesuka hati kepadanya. Begitulah mereka akan lakukan kepada Putera Insan.’

13Ketika itu barulah para pengikut Isa faham bahawa yang dimaksudkan-Nya ialah Yahya Pengimad.

Anak lelaki yang kerasukan roh iblis disembuhkan

14Setelah Isa dan ketiga-tiga orang pengikut-Nya itu kembali kepada orang ramai, seorang lelaki datang berlutut di hadapan-Nya. 15Lelaki itu berkata, ‘Tuan, kasihanilah anakku! Dia mengidap sakit gila babi dan penyakitnya sungguh teruk. Seringkali dia terjatuh ke dalam air atau api. 16Aku sudahpun membawanya kepada pengikut-pengikut-Mu, tetapi mereka tidak dapat menyembuhkannya.’

17Isa menjawab, ‘Hai angkatan yang tidak percaya dan sesat ini. Berapa lama lagikah Aku mesti ada bersamamu? Berapa lama lagikah Aku mesti bersabar denganmu? Bawa anak itu ke sini!’ 18Isa mengherdik roh iblis itu. Roh iblis itu pun keluar dari anak itu lalu dia sembuh serta-merta.

19Para pengikut Isa mendapatkan-Nya dan bertanya ketika tiada orang lain di situ, ‘Mengapakah kami tidak dapat menghalau roh iblis itu?’

20Isa menjawab, ‘Kerana kamu tidak beriman. Sekiranya kamu mempunyai iman sebesar biji sawi, kamu dapat berkata kepada bukit, “Beralihlah ke situ!” maka bukit itu akan beralih. Kamu dapat melakukan apa saja. 21Jenis ini hanya dapat dihalau dengan berdoa dan berpuasa.’

22Ketika semua pengikut Isa berhimpun di Galilea, Isa berkata kepada mereka, ‘Putera Insan akan diserahkan kepada manusia. 23Mereka akan membunuh-Nya, tetapi Dia akan dibangkitkan semula pada hari ketiga.’ Mendengar kata-kata itu, para pengikut Isa berdukacita.

Membayar cukai

24Apabila Isa dan para pengikut-Nya sampai di Kapernaum, pemungut-pemungut cukai rumah ibadat datang kepada Petrus lalu bertanya, ‘Adakah gurumu membayar cukai rumah ibadat?’

25Petrus menjawab, ‘Tentu sekali.’ Sebaik-baik Petrus masuk ke rumah, sebelum dia dapat berkata apa-apa, Isa bertanya, ‘Simon, bagaimana pandanganmu, daripada siapakah raja-raja dunia ini memungut cukai, daripada anakanak mereka atau orang lain?’

26‘Orang lain,’ jawab Petrus. ‘Kalau begitu,’ kata Isa, ‘anak-anak tidak perlu membayar. 27Tetapi usahlah kita singgung perasaan orang. Pergilah memancing di laut. Ambillah ikan pertama yang kautangkap, dan bukalah mulutnya. Engkau akan mendapati sekeping duit syiling sebesar empat dirham. Ambillah duit itu dan berikan kepada mereka, untuk-Ku dan untukmu.’

↑ ↑ ↑ 18

Yang terbesar di dalam kerajaan syurga

1Pada ketika itu para pengikut Isa datang bertanya kepada-Nya, ‘Siapakah yang dianggap terbesar antara orang di dalam kerajaan syurga nanti?’

2Isa memanggil seorang kanak-kanak, disuruh-Nya berdiri di hadapan mereka semua. 3Isa pun berkata: ‘Ketahuilah! Kecuali kamu bersikap seperti kanak-kanak, kamu tidak akan memasuki kerajaan syurga. 4Oleh itu, orang yang dianggap terbesar dalam kerajaan syurga ialah yang merendah diri dan bersikap seperti kanak-kanak.

5‘Sesiapa yang meraikan kanak-kanak begini kerana Aku, ertinya dia meraikan Aku. 6Sesiapa yang menyebabkan seorang pengikut-Ku yang kecil ini melakukan dosa, lebih baiklah jika batu kisaran diikatkan ke lehernya dan dia ditenggelamkan dalam laut yang dalam.

7‘Malanglah dunia yang penuh dengan perkara-perkara yang menyebabkan orang berdosa! Memang dosa tetap berlaku, tetapi malanglah orang yang menyebabkannya! 8Sekiranya tangan atau kakimu menyebabkan kamu berdosa, potong dan buanglah tangan atau kaki itu. Lebih baik kamu kehilangan sebelah tangan atau kaki tetapi menikmati hidup kekal, daripada kamu mempunyai dua tangan dan dua kaki tetapi dihumbankan ke dalam api neraka. 9Sekiranya matamu menyebabkan kamu berdosa, cungkil dan buanglah mata itu. Lebih baik kamu kehilangan sebelah mata tetapi menikmati hidup kekal, daripada kamu memiliki dua mata tetapi dilontarkan ke dalam api neraka.

Ibarat tentang domba yang hilang

10‘Hati-hatilah, jangan hinakan seorang daripada pengikut-Ku yang kecil ini. Ketahuilah, malaikat-malaikat mereka sentiasa berada di hadirat Bapa-Ku di syurga. 11Putera Insan datang untuk menyelamatkan orang yang sesat.

12‘Bagaimana pandanganmu? Jika seseorang mempunyai seratus ekor domba dan seekor daripadanya sesat, apa yang akan dilakukannya? Tentulah dia meninggalkan sembilan puluh sembilan ekor domba yang sedang merumput di bukit dan pergi mencari domba yang sesat itu.

13Sesungguhnya, apabila dia menjumpainya, domba yang seekor itu lebih menggembirakannya daripada sembilan puluh sembilan ekor yang lain itu. 14Demikianlah juga Bapamu yang di syurga, tidak mahu seorang pun pengikut-Ku yang kecil ini sesat.

Saudaramu yang berdosa terhadapmu

15‘Jika saudaramu berdosa terhadapmu, pergilah mendapatkannya dan tunjukkan kesalahannya. Lakukan diam-diam, antara kamu berdua sahaja. Sekiranya dia mahu mendengar katamu, ertinya kamu berjaya mendapat kembali saudaramu. 16Jika tidak, bawalah seorang dua bersamamu; kerana telah tersurat, “Setiap tuduhan harus disokong dengan kesaksian dua atau tiga orang saksi.” 17Sekiranya dia enggan menerima nasihat mereka, maklumkan hal itu kepada jemaah. Jika nasihat jemaah pun tidak diterimanya, anggaplah dia seperti orang yang tidak mengenal Allah atau pemungut cukai.

18‘Sesungguhnya, apa yang kamu ikat di dunia akan diikat di syurga, dan apa yang kamu uraikan di dunia akan diuraikan juga di syurga.

19‘Ketahuilah juga, setiap kali dua orang daripadamu di dunia ini bersetuju untuk memohon sesuatu daripada-Ku, permohonan itu akan dikabulkan oleh Bapa-Ku di syurga; 20kerana apabila dua atau tiga orang berhimpun kerana-Ku, Aku ada di situ bersama mereka.’

Ibarat tentang pengampunan

21Petrus datang mendapatkan Isa lalu bertanya, ‘Junjungan, jika saudaraku berdosa terhadapku, berapa kalikah harus kuampuni dia? Sehingga tujuh kali?’

22Isa menjawab, ‘Bukan tujuh kali. Tujuh puluh kali tujuh kali.’

23‘Kerana kerajaan syurga seperti berikut: Seorang raja hendak menyelesaikan kira-kira dengan para hambanya. 24Salah seorang hambanya yang berhutang sebanyak lima puluh juta keping wang perak dibawa mengadapnya. 25Hamba itu tidak dapat menjelaskan hutangnya. Oleh itu, raja memerintahkan supaya hamba itu dijual bersama anak isteri dan harta bendanya untuk membayar hutang itu.

26‘Hamba itu menyembah dan merayu, “Bersabarlah denganku. Aku akan menjelaskan hutang itu.” 27Raja itu berasa kasihan kepadanya lalu menghapuskan segala hutangnya dan membebaskannya.

28‘Tetapi ketika hamba itu keluar, dia menemui seorang hamba lain yang berhutang seratus keping wang perak kepadanya. Dia menangkap dan hendak mencekik rakannya itu sambil berkata, “Bayar semua hutangmu.”

29‘Rakannya itu menyembah dan merayu, “Bersabarlah denganku. Aku akan menjelaskan hutangku.”

30‘Tetapi hamba itu tidak mempedulikan rayuan rakannya. Malah dia memerintahkan supaya rakannya dipenjarakan sehingga menjelaskan hutangnya. 31Hamba-hamba lain dukacita melihatnya lalu mengadukan hal itu kepada raja.

32‘Raja pun memanggil hamba yang tidak berhati perut itu lalu berkata, “Sungguh kejam perbuatanmu! Aku telah menghapuskan segala hutangmu kerana kamu merayu supaya aku mengampunimu. 33Bukankah sepatutnya kamu mengasihani rakanmu sebagaimana aku mengasihanimu?”

34Dengan murkanya raja menitahkan supaya hamba yang tidak berperikemanusiaan itu dipenjarakan dan dihukum sehingga semua hutangnya dibayar.

35‘Begitulah Bapa-Ku yang di syurga akan memperlakukan setiap orang daripadamu yang tidak mengampuni saudaranya dengan ikhlas.’

↑ ↑ ↑ 19

Perceraian

1Selepas Isa selesai berkata tentang hal-hal itu, Dia beredar dari Galilea pergi ke Yudea di seberang Sungai Yordan. 2Ramai orang mengikut-Nya dan Dia menyembuhkan orang sakit di situ.

3Beberapa orang Farisi datang untuk menduga Isa. Mereka bertanya, ‘Adakah Taurat kita membenarkan seorang lelaki menceraikan isterinya dengan apa sebab jua?’

4Isa menjawab, ‘Tidakkah kamu baca ayat Kitab Suci yang menyatakan betapa pada mulanya Allah menjadikan lelaki dan perempuan? 5Setelah itu Allah berfirman, “Itulah maka seorang lelaki meninggalkan ibu bapanya dan bersatu dengan isterinya lalu mereka berdua menjadi satu.” 6Maka mereka bukan lagi dua tetapi satu. Apa yang telah disatukan oleh Allah janganlah manusia pisahkan.’

7Kata orang Farisi itu, ‘Kalau begitu, mengapakah Musa memberikan hukum membenarkan seseorang lelaki menceraikan isterinya dengan menulis surat cerai?’

8Isa menjawab, ‘Musa membenarkan kamu menceraikan isteri kerana kamu terlalu sukar diajar. Tetapi pada mulanya bukanlah begitu. 9Sesungguhnya jika seseorang lelaki menceraikan isterinya, kecuali kerana isterinya melakukan pencabulan, dan lelaki itu berkahwin pula dengan perempuan lain, dia berzina.’ 10Para pengikut Isa berkata, ‘Kalau begitulah hidup suami isteri, lebih baiklah tidak berkahwin langsung.’

11Isa menjawab, ‘Tidak semua orang dapat menerima ajaran ini, hanya mereka yang dikurniai keupayaan untuk menerimanya. 12Ada beberapa sebabnya seseorang itu tidak berkahwin. Ada yang dilahirkan begitu, ada yang dibuat orang begitu, dan ada pula yang membuat dirinya begitu untuk mengabdikan diri kepada Allah. Biarlah ajaran ini diterima oleh yang mampu menerimanya.’

Isa memberkati kanak-kanak

13Beberapa orang membawa kanak-kanak supaya diberkati oleh Isa dengan meletakkan tangan-Nya ke atas mereka serta mendoakan mereka. Tetapi para pengikut Isa memarahi orang yang membawa kanak-kanak itu. 14Isa berkata kepada para pengikut-Nya, ‘Biarlah kanak-kanak itu datang kepada-Ku, jangan larang mereka, kerana orang seperti inilah yang masuk ke dalam kerajaan syurga.’ 15Isa meletakkan tangan-Nya ke atas kanak-kanak itu dan memberkati mereka. Kemudian Dia beredar dari situ.

Orang muda yang kaya

16Pada suatu hari seorang pemuda datang berjumpa Isa lalu bertanya, ‘Tuan Guru, apakah perbuatan baik yang harus aku lakukan untuk mendapat kehidupan kekal?’

17Isa menjawab, ‘Mengapa kamu bertanya kepada-Ku apa yang baik? Hanya ada Satu yang baik. Sekiranya kamu ingin masuk ke dalam hidup, patuhilah hukum-Nya.’

18Pemuda itu bertanya, ‘Hukum yang mana?’ Isa menjawab, ‘ “Jangan membunuh; jangan berzina; jangan mencuri; jangan berikan kesaksian palsu; 19hormati ibu bapamu; kasihi sesama manusia sebagaimana kamu mengasihi diri sendiri.” ’

20‘Semua hukum ini telah kupatuhi,’ kata pemuda itu. ‘Adakah lagi yang harus kulakukan?’

21Isa menjawab, ‘Jika kamu ingin menjadi sempurna, jualkanlah segala harta bendamu dan sedekahkan wang itu kepada orang miskin. Kamu akan mendapat harta di syurga. Setelah itu, ikutlah Aku.’ 22Apabila mendengar jawapan Isa, pemuda itu beredar dari situ dengan dukacita, kerana dia seorang yang kaya-raya.

23Isa pun berkata kepada para pengikut-Nya, ‘Sesungguhnya, sukar sekali bagi orang kaya memasuki kerajaan syurga. 24Aku berkata kepadamu, lebih mudah bagi seekor unta memasuki lubang jarum daripada seorang kaya memasuki kerajaan Allah.’

25Para pengikut Isa hairan mendengar kata-kata itu lalu bertanya, ‘Kalau begitu, siapakah yang dapat diselamatkan?’

26Sambil memandang mereka Isa menjawab, ‘Hal itu mustahil bagi manusia, tetapi bagi Allah tidak ada satu pun yang mustahil.’

Upah mengikut Isa

27Petrus berkata, ‘Kami telah meninggalkan segala-galanya dan mengikut-Mu. Apakah yang akan kami terima?’ 28Isa berkata kepada mereka, ‘Sesungguhnya Aku berkata kepadamu, ketika Putera Insan duduk di atas takhta-Nya yang mulia dalam kerajaan Allah, kamu pengikut-Ku juga akan bertakhta menghakimi dua belas suku Israel. 29Setiap orang yang telah meninggalkan rumah, atau saudara lelaki, saudara perempuan, ibu bapa, anak-anak, atau ladang kerana Aku, akan menerima seratus kali ganda apa yang ditinggalkannya dan akan memperoleh hidup kekal. 30Tetapi ramai orang yang sekarang terdahulu akan menjadi terakhir, dan yang sekarang terakhir akan menjadi yang terdahulu.

↑ ↑ ↑ 20

Ibarat tentang pekerja di ladang anggur

1‘Kerajaan syurga seperti ibarat ini. Seorang tuan punya ladang anggur keluar pada awal pagi untuk mengupah orang bekerja di ladangnya. 2Dia bersetuju membayar upah yang biasa dibayar untuk bekerja sehari iaitu sekeping wang perak. Dia pun menyuruh mereka pergi ke ladang.

3‘Pada pukul sembilan pagi, tuan punya ladang itu keluar lagi lalu melihat beberapa orang lain berdiri-diri tanpa berbuat apa-apa di pasar. 4Dia berkata kepada mereka, “Pergilah bekerja di ladang anggurku. Aku akan memberimu upah yang berpatutan.” ’ 5Mereka pun pergi. ‘Pada pukul dua belas tengah hari dan pada pukul tiga petang, begitu jugalah yang terjadi. 6Pada kira-kira pukul lima petang dia pergi lagi ke pasar dan melihat beberapa orang berdiri-diri tidak berbuat apa-apa. Dia menanya mereka, “Mengapa kamu membuang masa tidak membuat apa-apa kerja?”

7‘Mereka menjawab, “Tiada siapa mengupah kami bekerja.” ‘Kalau begitu, pergilah bekerja di ladang anggurku,’ kata tuan punya ladang itu.

8‘Setelah hari petang, tuan punya ladang anggur itu berkata kepada ketua pekerja, “Panggillah pekerja-pekerja itu dan bayarlah upah masing-masing, mulai daripada pekerja yang datang terakhir hingga kepada pekerja yang datang awal sekali.”

9‘Mereka yang bekerja dari pukul lima petang menerima sekeping wang perak seorang. 10Oleh itu mereka yang bekerja sejak pagi menjangka akan menerima bayaran yang lebih, tetapi mereka pun mendapat sekeping wang perak seorang. 11Mereka pun mulalah bersungut kepada tuan punya ladang itu. 12Mereka berkata, “Pekerja-pekerja yang bermula pada pukul lima itu cuma bekerja sejam sedangkan kami sehari suntuk dalam panas matahari. Tetapi tuan membayar kami dan mereka sama saja!”

13‘Tuan punya ladang itu menjawab kepada seorang daripada mereka, “Dengarlah, kawan, aku tidak menipumu. Bukankah kamu telah bersetuju bekerja dengan upah sekeping wang perak sehari?

14Ambillah upahmu dan pulanglah. Aku memang hendak memberi pekerja yang datang terakhir itu upah yang sama. 15Bukankah hakku berbuat sesuka hati dengan wangku sendiri? Mengapakah kamu busuk hati kerana aku bermurah hati?” ’ 16Isa berkata lagi, ‘Begitulah, orang yang terakhir akan menjadi yang terdahulu, dan orang terdahulu akan menjadi yang terakhir.’

Isa memberitahu tentang kematian-Nya

17Ketika Isa sedang dalam perjalanan ke Baitulmaqdis, Dia mengajak kedua belas orang pengikut-Nya ke tepi dan berkata hanya kepada mereka:

18‘Dengarlah, kita sekarang ke Baitulmaqdis. Di sana Putera Insan akan dikhianati dan diserahkan kepada ketua imam dan guru Taurat. Mereka akan menjatuhkan hukuman mati kepada-Nya. 19Kemudian mereka akan menyerahkan-Nya kepada bangsa yang tidak mengenal Allah. Dia akan diejek, disebat dan disalib oleh mereka. Tetapi pada hari ketiga Dia akan dibangkitkan semula.’

Permintaan seorang ibu

20Setelah itu, isteri Zebedeus datang mendapatkan Isa dengan kedua-dua orang anaknya. Dia bersujud di hadapan Isa dan memohon sesuatu.

21‘Apakah permintaanmu?’ tanya Isa. Ibu itu menjawab, ‘Junjungan berjanjilah bahawa apabila Engkau menjadi raja, kedua-dua orang anakku itu akan duduk di kiri kanan-Mu.’ 22Isa berkata kepada kedua-dua orang anak lelaki ibu itu, ‘Kamu tidak tahu apa yang kamu minta itu. Sanggupkah kamu minum dari cawan penderitaan yang akan Kuminum?’ ‘Sanggup,’ jawab mereka.

23Isa berkata kepada mereka, ‘Memang kamu akan minum dari cawan-Ku dan diimadkan secara Aku diimadkan. Tetapi Aku tidak berhak menentukan siapa yang akan duduk di kiri kanan-Ku kerana tempat itu milik mereka yang telah ditentukan oleh Bapa-Ku.’

24Apabila sepuluh pengikut Isa yang lain mendengar perkara itu, mereka marah kepada dua saudara itu. 25Oleh yang demikian, Isa memanggil mereka semua lalu berkata, ‘Kamu tahu bahawa di kalangan bangsa yang tidak mengenal Allah, orang yang berkuasa menindas rakyat, dan pegawai besar mereka mempunyai kuasa terhadap mereka. 26Tetapi di kalanganmu bukan begitu. Sebaliknya, jika seorang daripadamu ingin menjadi orang besar, dia mestilah melayan yang lain. 27Sekiranya seorang daripadamu hendak menjadi orang yang pertama, dia haruslah menjadi hamba kepada orang lain. 28Demikianlah Putera Insan: Dia datang bukan untuk dilayan, tetapi untuk melayan, serta menyerahkan nyawa-Nya untuk menjadi tebusan bagi umat manusia.’

Isa menyembuhkan dua orang buta

29Isa meninggalkan Yerikho bersama para pengikut-Nya. Ramai orang mengikut mereka. 30Dua orang buta yang duduk di tepi jalan mendengar bahawa Isa lalu di situ lalu berseru, ‘Wahai Junjungan, Anak Daud, kasihanilah kami!’ 31Orang ramai memarahi mereka dan menyuruh mereka diam. Tetapi mereka berseru lebih lantang lagi, ‘Wahai Junjungan, Anak Daud, kasihanilah kami!’

32Isa berhenti lalu memanggil mereka dan bertanya, ‘Apakah yang kamu mahu Kulakukan untukmu?’ 33Mereka menjawab, ‘Junjungan, kami ingin melihat!’

34Isa mengasihani mereka. Dia menyentuh mereka, dan dengan serta-merta mereka dapat melihat, lalu mereka pun mengikut-Nya.

↑ ↑ ↑ 21

Ketibaan Isa di Baitulmaqdis

1Ketika hampir mendekati Baitulmaqdis, Isa dan para pengikut-Nya sampai di Baitfagi, sebuah pekan di Bukit Zaitun. Kemudian Isa menyuruh dua orang pengikut-Nya pergi ke situ terlebih dahulu.

2Dia berkata, ‘Pergilah ke pekan yang di hadapan itu. Apabila kamu memasukinya, kamu akan melihat seekor keldai tertambat, serta anaknya. Lepaskan keldai itu dan bawa kedua-duanya kepada-Ku. 3Sekiranya ada orang berkata apa-apa, katakan kepadanya, “Junjungan memerlukannya.” Dia akan terus membenarkan kedua-dua keldai itu dibawa pergi.’

4Dengan demikian berlakulah apa yang dikatakan oleh nabi:

5‘Katakanlah kepada puteri Sion, “Rajamu datang kepadamu dengan rendah hati, menunggang seekor keldai, seekor anak keldai yang muda.” ’

6Kedua-dua orang pengikut Isa itu pun pergi menjalankan segala yang disuruh-Nya. 7Mereka membawa kedua-dua ekor keldai itu. Setelah mengalas belakang keldai itu dengan jubah mereka, mereka mendudukkan Isa ke atasnya. 8Ramai orang membentangkan jubah di atas jalan manakala yang lain memotong ranting-ranting pokok dan menyelerakkannya di jalan. 9Orang ramai yang berjalan di hadapan dan di belakang Isa berseru-seru, ‘Hosana bagi Anak Daud!’ ‘Diberkatilah Dia yang datang dengan nama Tuhan!’ ‘Hosana di tempat yang maha tinggi!’

10Apabila Dia masuk ke Baitulmaqdis, seisi kota itu kagum lalu bertanya, ‘Siapakah ini?’

11Orang ramai itu berkata, ‘Inilah Isa, nabi dari Nasaret di Galilea.’

12Setelah itu Isa masuk ke rumah ibadat dan mengusir semua orang yang berjual-beli di situ. Dia menterbalikkan meja pengurup wang dan tempat duduk orang yang menjual merpati. 13Dia berkata kepada mereka, ‘Telah tersurat, “Rumah-Ku akan dipanggil rumah doa, tetapi kamu telah menjadikannya sarang pencuri.” ’

14Selepas itu orang yang buta dan yang tempang datang mendapatkan Isa di rumah ibadat, lalu Dia menyembuhkan mereka. 15Tetapi apabila ketua imam dan guru Taurat melihat segala mukjizat yang dilakukan-Nya, dan kanak-kanak berseru di dalam rumah ibadat, ‘Hosana bagi Anak Daud!’ mereka berasa marah. 16Mereka berkata kepada Isa, ‘Kamu dengarkah apa yang mereka katakan?’ Isa menjawab, ‘Ya, belum pernahkah kamu baca, “Dari mulut kanak-kanak dan bayi yang sedang menyusu, Engkau telah menyediakan puji-pujian.” ’

17Kemudian Dia meninggalkan mereka dan keluar dari kota itu lalu pergi ke Baitani. Dia menginap di situ.

Pokok ara yang tidak berbuah

18Pada pagi esoknya, ketika Dia pergi semula ke kota Baitulmaqdis, Dia berasa lapar. 19Dia melihat sebatang pokok ara di tepi jalan. Apabila Dia mendekatinya dan mendapati pokok itu hanya berdaun tidak berbuah, Dia berkata kepadanya, ‘Janganlah berbuah lagi selama-lamanya.’ Serta-merta pokok itu layu dan mati.

20Apabila dilihat oleh para pengikut-Nya, mereka hairan dan bertanya, ‘Bagaimana pokok ara itu boleh layu dan mati serta-merta?’

21Isa menjawab, ‘Sesungguhnya, aku berkata kepadamu, jika kamu beriman tanpa ragu, kamu dapat melakukan begitu juga kepada pokok ara itu, malah kamu boleh berkata kepada gunung ini, “Beralihlah dan terhumbanlah ke dalam laut,” lalu hal itu akan terjadi. 22Apa sahaja yang kamu minta dalam doa dengan iman, akan kamu terima.’

Kuasa Isa dicabar

23Apabila Isa masuk ke rumah ibadat, ketua imam dan tua-tua datang kepada-Nya ketika Dia sedang mengajar, ‘Dengan kuasa apakah kamu melakukan semua ini? Dan siapakah yang memberimu kuasa itu?’ 24Isa menjawab, ‘Aku juga akan bertanya sesuatu kepadamu. Jika kamu memberitahu-Ku, Aku akan menyatakan kepadamu dengan kuasa apa Aku melakukan segala ini: 25Pengimadan Yahya dari manakah asalnya? Daripada Allah atau daripada manusia?’ Mereka pun berbincang sama sendiri, ‘Kalau kita kata, “Daripada Allah,” dia akan berkata, “Kalau begitu, mengapa kamu tidak mempercayainya?” 26Tetapi kalau kita kata, “Daripada manusia,” takut orang ramai marah, kerana mereka menganggap Yahya seorang nabi.’

27Oleh itu mereka menjawab, ‘Kami tidak tahu.’ Isa berkata kepada mereka, ‘Aku pun tidak akan memberitahumu dengan kuasa apa Aku lakukan semua ini.

Ibarat tentang dua orang anak

28‘Tetapi bagaimana pandanganmu? Seorang ada dua orang anak lelaki. Dia mendapatkan yang sulung dan berkata, “Anakku, pergilah bekerja hari ini di ladang anggurku.”

29‘Anak itu menjawab, “Aku tidak mahu,” tetapi kemudian dia menyesal lalu pergi bekerja di ladang bapanya.

30‘Ayah itu pergi pula mendapatkan anaknya yang kedua dengan kata-kata yang sama. Anak itu menjawab, “Baiklah, aku pergi, ayah,” tetapi dia tidak pergi.

31‘Antara dua itu, yang mana melakukan kehendak bapanya?’ Mereka menjawab, ‘Yang sulung.’ Isa berkata kepada mereka, ‘Sesungguhnya, aku berkata kepadamu, pemungut cukai dan pelacur akan memasuki kerajaan Allah terlebih dahulu daripadamu. 32Yahya datang kepadamu untuk menunjukkan jalan yang benar tetapi kamu tidak percaya kepadanya; manakala pemungut cukai dan pelacur percaya kepadanya. Setelah kamu melihat hal ini pun, hatimu tidak menjadi lembut dan percaya kepadanya.

Ibarat tentang penyewa ladang

33‘Dengarlah satu ibarat lagi: Seorang tuan punya tanah memiliki ladang anggur. Dia memagar ladang itu, menggali lubang tempat memeras anggur, dan mendirikan menara tempat berkawal. Kemudian dia menyewakan ladang anggur itu kepada beberapa orang, lalu pergi ke luar negeri.

34Apabila sampai masanya untuk mengumpulkan buah anggur, tuan punya ladang itu menghantar hamba-hambanya kepada penyewa-penyewa tersebut meminta bahagiannya daripada hasil ladang itu. 35‘Tetapi para penyewa menangkap hamba-hamba itu. Ada yang dipukul, ada yang dibunuh, dan ada yang direjam. 36Tuan punya ladang itu menghantar hamba-hamba yang lain pula, lebih banyak lagi bilangannya. Tetapi hamba-hamba itu pun diperlakukan begitu juga. 37Akhirnya tuan punya ladang itu menghantar puteranya sambil berfikir, “Tentu mereka akan menghormati puteraku.”

38‘Tetapi apabila mereka melihat putera tuan punya ladang itu, mereka berkata sama sendiri, “Marilah kita bunuh waris tuan punya ladang ini, supaya dapat kita rampas harta pusakanya.”

39Mereka pun menangkapnya, menghumbankannya ke luar ladang dan membunuhnya.’

40Selepas itu Isa bertanya, ‘Apabila tuan punya ladang itu pulang, apakah yang akan dilakukannya kepada penyewa-penyewa itu?’

41Mereka menjawab, ‘Tentu dia akan membunuh semua orang yang jahat itu dan menyewakan ladang anggurnya kepada orang lain yang sanggup memberikan bahagiannya daripada hasil ladang itu pada musim memetik anggur.’

42Isa berkata kepada mereka, ‘Tidakkah kamu baca apa yang tersurat di dalam Kitab Suci: ‘ “Batu yang dibuang oleh pembina telah menjadi batu penjuru. Demikianlah perbuatan Tuhan; Sungguh hebat di mata kami!”?

43‘Sesungguhnya, hak untuk memasuki kerajaan Allah akan diambil daripadamu dan diberikan kepada bangsa yang memberikan hasil yang dikehendaki Allah. 44Sesiapa yang jatuh ke atas batu itu akan hancur; dan sesiapa yang ditimpa batu itu akan digilis menjadi debu.’

45Apabila ketua imam dan orang Farisi mendengar ibarat-ibarat Isa, fahamlah mereka bahawa Dia bercakap tentang mereka. 46Oleh itu mereka cuba menangkap Isa. Tetapi mereka takut akan orang ramai yang menganggap Isa sebagai seorang nabi.

↑ ↑ ↑ 22

Ibarat tentang majlis perkahwinan

1Isa bercakap lagi kepada orang ramai melalui ibarat. 2Dia berkata, ‘Kerajaan syurga seperti ibarat ini. Seorang raja mengadakan majlis perkahwinan untuk anak lelakinya. 3Raja menitahkan hambahambanya menjemput orang ke majlis jamuan itu tetapi mereka enggan hadir.

4‘Kemudian raja itu menghantar lagi hamba-hambanya yang lain. Titah raja itu, “Katakan kepada mereka, lembu yang terbaik telah disembelih, semuanya sudah siap, datanglah ke majlis perkahwinan.”

5‘Tetapi orang yang diundang tidak ambil peduli, masing-masing sibuk dengan kerjanya. Ada yang ke ladang, ada yang ke kedai. 6Manakala yang lain menangkap hamba-hamba itu lalu mendera dan membunuh mereka. 7Raja pun teramat murka lalu menitahkan tenteranya menghapuskan semua pembunuh itu dan membakar kota mereka.

8‘Setelah itu raja memanggil hamba-hambanya dan berkata, “Majlis perkahwinan sudah siap tetapi orang yang diundang tidak layak menghadirinya. 9Sekarang pergilah ke jalan raya dan jemput seramai mungkin orang yang kamu temui ke majlis perkahwinan ini.” 10Hamba-hamba raja itu pun pergi ke jalan raya lalu mengumpulkan semua orang yang ditemui, tidak kira baik atau pun jahat, maka penuh sesaklah balai majlis jamuan itu dengan tetamu.

11‘Raja itu masuk melihat para tetamunya. Dilihatnya seorang yang tidak memakai pakaian untuk majlis perkahwinan. 12Raja berkata kepadanya, “Bagaimana engkau dapat masuk ke sini dengan tidak memakai pakaian untuk majlis perkahwinan?” Orang itu terdiam.

13‘Raja itu pun berkata kepada hamba-hambanya, “Ikat kaki dan tangan orang ini, buangkan dia ke kegelapan di luar. Di sanalah akan terdapat ratapan dan kertakan gigi.”

14‘Ramai yang dipanggil, tetapi cuma sedikit yang dipilih.’

Membayar cukai kepada Kaisar

15Beberapa orang Farisi pergi dan berpakat bagaimana hendak memerangkap Isa dengan menyoal kata-kata yang digunakan-Nya. 16Mereka menghantar para pengikut mereka dan sebilangan orang Herodes mendapatkan Isa dan berkata, ‘Tuan Guru, kami tahu Engkau ikhlas, dan terus-terang mengajarkan kehendak Allah berdasarkan yang benar kepada manusia. Engkau tidak takut kepada sesiapapun kerana Engkau tidak pilih kasih. 17Jadi, katakanlah pendapat-Mu kepada kami. Haruskah kita membayar cukai kepada Kaisar atau tidak?’

18Isa mengetahui niat jahat mereka lalu berkata, ‘Hai munafik! Mengapa kamu cuba memerangkap-Ku? 19Tunjukkan mata wang yang kamu gunakan untuk membayar cukai.’ Mereka memberikan mata wang itu kepada Isa. 20Isa bertanya kepada mereka, ‘Gambar dan nama siapakah ini?’ 21‘Kaisar,’ jawab mereka. Lalu Isa berkata kepada mereka, ‘Kalau begitu, berikan milik Kaisar kepada Kaisar, dan berikan milik Allah kepada Allah.’

22Mereka tercengang mendengar kata-kata Isa, lalu pergi dari situ.

Perkahwinan dan kebangkitan

23Pada hari itu juga, beberapa orang Saduki datang mendapatkan Isa. Menurut kepercayaan golongan ini, orang mati tidak akan bangkit semula. 24Mereka berkata, ‘Tuan Guru, ajaran Musa begini: Jika seseorang lelaki meninggal dunia tanpa anak, maka saudara lelakinya harus berkahwin dengan balunya untuk mendapatkan zuriat. 25Dahulu ada tujuh orang adik-beradik tinggal di sini. Yang sulung berkahwin, kemudian meninggal dunia tanpa anak. Jadi, saudara yang kedua pun berkahwin dengan balunya. 26Saudara yang kedua itu pula meninggal dunia tanpa anak. Demikianlah terjadi seorang demi seorang hingga saudara yang ketujuh. 27Akhirnya wanita itu meninggal dunia. 28Pada hari kebangkitkan orang mati, isteri siapakah wanita itu? Ketujuh-tujuh saudara itu telah berkahwin dengannya.’

29Isa menjawab, ‘Tanggapanmu salah sama sekali. Kamu tidak memahami Kitab Suci dan kuasa Allah. 30Apabila orang mati dibangkitkan semula, mereka akan menjadi seperti malaikat di syurga. Mereka tidak berkahwin. 31Tentang soal orang mati dibangkitkan semula, tidakkah kamu baca firman Allah: 32“Akulah Tuhan yang disembah oleh Ibrahim, Ishak dan Yakub.” Oleh itu, Dia Allah Tuhan orang hidup, bukan Allah Tuhan orang mati.’

33Orang ramai kagum mendengar ajaran Isa.

Perintah yang terutama

34Apabila orang Farisi mendengar betapa Isa menyebabkan orang Saduki terdiam, mereka pun datang berkumpul. 35Seorang guru Taurat antara mereka cuba memerangkap Isa dengan suatu soalan: 36‘Tuan Guru, perintah manakah yang terutama dalam Taurat?’

37Isa menjawab, ‘ “Kasihilah Allah, Tuhanmu dengan sepenuh hati, dengan sepenuh jiwa dan dengan sepenuh fikiranmu.” 38Inilah perintah yang terutama dan terpenting. 39Perintah kedua sama pentingnya: “Kasihilah sesama manusia sebagaimana kamu mengasihi dirimu sendiri.” 40Seluruh Taurat Musa dan ajaran nabi-nabi berasaskan dua perintah ini.’

41Isa bertanya kepada orang Farisi yang berkumpul itu: 42‘Apa pendapatmu tentang al-Masih? Anak siapakah Dia?’ ‘Anak Daud,’ jawab mereka.

43‘Kalau begitu, mengapakah Daud, ketika diilhami Roh Suci, menyebut-Nya “Junjungan”? Daud berkata,

44“Tuhan telah berfirman kepada Junjunganku: ‘Duduklah di kanan-Ku, sehingga Kujadikan musuh-Mu alas kaki-Mu.’ ”

45‘Jika Daud menyebut Dia yang diutus oleh Allah itu “Junjungan,” bagaimana mungkin Dia itu anak Daud?’ 46Tidak seorang pun terjawab soalan Isa. Sejak hari itu, tiada siapa berani menanya Isa apa-apa.

↑ ↑ ↑ 23

Isa mengecam orang Farisi

1Isa berkata kepada orang ramai dan para pengikut-Nya: 2‘Guru Taurat dan orang Farisi menduduki kerusi Musa. 3Oleh itu, patuhilah dan turutilah perintah yang diajarkan oleh mereka. Tetapi jangan contohi perbuatan mereka, kerana tidak selaras dengan ajaran mereka. 4Mereka meletakkan beban yang berat dan sukar dipikul ke atas bahu orang, tetapi mereka langsung tidak mahu menolong orang memikul beban itu.

5‘Mereka melakukan sesuatu hanya untuk dilihat orang. Lihatlah betapa besarnya bekas ayat Kitab Suci yang diikatkan pada dahi dan lengan mereka, serta betapa panjangnya rumbai jubah mereka.

6Mereka suka duduk di tempat terbaik di majlis jamuan dan kerusi khas di saumaah. 7Mereka suka dihormati orang di pasar, dan suka dipanggil “Tuan Guru.”

8‘Janganlah suruh orang memanggilmu “Tuan Guru,” kerana kamu semua bersaudara dan Gurumu hanya satu. 9Janganlah panggil sesiapapun di dunia ini “Bapa,” kerana kamu hanya mempunyai satu Bapa yang di syurga. 10Janganlah suruh orang memanggilmu “Pemimpin,” kerana pemimpinmu hanya satu, iaitu al-Masih. 11Orang yang terbesar antaramu haruslah menjadi pelayanmu. 12Orang yang meninggikan diri akan direndahkan, dan orang yang merendahkan diri akan ditinggikan.

13‘Malanglah kamu, guru Taurat dan orang Farisi! Kamu munafik! Kamu menghalang orang memasuki kerajaan syurga. Kamu bukan sahaja enggan memasuki kerajaan syurga; kamu halang pula orang lain yang berusaha untuk memasukinya. 14Malanglah kamu, guru Taurat dan orang Farisi! Kamu munafik! Kamu menipu balu dan merampas rumahnya, kemudian pura-pura berdoa panjang. Oleh itu, kamu akan menerima hukuman yang lebih berat.

15‘Malanglah kamu, guru Taurat dan orang Farisi! Kamu munafik! Kamu merentas lautan dan daratan untuk menarik seseorang menganut agamamu. Namun, setelah berjaya, kamu menjadikannya isi neraka yang dua kali lebih buruk daripadamu.

16‘Malanglah kamu, pemimpin yang buta! Kamu mengajar orang demikian, “Jika seorang bersumpah demi rumah ibadat, dia tidak terikat pada sumpahnya. Tetapi jika dia bersumpah demi emas di dalam rumah ibadat, dia terikat pada sumpahnya.” 17Hai orang bodoh dan buta! Yang mana lebih penting, emas atau rumah ibadat Allah yang menjadikan emas itu suci? 18Kamu juga mengajar orang begini, “Jika seseorang bersumpah demi mazbah, dia tidak terikat pada sumpahnya; tetapi jika dia bersumpah demi persembahan di atas mazbah, dia terikat pada sumpahnya.” 19Hai orang yang buta hati! Yang manakah lebih penting, persembahan atau mazbah yang menjadikan persembahan itu suci? 20Ketahuilah apabila seseorang bersumpah demi mazbah, dia bersumpah demi mazbah dan demi segala persembahan di atasnya. 21Apabila seseorang bersumpah demi rumah ibadat, dia bersumpah demi rumah ibadat itu dan demi Dia yang tinggal di situ. 22Apabila seseorang bersumpah demi syurga, dia bersumpah demi takhta Allah dan demi Dia yang duduk di atas takhta itu.

23‘Malanglah kamu, guru Taurat dan orang Farisi! Kamu munafik! Kamu memberikan sepersepuluh daripada pelbagai jenis rempah seperti selasih, adas manis dan jintan kepada Allah. Tetapi kamu tidak mematuhi ajaran Taurat yang benar-benar penting seperti keadilan, belas kasihan dan kesetiaan. Kamu harus mengerjakan semua ini tanpa melalaikan ajaran yang lain. 24Hai pemimpin yang buta! Agas kamu tapis, tetapi unta kamu telan.

25‘Malanglah kamu, guru Taurat dan orang Farisi! Kamu munafik! Kamu membersihkan bahagian luar cawan dan pinggan, sedangkan bahagian dalamnya penuh dengan hasil kekerasan dan kerakusanmu. 26Hai orang Farisi yang buta hati! Bersihkan bahagian dalam cawan itu, bahagian luarnya akan bersih juga.

27‘Malanglah kamu, guru Taurat dan orang Farisi! Kamu munafik! Kamu seperti kubur yang bercat putih: cantik di luar tetapi di dalamnya penuh dengan tulang dan mayat yang busuk. 28Begitulah kamu! Pada lahirnya kamu orang yang benar, tetapi sebenarnya kamu durjana dan munafik.

29‘Malanglah kamu, guru Taurat dan orang Farisi! Kamu munafik! Kamu membina makam yang indah untuk nabi-nabi dan menghiasi kubur orang yang benar. 30Kamu berkata, “Kalaulah kami hidup pada zaman nenek moyang kami dulu, tentu kami tidak akan mengikut perbuatan mereka yang menumpahkan darah para nabi.” 31Jadi, kamu sendiri memberikan kesaksian bahawa kamu keturunan pembunuh nabi! 32Kalau begitu, teruskan dan sempurnakanlah apa yang dimulakan oleh nenek moyangmu!

33‘Hai kamu seperti ular, bahkan kamu seperti ular berbisa! Bagaimana kamu dapat melepaskan diri daripada azab neraka? 34Sesungguhnya Aku akan mengutus nabi, orang bijaksana dan guru kepadamu. Kamu akan membunuh dan menyalib mereka. Yang lain pula kamu sebat di dalam saumaah, dan buru dari kota ke kota. 35Dengan demikian darah semua orang benar yang tertumpah di bumi akan ditanggungkan kepadamu: mulai daripada darah Habil yang tidak bersalah itu hingga kepada darah Zekaria anak Berekia, yang kamu bunuh di antara rumah ibadat dan mazbah.

36Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, semuanya itu akan ditanggungkan kepada keturunan zaman ini. 37‘Baitulmaqdis, Baitulmaqdis! Engkau membunuh nabi dan merejam utusan Allah! Sudah berapa kali aku ingin mendakap semua pendudukmu seperti ibu ayam menaungi anak-anaknya di bawah sayapnya, tetapi kamu tidak mahu. 38Rumahmu akan ditinggalkan dan terbiar. 39Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, mulai sekarang engkau tidak akan melihat-Ku lagi sehingga engkau berkata, “Diberkatilah Dia yang datang dengan nama Tuhan.” ’

↑ ↑ ↑ 24

Tanda-tanda akhir zaman

1Apabila Isa melangkah keluar dari rumah ibadat, para pengikut-Nya datang mendapatkannya lalu menunjukkan bangunan-bangunan rumah ibadat itu. 2Isa berkata kepada mereka, ‘Lihatlah semuanya ini! Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, satu batu pun tidak akan tinggal di tempatnya; semuanya akan dirobohkan.’

3Ketika Isa duduk di atas Bukit Zaitun, para pengikut-Nya datang mendapatkan-Nya. Pada masa itu tiada orang lain di situ. Mereka bertanya, ‘Junjungan, beritahulah kami bila semuanya akan terjadi? Apakah tanda-tanda kedatangan-Mu dan akhir zaman?’

4Isa menjawab, ‘Waspadalah, jangan terpedaya. 5Ramai orang akan datang dengan nama-Ku dan berkata, “Akulah al-Masih!” Mereka akan menipu orang ramai. 6Kamu akan mendengar tentang peperangan dan desas-desus peperangan, tetapi jangan gentar. Itu semua mesti terjadi, tetapi bukanlah bererti akhir zaman sudah tiba. 7Bangsa akan bertarung dengan bangsa, kerajaan dengan kerajaan. Kebuluran dan gempa bumi akan berlaku di merata-rata. 8Segala ini cuma permulaan, ibarat sakit sebelum bersalin. 9‘Setelah itu kamu akan ditangkap dan diserahkan untuk diseksa dan dibunuh. Semua orang akan membencimu kerana kamu pengikut-Ku. 10Pada masa itu ramai pengikut-Ku yang tidak lagi beriman kepada-Ku. Mereka akan saling mengkhianati dan membenci. 11Ramai nabi palsu akan tampil memperdaya orang ramai. 12Kejahatan semakin merebak sehingga kasih sayang hampir luput dari hati manusia. 13Namun, sesiapa yang bertahan ke saat akhir akan diselamatkan. 14Injil tentang kerajaan Allah akan disebarkan ke seluruh pelosok bumi sebagai suatu kesaksian kepada semua bangsa. Selepas itu barulah tiba akhir zaman.

Seksaan yang besar

15‘Oleh itu, apabila kamu melihat “Kekejian yang membawa kebinasaan” yang disebut oleh Nabi Daniel di tempat suci (biarlah para pembaca memperhatikanya), 16ketika itu orang yang di Yudea mesti lari ke pergunungan. 17Orang yang di atas bumbung ketika itu usahlah masuk ke rumah mengambil apa-apa. 18Orang yang di ladang janganlah pulang mengambil jubah. 19Sungguh dahsyat bagi ibu yang mengandung dan menyusui anak. 20Berdoalah semoga kamu tidak terpaksa melarikan diri pada musim dingin atau hari Sabat. 21Ketika itu akan berlaku kesengsaraan yang belum pernah berlaku sejak dunia dicipta sampai sekarang, dan yang tidak akan pernah berlaku lagi. 22Kalaulah Allah tidak menyingkatkan masa itu, tiada seorang pun akan selamat. Namun, untuk umat pilihan-Nya, Allah menyingkatkan masa itu. 23Pada masa itu, jika orang berkata kepadamu, “Lihat, al-Masih ada di sini!” atau “Dia ada di situ!” janganlah percaya. 24Kerana beberapa al-masih palsu dan nabi palsu akan datang dengan pelbagai mukjizat serta keajaiban untuk menipu orang. Sebilangan umat pilihan Allah pun mungkin turut terpedaya. 25Dengarlah! Aku memberitahumu semua ini sebelum terjadi.

26‘Jika orang berkata kepadamu, “Lihat! Dia ada di gurun!” janganlah kamu ke sana. Dan jika mereka berkata, “Dia ada di dalam bilik!” usahlah kamu percaya. 27Sesungguhnya, Putera Insan akan datang seperti kilat yang memancar di seluruh langit, dari timur hingga ke barat. 28Di mana ada mayat, di situlah berkerumunnya burung pemakan bangkai.

Kedatangan yang mulia

29‘Tidak lama selepas kesengsaraan masa itu, “matahari akan gelap dan bulan tidak bersinar lagi; Bintang-bintang akan berguguran dari langit, dan kuasa-kuasa angkasa akan digoncang.”

30‘Tanda Putera Insan akan kelihatan di langit. Semua suku bangsa di bumi akan menangis melihat Putera Insan di awan dengan kekuasaan dan kemuliaan yang agung. 31Sangkakala akan dibunyikan dengan kuatnya, dan Putera Insan akan menghantar malaikat-malaikat-Nya ke seluruh pelosok bumi untuk menghimpunkan umat pilihan Allah.

32‘Ambillah iktibar daripada pokok ara. Apabila dahannya hijau, lembut dan mula bertunas, kamu tahu musim panas hampir tiba. 33Demikianlah apabila kamu melihat perkara-perkara ini, tahulah kamu bahawa waktunya sudah dekat, sudah di ambang pintu. 34Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, segala ini akan terjadi sebelum orang yang hidup hari ini mati semuanya. 35Langit dan bumi akan lenyap, tetapi firman-Ku kekal selama-lamanya.

Nasihat supaya berjaga-jaga

36‘Namun demikian, tiada siapa yang mengetahui hari atau waktunya, baik para malaikat di syurga mahupun Putera. Hanya Bapa yang tahu. 37Apabila Putera Insan datang, samalah nanti seperti zaman Nuh. 38Sebelum banjir melanda, orang makan minum dan berkahwin, hinggalah waktu Nuh masuk ke bahtera. 39Mereka tidak sedar apa yang berlaku hingga banjir memusnahkan mereka. Demikianlah kelak apabila Putera Insan datang. 40Pada masa itu, antara dua orang yang sedang bekerja di ladang, seorang dibawa pergi dan seorang ditinggalkan. 41Antara dua orang wanita yang sedang menggiling gandum, seorang akan dibawa manakala yang seorang lagi ditinggalkan.

42‘Berjaga-jagalah, kerana kamu tidak mengetahui waktunya Junjunganmu akan datang.

43Ingatlah: Sekiranya tuan rumah mengetahui bila masanya pencuri akan datang, dia tidak akan tidur. Dia tidak akan membiarkan pencuri masuk ke rumahnya. 44Kamu juga hendaklah sentiasa bersedia. Putera Insan akan datang pada saat yang tidak kamu sangka.

45‘Siapakah hamba yang setia dan bijaksana? Dialah yang diamanahkan oleh tuannya menjadi pengurus rumahnya dan memberi makan kepada hamba yang lain pada waktu tertentu. 46Bahagialah hamba itu jika dia didapati menjalankan tugas pada waktu tuannya kembali. 47Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, tuan itu akan mengamanahkan segala harta bendanya kepada hamba itu.

48Tetapi jika hamba itu durjana, dia akan berkata dalam hatinya, “Masih lama lagi masanya tuanku akan pulang.” 49Dia pun memukul hamba-hamba yang lain, dan makan minum dengan kaki botol.

50Tuan hamba itu akan kembali pada hari yang tidak disangkanya, dan pada waktu yang tidak diketahuinya. 51Dia akan membunuh hamba itu dan membuangnya ke tempat orang munafik. Di sanalah akan terdapat ratapan dan kertakan gigi.

↑ ↑ ↑ 25

Ibarat sepuluh anak dara

1‘Kerajaan syurga ibarat sepuluh orang anak dara yang membawa lampu dan berjalan keluar untuk menyambut pengantin lelaki. 2Lima orang daripada mereka itu bijak manakala yang lima lagi kurang berakal. 3Yang kurang berakal membawa lampu sahaja tanpa bekalan minyak. 4Yang bijak membawa bekalan minyak bersama lampu. 5Apabila pengantin lelaki lewat tiba, mereka semuanya mengantuk lalu tertidur. 6‘Pada waktu tengah malam terdengar seruan, “Pengantin lelaki sudah dekat; pergilah menyambutnya!”

7‘Kesemua anak dara itu pun membetul-betulkan lampu mereka. 8Yang kurang berakal berkata kepada yang bijak, “Berilah kami minyakmu itu sedikit, kerana lampu kami hampir padam.”

9‘Tetapi yang bijak menjawab, “Kami tidak dapat memberimu, nanti tidak cukup minyak ini; pergilah beli minyak daripada penjual.”

10‘Sementara yang kurang berakal pergi membeli minyak, pengantin lelaki pun sampai. Semua mereka yang sudah sedia terus mengiringinya ke majlis perkahwinan, maka pintu pun ditutup.

11‘Kemudian barulah anak dara yang berlima lagi itu tiba lalu berseru, “Tuan, tuan, bukalah pintu untuk kami!” 12‘Tetapi pengantin lelaki berkata, “Sesungguhnya aku tidak mengenalmu.”

13‘Oleh itu berjaga-jagalah, kerana kamu tidak tahu hari dan waktunya Putera Insan datang.

Ibarat tentang wang emas

14‘Kerajaan syurga boleh juga diibaratkan demikian: Seorang lelaki hendak pergi ke tanah asing yang jauh, lalu memanggil hamba-hambanya untuk berpesan menjaga hartanya. 15Kepada yang seorang dia memberi lima keping wang emas, kepada seorang lagi dua keping, kepada yang seorang lagi sekeping, masing-masing menurut kebolehannya. Setelah itu dia pun bertolak. 16Hamba yang menerima lima keping emas itu memperniagakannya, lalu mendapat untung lima keping emas lagi.

17Demikian juga yang menerima dua keping emas, dia mendapat laba dua keping lagi. 18Tetapi yang menerima sekeping itu menggali lubang dan menyembunyikan wang tuannya di situ.

19‘Selepas beberapa lama, tuan kepada hamba-hamba itu pulang lalu menyelesaikan kira-kira dengan mereka. 20Hamba yang menerima lima keping wang emas dahulu membawakan lima keping lagi sambil berkata, “Tuan, tuan telah memberiku lima keping wang emas. Lihatlah, aku telah mendapatkan lima keping lagi dengannya.”

21‘Tuannya berkata kepadanya, “Syabas, wahai hamba yang baik dan setia. Kamu setia mengurus yang sedikit, maka aku akan memberimu kuasa mengendalikan yang banyak. Nikmatilah kebahagiaan kurnia tuanmu.”

22‘Yang telah menerima dua keping wang emas pula datang lalu berkata, “Tuan, tuan telah memberiku dua keping wang emas. Lihatlah, aku telah mendapatkan dua keping lagi dengannya.”

23‘Tuannya berkata kepadanya, “Syabas, wahai hamba yang baik dan setia. Kamu setia mengurus yang sedikit. Aku akan memberimu kuasa mengendalikan yang banyak. Nikmatilah kebahagiaan kurnia tuanmu.” 24‘Kemudian hamba yang menerima sekeping wang emas itu datang lalu berkata, “Tuan, aku tahu tuan berhati batu. Tuan menuai tanpa menyemai, memungut hasil tanpa menabur benih. 25Jadi aku takut, lalu kusorokkan wang emas tuan itu di dalam tanah. Lihat, itulah hak milik tuan.”

26‘Tetapi tuannya menjawab, “Hai hamba yang jahat dan pemalas, kamu tahu aku menuai tanpa menyemai, memungut hasil tanpa menabur benih. 27Oleh itu sepatutnya kamu simpan wang itu di dalam bank, supaya ketika aku pulang, aku menerima wang itu dengan faedahnya.

28‘ “Sekarang, wang sekeping itu kusuruh ambil daripadamu dan berikan kepada yang mempunyai sepuluh keping wang emas. 29Demikianlah, kepada setiap orang yang ada, akan diberi lebih lagi, menjadikan dia penuh dengan kelimpahan; sebaliknya orang yang tidak ada, apa yang ada padanya pun akan diambil. 30Buangkan hamba yang tidak berguna ini ke dalam kegelapan di luar. Di sana akan terdapat ratapan dan kertakan gigi.”

Hukuman

31‘Apabila Putera Insan datang dengan segala kemuliaan-Nya, diiringi sekalian malaikat suci, Dia akan duduk di atas takhta kemuliaan-Nya. 32Semua bangsa akan berhimpun di hadapan-Nya, dan Dia akan mengasing-asingkan mereka, sebagaimana gembala mengasing-asingkan domba daripada kambing. 33Dia akan meletakkan domba di sebelah kanan-Nya dan kambing di sebelah kiri-Nya.

34‘Kemudian Raja itu akan berkata kepada mereka yang di sebelah kanan-Nya, “Marilah, kamu yang diberkati oleh Bapa-Ku! Warisilah kerajaan yang telah disediakan untukmu sejak dunia dicipta.

35Kerana Aku lapar dan kamu memberi-Ku makanan; Aku dahaga dan kamu memberi-Ku minuman; Aku orang asing dan kamu menerima-Ku masuk ke rumahmu;

36Aku tidak berpakaian dan kamu memberi-Ku pakaian; Aku sakit dan kamu melawat-Ku; Aku di dalam penjara dan kamu datang kepada-Ku.”

37‘Orang yang benar itu pun bertanya, “Junjungan, bilakah kami melihat-Mu lapar dan memberi-Mu makanan, melihat-Mu dahaga dan memberi-Mu minuman? 38Bilakah kami melihat-Mu orang asing dan menerima-Mu masuk ke rumah, melihat-Mu tidak berpakaian dan memberi-Mu pakaian?

39Bila pula kami melihat-Mu sakit, atau di dalam penjara, dan datang kepada-Mu?”

40‘Raja akan menjawab, “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, apabila kamu melakukannya kepada yang paling kecil antara saudara-saudara-Ku ini, ertinya kamu melakukannya kepada-Ku.”

41‘Selepas itu Dia akan berkata kepada mereka yang di sebelah kiri-Nya, “Nyahlah dari sisiku, kamu yang terlaknat, ke dalam api abadi yang telah disediakan untuk Iblis dan para penyokongnya;

42kerana Aku lapar dan kamu tidak memberi-Ku makanan; Aku dahaga dan kamu tidak memberi-Ku minuman. 43Aku orang asing dan kamu tidak menerima-Ku masuk ke rumahmu; Aku tidak berpakaian dan kamu tidak memberi-Ku pakaian; Aku sakit, Aku di dalam penjara, dan kamu tidak melawat-Ku.” 44‘Mereka akan berkata, “Junjungan kami, bilakah kami melihat-Mu lapar, atau dahaga, orang asing, atau tidak berpakaian, atau sakit, atau di dalam penjara, dan tidak mengambil berat tentang-Mu?” 45‘Dia akan menjawab, “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, apabila kamu tidak melakukannya kepada yang paling kecil antara saudara-saudara-Ku ini, ertinya kamu tidak melakukannya kepada-Ku.” 46‘Mereka itu akan menanggung azab hukuman selama-lamanya, manakala mereka yang benar akan menikmati hidup kekal.’

↑ ↑ ↑ 26

Rancangan untuk membunuh Isa

1Setelah selesai Isa menyampaikan semua ini, Dia pun berkata kepada pengikut-pengikut-Nya,

2‘Kamu tahu bahawa dua hari lagi perayaan Paska menjelang, dan Putera Insan akan diserahkan untuk disalib.’ 3Ketua-ketua imam, guru-guru Taurat dan tua-tua berhimpun di rumah Imam Besar yang bernama Kayafas. 4Mereka berpakat untuk memperdaya Isa dan membunuh-Nya. 5Tetapi mereka berkata, ‘Janganlah dilakukan pada masa perayaan, takut orang ramai merusuh.’

Isa dituangi minyak

6Apabila Isa berada di Betani di rumah Simon, yang menghidap penyakit kusta, 7seorang wanita mendekati-Nya dengan sebuah bekas alabaster berisi minyak wangi yang amat mahal, lalu menuangkan minyak itu ke atas kepala-Nya ketika Dia sedang bertelekan di meja.

8Apabila pengikut-pengikut-Nya melihat perbuatan wanita itu, mereka marah lalu berkata, ‘Mengapa membazir begini? 9Minyak wangi ini boleh dijual dengan harga yang tinggi dan wangnya boleh diberikan kepada orang miskin.’

10Tetapi apabila Isa mengetahui kemarahan mereka, Dia berkata, ‘Mengapakah kamu menyusahkan wanita ini? Dia telah melakukan sesuatu yang baik untuk-Ku. 11Orang miskin akan sentiasa ada di sekelilingmu, tetapi Aku tidaklah sentiasa bersamamu. 12Dengan menuangkan minyak wangi ini ke atas tubuh-Ku, dia melakukannya untuk pengebumian-Ku. 13Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, di mana-mana pun kelak Injil ini disampaikan di serata dunia, apa yang telah dilakukan oleh wanita ini akan dikisahkan juga sebagai kenangan kepadanya.’

Yudas mengkhianati Isa

14Selepas itu, seorang daripada dua belas orang pengikut Isa, bernama Yudas Iskariot, pergi berjumpa dengan ketua-ketua imam. 15Dia berkata kepada mereka, ‘Apakah yang sanggup kamu berikan kepadaku kalau kuserahkan Dia kepadamu?’ Mereka memberinya tiga puluh keping wang perak. 16Sejak itu dia pun mencari peluang untuk mengkhianati Isa.

Perjamuan Tuhan

17Pada hari pertama Perayaan Roti Tidak Beragi, pengikut-pengikut Isa mendapatkan-Nya lalu berkata, ‘Di manakah Junjungan mahu kami sediakan jamuan Paska untuk-Mu?’

18Isa menyuruh mereka ke bandar, mencari seorang tertentu dan mengatakan kepadanya, ‘Guru berkata, “Masa-Ku sudah hampir; Aku akan menyambut perayaan Paska di rumahmu bersama para pengikut-Ku.” ’ 19Pengikut-pengikut Isa menjalankan arahan-Nya lalu menyediakan jamuan perayaan Paska.

20Menjelang malam, Dia pun bertelekan di meja bersama pengikutnya yang dua belas itu.

21Sambil makan itu Dia berkata, ‘Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, seorang daripadamu akan mengkhianati-Ku.’

22Mereka sungguh berdukacita, dan setiap orang daripada mereka berkata kepada-Nya, ‘Junjungan, tentunya aku bukan orang itu?’

23Isa menjawab, ‘Orang yang mencecahkan tangannya bersama-Ku ke dalam bekas akan mengkhianati-Ku. 24Putera Insan memanglah harus pergi sebagaimana telah tersurat, tetapi malanglah orang yang mengkhianati-Nya! Lebih baik lagi bagi orang itu jika tidak dilahirkan.’

25Ketika itu Yudas yang akan mengkhianati-Nya bertanya, ‘Tuan Guru, akukah orangnya?’ Isa berkata kepadanya, ‘Kamu telah mengatakannya.’

26Ketika mereka sedang makan, Isa mengambil roti, mengucap syukur lalu memecah-mecahkan dan membahagikannya kepada pengikut-pengikut-Nya sambil berkata, ‘Ambil dan makanlah, ini tubuh-Ku.’ 27Kemudian Dia mengambil cawan air anggur dan mengucap syukur kepada Allah lalu memberikannya kepada mereka sambil berkata, ‘Minumlah darinya, kamu semua. 28Kerana ini darah-Ku bagi perjanjian baru, ditumpahkan untuk umat manusia supaya hapus dosa mereka. 29Tetapi, Aku berkata kepadamu, Aku tidak akan minum air anggur dari saat ini hinggalah hari Aku minum air anggur bersamamu dalam kerajaan Bapa-Ku.’

30Setelah menyanyikan sebuah lagu suci mereka pun beredar ke Bukit Zaitun.

31Kemudian Isa berkata kepada mereka, ‘Kamu semua akan goyah kerana-Ku malam ini, sebagaimana telah tersurat: “Aku akan merebahkan Gembala, dan kawanan domba akan bertempiaran.”

32‘Tetapi setelah Aku dibangkitkan semula, Aku akan mendahului kamu ke Galilea.’

33Petrus menjawab, ‘Kalaupun semua yang lain goyah kerana-Mu, Junjungan, aku tidak akan goyah.’

34Isa berkata kepadanya, ‘Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, pada malam ini juga, sebelum ayam berkokok, engkau akan menyangkal-Ku tiga kali.’

35Petrus berkata kepada Isa, ‘Kalaupun aku terpaksa mati bersama-Mu, aku tidak akan menyangkal-Mu, Junjungan!’ Demikian jugalah kata pengikut-pengikut-Nya yang sebelas orang lagi.

Di taman Getsemani

36Selepas itu Isa pergi bersama mereka ke sebuah tempat bernama Getsemani, lalu Dia berkata kepada mereka, ‘Duduklah di sini sementara Aku berdoa di sana.’ 37Isa membawa bersama-Nya Petrus dan kedua-dua anak Zebedeus. Dia mula berdukacita dan amat berpilu hati. 38Dia berkata kepada mereka, ‘Jiwa-Ku sungguh dukacita, bagaikan mati. Duduklah di sini berjaga bersama-Ku.’

39Isa pergi jauh sedikit dari situ lalu sujud menyembamkan muka ke tanah dan berdoa, ‘Ya Bapa-Ku, kalaulah dapat, edarkanlah cawan ini daripada-Ku; namun, biarlah kehendak-Mu berlaku, bukan kehendak-Ku.’ 40Kemudian Dia pergi kepada pengikut-pengikut-Nya dan mendapati mereka telah tertidur; lalu Dia berkata kepada Petrus, ‘Apa? Satu jam pun kamu tidak dapat berjaga bersama-Ku?’ 41Berjaga dan berdoalah, takut nanti kamu tergoda. Memang rohani rela, tetapi jasmani lemah.’

42Bagi kali kedua, Dia pergi dan berdoa, ‘Ya Bapa-Ku, jika cawan ini tidak mungkin beredar daripada-Ku melainkan Kuminum, biarlah kehendak-Mu berlaku.’

43Selepas itu Dia mendapati mereka tidur lagi, kerana mata mereka sungguh mengantuk. 44Dia pun meninggalkan mereka dan pergi berdoa lagi, bagi kali ketiga. Dia mengucapkan kata-kata yang sama. 45Setelah itu Dia mendapatkan pengikut-pengikut-Nya lalu berkata, ‘Adakah kamu masih tidur dan berehat? Lihatlah, masanya telah menjelang, dan Putera Insan sedang dikhianati untuk diserahkan ke tangan orang berdosa. 46Bangunlah, ayuh kita pergi. Lihat, pengkhianat-Ku sudah tiba.’

Isa ditangkap

47Ketika Dia sedang berkata-kata itu, seorang daripada pengikut-Nya yang dua belas, Yudas, datang diiringi orang yang sangat ramai dan bersenjatakan pedang serta belantan. Mereka datang daripada ketua-ketua imam dan tua-tua. 48Pengkhianat Isa telah menyatakan isyarat kepada mereka, ‘Yang kucium nanti, itulah orangnya; tangkaplah Dia.’ 49Dengan segera dia menghampiri Isa sambil berkata, ‘Selamat sejahtera, Tuan Guru!’ lalu mencium-Nya.

50Isa berkata kepadanya, ‘Kawan, mengapakah kamu datang?’ Orang ramai itu pun menangkap Isa. 51Tiba-tiba seorang pengikut Isa menghunus pedangnya lalu menetak hamba Imam Besar, sehingga telinganya putus.

52Tetapi Isa berkata kepada pengikut-Nya itu, ‘Simpan semula pedangmu di tempatnya yang wajar, kerana semua yang menggunakan pedang akan musnah dimakan pedang. 53Adakah kamu sangka Aku tidak boleh berdoa supaya Bapa-Ku menghantar lebih daripada dua belas tentera malaikat untuk menolong-Ku? 54Bukankah kejadian ini mesti berlaku supaya yang tersurat di dalam Kitab Suci ternyata benar?’

55Kemudian Isa berkata kepada orang ramai itu, ‘Patutkah kamu datang, bagaikan hendak menangkap perompak, dengan pedang dan belantan, untuk membawa-Ku pergi? Hari demi hari Aku duduk bersamamu, mengajar di rumah ibadat, dan kamu tidak menangkap-Ku. 56Tetapi segala ini dilakukan untuk menunaikan apa yang tersurat di dalam kitab nabi-nabi.’ Setelah itu semua pengikut Isa meninggalkan-Nya, masing-masing melarikan diri.

Isa di hadapan Majlis Agama

57Orang yang menangkap Isa membawa-Nya kepada Kayafas, Imam Besar. Di situ guru-guru Taurat dan tua-tua telah berhimpun. 58Petrus mengikut dari jauh ke bahagian laman dalam rumah Imam Besar, lalu masuk dan duduk di kalangan hamba-hamba di situ untuk melihat kesudahan perkara itu.

59Ketua-ketua imam dan seluruh Majlis Agama telah mencari kesaksian palsu terhadap Isa supaya dapat membunuh-Nya. 60Tetapi mereka tidak berjaya. Sungguhpun ramai saksi palsu yang tampil, tidak didapati kesaksian yang dikehendaki itu.

Akhirnya dua orang saksi tampil

61dengan kesaksian: ‘Orang ini telah berkata, “Aku dapat memusnahkan rumah Allah dan membinanya semula dalam tiga hari.” ’

62Imam Besar berdiri lalu berkata kepada Isa, ‘Tidakkah kamu menjawab apa-apa? Apakah yang didakwakan oleh dua orang ini terhadap-Mu?’ 63Tetapi Isa berdiam diri. Imam Besar berkata kepada-Nya, ‘Demi Allah yang hidup, katakan kepada kami, adakah kamu ini al-Masih, Putera Allah?’ 64Isa berkata kepadanya, ‘Benarlah seperti katamu. Namun, Aku berkata kepadamu, kemudian hari kelak kamu akan melihat Putera Insan duduk di sebelah kanan Yang Maha Kuasa, dan datang dalam awan di atas langit.’

65Kemudian Imam Besar mengoyak-ngoyakkan pakaiannya sambil berkata, ‘Dia telah melafazkan kata-kata kufur! Apa perlunya saksi lagi? Sekarang kamu telah mendengar kata-kata kufur-Nya!

66Bagaimana pendapatmu?’ Mereka menjawab, ‘Dia patut dibunuh.’

67Setelah itu mereka meludah muka-Nya dan memukul-Nya. Ada yang menampar-Nya. 68Mereka berkata, ‘Bernubuatlah pada kami, hai al-Masih! Siapa yang memukul-Mu?’

Petrus menyangkal Isa

69Sedang Petrus duduk di laman dalam rumah itu, seorang hamba perempuan datang dan berkata kepadanya, ‘Kamu pun bersama Isa dari Galilea.’

70Tetapi Petrus menyangkal di hadapan mereka semua, ‘Aku tak tahu apa yang kaukatakan itu.’

71Setelah Petrus pergi ke luar ke pintu gerbang, seorang perempuan lagi melihatnya dan berkata kepada orang di situ, ‘Orang ini pun bersama Isa orang Nasaret.’

72Petrus menyangkal lagi sambil bersumpah, ‘Aku tak kenal orang itu!’

73Tidak lama kemudian orang yang berdiri-diri di situ menghampiri Petrus dan berkata kepadanya, ‘Sudah tentu kamu juga seorang daripada mereka; ini jelas daripada loghatmu.’

74Petrus pun mengucapkan kutuk dan sumpah, ‘Aku tak kenal orang itu!’ Serta-merta ayam berkokok. 75Lalu Petrus teringat kata-kata Isa kepadanya, ‘Sebelum ayam berkokok, engkau akan menyangkal-Ku tiga kali.’ Petrus pun keluar dari situ lalu menangis dengan amat kesalnya.

↑ ↑ ↑ 27

Yudas menggantung diri

1Setelah siang, semua ketua imam dan tua-tua berpakat untuk membunuh Isa. 2Mereka menyuruh orang mengikat-Nya. Kemudian mereka membawa-Nya lalu menyerahkan-Nya kepada gabenor, Pontius Pilatus. 3Apabila Yudas yang mengkhianati-Nya melihat bahawa Isa telah dijatuhi hukum mati, dia menyesali perbuatannya lalu mengembalikan tiga puluh keping wang perak ke hadapan ketua-ketua imam dan tua-tua. 4Yudas berkata, ‘Aku berdosa menyebabkan tumpahnya darah orang yang tidak bersalah.’ Kata mereka, ‘Apa kami peduli? Tanganilah sendiri!’

5Yudas pun mencampakkan keping-keping wang perak itu ke dalam rumah ibadat lalu pergi menggantung dirinya.

6Ketua-ketua imam memungut wang perak itu lalu berkata, ‘Menurut hukum, kita tidak boleh memasukkan wang ini ke dalam perbendaharaan rumah ibadat, kerana wang ini harga darah.’

7Mereka bermesyuarat lalu menggunakan wang itu untuk membeli ladang tukang tembikar bagi dijadikan tempat perkuburan orang asing. 8Oleh itu padang tersebut dipanggil Padang Darah hingga hari ini. 9Dengan demikian berlakulah kata-kata Nabi Yeremia: ‘Maka mereka pun mengambil tiga puluh keping wang perak itu, harga Dia yang telah dinilai oleh anak-anak Israel, 10lalu membeli padang untuk pengebumian orang asing, demikian firman Tuhan kepadaku.’

Isa di hadapan Pilatus

11Gabenor bertanya kepada Isa yang berdiri di hadapannya, ‘Adakah Kamu Raja orang Yahudi?’ Isa berkata, ‘Begitulah seperti katamu.’

12Ketika Dia dituduh oleh ketua-ketua imam dan tua-tua, Dia tidak berkata suatu apa. 13Kemudian Pilatus berkata kepada-Nya, ‘Tidakkah kamu dengar betapa banyaknya tuduhan terhadapmu dalam kesaksian mereka?’ 14Tetapi Isa tidak berkata sepatah pun, sehingga amat hairan gabenor melihat-Nya.

15Pada perayaan Paska, lazimnya gabenor membebaskan dari penjara seorang yang dikehendaki oleh orang ramai. 16Pada masa itu ada seorang banduan yang terkenal jahatnya, bernama Barabas.

17Setelah mereka berhimpun, Pilatus bertanya, ‘Yang mana kamu mahu aku bebaskan dan serahkan ke tanganmu, Barabas atau Isa yang dipanggil al-Masih?’ 18Gabenor mengetahui bahawa mereka telah menyerahkan Isa kepadanya kerana iri hati.

19Sedang gabenor duduk di atas kerusi penghakiman, isterinya berkirim pesan kepadanya, ‘Jangan apa-apakan orang yang tidak bersalah; hari ini aku banyak menanggung azab dalam mimpi kerana-Nya.’

20Tetapi ketua-ketua hakim dan tua-tua dapat meyakinkan orang ramai supaya meminta Barabas dibebaskan dan Isa dibunuh. 21Gabenor berkata kepada mereka, ‘Yang mana antara dua orang ini kamu mahu aku bebaskan dan serahkan ke tanganmu?’ Mereka menjawab, ‘Barabas!’

22Pilatus bertanya kepada mereka, ‘Jadi, apa yang harus kubuat dengan Isa yang dipanggil al-Masih?’ Kesemua mereka berkata kepadanya, ‘Salibkan Dia!’

23Gabenor berkata, ‘Mengapa, apakah kejahatan yang telah dilakukan-Nya?’ Tetapi mereka berseru semakin lantang, ‘Salibkan Dia!’

24Apabila Pilatus melihat bahawa dia tidak dapat mempengaruhi mereka malah mereka mula hendak merusuh, dia mengambil air lalu membasuh tangannya di hadapan orang ramai itu sambil berkata, ‘Aku bebas daripada kesalahan menumpahkan darah orang yang baik ini. Kamu tanganilah sendiri.’ 25Kesemua mereka menjawab, ‘Biarlah darah-Nya tertanggung di atas kami dan zuriat kami.”

26Pilatus pun membebaskan Barabas kepada mereka; dan setelah menyesah Isa, dia menyerahkan-Nya untuk disalib.

Askar mengejek Isa

27Kemudian askar-askar gabenor membawa Isa ke balai istananya dan menghimpunkan seluruh pasukan tentera di situ. 28Mereka melucutkan pakaian-Nya dan menyarungkan jubah ungu ke tubuh-Nya. 29Mereka membuat mahkota daripada duri lalu meletakkannya di atas kepala Isa dan menggenggamkan mensiang di tangan kanan-Nya. Kemudian mereka berlutut kepada-Nya sambil mengejek-Nya, ‘Hai Raja orang Yahudi!’ 30Selepas itu mereka meludahi-Nya dan memukul kepala-Nya dengan mensiang itu. 31Setelah selesai mereka mempermainkan-Nya, mereka melucutkan jubah ungu itu dan mengenakan semula pakaian-Nya lalu membawa-Nya untuk disalib.

Isa disalib

32Dalam perjalanan, mereka bertemu dengan seorang lelaki dari Kirene bernama Simon. Mereka memaksanya mengangkat kayu salib Isa. 33Mereka pun sampai di suatu tempat dipanggil Golgota, bermakna Tempat Tengkorak. 34Di situ mereka memberi-Nya air anggur masam bercampur hempedu dan menyuruh-Nya minum. Tetapi setelah merasanya, Dia enggan minum. 35Selepas itu mereka menyalib-Nya, dan membahagikan pakaiannya dengan membuang undi, maka berlakulah seperti yang di nubuatkan: ‘Mereka bahagikan pakaian-Ku antara mereka, untuk mendapat pakaian-Ku mereka membuang undi.’

36Kemudian mereka duduk berjaga di situ. 37Di atas kayu salib Isa mereka memaparkan tuduhan terhadap-Nya: INILAH ISA RAJA ORANG YAHUDI. 38Dua orang perompak disalib bersama-Nya, seorang di kanan dan seorang di sebelah kiri-Nya. 39Orang yang lalu di situ melemparkan katakata kufur kepada-Nya. Sambil menggeleng-gelengkan kepala 40mereka berkata, ‘Engkau dapat memusnahkan rumah ibadat dan membinanya semula dalam tiga hari; selamatkanlah diri-Mu! Kalau Engkau Putera Allah, turunlah dari kayu salib itu.’

41Begitu jugalah ketua-ketua imam, guru-guru Taurat dan tua-tua, turut mengejek Isa: 42‘Dia telah menyelamatkan orang lain; diri-Nya sendiri tidak dapat diselamatkan-Nya. Kalau benar dia Raja Israel, turunlah dari kayu salib itu sekarang, baru kami percaya kepada-Nya. 43Dia percayakan Allah. Biar Allah menyelamatkan-Nya sekarang, kalau Allah mahu mengakui-Nya; kerana Dia berkata, “Aku Putera Allah.” ’ 44Perompak yang disalib bersama Isa pun menghina-Nya dengan kata-kata demikian.

45Dari tengah hari hingga tiga petang, seluruh negeri itu diselubungi kegelapan. 46Kira-kira pukul tiga petang, Isa berseru dengan suara yang lantang, ‘Eloi, Eloi, lama sabakhtani?’ maksudnya ‘Ya Allah, Ya Tuhan-Ku, mengapa Kautinggalkan Aku?’

47Sesetengah orang yang berdiri di situ berkata, apabila mendengar seruan-Nya itu, ‘Orang ini memanggil Ilyas.’

48Serta-merta seorang daripada mereka mengambil span, memenuhinya dengan air anggur masam dan meletakkannya pada mensiang lalu menawarkannya kepada Isa sebagai minuman.

49Yang lain berkata, ‘Jangan hiraukan Dia; mari kita lihat kalau Ilyas datang menyelamatkan-Nya.’

50Isa berseru lantang sekali lagi, lalu menyerahkan roh-Nya dengan nafas terakhir.

51Sejurus itu tirai rumah ibadat koyak dari atas ke bawah, bumi digegar gempa dan batu-batu pejal terbelah; 52kubur-kubur terbuka; dan banyak jenazah orang yang taat akan Allah dibangkitkan semula; 53mereka keluar dari kubur dan selepas Isa dibangkitkan semula, mereka masuk ke kota suci itu dan menampakkan diri kepada sebilangan besar orang di situ.

54Apabila ketua tentera dan orangnya yang mengawal Isa melihat gempa bumi serta kejadiankejadian lain, mereka pun ketakutan lalu berkata, ‘Benarlah Dia Putera Allah!’

55Ramai wanita yang telah mengikut Isa dari Galilea dan melayani-Nya ada di situ, melihat dari jauh. 56Antara mereka ialah Maryam Magdalena dan Maryam ibu kepada Yakobus dan Yusuf serta ibu kepada anak-anak Zebedeus.

Isa dimakamkan

57Apabila malam menjelang, datang seorang hartawan dari Arimatea, bernama Yusuf, yang telah menjadi pengikut Isa. 58Dia pergi menghadap Pilatus dan memohon jenazah Isa. Pilatus pun memerintahkan orang menyerahkan jenazah itu kepadanya. 59Yusuf mengambil jenazah itu dan mengkafankannya dengan kain linen yang bersih. 60Dia membaringkan jenazah itu di dalam sebuah makam miliknya yang baru digalinya daripada batu pejal. Kemudian dia menggulingkan sebuah batu besar menutup pintu makam itu, lalu pergi dari situ. 61Ketika itu Maryam Magdalena ada di situ, begitu juga Maryam yang seorang lagi. Mereka sedang duduk berhadapan makam itu.

62Pada keesokannya, iaitu sehari selepas Hari Persediaan, ketua-ketua imam dan orang Farisi datang beramai-ramai menghadap Pilatus. 63Mereka berkata, ‘Tuan, kami teringat, sewaktu Dia masih hidup si penipu itu ada berkata, “Selepas tiga hari Aku akan bangkit.” 64Oleh itu, silalah tuan perintahkan supaya dipastikan makam-Nya tidak dapat dibuka hingga tamat hari ketiga. Kami takut kalau-kalau para pengikut-Nya datang pada waktu malam dan mencuri mayat-Nya dibawa pergi, lalu berkata kepada orang ramai, “Dia telah bangkit daripada kematian.” Penipuan ini pasti lebih dahsyat daripada penipuan pertama.’ 65Pilatus berkata kepada mereka, ‘Bawalah beberapa pengawal. Pergilah sendiri, buat apa yang kamu fikirkan perlu untuk menjaga makam itu.’ 66Mereka pun pergi melakukannya. Mereka memperkukuh makam itu supaya tidak dapat dibuka langsung, dan mereka menugaskan pengawal berjaga di situ.

↑ ↑ ↑ 28

Kebangkitan Isa

1Selepas hari Sabat, ketika fajar menyingsing pada hari pertama minggu itu, Maryam Magdalena dan Maryam yang seorang lagi pergi melihat makam Isa. 2Tiba-tiba terjadi gempa bumi yang hebat, kerana seorang malaikat Tuhan turun dari syurga lalu menggulingkan batu yang menutup makam itu dan duduk di atasnya. 3Wajahnya laksana kilat dan pakaiannya seputih salji. 4Para pengawal menggeletar ketakutan apabila melihatnya, lalu menjadi seperti orang mati.

5Tetapi malaikat itu berkata kepada perempuan-perempuan itu, ‘Jangan takut, aku tahu kamu mencari Isa yang telah disalib. 6Dia tidak ada di sini, kerana Dia telah bangkit semula, seperti yang dikatakan-Nya. Marilah lihat tempat Dia dibaringkan dulu. 7Kemudian, segeralah pergi dan katakan kepada para pengikut-Nya bahawa Dia telah bangkit daripada kematian, dan Dia mendahului kamu ke Galilea. Di sana kamu akan melihat-Nya. Lihatlah, aku telah memberitahumu.’

8Mereka pun keluar dari makam itu dengan takut dan amat gembira, lalu berlari untuk membawa berita itu kepada para pengikut Isa. 9Dalam perjalanan, tiba-tiba Isa menemui mereka sambil berkata, ‘Salam sejahtera!’ Lalu mereka pun mendekati Isa dan memegang kaki-Nya serta menyembah-Nya. 10Kemudian Isa berkata kepada mereka, ‘Jangan takut. Pergilah dan suruh saudara-saudara-Ku ke Galilea. Di sana mereka akan melihat-Ku.’

Laporan pengawal

11Sementara perempuan itu sedang dalam perjalanan, beberapa orang pengawal tersebut masuk ke kota dan melaporkan kepada ketua-ketua imam apa yang telah terjadi. 12Setelah bermesyuarat dengan tua-tua, mereka memberikan sejumlah wang yang besar kepada askar-askar yang berkawal itu 13serta berpesan, ‘Beritahu orang, “Para pengikut-Nya datang pada waktu malam dan mencuri mayat-Nya lalu dibawa pergi sewaktu kami sedang tidur.” 14Kalau hal ini sampai ke telinga gabenor, kami akan melembutkan hatinya dan kamu tidak akan diapa-apakan.’ 15Mereka menerima wang itu dan melakukan apa yang diarahkan. Cerita ini biasa disebarkan di kalangan orang Yahudi hingga sekarang.

Perintah untuk memberitakan Injil

16Kemudian, pengikut Isa yang sebelas itu pergi ke Galilea, ke gunung yang telah ditetapkan oleh-Nya. 17Di sana mereka melihat-Nya lalu menyembah-Nya. Namun demikian, ada antara mereka yang ragu. 18Isa berkata kepada mereka, ‘Segala kekuasaan telah diserahkan kepada-Ku, baik di syurga mahupun di bumi. 19Oleh itu pergilah, jadikan semua bangsa pengikut-Ku. Imadkan mereka dengan nama Bapa, Putera dan Roh Suci. 20Ajar mereka supaya taat akan segala perkara yang telah Kuperintahkan kepadamu. Aku akan sentiasa bersamamu, hingga ke akhir zaman.’

↑ ↑ ↑