Lompat ke isi

Kitab Suci Zabur dan Injil/Markus

Dari Wikisumber bahasa Indonesia, perpustakaan bebas

diterjemahkan oleh tim Pengamat Kitab Mulia (2013); CC-BY-ND 4.0

Pasal 1 2 3 4 5 67 8 9 10 11 12 1314 15 16

Daftar perikop:

  • Nabi Yahya
  • Yahya mengimadkan Isa
  • Pengikut Isa yang pertama
  • Isa membentak roh durjana
  • Isa menyembuhkan ramai orang
  • Isa mengajar di kota-kota lain
  • Isa menyembuhkan seorang yang sakit kusta
  • Isa menyembuhkan seorang lumpuh
  • Panggilan Lewi
  • Berpuasa
  • Isa dan hari Sabat
  • Orang ramai mengikut Isa
  • Isa memanggil dua belas rasul
  • Isa dan Beelzebul
  • Isa dan saudara-saudara-Nya
  • Ibarat tentang seorang penabur
  • Ibarat tentang pelita
  • Ibarat tentang benih yang tumbuh
  • Ibarat tentang biji sesawi
  • Angin ribut diredakan
  • Isa menyembuhkan seorang yang dirasuk roh iblis
  • Isa melakukan mukjizat dan penyembuhan
  • Isa mengajar di Nasaret
  • Nabi Yahya dibunuh
  • Isa memberi makan kepada lima ribu orang
  • Isa berjalan di atas air
  • Adat istiadat nenek moyang
  • Iman seorang perempuan Siro-Fenisia
  • Isa menyembuhkan seorang bisu tuli
  • Isa memberi makan kepada empat ribu orang
  • Ragi orang Farisi dan ragi Herodes
  • Isa menyembuhkan seorang buta
  • Pengakuan Petrus
  • Isa memberitahu tentang kematian-Nya
  • Penjelmaan
  • Isa menyembuhkan seorang anak lelaki yang bisu
  • Menghalau roh iblis
  • Menyebabkan orang lain berdosa
  • Perceraian
  • Isa memberkati kanak-kanak
  • Orang yang kaya itu
  • Isa memberitahu lagi tentang kematian-Nya
  • Permintaan Yakobus dan Yahya
  • Isa menyembuhkan Bartimeus
  • Isa masuk ke Baitulmaqdis
  • Isa membersihkan rumah ibadat
  • Isa mengutuk pohon ara
  • Kekuasaan Isa dipersoalkan
  • Ibarat tentang penyewa ladang
  • Membayar cukai kepada Kaisar
  • Perkahwinan pada hari kebangkitan
  • Perintah yang terutama
  • Hubungan antara Isa dan Daud
  • Persembahan seorang balu
  • Tanda-tanda akhir zaman
  • Hari dan masa tidak diketahui
  • Isa diurapi
  • Perjamuan Tuhan
  • Petrus akan menyangkal Isa
  • Isa di Getsemani
  • Isa ditangkap
  • Isa di hadapan Majlis Agama
  • Petrus menyangkal Isa
  • Isa di hadapan Pilatus
  • Isa dipermainkan
  • Isa disalib
  • Kematian Isa
  • Isa dimakamkan
  • Kebangkitan Isa


1

Nabi Yahya

1Inilah permulaan Injil tentang Isa al-Masih, Putera Allah,

2Seperti yang tersurat dalam nubuat Nabi Yasyaya: ‘Lihatlah, Aku akan menghantar utusan-Ku untuk mendahului-Mu, dialah yang akan menyediakan jalan bagi-Mu’

3‘satu suara berseru di gurun, “Sediakanlah jalan bagi Tuhan, luruskanlah jalan bagi-Nya.” ’

4Demikianlah Yahya muncul di gurun, mengimadkan orang dan mengkhabarkan firman – bertaubatlah dan datanglah untuk diimadkan, supaya Allah mengampunkan dosamu. 5Ramailah orang yang datang dari Yudea dan Baitulmaqdis untuk mendengar kata-kata Yahya. Mereka mengakui dosa mereka lalu Yahya mengimadkan mereka di Sungai Yordan. 6Yahya berpakaian yang dibuat daripada bulu unta dengan tali pinggang daripada kulit. Makanannya belalang dan madu gurun. 7Inilah beritanya: ‘Seorang yang lebih besar daripadaku akan datang selepasku. Tali kasut-Nya pun tidak layak kuurai. 8Aku mengimadkanmu dengan air, tetapi Dia akan mengimadkanmu dengan Roh Suci.’

Yahya mengimadkan Isa

9Kemudian Isa datang dari Nasaret di Galilea, lalu diimadkan oleh Yahya di Sungai Yordan.

10Ketika Isa keluar dari sungai itu, Dia melihat langit terbuka dan Roh Suci seperti burung merpati turun hinggap ke atas-Nya. 11Lalu kedengaran suara dari syurga: ‘Engkaulah Putera-Ku yang Kukasihi dan dengan-Mu Aku berkenan.’

12Lantas, Roh Suci memimpin Isa ke gurun. 13Isa di situ selama empat puluh hari dan digoda oleh Iblis serta dikelilingi binatang liar. Para malaikat datang melayani-Nya.

Pengikut Isa yang pertama

14Setelah Yahya dipenjarakan, Isa pergi ke Galilea lalu mengkhabarkan Injil daripada Allah. 15Isa berkata, ‘Sudah genap masanya dan kerajaan Allah hampir tiba. Bertaubatlah dan percayalah akan Injil ini!’

16Ketika Isa sedang berjalan di pinggir Laut Galilea, Dia terpandang dua orang nelayan, Simon dan saudaranya Andreas, sedang menjala ikan. 17Isa berkata kepada mereka, ‘Ikutlah Aku. Aku akan menjadikan kamu penjala insan.’ 18Mereka terus meninggalkan jala mereka dan mengikut-Nya.

19Sejurus berjalan, Isa melihat dua orang lagi adik-beradik, bernama Yakobus dan Yahya, anak Zebedeus. Mereka sedang duduk mengemaskan jala di dalam perahu. 20Isa terus memanggil mereka. Kedua-dua beradik itu meninggalkan bapa mereka dengan orang gajinya di dalam perahu, lalu mengikut Isa.

Isa membentak roh durjana

21Isa dan pengikut-pengikut-Nya tiba di Kapernaum. Pada hari Sabat berikutnya, Isa masuk ke saumaah lalu mengajar. 22Semua yang mendengar-Nya kagum kerana Dia mengajar dengan penuh kewibawaan, berbeza dari guru-guru Taurat. 23Ketika itu seorang yang dirasuk roh durjana berada di saumaah. Dia berseru: 24‘Apa yang hendak Kaubuat kepada kami, hai Isa orang Nasaret? Adakah Engkau hendak membinasakan kami? Aku tahu siapa Engkau. Engkau Yang Suci daripada Allah!’

25Isa membentak roh itu, ‘Diam! Keluar daripada orang ini!’ 26Roh durjana itu menggoncanggoncang tubuh orang yang dirasuknya lalu keluar sambil menjerit.

27Hal ini menyebabkan semua orang tercengang lalu berbisik sesama sendiri, ‘Adakah ini suatu ajaran baru? Dia memerintah roh-roh durjana dengan penuh kuasa dan mereka menurut kata-Nya.’

28Dengan demikian, khabar tentang Isa segera tersebar ke seluruh Galilea.

Isa menyembuhkan ramai orang

29Isa dan pengikut-Nya, termasuk Yakobus dan Yahya, keluar dari saumaah itu lalu ke tempat kediaman Simon dan Andreas. 30Ibu mertua Simon sedang demam terbaring di tempat tidur. Setibanya Isa di situ, Dia diberitahu tentang hal itu. 31Isa menghampiri ibu mertua Simon, memegang tangannya dan menolongnya bangun. Demam wanita itu hilang lalu dia melayani mereka.

32Apabila malam menjelang, semua orang sakit dan orang yang dirasuk roh iblis dibawa kepada Isa. 33Semua penduduk kota berhimpun di hadapan rumah itu. 34Isa menyembuhkan ramai orang daripada pelbagai penyakit. Dia juga menghalau roh-roh iblis sambil memerintahkan mereka diam kerana mereka tahu siapa Dia.

Isa mengajar di kota-kota lain

35Keesokannya, pada waktu subuh, Isa bangun lalu pergi ke luar kota ke suatu tempat yang sunyi untuk berdoa. 36Simon dan rakan-rakannya pergi mencari Isa. 37Setelah menjumpai-Nya, mereka berkata: ‘Semua orang sedang mencari-Mu!’

38Isa berkata, ‘Kita mesti ke kota-kota lain di negeri ini supaya Aku dapat menyebarkan Injil di sana. Kerana tujuan inilah, maka Aku datang.’ 39Lalu Isa menjelajah ke serata Galilea, mengajar di saumaah dan menghalau roh-roh iblis.

Isa menyembuhkan seorang yang sakit kusta

40Seorang yang menghidap penyakit kusta datang kepada Isa lalu berlutut meminta pertolongan-Nya. Katanya, ‘Jika Engkau mahu, Engkau dapat mentahirkanku.’

41Isa berbelas kasihan lalu menghulurkan tangan-Nya menyentuh orang itu sambil berkata, ‘Aku mahu. Tahirlah!’ 42Pada saat itu juga orang itu ditahirkan daripada penyakit kusta.

43Isa menyuruhnya pergi dengan memberi suatu peringatan keras: 44‘Dengar baik-baik. Jangan beritahu sesiapapun hal ini. Tetapi pergi kepada imam, kemudian persembahkan korban sebagaimana diperintahkan oleh Musa, sebagai bukti kepada mereka bahawa kamu benar-benar sudah ditahirkan.’ 45Tetapi orang itu menyebarkan hal itu merata-rata dan terus-menerus, sehingga Isa tidak dapat masuk ke bandar terang-terangan. Isa tinggal di luar kota di tempat-tempat yang lengang, namun orang dari pelbagai kawasan datang kepada-Nya.

↑ ↑ ↑ 2

Isa menyembuhkan seorang lumpuh

1Beberapa hari kemudian, Isa pulang ke Kapernaum dan tersebarlah khabar itu. 2Ramailah orang datang berhimpun di rumah tempat Dia tinggal itu, sehingga penuh sesak sampai ke pintu. Isa pun menyampaikan firman kepada mereka. 3Datanglah empat orang mengusung seorang yang lumpuh. 4Oleh sebab kesasakan itu, mereka tidak dapat membawanya kepada Isa. Oleh itu mereka membuka bumbung rumah betul-betul di atas tempat Isa berada lalu menurunkan orang lumpuh yang terbaring di atas tikar. 5Melihat iman mereka yang begitu teguh, Isa berkata kepada orang lumpuh itu, ‘Anak-Ku, dosamu telah diampunkan.’

6Guru-guru Taurat yang duduk di situ berkata dalam hati, 7‘Lancangnya dia mengkufuri Allah! Tiada siapa boleh mengampunkan dosa kecuali Allah!’

8Tetapi Isa segera mengetahui dalam roh-Nya bahawa mereka berfikir demikian lalu berkata, ‘Mengapa kamu berfikir begitu? 9Manakah yang lebih mudah dikatakan: “Dosamu telah diampunkan,” atau, “Bangun, angkat tikarmu dan berjalanlah”? 10Tetapi supaya kamu tahu bahawa di bumi ini Putera Insan berkuasa mengampunkan dosa...’ Berkatalah Dia kepada orang lumpuh itu, 11‘Aku berkata kepadamu, bangun, angkat tikarmu, dan pulanglah.’ 12Di hadapan mata mereka semua, orang lumpuh itu bangun, mengangkat tikarnya lalu segera berjalan ke luar. Semua orang di situ kehairanan lalu memuji Allah. Mereka berkata, ‘Belum pernah kami lihat kejadian begini!’

Panggilan Lewi

13Isa pergi lagi ke pinggir laut. Ramai orang datang kepada-Nya lalu Dia mengajar mereka.

14Ketika Isa berjalan di situ, Dia terpandang seorang pemungut cukai bernama Lewi anak Alfeus sedang duduk di tempat kerjanya. Isa berkata kepadanya, ‘Ikutlah Aku,’ lalu Lewi bangun mengikut-Nya.

15Selepas itu Isa makan di rumah Lewi. Ramai pemungut cukai dan ‘orang berdosa’ mengikut Isa dan ramai antara mereka turut makan bersama Isa serta para pengikut-Nya. 16Apabila hal ini dilihat oleh sebilangan guru Taurat daripada golongan Farisi, mereka bertanya kepada para pengikut Isa: ‘Mengapa dia makan bersama pemungut cukai dan “orang berdosa”?’

17Isa mendengar pertanyaan itu lalu menjawab, ‘Orang sakitlah yang memerlukan tabib, bukannya orang sihat. Aku datang bukan untuk memanggil orang yang benar, tetapi orang berdosa.’

Berpuasa

18Pada suatu masa ketika para pengikut Yahya Pengimad dan pengikut orang Farisi berpuasa, beberapa orang datang kepada Isa lalu bertanya, ‘Pengikut Yahya Pengimad dan pengikut orang Farisi sedang berpuasa, mengapa pengikut-Mu tidak?’

19Isa menjawab, ‘Adakah tetamu di majlis jamuan kahwin berpuasa? Tentu tidak, selagi pengantin lelaki masih bersama mereka, tidaklah mereka berpuasa. 20Tetapi akan tiba saatnya pengantin lelaki dibawa pergi meninggalkan mereka. Ketika itulah mereka berpuasa.

21‘Tiada siapa menggunakan kain baru untuk menampal pakaian lama, kerana kain baru itu akan mengecut dan semakin koyaklah pakaian lama. 22Begitu juga, tiada siapa menuangkan air anggur yang baru ke dalam bekas kulit yang lama. Kalau dilakukan, air anggur baru akan memecahkan bekas lama, dan kedua-duanya terbuang. Air anggur baru mesti dituangkan ke dalam bekas yang baru.’

Isa dan hari Sabat

23Pada suatu hari Sabat, Isa dan para pengikut-Nya berjalan melalui ladang gandum. Para pengikut-Nya mula memetik beberapa tangkai bijirin gandum. 24Sebilangan orang Farisi berkata kepada Isa, ‘Lihatlah, para pengikutmu melanggar hukum Taurat pada hari Sabat!’

25Isa menjawab, ‘Tidakkah kamu membaca apa yang dilakukan oleh Daud semasa dia dan anak buahnya kekurangan dan kelaparan? 26Dia masuk ke khemah Allah sewaktu Abiatar berjawat sebagai Imam Besar lalu makan roti persembahan, meskipun perbuatan itu dilarang kerana hanya imam dibenarkan makan roti itu. Daud juga memberikan roti itu kepada mereka yang ada bersamanya.’

27Isa menambah, ‘Hari Sabat diwujudkan untuk manusia, bukannya manusia diwujudkan untuk hari Sabat. 28Jadi Putera Insan juga Junjungan atas hari Sabat.’

↑ ↑ ↑ 3

1Kemudian Isa kembali ke saumaah. Di situ ada seorang yang lumpuh sebelah tangannya.

2Ada beberapa orang yang ingin mencari alasan untuk membuat tuduhan terhadap Isa. Mereka memerhatikan dengan teliti sama ada Dia akan menyembuhkan orang itu pada hari Sabat. 3Isa berkata kepada orang yang lumpuh sebelah tangannya itu, ‘Berdiri, marilah ke depan.’

4Kemudian Dia menyoal orang di situ, ‘Manakah yang boleh kita lakukan pada hari Sabat: berbuat baik atau jahat? Menyelamatkan atau membinasakan orang?’ Tetapi semuanya berdiam diri.

5Isa memandang orang di sekeliling-Nya dengan rasa marah dan amat dukacita dengan mereka yang begitu keras kepala. Lalu Dia berkata kepada orang yang lumpuh sebelah tangannya itu, ‘Hulurkan tanganmu.’ Orang itu pun menghulurkan tangannya yang lumpuh, tangan itu terus sembuh. 6Orang Farisi keluar dari situ lalu segera berpakat dengan beberapa anggota golongan Herodes untuk membunuh Isa.

Orang ramai mengikut Isa

7Isa beredar ke laut bersama pengikut-pengikut-Nya. Ramai orang Galilea datang kepada-Nya. Ada yang dari Yudea, 8Baitulmaqdis, Idumea, seberang Sungai Yordan, dan sekitar Tirus dan Sidon. Mereka datang berduyun-duyun kerana mendengar segala yang telah dilakukan-Nya. 9Begitu ramainya orang sehingga Isa menyuruh pengikut-Nya menyediakan perahu untuk-Nya supaya Dia tidak terhimpit. 10Ramai orang telah disembuhkan-Nya. Oleh itu, orang sakit berebut-rebut hendak menyentuh-Nya. 11Apabila orang yang dirasuk roh-roh durjana melihat-Nya, mereka sujud di hadapan-Nya lalu berseru, ‘Engkau Putera Allah.’ 12Isa melarang keras mereka mengatakan siapa Dia.

Isa memanggil dua belas rasul

13Kemudian Isa naik ke bukit. Dia memanggil semua orang yang dikehendaki-Nya lalu mereka datang kepada-Nya. 14Isa memilih dua belas orang antara pengikut-Nya itu untuk menyertai-Nya dan untuk diutus-Nya memberitakan Injil 15serta dikurniai kuasa untuk menghalau roh-roh iblis.

16Dua belas orang yang dipilih-Nya itu ialah: Simon (yang juga dipanggil-Nya Petrus); 17Yakobus dan saudaranya Yahya iaitu anak-anak Zebedeus (dua orang adik-beradik ini digelar-Nya Boanerges, yang bermakna Anak Petir); 18Andreas, Filipus, Bartolomeus, Matius, Tomas, Yakobus anak Alfeus, Tadeus, Simon orang Patriot 19dan juga Yudas Iskariot yang kelak mengkhianati-Nya.

Isa dan Beelzebul

20Selepas itu Isa masuk ke sebuah rumah, tetapi begitu ramainya orang yang datang berkumpul semula sehingga Isa dan pengikut-pengikut-Nya tidak sempat makan. 21Apabila keluarga Isa mendengar perkara ini, mereka juga datang untuk mengambil-Nya apabila mendengar orang berkata, ‘Dia tidak siuman.’ 22Sebilangan guru Taurat dari Baitulmaqdis berkata, ‘Dia dirasuk Beelzebul! Dengan kuasa penghulu roh iblis Dia menghalau roh-roh iblis.’

23Oleh itu Isa memanggil semua orang itu lalu bercakap melalui beberapa ibarat: ‘Bagaimana Iblis dapat menghalau Iblis? 24Kalau satu kerajaan berpecah belah, kerajaan itu tidak dapat bertahan.

25Dan jika keluarga berpecah belah, keluarga itu akan hancur. 26Dan jika Iblis berontak melawan dirinya sendiri dan berpecah belah, dia tidak dapat bertahan; sudah sampailah saat kemusnahannya.

27Tiada siapa dapat memasuki rumah seorang yang gagah dan merampas hartanya, kecuali orang gagah itu dapat diikatnya dahulu. 28Ingatlah: Segala dosa dan kata kufur manusia dapat diampunkan.

29Tetapi sesiapa yang mengkufuri Roh Suci tidak akan diampunkan; dia bersalah kerana berbuat dosa kekal.’ 30Isa berkata demikian kerana ada orang berkata, ‘Dia dirasuk roh durjana.’

Isa dan saudara-saudara-Nya

31Apabila ibu dan saudara-saudara Isa tiba, mereka menanti di luar dan menyuruh orang memanggil-Nya. 32Pada waktu itu, orang ramai duduk di sekeliling Isa berkata kepada-Nya, ‘Lihatlah! Ibu dan saudara-saudara-Mu ada di luar. Mereka memanggil Engkau.’

33Isa menjawab, ‘Siapakah ibu-Ku? Siapakah saudara-saudara-Ku?’

34Dia memandang semua orang yang duduk di sekeliling-Nya lalu berkata, ‘Lihat, inilah ibu dan saudara-saudara-Ku! 35Sesiapa yang melakukan kehendak Allah, dialah saudara lelaki, saudara perempuan, dan ibu-Ku.’

↑ ↑ ↑ 4

Ibarat tentang seorang penabur

1Isa mula mengajar lagi di pinggir laut. Begitu ramainya orang datang berasak-asak di sekeliling-Nya sehingga Dia terpaksa duduk di dalam sebuah perahu di laut itu manakala orang ramai berdiri di pantai. 2Isa mengajar mereka banyak perkara melalui ibarat. Dalam ajaran-Nya itu, Dia berkata:

3‘Dengarlah! Seorang peladang pergi menabur benih. 4Semasa dia menabur benih, ada yang jatuh di jalan, lalu habis dimakan burung. 5Ada yang jatuh di tempat yang berbatu dan kurang tanahnya. Benih itu cepat tumbuh kerana tanahnya tidak dalam. 6Tetapi ketika matahari naik, tunas-tunas itu layu lalu kering kerana tidak mempunyai akar. 7Ada pula yang jatuh di tengah semak berduri, lalu semak membesar dan membantutkannya sehingga tidak berbuah. 8Tetapi ada benih yang jatuh di tanah subur lalu bertunas, membesar dan berbuah, hasilnya tiga puluh, enam puluh atau seratus kali ganda.’

9Lalu kata-Nya, ‘Jika kamu bertelinga, dengarlah.’

10Ketika Isa bersendirian, dua belas pengikut-Nya dan beberapa orang yang ada bersama-Nya menanya Dia erti ibarat itu. 11Isa berkata kepada mereka, ‘Kamu telah diberi anugerah untuk mengetahui rahsia kerajaan Allah. Tetapi orang luar akan mendengarnya melalui ibarat, 12supaya ‘ “Mereka terus melihat tetapi tidak nampak, mereka terus mendengar tetapi tidak faham; kerana sekiranya mereka mengerti, mereka akan bertaubat dan diampuni!” ’

13Kemudian Isa bertanya kepada mereka, ‘Jika kamu tidak memahami ibarat itu, bagaimanakah kamu dapat mengerti ibarat yang lain? 14Peladang itu menabur firman. 15Ada orang seperti benih di jalan, tempat firman itu ditabur. Sebaik-baik mereka mendengar firman, datanglah Iblis untuk mengambil firman yang sudah ditabur di dalam hati mereka. 16Ada orang lain seperti benih yang ditabur di tempat berbatu. Mereka mendengar firman itu dan segera menerimanya dengan sukacita, 17tetapi akarnya tidak dalam di hati, maka tidak tahan lama. Apabila orang itu menanggung kesusahan atau penganiayaan kerana firman itu, mereka segera berpaling. 18Ada yang lain seperti benih yang ditabur di tengah semak berduri. Mereka mendengar firman itu, 19tetapi kerunsingan tentang hidup, tarikan palsu harta benda dan aneka kemahuan lain membantutkan firman itu sehingga tidak berbuah. 20Dan yang lain seperti benih yang ditabur di tanah subur. Mereka mendengar dan menyambut firman itu lalu mendatangkan hasil: tiga puluh, enam puluh atau seratus kali ganda.’

Ibarat tentang pelita

21Isa berkata pula, ‘Pernahkah orang memasang pelita lalu meletakkannya di bawah pasu atau katil? Tentu diletakkannya di atas kaki pelita. 22Yang tersembunyi akan dinyatakan, yang dirahsiakan akan didedahkan. 23Jika kamu bertelinga, dengarlah.’

24Selepas itu Isa berkata, ‘Perhatikan apa yang kamu dengar. Ukuran yang kamu gunakan untuk mengukur akan digunakan terhadapmu, malah lebih berat lagi. 25Sesiapa yang ada sesuatu akan diberi lebih banyak lagi; tetapi sesiapa yang tidak ada, sedikit yang ada padanya pun akan diambil daripadanya.’

Ibarat tentang benih yang tumbuh

26Isa berkata seterusnya, ‘Kerajaan Allah ibarat seorang yang menabur benih di ladangnya.

27Malam dia tidur, siang dia bekerja. Benih itu terus-menerus tumbuh dan membesar. Dia tidak faham bagaimana hal itu terjadi. 28Tanahlah yang menumbuhkan tanaman hingga berbuah – mulamula pucuk, kemudian bulir, akhirnya buah. 29Setelah masak, buahnya dituai oleh orang itu kerana musim menuai telah tiba.’

Ibarat tentang biji sesawi

30‘Bagaimanakah kerajaan Allah?’ kata Isa lagi. ‘Apakah ibarat yang dapat digunakan untuk menjelaskannya? 31Keadaannya seperti biji sesawi yang ditabur di tanah, iaitu benih terkecil di dunia. 32Tetapi apabila ditabur, benih itu tumbuh dan menjadi tumbuhan yang terbesar. Dahannya begitu rimbun sehingga burung membuat sarang di bawah keteduhannya.’

33Dengan banyak ibarat yang semacam itu Isa mengajar tentang firman kepada mereka, setakat yang dapat mereka faham. 34Dia tidak berkata-kata kepada mereka tanpa ibarat. Tetapi apabila Dia sendirian dengan para pengikut-Nya, Dia menerangkan segala-galanya.

Angin ribut diredakan

35Pada petang itu juga, Isa berkata kepada para pengikut-Nya, ‘Marilah kita pergi ke seberang sana.’

36Ketika itu Isa di dalam perahu. Para pengikut-Nya meninggalkan orang ramai itu di pantai lalu belayar bersama-Nya. Ada beberapa perahu lain yang belayar bersama-sama. 37Lalu angin bertiup kencang dan ombak melanda perahu sehingga hampir dipenuhi air. 38Ketika itu Isa sedang tidur di bahagian belakang perahu, kepala-Nya beralaskan bantal. Para pengikut-Nya mengejutkan Dia lalu berkata, ‘Tuan Guru, tidakkah Engkau peduli? Kita hampir karam!’

39Isa bangun lalu memarahi angin dan berkata kepada ombak, ‘Diam! Tenanglah!’ Angin pun reda dan laut menjadi tenang.

40Kemudian Isa berkata kepada para pengikut-Nya, ‘Mengapa kamu begitu takut? Mengapa kamu masih tidak percaya?’

41Mereka berasa gerun lalu berkata sesama sendiri, ‘Siapakah Dia ini? Angin dan ombak pun taat kepadanya!’

↑ ↑ ↑ 5

Isa menyembuhkan seorang yang dirasuk roh iblis

1Lalu sampailah mereka di seberang laut, di daerah Gerasa. 2Sebaik-baik Isa turun dari perahu, seorang lelaki yang kerasukan roh durjana keluar dari perkuburan lalu menemui-Nya. 3Orang itu tinggal di kawasan perkuburan. Tiada siapa terdaya mengikatnya lagi, meskipun dengan rantai.

4Berkali-kali dia dirantai dan dibelenggu, tetapi dapat diputuskannya rantai itu dan dipatahkannya belenggu itu. Tiada seorang pun dapat menguasainya. 5Siang malam dia merayau di perkuburan dan di bukit, sambil menjerit-jerit dan mencederakan badannya dengan batu.

6Dari jauh dia melihat Isa lalu lari mendekati-Nya dan sujud di hadapan-Nya. 7Orang itu berseru dengan suara keras, ‘Hai Isa, Putera Allah Yang Maha Tinggi, apa urusan-Mu dengan aku? Demi Allah, jangan seksa aku!’ 8Kerana sebelumnya Isa berkata kepadanya, ‘Roh durjana, keluarlah kamu daripada orang ini!’

9Kemudian Isa bertanya kepadanya, ‘Siapa namamu?’ Orang itu menjawab, ‘Legion, kerana kami ini ramai sekali.’ 10Dia memohon sungguh-sungguh kepada Isa supaya tidak menghalau mereka keluar dari kawasan itu.

11Berdekatan tempat itu ada kawanan babi yang sedang mencari makan di lereng bukit. 12Rohroh iblis itu memohon kepada Isa, ‘Suruhlah kami pindah ke babi itu, biarlah kami masuk ke dalam tubuh babi itu.’ 13Isa bersetuju, lalu roh-roh durjana itu keluar dan masuk ke dalam tubuh kawanan babi itu. Kesemua babi itu, kira-kira dua ribu ekor, terjun dari tepi cenuram ke dalam laut lalu mati lemas. 14Penjaga-penjaga babi itu lari lalu menyebarkan berita itu di bandar dan di desa. Para penduduk pun keluar hendak melihat apa yang telah terjadi. 15Mereka menghampiri Isa lalu melihat orang yang tadinya dirasuk roh iblis yang banyak itu, kini duduk diam, sudah berpakaian dan ternyata siuman. Mereka semua pun ketakutan. 16Semua yang telah menyaksikan kejadian itu menceritakan segala-galanya tentang orang yang kerasukan roh iblis dan kawanan babi itu. 17Oleh itu mereka meminta Isa meninggalkan daerah itu.

18Ketika Isa menaiki perahu, orang yang tadinya dirasuk roh iblis itu memohon kepada-Nya, supaya dia dibenarkan menyertai-Nya. 19Tetapi Isa tidak membenarkan, sebaliknya berkata, ‘Pulanglah kepada keluargamu, kepada orang sekampungmu. Beritahu mereka betapa besarnya pertolongan Tuhan bagimu dan bagaimana Dia telah berbelas kasihan pada kamu.’ 20Orang itu pun mula menjelajahi daerah sepuluh kota dan menceritakan segala yang telah dilakukan oleh Isa untuknya. Mereka semua kehairanan.

Isa melakukan mukjizat dan penyembuhan

21Setelah itu, Isa kembali menyeberang laut dengan perahu. Setiba-Nya di pantai sebelah sana, Dia dikerumuni orang yang ramai sekali. 22Datanglah Yairus, seorang ketua saumaah di situ. Ketika dia melihat Isa, dia sujud di hadapan-Nya 23dan merayu, ‘Anak perempuanku sakit tenat, hampir mati. Tolonglah datang, letakkan tangan-Mu padanya, supaya dia sembuh dan dapat terus hidup.’ 24Isa pun pergi bersama Yairus. Begitu ramainya orang yang mengikut Isa sehingga Dia diasak dari semua pihak. 25Di situ ada seorang wanita yang sudah dua belas tahun menghidap penyakit pendarahan. 26Dia telah menghabiskan segala hartanya untuk dirawat oleh ramai tabib tetapi tidak sembuh, semakin parah keadaannya. 27Wanita itu telah banyak mendengar tentang Isa. Oleh itu, dia masuk ke tengahtengah orang ramai itu dan mendekati Isa dari belakang lalu menyentuh jubah-Nya. 28‘Kiranya dapat kusentuh jubah-Nya,’ kata wanita itu, ‘tentu aku akan sembuh.’ 29Dengan serta-merta pendarahannya berhenti. Dia merasakan dirinya sudah sembuh.

30Pada saat itu Isa sedar ada kuasa yang telah keluar daripada-Nya lalu Dia bertanya, ‘Siapa yang menyentuh jubah-Ku?’ 31Para pengikut-Nya berkata, ‘Lihatlah orang berasak-asak di sekeliling Engkau. Bagaimana Engkau boleh bertanya siapa yang menyentuh-Mu?’

32Tetapi Isa memandang sekeliling-Nya, mencari orang yang telah menyentuh-Nya itu. 33Wanita itu mengetahui apa yang telah terjadi kepada dirinya. Dia gementar ketakutan, lalu tampil dan sujud kepada Isa serta menceritakan segala-galanya. 34Isa berkata kepadanya, ‘Hai anak-Ku, imanmu telah menyembuhkan kamu. Pergilah dengan sejahtera dan sembuhlah daripada penyakitmu.’

35Sedang Isa berkata-kata itu, beberapa orang pesuruh datang daripada keluarga ketua saumaah dan memberitahu Yairus, ‘Anak perempuan tuan sudah meninggal. Usahlah tuan susahkan Tuan Guru lagi.’

36Isa tidak menghiraukan kata-kata itu. Dia berkata kepada Yairus, ‘Jangan takut, percaya saja.’

37Lalu Isa tidak membenarkan siapapun mengikut-Nya kecuali Petrus, Yakobus dan Yahya, saudara Yakobus. 38Apabila tiba di rumah Yairus, Isa melihat keadaan yang kelam-kabut dan mendengar ratap tangis yang kuat. 39Isa masuk lalu berkata kepada mereka, ‘Mengapa kelam-kabut dan menangis? Anak itu tidak mati, cuma tidur.’ 40Tetapi mereka mentertawakan Isa. Setelah menyuruh mereka semua keluar, Isa mengajak ibu bapa anak itu dan pengikut-pengikut-Nya masuk ke bilik tempat anak itu terbaring. 41Isa memegang tangan anak itu lalu berkata kepadanya, ‘Talitha kum!’ (maksudnya, ‘Anak perempuan, Aku berkata kepadamu, bangunlah!’).

42Anak perempuan yang berusia dua belas tahun itu segera bangkit lalu berjalan. Mereka semua sungguh kagum. 43Tetapi dengan tegas Isa melarang mereka memberitahu sesiapa tentang perkara itu, lalu menyuruh mereka memberi anak itu makan.

↑ ↑ ↑ 6

Isa mengajar di Nasaret

1Isa beredar dari situ lalu pulang bersama para pengikut-Nya ke kampung halaman-Nya. 2Pada hari Sabat Dia mula mengajar di saumaah. Jemaah di situ hairan mendengar ajaran Isa. ‘Dari manakah Dia memperoleh semua ini?’ tanya mereka. ‘Apakah kebijaksanaan yang ada pada-Nya? Bagaimanakah Dia dapat melakukan mukjizat? 3Bukankah Dia ini tukang kayu, anak kepada Maryam, saudara kepada Yakobus, Yoses, Yudas dan Simon? Bukankah saudara-saudara perempuan-Nya tinggal di sini?’ Oleh itu mereka enggan menerima-Nya.

4Isa berkata kepada mereka, ‘Seorang nabi dihormati di mana-mana kecuali di kampung halamannya, di antara sanak-saudaranya dan di dalam keluarganya sendiri.’ 5Dia tidak dapat melakukan satu mukjizat pun di situ. Dia hanya menyembuhkan beberapa orang sakit dengan meletakkan tangan-Nya pada mereka. 6Dia sungguh hairan bahawa mereka tidak percaya. Isa mengutus dua belas pengikut-Nya Selepas itu, Isa pergi ke kampung-kampung di sekitar itu dan mengajar. 7Dia memanggil pengikut-Nya yang dua belas itu, lalu mengutus mereka berdua-dua, serta memberi mereka kuasa atas roh-roh durjana.

8Perintah-Nya kepada mereka demikian: ‘Jangan bawa apa-apa dalam perjalanan, kecuali sebatang tongkat – roti pun jangan, beg pun jangan, wang dalam ikat pinggang pun jangan. 9Pakailah capal, tetapi sehelai baju sahaja.’ 10Isa berkata lagi, ‘Apabila kamu disambut di sesebuah rumah, tinggallah di situ hingga kamu beredar dari kota itu. 11Sebaliknya, jika penduduk sesuatu kota enggan menerimamu atau mendengar kata-katamu, pergilah dari situ dan kebaskan debu daripada tapak kakimu sebagai kesaksian terhadap mereka.’

12Pengikut Isa yang dua belas itu pun pergi menyampaikan berita bahawa manusia harus bertaubat. 13Mereka menghalau banyak roh iblis, dan menyapukan minyak pada ramai orang sakit serta menyembuhkan mereka.

Nabi Yahya dibunuh

14Raja Herodes mendengar tentang kejadian itu, kerana nama Isa sudah terkenal di manamana. Ada orang berkata, ‘Yahya Pengimad sudah hidup semula! Itulah sebabnya dia ini berkuasa melakukan mukjizat.’

15Yang lain berkata, ‘Dia ini Ilyas.’ Ada pula yang berkata, ‘Dia ini nabi, seperti nabi zaman dahulu.’

16Ketika mendengar hal demikian, Herodes berkata, ‘Dia itu Yahya yang kepalanya telah kupancung, tetapi dia hidup semula!’

17Ini kerana memang Herodes telah memberikan perintah supaya Yahya ditangkap, diikat dan dipenjarakan. Herodes berbuat demikian kerana Herodias, isteri kepada saudaranya Filipus, yang telah dikahwininya. 18Yahya pernah menegur perbuatan Herodes itu, ‘Tuanku bersalah mengahwini isteri saudara sendiri.’ 19Akibatnya Herodias menaruh dendam terhadap Yahya dan ingin membunuhnya, tetapi hasratnya terhalang, 20sebab Herodes takut akan Yahya. Herodes tahu Yahya seorang yang benar dan suci, oleh itu dia melindungi Yahya. Herodes juga suka mendengar kata-kata Yahya, meskipun kata-kata itu membuatnya sangat gelisah.

21Akhirnya Herodias mendapat peluang apabila Raja Herodes mengadakan jamuan hari jadinya untuk semua pegawai tinggi kerajaan, panglima dan tokoh masyarakat Galilea. 22Anak gadis Herodias menari dan menghiburkan Herodes serta tetamunya. Oleh itu raja berkata kepada gadis itu, ‘Mintalah daripadaku apa saja yang kamu ingini dan akan kuberikan kepadamu.’ 23Dia menyambung dengan sumpah, ‘Apa sahaja yang kamu minta akan kuberi kepadamu, walau separuh kerajaanku sekalipun.’

24Gadis itu pergi bertanya kepada ibunya, ‘Apakah yang patut kuminta?’ Jawabnya, ‘Kepala Yahya Pengimad.’

25Gadis itu segera kembali kepada raja dan berkata, ‘Aku mahu kamu beri kepadaku kepala Yahya Pengimad di atas talam sekarang juga.’

26Lalu raja amat berdukacita, tetapi apakan daya, dia telah bersumpah di hadapan semua tetamunya. 27Dia pun memberikan perintah kepada askar supaya membawakan kepala Yahya. Askar itu pergi ke penjara lalu memancung kepala Yahya. 28Dia membawa kepala itu di atas talam dan menyerahkannya kepada gadis itu. Lalu gadis itu menyerahkan kepala Yahya kepada ibunya.

29Apabila para pengikut Yahya mendengar perkara itu, mereka datang dan mengambil jenazah Yahya lalu mengebumikannya.

Isa memberi makan kepada lima ribu orang

30Kemudian rasul-rasul kembali berkumpul dengan Isa dan melaporkan segala yang telah mereka lakukan serta ajarkan. 31Orang yang datang dan pergi di situ begitu ramainya sehingga Isa dan para pengikut-Nya tidak sempat makan. Oleh itu, Isa berkata kepada para pengikut-Nya, ‘Marilah ke tempat yang sunyi supaya kita dapat bersendirian, dan berehat sebentar.’

32Mereka pun bertolak dengan perahu ke tempat yang sunyi. 33Tetapi pada waktu mereka bertolak ramai orang melihat dan mengenal mereka. Orang dari semua kota berlari ikut jalan darat supaya sampai di tempat yang dituju itu sebelum Isa dan para pengikut-Nya. 34Apabila Isa turun dari perahu dan melihat orang ramai di situ, hati-Nya penuh belas kasih kerana mereka seperti domba tanpa gembala. Dia pun mula mengajarkan banyak perkara kepada mereka.

35Ketika hari sudah petang, para pengikut Isa datang kepada-Nya dan berkata, ‘Hari sudah hampir malam dan tempat ini terpencil. 36Suruhlah semua orang ini pergi supaya mereka ke pekan atau ke kampung yang berdekatan untuk membeli makanan.’

37Tetapi Isa menjawab, ‘Kamu berilah mereka makan.’ Para pengikut-Nya bertanya, ‘Haruskah kami pergi membeli roti berharga dua ratus dinar untuk memberi mereka makan?’

38Isa bertanya, ‘Pergilah lihat berapa banyak roti yang ada pada kamu.’ Setelah mereka memeriksanya, mereka berkata, ‘Lima buku roti dan dua ekor ikan.’

39Isa mengarahkan mereka supaya menyuruh semua orang di situ duduk berkelompok-kelompok di atas rumput. 40Mereka pun duduk dalam kelompok; ada yang seratus orang sekelompok dan ada yang lima puluh orang. 41Setelah Isa mengambil lima buku roti dan dua ekor ikan itu, Dia menengadah ke langit dan mengucap syukur. Lalu Dia memecah-mecahkan roti itu dan menyerahkannya kepada para pengikut-Nya untuk diberikan kepada orang ramai itu. Dia membahagikan juga dua ekor ikan itu kepada mereka semua. 42Setiap orang makan sehingga kenyang. 43Selepas itu para pengikut-Nya mengumpulkan lebihan makanan roti dan ikan sebanyak dua belas bakul. 44Jumlah orang lelaki yang makan itu kira-kira lima ribu orang.

Isa berjalan di atas air

45Isa segera mengarahkan para pengikut-Nya pergi dahulu dengan perahu ke Betsaida di seberang laut sementara Dia menyuruh orang ramai itu pulang. 46Setelah mereka pergi, Isa naik ke bukit untuk berdoa. 47Apabila hari sudah malam, perahu para pengikut Isa sudah sampai ke tengah laut sedangkan Isa seorang diri di darat. 48Isa melihat para pengikut-Nya bersusah payah mendayung perahu kerana angin bertiup dari arah bertentangan. Kira-kira menjelang subuh, Isa berjalan di atas air menghampiri mereka. Dia hendak mendahului mereka. 49Tetapi ketika mereka terpandang Dia berjalan di atas air, mereka menyangka-Nya hantu lalu mereka berteriak-teriak. 50Mereka ketakutan melihat Isa. Tetapi Dia segera berkata kepada mereka, ‘Tabahkan hatimu! Aku Isa. Jangan takut.’ 51Dia naik ke perahu mereka, lalu angin pun teduh. Para pengikut-Nya hairan tercengang. 52Mereka masih belum mengerti apa sebenar yang berlaku dengan roti itu, kerana hati mereka masih keras.

53Mereka menyeberang hingga tiba di Genesaret. Di situ mereka menambat perahu itu.

54Sebaik-baik mereka turun dari perahu, orang mengenal Isa 55lalu berlari ke serata kawasan dan membawakan orang sakit yang terbaring di atas tikar kepada-Nya di mana-mana sahaja Dia berada.

56Di setiap tempat yang dikunjungi-Nya – baik di kota, di pekan atau di kampung – penduduk di situ membawa orang yang sakit ke pasar-pasar. Mereka memohon agar sekurang-kurangnya Isa membenarkan orang sakit itu menyentuh jubah-Nya. Semua yang menyentuhnya terus sembuh.

↑ ↑ ↑ 7

Adat istiadat nenek moyang

1Orang Farisi dan beberapa guru Taurat yang datang dari Baitulmaqdis berkumpul di keliling Isa.

2Mereka melihat beberapa pengikut Isa makan dengan tangan yang ‘tidak suci’, iaitu tangan yang tidak dibasuh. 3(Orang Farisi malah semua orang Yahudi taat mengikut adat istiadat nenek moyang mereka. Mereka tidak akan makan sebelum membasuh tangan menurut cara-cara yang ditentukan.

4Apabila pulang dari pasar, mereka juga tidak akan makan sebelum membersihkan diri. Banyak lagi peraturan yang diamalkan oleh mereka, seperti hal membasuh cawan, kendi, dan bekas tembaga.)

5Oleh itu, orang Farisi dan guru Taurat di situ bertanya kepada Isa, ‘Mengapakah pengikutmu tidak menurut adat istiadat nenek moyang kita? Mengapakah mereka makan dengan tangan yang “tidak suci”?’ 6Isa menjawab, ‘Tepat sekali kata-kata Nabi Yasyaya dalam nubuatnya tentangmu, hai orang munafik; seperti yang tersurat: ‘ “Bangsa ini menghormati-Ku dengan kata-kata, tetapi hati mereka jauh daripada-Ku.

7Sia-sialah mereka menyembah-Ku; sedangkan ajaran yang mereka ajarkan ialah peraturan manusia.”

8‘Kamu mengetepikan perintah Allah untuk menurut adat istiadat manusia.’

9Isa berkata lagi: ‘Kamu sungguh pandai menyingkirkan perintah Allah untuk menegakkan adat istiadatmu sendiri! 10Musa menyampaikan perintah ini, “Hormatilah ibu bapamu” dan “Orang yang mencaci ibu bapa sendiri mesti dihukum mati.” 11Tetapi kamu memberikan ajaran berikut: Jika seseorang berkata kepada ibu bapanya, “Segala apa yang harus kugunakan untuk membantu ayah dan emak, sudah kujadikan korban” (iaitu telah dipersembahkan kepada Allah), 12maka orang itu tidak perlu menolong ibu bapa. 13Jadi, adat istiadat yang kamu sampaikan membatalkan firman Allah. Banyak lagi perkara sedemikian yang kamu lakukan.’

14Isa memanggil orang ramai itu dan berkata kepada mereka, ‘Kamu semua, dengarlah supaya kamu faham. 15Apa yang masuk dari luar ke dalam seseorang tidak dapat menajiskannya. Apa yang keluar daripada seseorang itulah yang menajiskannya. 16Jika kamu bertelinga, dengarlah!’

17Setelah Isa meninggalkan orang ramai itu dan masuk ke rumah, para pengikut-Nya bertanya kepada-Nya tentang maksud ibarat itu. 18Isa berkata kepada mereka, ‘Kamu ini sama dengan mereka. Tidakkah kamu faham bahawa apa yang masuk dari luar ke dalam seseorang tidak dapat menajiskannya? 19Kerana sesuatu itu tidak masuk ke hatinya tetapi ke dalam perutnya, kemudian keluar semula.’ (Dengan demikian Dia menyatakan semua makanan halal.)

20Kata-Nya lagi: ‘Apa yang keluar daripada seseorang itu menajiskannya 21kerana dari dalam, dari hati manusialah timbul fikiran jahat yang mendorong seseorang berfikiran durjana, berbuat cabul, mencuri, membunuh, 22berzina, tamak, berdendam, menipu, mengeluarkan kata-kata lucah, bermata jahat, dengki, mengkufuri Allah, berlagak sombong, dan bersikap bodoh. 23Semua perkara jahat ini timbul dari dalam hati dan itulah yang menajiskan seseorang.’

Iman seorang perempuan Siro-Fenisia

24Kemudian Isa pergi dari situ ke kawasan berdekatan kota Tirus, lalu masuk ke sebuah rumah. Dia tidak mahu orang tahu Dia ada di situ tetapi Dia tidak dapat menyembunyikan diri. 25Ibu kepada seorang anak perempuan yang dirasuk roh durjana telah mendengar tentang Isa lalu segera datang kepada-Nya dan sujud di hadapan-Nya. 26Wanita itu seorang Yunani, dia berasal dari daerah Fenisia di Siria. Dia memohon Isa menghalau roh iblis yang merasuk anaknya.

27Isa menjawab, ‘Anak-anak harus diberi makan dahulu. Tidak patut makanannya diambil untuk dilemparkan kepada anjing.’

28‘Benar, Tuan,’ jawab wanita itu, ‘tetapi anjing di bawah meja pun makan sisa yang dijatuhkan oleh anak-anak.’ 29Maka Isa berkata kepadanya, ‘Kerana jawapanmu itu, pulanglah. Roh iblis sudah keluar daripada tubuh anakmu.’ 30Apabila ibu itu pulang ke rumah, dia mendapati anaknya sedang berbaring di katil dan tidak lagi dirasuk roh iblis.

Isa menyembuhkan seorang bisu tuli

31Selepas itu Isa meninggalkan daerah Tirus, meneruskan perjalanan ke Laut Galilea melalui Sidon, ke tengah-tengah daerah Sepuluh Kota. 32Di sana seorang bisu tuli dibawa kepada-Nya dengan permohonan agar Isa meletakkan tangan padanya.

33Isa membawanya ke samping, jauh daripada orang ramai itu, lalu memasukkan jari-Nya ke dalam kedua-dua belah telinga orang itu. Kemudian Dia meludah dan menyentuh lidah orang itu. 34Selepas itu Dia menengadah ke langit lalu menarik nafas panjang dan berkata kepada orang itu, ‘Effata!’ (ertinya ‘Terbukalah!’). 35Serta-merta telinga orang itu terbuka dan lidahnya pulih, lalu dia bertutur dengan baik.

36Isa melarang semua yang hadir menceritakan hal itu kepada sesiapapun. Tetapi semakin Isa melarang, semakin mereka menceritakannya. 37Mereka sungguh hairan dan berkata, ‘Dia melakukan segala-galanya dengan baik sekali. Dia membolehkan orang tuli mendengar dan orang bisu berkatakata.’

↑ ↑ ↑ 8

Isa memberi makan kepada empat ribu orang

1Pada suatu hari, ketika orang tersangat ramai berhimpun dan kehabisan makanan, Isa memanggil para pengikut-Nya lalu berkata, 2‘Aku kasihan kepada orang ramai ini, sudah tiga hari mereka bersama-Ku, dan sekarang mereka kehabisan makanan. 3Kalau Kusuruh mereka pulang dengan perut kosong, mereka akan pengsan di tengah jalan kerana ada yang datang dari jauh.’

4Para pengikut Isa menjawab, ‘Di tempat terpencil ini, di mana hendak dicari makanan yang cukup untuk semua orang ini?’

5Isa bertanya kepada mereka, ‘Berapa banyakkah roti yang ada padamu?’ ‘Tujuh buku,’ jawab mereka.

6Isa menyuruh orang ramai itu duduk di atas tanah. Dia mengambil tujuh buku roti itu dan mengucap syukur. Setelah itu Dia memecah-mecahkan roti itu dan menyerahkannya kepada para pengikut-Nya untuk dihidangkan, dan mereka pun memberikannya kepada orang yang banyak itu.

7Mereka juga ada beberapa ekor ikan kecil. Setelah mengucap syukur atasnya, Isa menyuruh supaya ikan itu dibahagi-bahagikan juga. 8Kesemua orang pun makan sehingga kenyang. Sisa lebihan makanan yang dikumpulkan sebanyak tujuh bakul penuh. 9Bilangan mereka itu kira-kira empat ribu orang. Isa pun menyuruh mereka pulang. 10Selepas itu Isa terus menaiki perahu bersama para pengikut-Nya pergi ke daerah Dalmanuta.

11Beberapa orang Farisi datang kepada Isa dan mula bersoal jawab dengan-Nya untuk memerangkap-Nya. Untuk menduga-Nya, mereka meminta daripada-Nya suatu tanda ajaib dari syurga. 12Isa mengeluh lalu menjawab, ‘Mengapakah orang zaman ini mencari suatu tanda ajaib? Sesungguhnya Aku berkata kepadamu, tidak akan diberikan tanda apapun kepada orang zaman ini.’

13Isa meninggalkan mereka dan kembali ke perahu lalu ke seberang.

Ragi orang Farisi dan ragi Herodes

14Para pengikut Isa terlupa membawa roti yang mencukupi. Di dalam perahu itu cuma ada sebuku roti. 15Isa mengingatkan mereka, ‘Berhati-hatilah dengan ragi orang Farisi dan ragi Herodes.’

16Kemudian mereka membincangkannya satu sama lain dan berkata, ‘Dia berkata begitu kerana kita tidak membawa roti.’ 17Isa mengetahui apa yang mereka bincangkan lalu Dia bertanya, ‘Mengapa kamu memperbincangkan hal tidak membawa roti? Tidakkah kamu tahu dan faham lagi? Begitu tumpulkah fikiranmu? 18Kamu ada mata, tidakkah kamu melihat? Kamu ada telinga, tidakkah kamu mendengar? Tidakkah kamu ingat 19bagaimana Aku memecah-mecahkan lima buku roti untuk lima ribu orang? Berapa bakul lebihan makanan yang kamu kumpulkan?’ ‘Dua belas,’ jawab mereka.

20‘Dan apabila Aku memecah-mecahkan tujuh buku roti untuk empat ribu orang, berapa bakul lebihan makanan yang kamu kumpulkan?’ ‘Tujuh,’ jawab mereka.

21Lalu Isa berkata kepada mereka, ‘Kamu masih belum faham lagi?’

Isa menyembuhkan seorang buta

22Isa dan para pengikut-Nya tiba di Betsaida. Beberapa orang membawa seorang buta kepada Isa dan memohon agar Dia menyentuhnya. 23Isa memegang tangan orang buta itu lalu memimpinnya ke luar dari pekan itu. Isa meludahi mata orang buta itu. Kemudian Dia meletakkan tangan-Nya pada orang itu lalu bertanya, ‘Adakah kamu melihat apa-apa?’

24Orang itu memandang ke hadapan lalu berkata, ‘Aku nampak orang, rupa mereka seperti pokok berjalan.’

25Sekali lagi Isa meletakkan tangan-Nya pada mata orang itu. Setelah orang itu berusaha untuk melihat, kali ini penglihatannya cukup terang dan matanya telah sembuh. 26Isa pun menyuruhnya pulang sambil berkata, ‘Jangan masuk lagi ke pekan itu.’

Pengakuan Petrus

27Setelah itu Isa dan para pengikut-Nya pergi ke pekan-pekan di sekitar Kaisarea Filipi. Di tengah jalan Isa bertanya kepada mereka, ‘Menurut orang, Aku ini siapa?’

28Mereka menjawab, ‘Ada yang berkata, Yahya Pengimad; yang lain berkata, Ilyas; ada pula yang berkata, seorang daripada nabi.’

29‘Tetapi menurut kamu, Aku ini siapa?’ tanya Isa. Petrus menjawab, ‘Engkau ialah al-Masih.’

30Lalu Isa mengingatkan mereka supaya jangan memberitahu sesiapapun tentang diri-Nya.

Isa memberitahu tentang kematian-Nya

31Kemudian Isa mula mengajar mereka bahawa Putera Insan harus banyak menanggung kesengsaraan serta ditolak oleh para pemimpin masyarakat, ketua imam dan guru Taurat. Dia akan dibunuh, tetapi tiga hari kemudian, Dia akan bangkit semula. 32Isa mengatakan perkara ini dengan terus-terang. Oleh itu, Petrus menarik Isa ke tepi dan menegur Dia.

33Isa berpaling memandang para pengikut-Nya lalu menegur Petrus, ‘Pergilah dari sini, hai Iblis! Kamu tidak berfikir secara Allah, tetapi secara manusia.’

34Setelah itu Isa memanggil para pengikut-Nya dan orang ramai di situ lalu berkata kepada mereka, ‘Jika seseorang hendak mengikut-Ku, dia harus melupakan kepentingan dirinya, memikul salib, dan mengikut-Ku. 35Sesiapa yang mempertahankan hidupnya, akan kehilangan hidupnya. Tetapi sesiapa yang mengorbankan hidup untuk-Ku dan untuk Injil, akan menyelamatkan hidupnya itu. 36Apa gunanya jika seseorang memiliki seluruh dunia tetapi kehilangan hidupnya? 37Dapatkah hidup itu ditukar dengan apapun? 38Jika seseorang malu mengakui Aku dan perkataan-Ku di kalangan angkatan yang cabul dan berdosa ini, Putera Insan juga akan malu mengakuinya ketika Dia datang dalam kemuliaan Bapa-Nya diiringi para malaikat suci.’

↑ ↑ ↑ 9

1Isa berkata lagi, ‘Sesungguhnya, ada beberapa orang di sini yang tidak akan mati sebelum melihat kerajaan Allah datang dengan kuasa.’

Penjelmaan

2Enam hari kemudian, Isa membawa Petrus, Yakobus, dan Yahya, pergi ke sebuah gunung yang tinggi di mana mereka bersendirian. Di situ Isa berubah rupa di depan mata mereka. 3Pakaian-Nya menjadi putih berkilau-kilauan laksana salji, tiada siapa di bumi ini dapat memutihkan kain sehingga seputih itu. 4Ilyas dan Musa muncul di hadapan mereka lalu berkata-kata dengan Isa.

5Lalu Petrus berkata kepada Isa, ‘Tuan Guru, baik sekali kami ada di sini. Biarlah kami dirikan tiga buah khemah – satu untuk-Mu, satu untuk Musa, dan satu untuk Ilyas.’ 6(Sebenarnya Petrus tidak tahu apa yang hendak dikatakannya, kerana ketiga-tiganya ketakutan.)

7Segumpal awan datang menaungi mereka. Suatu suara terdengar dari dalam awan itu, ‘Inilah Putera-Ku yang Kukasihi. Dengarlah kata-kata-Nya!’

8Tiba-tiba, ketika mereka memandang sekeliling, mereka tidak lagi melihat sesiapa di situ bersama mereka, selain Isa. 9Sewaktu berjalan turun dari gunung itu, Isa memperingatkan mereka supaya tidak memberitahu sesiapa segala yang telah mereka lihat, sehingga Putera Insan bangkit daripada kematian. 10Mereka mentaati pesan itu, sambil tertanya-tanya apa maksud ‘bangkit daripada kematian.’

11Mereka bertanya kepada Isa, ‘Mengapa guru-guru Taurat berkata Ilyas mesti datang dulu?’

12Isa menjawab, ‘Benar, Ilyas akan datang dulu dan memulihkan segala-galanya. Tetapi bagaimana dengan apa yang tersurat tentang Putera Insan, bahawa Dia akan banyak menanggung penderitaan dan penghinaan? 13Aku berkata kepadamu, Ilyas sudahpun datang dan orang memperlakukannya sesuka hati, tepat seperti yang tersurat tentang dirinya.’

Isa menyembuhkan seorang anak lelaki yang bisu

14Apabila mereka pulang mendapatkan para pengikut yang lain, mereka melihat ramai orang di situ. Beberapa orang guru Taurat sedang bersoal jawab dengan para pengikut Isa. 15Sebaik-baik orang ramai itu melihat Isa, mereka amat kagum lalu berlari menyambut-Nya.

16Isa bertanya kepada para pengikut-Nya, ‘Tentang apa kamu bersoal jawab dengan mereka?’

17Seorang daripada orang ramai itu menjawab, ‘Tuan Guru, aku membawa anakku kepada pengikut-pengikut-Mu. Anakku dirasuk oleh roh yang membuatnya bisu. 18Apabila roh itu menyerangnya, dia menghempas-hempas tubuhnya ke tanah, mulutnya berbuih, giginya mengertak dan badannya menjadi kaku. Aku memohon pengikut-pengikut-Mu menghalau roh itu tetapi mereka tidak dapat melakukannya.’

19Isa berkata kepada mereka, ‘Hai angkatan yang tidak percaya! Berapa lamakah aku mesti tinggal bersamamu? Berapa lamakah aku harus bersabar denganmu? Bawa anak itu ke mari.’

20Mereka pun membawa anak itu kepada Isa. Sebaik-baik roh itu melihat Isa, ia pun membuat anak itu sawan, lalu jatuh berguling-guling ke tanah, mulutnya berbuih.

21Isa bertanya kepada bapa anak itu, ‘Sejak bila dia begini?’ Bapa anak itu menjawab, ‘Sejak dia kecil lagi. 22Sudah berkali-kali roh itu cuba membunuhnya dengan membuangnya ke dalam api atau air. Kasihanlah kami dan tolonglah kami, kalau Engkau dapat menolong.’ 23Isa berkata kepadanya, ‘Apa katamu? Kalau Engkau dapat? Segala sesuatu mungkin bagi orang yang percaya.’

24Bapa itu segera berseru, ‘Aku percaya; tolonglah agar aku lebih percaya lagi!’

25Ketika Isa melihat orang ramai datang berkerumun, Dia memerintah roh durjana itu, ‘Hai roh bisu tuli, Aku perintahkan kamu keluar daripada anak ini dan jangan memasukinya lagi.’

26Roh itu menjerit dan membuat tubuh anak itu terkejang-kejang, lalu keluar daripada anak itu. Anak itu kelihatan seperti mayat lalu semua orang berkata, ‘Dia sudah mati.’ 27Tetapi Isa memegang tangannya dan menolongnya bangun. Anak itu pun berdiri.

28Selepas itu Isa masuk ke rumah. Ketika tiada lagi orang lain di situ, para pengikut-Nya bertanya kepada-Nya, ‘Mengapa kami tidak dapat menghalau roh itu?’

29Isa menjawab, ‘Jenis ini tidak dapat dihalau dengan cara apapun, kecuali dengan doa.’

30Setelah itu Isa dan para pengikut-Nya beredar dari situ dan meneruskan perjalanan melalui Galilea. Dia tidak mahu orang tahu Dia di mana 31kerana Dia sedang mengajar para pengikut-Nya. Dia berkata kepada mereka, ‘Putera Insan akan diserahkan ke dalam tangan manusia dan akan dibunuh, tetapi selepas tiga hari Dia akan bangkit semula.’ 32Mereka tidak faham erti kata-kata itu tetapi takut hendak bertanya kepada Isa. Siapa yang terbesar?

33Mereka tiba di Kapernaum. Setelah tiba di rumah, Isa bertanya kepada para pengikut-Nya, ‘Apa yang kamu persoalkan di jalan tadi?’ 34Mereka tidak menjawab, kerana dalam perjalanan mereka telah mempersoalkan siapa yang terbesar.

35Isa duduk lalu memanggil pengikut-Nya yang dua belas itu. Dia berkata kepada mereka, ‘Kalau sesiapa ingin menjadi yang pertama, dia mestilah menjadi yang terakhir dan hamba kepada semua orang.’

36Selepas itu Dia memanggil seorang kanak-kanak dan menyuruhnya berdiri di hadapan mereka semua. Dia mendakap kanak-kanak itu sambil berkata kepada mereka, 37‘Sesiapa yang menerima kanak-kanak seperti ini kerana-Ku, menerima-Ku. Sesiapa yang menerima-Ku, menerima Allah yang mengutus-Ku.’

Menghalau roh iblis

38Yahya berkata kepada Isa, ‘Tuan Guru, kami melihat seorang lelaki menghalau roh-roh iblis dengan nama-Mu, lalu kami larang dia, kerana dia bukan dalam kumpulan kita.’

39Tetapi Isa berkata, ‘Jangan larang dia, kerana seseorang yang melakukan mukjizat dengan nama-Ku tidak mungkin mencela-Ku sejurus selepas itu. 40Orang yang tidak menentang kita, memihak kepada kita. 41Sesiapa yang memberimu secawan air dalam nama-Ku, kerana kamu pengikut al-Masih, sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, dia pasti akan mendapat ganjarannya.

Menyebabkan orang lain berdosa

42‘Tetapi sesiapa yang menyebabkan seorang daripada kanak-kanak yang percaya kepada-Ku ini berdosa, maka lebih baiklah baginya jika batu kisar diikatkan ke lehernya dan dia dicampakkan ke dalam laut. 43Jika tanganmu menyebabkan kamu berdosa, potonglah tangan itu! Lebih baik kamu memasuki hidup dalam keadaan kudung sebelah tangan, daripada mempunyai dua tangan tetapi terhumban ke neraka, ke dalam api yang tidak terpadam. 44Di sana cacingnya tidak akan mati dan apinya tidak akan padam. 45Jika kakimu menyebabkan kamu berdosa, potonglah kaki itu. Lebih baik kamu memasuki hidup dalam keadaan pincang, daripada memiliki dua kaki tetapi terhumban ke neraka. 46Di sana cacingnya tidak akan mati dan apinya tidak akan padam.

47‘Jika matamu menyebabkan kamu berdosa, cungkillah mata itu keluar. Lebih baik kamu memasuki kerajaan Allah dengan sebelah mata sahaja, daripada memiliki dua mata tetapi terhumban ke neraka. 48Di sana ‘ “cacingnya tidak akan mati, dan apinya tidak akan padam.” ’

49‘Setiap orang akan disaluti api.

50‘Garam itu baik, tetapi jika hilang rasanya, bagaimana kamu dapat mengembalikan rasanya? Adakanlah garam pengukuh dalam dirimu, dan hiduplah rukun damai sesamamu.’

↑ ↑ ↑ 10

Perceraian

1Setelah itu Isa beredar dari situ lalu pergi ke daerah Yudea dan daerah di seberang Sungai Yordan. Ramai sekali orang yang datang kepada-Nya maka, seperti biasa, Dia pun mengajar mereka.

2Orang Farisi datang kepada-Nya untuk menduga-Nya. Mereka bertanya, ‘Menurut hukum, bolehkah seseorang menceraikan isterinya?’

3Dia menjawab, ‘Apa yang diperintahkan oleh Musa kepadamu?’

4Mereka berkata, ‘Musa membenarkan seseorang lelaki menulis surat cerai dan menyingkirkan isterinya.’

5Isa berkata, ‘Disebabkan hati batu kamu, Musa menuliskan peraturan itu. 6Tetapi sejak alam dicipta, Allah “telah menjadikan lelaki dan perempuan.” 7“Oleh itu seseorang lelaki harus meninggalkan ibu bapanya dan bersatu dengan isterinya, 8dan mereka berdua akan menjadi satu,” bukan lagi dua, tetapi satu. 9Maka, apa yang telah disatukan oleh Allah, janganlah manusia memisahkan.’ 10Di dalam rumah, para pengikut-Nya bertanya lagi kepada-Nya tentang hal ini. 11Dia menjawab, ‘Sesiapa yang menceraikan isterinya dan berkahwin dengan perempuan lain, melakukan zina.

12Begitu juga, jika seseorang wanita menceraikan suaminya dan berkahwin dengan lelaki lain, dia melakukan zina.’

Isa memberkati kanak-kanak

13Selepas itu, orang membawa kanak-kanak kecil kepada-Nya supaya Dia menyentuh mereka, tetapi para pengikut-Nya memarahi mereka. 14Tetapi apabila Isa melihat hal itu, Dia sungguh tidak menyenanginya, lalu berkata, ‘Biarkan kanak-kanak kecil itu datang kepada-Ku, jangan larang mereka, kerana daripada yang seperti merekalah terdirinya kerajaan Allah. 15Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, sesiapa yang tidak menerima kerajaan Allah seperti seorang anak kecil, pasti tidak akan memasukinya.’ 16Isa mendukung dan mendakap kanak-kanak kecil itu, meletakkan tangan-Nya pada mereka, dan memberkati mereka.

Orang yang kaya itu

17Ketika Dia sedang melangkah ke jalan, seorang datang berlari-lari, berlutut kepada-Nya dan bertanya, ‘Wahai Guru yang baik, apakah yang harus kulakukan untuk mewarisi hidup kekal?’

18Isa berkata kepadanya, ‘Mengapa kamu memanggil-Ku baik? Tiada siapa yang baik kecuali satu, iaitu Allah. 19Kamu tahu perintah-perintah Allah: “Jangan berzina, jangan membunuh, jangan mencuri, jangan memberi kesaksian palsu, jangan menipu, hormati ibu bapamu.” ’

20Orang itu menjawab, ‘Tuan Guru, semua ini telah aku taati dari usia muda lagi.’

21Isa memandangnya dengan penuh kasih lalu berkata, ‘Ada satu kekuranganmu. Pergilah, jual segala yang ada padamu, berikan hasil penjualannya kepada orang miskin, maka kamu akan mendapat harta di syurga. Sesudah itu datanglah dan ikut Aku.’

22Tetapi orang itu sedih mendengar kata-kata ini lalu pergi dengan dukacita, kerana dia mempunyai banyak harta.

23Kemudian Isa memandang sekeliling dan berkata kepada para pengikut-Nya, ‘Betapa susahnya bagi orang kaya untuk masuk ke dalam kerajaan Allah!’

24Para pengikut-Nya kehairanan mendengar kata-kata-Nya. Tetapi Isa berkata lagi, ‘Anak-anakku, betapa susahnya untuk masuk ke dalam kerajaan Allah! 25Lebih mudah bagi seekor unta memasuki lubang jarum daripada seorang kaya memasuki kerajaan Allah.’

26Para pengikut-Nya merasa sungguh hairan, lalu berkata sama sendiri, ‘Kalau begitu, siapa yang dapat diselamatkan?’

27Tetapi Isa memandang mereka lalu berkata, ‘Bagi manusia hal itu mustahil, tetapi tidak bagi Allah, kerana bagi Allah segala-galanya dapat dilakukan.’

28Kemudian Petrus berkata kepada-Nya, ‘Lihatlah, kami telah meninggalkan segala-galanya dan mengikut-Mu!’

29Isa menjawab, ‘Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, setiap orang yang telah meninggalkan rumah, adik-beradik, ibu bapa, anak isteri, atau tanah untuk-Ku dan untuk Injil 30pasti akan menerima seratus kali ganda dalam dunia ini (rumah, adik beradik, ibu, anak-anak dan tanah – serta penganiayaan) dan pada kemudian hari, hidup kekal. 31Tetapi ramai yang pertama akan menjadi terakhir, dan yang terakhir akan menjadi yang pertama.’

Isa memberitahu lagi tentang kematian-Nya

32Ketika mereka di perjalanan, menuju ke Baitulmaqdis, dan Isa mendahului mereka, maka mereka sungguh takjub. Sambil mengikut-Nya, mereka berasa takut. Kemudian Dia membawa pengikut-Nya yang dua belas itu ke samping lalu memberitahu mereka apa yang akan terjadi kepada-Nya. 33Kata-Nya, ‘Kita sekarang pergi ke Baitulmaqdis. Putera Insan akan dikhianati dan diserahkan ke tangan ketua-ketua imam dan guru-guru Taurat. Mereka akan menjatuhkan hukuman mati kepada-Nya dan menyerahkan-Nya kepada orang bukan bani Israel. 34Mereka akan mengejek-Nya, menyebat-Nya, meludahi-Nya, dan membunuh-Nya. Pada hari ketiga Dia akan bangkit semula.’

Permintaan Yakobus dan Yahya

35Kemudian Yakobus dan Yahya, anak-anak Zebedeus, datang kepada-Nya lalu berkata, ‘Tuan Guru, kami mahu Engkau membuat apa-apa yang kami minta untuk diri kami.’

36Isa bertanya kepada mereka, ‘Apa yang kamu mahu Aku buat untukmu?’

37Mereka berkata kepada-Nya, ‘Kurniailah kami duduk di kiri dan kanan-Mu dalam kemuliaan-Mu.’ 38Tetapi Isa berkata kepada mereka, ‘Kamu tidak tahu apa yang kamu minta. Sanggupkah kamu minum daripada cawan yang Kuminum, dan diimadkan dengan pengimadan yang Kuterima?’

39Mereka menjawab, ‘Sanggup.’ Lalu Isa berkata kepada mereka, ‘Memang kamu akan minum daripada cawan yang Kuminum dan diimadkan dengan pengimadan yang Kuterima. 40Tetapi untuk duduk di kiri dan kanan-Ku bukanlah Aku memberikannya, tetapi bagi mereka yang tempat itu disediakan untuknya.’

41Apabila pengikut yang sepuluh orang lagi itu mendengar hal itu, mereka marah akan Yakobus dan Yahya. 42Tetapi Isa memanggil mereka kepada-Nya lalu berkata, ‘Kamu tahu bahawa di kalangan orang bukan bani Israel, orang yang dianggap pemerintah memerintah rakyat dengan kuku besi, dan orang besar melaksanakan kekuasaan ke atas mereka. 43Ini tidak harus berlaku di kalanganmu. Sesiapa yang ingin menjadi orang besar di antaramu hendaklah melayani yang lain. 44Sesiapa yang ingin menduduki tempat pertama hendaklah menjadi hamba kepada semua, 45kerana Putera Insan juga datang bukan untuk dilayani tetapi untuk melayani, dan untuk menyerahkan nyawa-Nya sebagai tebusan bagi ramai orang.’

Isa menyembuhkan Bartimeus

46Setelah itu mereka tiba di Yerikho. Kemudian, ketika Dia keluar dari situ dengan para pengikut-Nya dan orang ramai itu, seorang buta bernama Bartimeus (anak Timeus), sedang duduk mengemis di tepi jalan. 47Ketika dia mendengar bahawa yang lalu itu Isa orang Nasaret, dia berteriak, ‘Isa, Anak Daud, kasihanilah aku!’ 48Ramai orang menyuruhnya diam, tetapi dia semakin berteriak, ‘Anak Daud, kasihanilah aku!’

49Oleh itu Isa berhenti dan memberi perintah supaya dia dipanggil. Mereka pun memanggil orang buta itu sambil berkata, ‘Bergembiralah! Dan bangkitlah! Dia memanggilmu.’ 50Orang buta itu mencampakkan jubahnya ke tepi lalu bangkit dan pergi kepada Isa.51 Isa berkata kepadanya, ‘Apa yang kamu mahu Kubuat untukmu?’ Orang itu menjawab, ‘Tuan Guru, aku ingin melihat.’

52Isa menjawab, ‘Pergilah, imanmu telah menyembuhkanmu.’ Serta-merta orang itu dapat melihat, lalu mengikut Isa dalam perjalanan-Nya.

↑ ↑ ↑ 11

Isa masuk ke Baitulmaqdis

1Apabila mereka sudah berhampiran Baitulmaqdis, di Baitfagi dan Baitani, di Bukit Zaitun, Isa mengutus dua orang pengikut-Nya, 2kata-Nya, ‘Pergilah ke kampung yang setentang denganmu. Sebaik-baik kamu masuk, kamu akan mendapati seekor anak keldai yang belum pernah ditunggang, tertambat di situ. Lepaskannya dan bawa ke mari. 3Jika sesiapa bertanya kepadamu, “Mengapa kau berbuat demikian?” katakan, “Junjungan memerlukannya, dan Dia akan segera memulangkannya.”’

4Mereka pun pergi dan mendapati anak keldai itu tertambat di pintu di tepi jalan, lalu mereka melepaskannya. 5Beberapa orang yang berdiri di situ bertanya kepada mereka, ‘Apa yang kamu buat, melepaskan anak keldai itu?’ 6Mereka menjawab seperti yang diperintahkan oleh Isa, lalu mereka dibenarkan pergi. 7Mereka membawa anak keldai itu kepada Isa dan meletakkan jubah mereka di atas belakangnya. Isa pun duduk di atas belakang anak keldai itu. 8Ramai orang membentangkan jubah mereka di atas jalan. Yang lain memotong dahan-dahan rimbun daripada pokok-pokok di situ dan meletakkannya sepanjang jalan. 9Setelah itu mereka yang berjalan di hadapan dan yang mengikut dari belakang berseru, ‘Hosana!’ ‘Diberkatilah Dia yang datang dengan nama Tuhan!’

10‘Diberkatilah kerajaan bapa kita Daud! Yang datang dengan nama Allah!’ ‘Hosana di tempat yang maha tinggi!’

11Isa masuk ke Baitulmaqdis dan terus masuk ke dalam rumah ibadat. Setelah Dia melihat semuanya, kerana hari sudah lewat petang, Dia pun pergi ke Baitani dengan pengikut-Nya yang dua belas itu.

Isa membersihkan rumah ibadat

12Esoknya, setelah mereka keluar dari Baitani, Isa berasa lapar. 13Dari jauh Dia melihat sebatang pokok ara yang berdaun. Dia mendekatinya untuk melihat kiranya pokok itu berbuah. Tetapi Dia mendapati daun sahaja di pokok itu, kerana pada masa itu bukan musim buah ara. 14Oleh itu Isa berkata kepada pokok itu, ‘Tiada siapa akan makan buahmu lagi selama-lamanya.’ Para pengikut-Nya mendengar kata-kata itu.

15Apabila sampai di Baitulmaqdis, Isa masuk ke rumah ibadat. Dia menghalau keluar orang yang berjual beli di dalam rumah ibadat, dan menterbalikkan meja para pengurup wang serta tempat duduk penjual burung merpati. 16Dia tidak membenarkan siapapun mengangkat barangan melalui rumah ibadat. 17Kemudian Dia mengajar mereka, kata-Nya, ‘Tidakkah tersurat: ‘ “Rumah-Ku akan dipanggil rumah doa bagi semua bangsa.”? ‘Tetapi kamu telah menjadikannya “sarang pencuri.” ’

18Guru-guru Taurat dan ketua-ketua imam mendengarnya lalu mencari jalan hendak membinasakan Isa, kerana mereka takut kepada-Nya, memandangkan semua orang mengagumi ajaran-Nya.

19Setelah lewat petang, Isa keluar dari kota itu.

Isa mengutuk pohon ara

20Pada pagi esoknya, ketika mereka lalu di situ, mereka melihat pokok ara itu telah layu kering daripada akarnya. 21Petrus teringat lalu berseru, ‘Tuan Guru, lihat! Pokok ara yang Engkau sumpah itu telah mati.’ 22Isa berkata kepada para pengikut-Nya, ‘Berimanlah kepada Allah. 23Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, jika sesiapa berkata kepada gunung, “Beralihlah dan terhumbanlah ke laut,” tanpa ragu dalam hatinya dan dengan sepenuh kepercayaan bahawa apa yang dikatakannya akan berlaku, maka akan terjadilah seperti kata-katanya itu. 24Oleh itu Aku berkata kepadamu, apa sahaja yang kamu minta ketika berdoa, percayalah kamu akan menerimanya, maka kamu akan mendapatnya. 25Setiap kali kamu berdoa, jika ada sesiapa yang bersalah terhadapmu, ampunilah dia, supaya Bapamu di syurga juga akan mengampunkan kesalahanmu. 26Tetapi jika kamu tidak mengampuni, Bapamu di syurga juga tidak akan mengampunkan kesalahanmu.’

Kekuasaan Isa dipersoalkan

27Selepas itu mereka masuk semula ke Baitulmaqdis. Sedang Dia berjalan di dalam rumah ibadat, ketua-ketua imam, guru-guru Taurat dan tua-tua datang kepada-Nya. 28Mereka berkata kepada-Nya, ‘Dengan kekuasaan apakah Kamu melakukan perkara-perkara ini? Siapa yang memberi-Mu kekuasaan untuk melakukannya?’

29Tetapi Isa menjawab, ‘Aku juga akan bertanya satu soalan kepadamu. Jawablah soalan-Ku, maka Aku akan memberitahumu dengan kekuasaan apa Aku melakukan perkara-perkara ini.

30Pengimadan Yahya – adakah daripada syurga atau daripada manusia? Jawablah soalan-Ku!’

31Mereka berbincang sesama sendiri, ‘Kalau kita berkata, “Daripada syurga”, nanti kata-Nya, “Kalau begitu, mengapa kamu tidak percaya kepadanya?” 32Tetapi, kalau kita berkata, “Daripada manusia”...’ (Mereka takut akan orang ramai itu yang semuanya menganggap Yahya seorang nabi.)

33Oleh itu mereka menjawab, ‘Kami tidak tahu.’ Lalu Isa berkata, ‘Aku pun tidak akan memberitahumu dengan kekuasaan apa Aku melakukan perkara-perkara ini.’

↑ ↑ ↑ 12

Ibarat tentang penyewa ladang

1Setelah itu Dia mula berkata-kata kepada mereka melalui ibarat: ‘Seorang peladang menanam anggur, memasang pagar sekeliling ladangnya, menggali lubang untuk tempat memeras anggur, dan membina menara tempat berkawal. Kemudian dia menyewakan ladang anggurnya kepada beberapa orang lalu pergi ke sebuah negeri yang jauh. 2Apabila tiba musim mengumpulkan hasil tanaman anggur, tuan punya ladang itu menghantar seorang hambanya untuk meminta bahagiannya daripada hasil itu. 3Para penyewa ladang menangkap dan memukul hamba itu lalu menyuruhnya pergi dengan tangan kosong. 4Tuan punya ladang menghantar seorang lagi hambanya. Mereka memukulnya, menyebabkannya luka di kepala dan menyuruhnya pergi setelah diperlakukan sebegitu kejinya. 5Selepas itu tuan punya ladang menghantar seorang lagi hambanya, dan mereka membunuh hamba itu. Ramai lagi dihantar, ada yang dibunuh dan ada yang dipukul.

6‘Oleh yang demikian, kerana dia masih ada seorang putera yang amat dikasihinya, dia menghantarnya sebagai utusan terakhir, sambil berkata dalam hatinya, “Mereka akan menghormati puteraku.”

7‘Tetapi para penyewa ladang berkata sesama sendiri, “Ini warisnya. Mari kita bunuh dia, supaya harta warisannya menjadi milik kita.” 8Mereka pun menangkap dan membunuhnya lalu mencampakkannya ke luar ladang itu.

9‘Jadi, apa yang akan dilakukan oleh tuan punya ladang anggur itu? Dia akan datang dan membinasakan para penyewa itu, lalu menyerahkan ladang anggur itu kepada orang lain. 10Belum pernahkah kamu baca di dalam Kitab Suci: ‘ “Batu yang dibuang oleh pembina telah menjadi batu penjuru;

11Inilah perbuatan Allah, sungguh hebat di mata kami.” ’

12Mereka ingin menangkap Isa tetapi takut akan orang ramai. Mereka tahu ibarat itu menyindir mereka. Mereka meninggalkan-Nya dan pergi dari situ.

Membayar cukai kepada Kaisar

13Kemudian mereka menghantar kepada-Nya beberapa orang Farisi dan golongan Herodes, untuk memerangkap-Nya melalui kata-kata-Nya. 14Orang yang dihantar itu berkata kepada-Nya, ‘Tuan Guru, kami tahu bahawa Engkau jujur, tidak peduli akan pendapat orang. Engkau tidak pilih kasih, hanya mengajar jalan Allah dengan mengatakan apa yang benar. Wajarkah kita membayar cukai kepada Kaisar Rom, atau tidak? 15Patutkah kami bayar, ataupun tidak?’ Tetapi Isa tahu bahawa mereka itu munafik lalu berkata, ‘Mengapa kamu menduga-Ku? Bawakan sekeping wang perak untuk Kulihat.’ 16Mereka pun membawakannya kepada Isa. Dia berkata kepada mereka, ‘Gambar dan nama siapakah ini?’ Mereka berkata kepada-Nya, ‘Kaisar.’

17Isa memberikan jawapan, ‘Berikan milik Kaisar kepada Kaisar, dan milik Allah kepada Allah.’ Mereka kagum mendengar kata-kata-Nya.

Perkahwinan pada hari kebangkitan

18Selepas itu beberapa orang Saduki, suatu golongan yang tidak mempercayai kebangkitan manusia daripada kematian, datang kepada Isa lalu bertanya, 19‘Tuan Guru, Musa menulis untuk kami bahawa jika seseorang lelaki meninggal dunia tanpa anak, saudara lelakinya patutlah mengahwini balunya dan memanjangkan zuriatnya. 20Kesemuanya ada tujuh lelaki adik-beradik. Yang sulung beristeri, kemudian meninggal dunia tanpa anak. 21Yang kedua berkahwin dengan balu saudaranya, kemudian meninggal dunia tanpa anak. Begitu juga yang ketiga. 22Ketujuh-tujuhnya mengahwini wanita itu dan meninggal dunia tanpa mendapat anak. Akhirnya wanita itu juga meninggal dunia.

23Jadi, pada masa manusia bangkit daripada kematian, isteri siapakah wanita itu? Ketujuh-tujuhnya pernah mengahwininya.’

24Isa menjawab, ‘Tidakkah kamu tersilap, kerana kamu tidak memahami Kitab Suci mahupun kuasa Allah? 25Apabila manusia bangkit daripada kematian, mereka tidak berkahwin atau dikahwinkan; mereka seperti malaikat di syurga. 26Tetapi tentang kebangkitan orang mati, tidakkah kamu baca dalam kitab Musa, bahagian tentang belukar yang bernyala, betapa Allah berfirman kepadanya, “Akulah Allah Tuhan Ibrahim, Ishak dan Yakub.” 27Dia bukanlah Allah Tuhan orang mati. Dia Allah Tuhan orang hidup. Oleh itu kamu tersilap sama sekali!’

Perintah yang terutama

28Seorang guru Taurat datang mendengar mereka bersoal jawab. Dia sedar bahawa Isa telah menjawab dengan baik. Dia pun bertanya kepada-Nya, ‘Perintah manakah yang terutama?’

29Isa menjawab, ‘Yang terutama antara semua perintah ialah: “Dengarlah, wahai umat Israel, Allah Tuhan kita, Tuhan kita adalah Esa. 30Kamu hendaklah mengasihi Allah Tuhanmu dengan sepenuh hatimu, dengan sepenuh jiwamu, dengan sepenuh fikiranmu, dan dengan sepenuh kekuatanmu.” Inilah perintah yang terutama. 31Perintah yang kedua ialah: “Kamu hendaklah mengasihi sesama manusia seperti kamu mengasihi dirimu sendiri.” Tiada perintah lain yang lebih utama daripada dua perintah ini.’

32Guru Taurat itu berkata kepada Isa, ‘Sungguh baik jawapan Tuan Guru. Kata-kata Engkau itu benar, kerana Allah itu Esa, tiada yang lain daripada-Nya. 33Mengasihi-Nya dengan sepenuh hati, dengan sepenuh fikiran, dengan sepenuh jiwa, dan dengan sepenuh kekuatan, serta mengasihi sesama manusia seperti diri sendiri, adalah lebih utama daripada segala persembahan dan korban.’

34Isa sedar bahawa jawapan itu bijaksana, lalu berkata kepada guru Taurat itu, ‘Kamu tidak jauh daripada kerajaan Allah.’ Selepas itu tiada siapa yang berani menyoal-Nya.

Hubungan antara Isa dan Daud

35Kemudian, ketika mengajar di rumah ibadat, Isa berkata, ‘Bagaimanakah guru-guru Taurat dapat mengatakan bahawa al-Masih itu anak Daud? 36Kerana Daud sendiri berkata dengan panduan Roh Suci: ‘ “Tuhan berfirman kepada Junjunganku: ‘Duduklah di kanan-Ku sehingga Kujadikan segala musuh-Mu alas kaki-Mu.’ ” 37‘Jadi, Daud sendiri memanggil-Nya “Junjungan.” Bagaimana Dia boleh dianggap anak Daud?’ Orang ramai mendengar kata-kata Isa dengan sukacita.

38Dia mengajar mereka lagi, ‘Awas guru-guru Taurat, yang suka ke sana sini berjubah labuh, gembira diberi salam hormat di pasar-pasar, 39tempat duduk terbaik di saumaah dan di majlis jamuan. 40Mereka merampas rumah balu, kemudian pura-pura berdoa berjela-jela. Mereka ini akan menerima hukuman yang amat berat.’

Persembahan seorang balu

41Isa duduk berhadapan dengan peti wang persembahan dan melihat betapa orang memasukkan wang ke dalamnya. Ramai orang kaya memasukkan sumbangan yang besar. 42Kemudian seorang balu yang miskin memasukkan dua keping wang tembaga, yang sangat kecil nilainya.

43Isa memanggil para pengikut-Nya lalu berkata kepada mereka, ‘Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, balu yang miskin itu telah memberi lebih daripada semua orang yang telah memasukkan wang ke dalam peti persembahan; 44kerana mereka memberi daripada kekayaan mereka yang melimpah, tetapi dia daripada kemiskinannya dan telah memasukkan semua yang ada padanya, seluruh rezekinya.’

↑ ↑ ↑ 13

Tanda-tanda akhir zaman

1Ketika Isa sedang melangkah keluar dari rumah ibadat, seorang pengikut-Nya berkata, ‘Tuan Guru, lihatlah batu dan bangunan yang luar biasa di sini!’

2Isa menjawab, ‘Adakah kamu melihat bangunan yang hebat-hebat ini? Tiada sekeping pun batunya akan tinggal tersusun, semuanya akan diruntuhkan.’

3Ketika Dia duduk di atas Bukit Zaitun setentang dengan rumah ibadat, pengikut-Nya Petrus, Yakobus, Yahya dan Andreas bertanya kepada-Nya secara peribadi, 4‘Katakanlah kepada kami, bilakah hal-hal itu akan berlaku? Apakah tanda-tandanya semua ini akan terjadi seperti yang telah dikatakan?’ 5Isa menjawab, ‘Awas, jangan tertipu oleh sesiapapun. 6Ramai yang akan datang dengan nama-Ku dan berkata, “Akulah Dia”, maka ramai yang akan terpedaya. 7Apabila kamu mendengar berita atau khabar angin tentang peperangan, janganlah bimbang; kerana hal-hal begitu harus terjadi, tetapi belum sampai waktunya dunia berakhir. 8Bangsa akan bangkit melawan bangsa, kerajaan melawan kerajaan. Gempa bumi akan berlaku di sana sini, dan juga kebuluran. Ini permulaan kesengsaraan.

9‘Berhati-hatilah tentang dirimu, kerana mereka akan mengheretmu ke hadapan majlis dan memukulmu di dalam rumah ibadat. Kamu akan dibawa kepada para pemerintah dan raja kerana-Ku, untuk memberikan kesaksian kepada mereka. 10Injil mesti disebarkan terlebih dahulu kepada semua bangsa. 11Apabila mereka menangkapmu dan menyerahkanmu kepada pihak berkuasa, janganlah runsing atau fikirkan apa yang akan kamu katakan. Tetapi apa yang diilhamkan kepadamu pada waktunya tuturkanlah, kerana yang bertutur itu Roh Suci, bukannya kamu.

12‘Saudara akan mengkhianati saudara untuk dibunuh, demikian juga bapa akan anaknya. Anakanak akan bangkit menentang ibu bapa dan menyebabkan mereka dihukum mati. 13Kamu akan dibenci oleh semua orang kerana nama-Ku. Tetapi sesiapa yang bertahan hingga ke akhir akan diselamatkan. 14‘Apabila kamu melihat “kekejian yang membawa kebinasaan” yang disebutkan oleh Nabi Daniel berdiri di tempat terlarang baginya – hendaklah para pembaca memperhatikan ertinya – semua yang ada di Yudea larilah ke pergunungan. 15Yang di atas bumbung ketika itu janganlah turun dan masuk ke rumah untuk mengambil apa-apa. 16Yang di ladang usahlah pulang mengambil pakaian.

17Malanglah ibu yang mengandung dan yang menyusui anak pada masa itu! 18Berdoalah semoga hal-hal itu tidak terjadi pada musim dingin. 19Pada masa itu akan berlaku pancaroba yang belum pernah wujud sejak dunia dicipta Allah hingga waktu itu dan tidak akan muncul lagi. 20Kalaulah Tuhan tidak menyingkatkan masa itu, tiada satu makhluk pun yang dapat diselamatkan. Namun, demi kesejahteraan mereka yang telah dipilih-Nya, masa itu disingkatkan-Nya. 21Ketika itu jika sesiapa berkata kepadamu, “Lihat, al-Masih di sini!” atau “Lihat, Dia di sana!” janganlah kamu percaya; 22kerana beberapa almasih palsu dan nabi palsu akan bangkit dan menunjukkan pelbagai tanda serta keajaiban untuk memperdaya orang, kalau boleh termasuk mereka yang telah dipilih Allah. 23Berhati-hatilah. Lihat, Aku telah memberitahu semuanya kepadamu terlebih dahulu.

24‘Pada masa itu, selepas pancaroba, ‘ “Matahari akan dikelamkan, dan bulan tidak akan bersinar; 25bintang-bintang di langit akan gugur, dan kuasa-kuasa angkasa akan digoncang.”

26‘Kemudian mereka akan melihat Putera Insan datang dalam awan penuh dengan kekuasaan dan kemuliaan yang besar. 27Setelah itu Dia akan menghantar para malaikat-Nya dan menghimpunkan orang pilihan-Nya dari empat mata angin, dari hujung bumi yang paling jauh ke hujung syurga yang paling jauh.

28‘Sekarang, kajilah ibarat daripada pokok ara: Apabila dahan-dahannya sudah lembut dan mengeluarkan daun, itulah tanda musim panas sudah dekat. 29Begitulah juga kamu. Apabila kamu melihat kejadian-kejadian ini, ketahuilah bahawa waktunya sudah dekat – sudah di ambang pintu!

30Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, angkatan ini tidak akan luput sebelum semua kejadian itu berlaku. 31Langit dan bumi akan lenyap, tetapi kata-kata-Ku tidak akan lenyap.

Hari dan masa tidak diketahui

32‘Tetapi tentang hari dan waktunya tiada siapa yang tahu. Malaikat di syurga tidak tahu, malah Putera juga tidak tahu, hanya Bapa yang mengetahui. 33Berhati-hatilah! Berjaga dan berdoa! Kerana kamu tidak tahu bila saatnya. 34Umpama seorang yang pergi ke negeri yang jauh: Dia meninggalkan rumahnya dan memberikan kekuasaan kepada hamba-hambanya, setiap seorang dengan tugasnya serta memerintahkan penjaga pintu supaya berjaga-jaga.

35‘Oleh itu berjagalah, kerana kamu tidak tahu bila tuan rumah akan pulang – pada waktu petang, atau tengah malam, ketika ayam berkokok, atau pada waktu pagi – 36takut kalau-kalau dia datang tiba-tiba dan mendapatimu sedang tidur. 37Apa yang Kukatakan kepadamu, Kukatakan kepada semua: “Berjagalah!” ’

↑ ↑ ↑ 14

Isa diurapi

1Dua hari lagi akan tibalah perayaan Paska dan Jamuan Roti Tidak Beragi, ketua-ketua imam dan guru-guru Taurat mencari jalan untuk memerangkap Isa secara tipu daya dan menjatuhkan hukuman mati kepada-Nya. 2Tetapi mereka berkata, ‘Janganlah pada waktu perayaan, takut orang akan merusuh.’

3Ketika itu Isa berada di Baitani di rumah Simon yang menghidap penyakit kusta. Sedang Isa duduk di meja, seorang wanita datang membawa bejana pualam berisi minyak narwastu murni yang amat mahal. Dia memecahkan bejana itu lalu menuangkan minyak itu ke atas kepala Isa.

4Beberapa orang berkata-kata sesama sendiri dengan marah, ‘Mengapa dibazirkan minyak wangi ini? 5Minyak itu dapat dijual dengan harga lebih tiga ratus keping wang perak dan wangnya diberikan kepada orang miskin.’ Mereka mengecam wanita itu dengan kata-kata yang tajam.

6Tetapi Isa berkata, ‘Biarkan dia. Mengapa kamu memarahinya? Dia telah melakukan sesuatu yang baik untuk-Ku. 7Orang miskin akan sentiasa ada di kalanganmu, dan bila-bila sahaja kamu mahu, kamu dapat berbuat kebajikan kepada mereka. Tetapi Aku tidak akan sentiasa ada bersamamu. 8Dia telah melakukan apa yang terdaya olehnya. Dia telah datang terlebih dahulu untuk menyediakan tubuhku bagi pengebumian. 9Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, di mana-mana sahaja Injil ini disebarkan di serata dunia, apa yang telah dilakukan oleh wanita ini akan diceritakan juga sebagai kenangan kepadanya.’

10Selepas itu Yudas Iskariot, seorang daripada pengikut Isa yang dua belas itu, pergi kepada ketuaketua imam untuk mengkhianati-Nya dan menyerahkan-Nya kepada mereka. 11Ketika mendengar kata-katanya mereka pun sukacita dan berjanji akan memberinya wang. Sejak itu Yudas mencari jalan yang terbaik untuk mengkhianati Isa.

Perjamuan Tuhan

12Pada hari pertama Perayaan Roti Tidak Beragi, ketika mereka menyembelih anak domba Paska, para pengikut Isa berkata kepada-Nya, ‘Di manakah Engkau mahu kami pergi menyediakan jamuan Paska untuk-Mu?’ 13Dia menghantar dua orang pengikut-Nya dan berkata kepada mereka, ‘Pergilah ke dalam kota. Seorang lelaki yang membawa sekendi air akan menemui kamu. Ikutlah dia. 14Di mana dia masuk, katakan kepada tuan rumah, “Tuan Guru berkata: Di manakah ruang tamu untuk Aku makan jamuan Paska dengan para pengikut-Ku?” 15Dia akan menunjukkan kepadamu sebuah ruang besar di tingkat atas, lengkap dengan perabot dan telah siap disediakan. Di situlah kamu membuat persiapan untuk kita.’ 16Kedua-dua pengikut-Nya itu keluar, pergi ke dalam kota, dan mendapati segala-galanya tepat seperti yang telah dikatakan-Nya kepada mereka. Mereka pun menyediakan jamuan Paska.

17Pada waktu lewat petang, Dia datang bersama para pengikut-Nya yang dua belas itu. 18Sedang mereka duduk menikmati jamuan, Isa berkata, ‘Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, seorang daripada kamu yang makan bersama-Ku akan mengkhianati-Ku.’

19Mereka mula berdukacita. Seorang demi seorang berkata kepada-Nya, ‘Akukah orang itu?’

20Isa menjawab, ‘Dia seorang daripada yang dua belas yang mencecah roti bersama ke dalam bekas.

21Putera Insan memang mesti pergi, seperti yang tersurat tentang-Nya. Tetapi malanglah orang yang mengkhianati Putera Insan! Lebih baiklah baginya jika dia tidak dilahirkan ke dunia ini.’

22Sedang mereka makan, Isa mengambil roti lalu memberkatinya dan kemudian membahagikannya kepada mereka dan berkata, ‘Ambil, makanlah, ini tubuh-Ku.’

23Kemudian dia mengambil cawan air anggur, dan selepas mengucap syukur, Dia memberikannya kepada mereka, lalu mereka semua minum darinya.

24Dia berkata kepada mereka, ‘Ini darah-Ku bagi perjanjian baru, ditumpahkan untuk beberapa ramai manusia. 25Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, Aku tidak akan minum air anggur lagi hingga Aku minum yang baru dalam kerajaan Allah.’

26Setelah menyanyikan sebuah lagu suci, mereka keluar ke Bukit Zaitun.

Petrus akan menyangkal Isa

27Isa berkata kepada mereka, ‘Malam ini, iman kamu semua akan goyah kerana-Ku, seperti yang tersurat: ‘ “Aku akan merebahkan Gembala, dan kawanan domba akan bertempiaran.”

28‘Tetapi setelah Aku dibangkitkan semula, Aku akan mendahuluimu pergi ke Galilea.’

29Petrus berkata kepadanya, ‘Kalaupun semua yang lain goyah imannya, aku tidak akan goyah.’

30Isa berkata kepadanya, ‘Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, pada malam ini sebelum ayam berkokok dua kali, kamu akan menyangkal-Ku tiga kali.’

31Tetapi Petrus berkata dengan lebih tegas lagi, ‘Kalaupun aku terpaksa mati bersama-Mu, aku tidak akan menyangkal-Mu.’ Semua yang lain pun berkata demikian.

Isa di Getsemani

32Mereka sampai di suatu tempat yang dinamakan Getsemani. Isa berkata kepada para pengikut-Nya, ‘Duduklah di sini sementara Aku berdoa.’ 33Dia membawa Petrus, Yakobus dan Yahya bersama-Nya, dan Dia mula berasa gundah dan amat terseksa. 34Dia berkata kepada mereka, ‘Jiwa-Ku sungguh dukacita, bagaikan mati. Duduklah di sini, dan berjagalah.’

35Dia pergi jauh sedikit lagi, lalu sujud di tanah, dan berdoa kiranya dapat semoga saat itu diedarkan daripada-Nya. 36Kata-Nya, ‘Abba, Bapa, segala-galanya dapat Kaulakukan. Edarkanlah cawan ini daripada-Ku. Namun, berlakulah kehendak-Mu, bukan kehendak-Ku.’

37Kemudian dia kembali kepada pengikut-pengikut-Nya dan mendapati mereka sedang tidur, lalu Dia berkata kepada Petrus, ‘Simon, kamu tidur? Satu jam pun kamu tidak dapat berjaga? 38Berjaga dan berdoalah, takut nanti kamu tergoda. Memang rohani rela, tetapi jasmani lemah.’

39Dia pergi berdoa lagi, dengan kata-kata yang sama. 40Apabila Dia kembali, didapati-Nya mereka telah tertidur lagi, kerana mata mereka amat mengantuk. Mereka tidak tahu apa yang hendak dijawab kepada-Nya.

41Setelah Dia datang kepada mereka bagi kali ketiga, Dia berkata, ‘Adakah kamu masih tidur dan berehat? Cukuplah! Waktunya sudah tiba. Lihat, Putera Insan sedang dikhianati dan diserahkan ke tangan orang berdosa. 42Bangunlah! Mari kita pergi! Lihat, pengkhianat-Ku sudah tiba!’

Isa ditangkap

43Sesaat kemudian, ketika Dia masih berkata-kata, seorang daripada pengikut-Nya yang dua belas itu iaitu Yudas datang dengan orang yang sangat ramai dan bersenjatakan pedang serta belantan. Mereka datang daripada ketua-ketua imam, guru-guru Taurat dan tua-tua.

44Pengkhianat Isa telah menetapkan satu isyarat dengan mereka: ‘Sesiapa yang kucium, itulah Dia. Tangkap Dia dan bawalah Dia pergi dengan selamat.’ 45Sebaik-baik Yudas tiba, dia pergi kepada Isa sambil berkata, ‘Tuan Guru!’ lalu mencium-Nya. 46Mereka pun menangkap-Nya dan membawa-Nya pergi. 47Seorang daripada yang berdiri di situ menghunus pedangnya lalu menetak hamba Imam Besar, sehingga terputus telinganya.

48Isa berkata kepada mereka, ‘Patutkah kamu datang bagaikan hendak menangkap perompak, dengan pedang dan belantan, untuk membawa-Ku pergi? 49Setiap hari Aku di kalanganmu, mengajar di rumah ibadat, tidak kamu tangkap. Tetapi yang tersurat di dalam Kitab Suci mesti berlaku.’

50Setelah itu semua pengikut Isa meninggalkan-Nya dan melarikan diri masing-masing.

51Seorang pemuda mengikut-Nya, dengan hanya sehelai kain linen membalut tubuhnya. Pemudapemuda lain menangkapnya, 52lalu dia melucutkan kain linen itu dan melarikan diri daripada mereka dalam keadaan telanjang.

Isa di hadapan Majlis Agama

53Isa dibawa kepada Imam Besar. Bersamanya berhimpun semua ketua imam, tua-tua, dan guruguru Taurat. 54Petrus mengikut Isa dari jauh, turut masuk ke laman dalam rumah Imam Besar, dan duduk di kalangan hamba-hamba, berdiang di situ.

55Ketua-ketua imam dan semua ahli Majlis Agama berusaha mencari kesaksian untuk mendakwa Isa, tetapi tidak berjaya. 56Ramai yang memberi kesaksian palsu terhadap-Nya, tetapi kesaksian mereka semua bercanggah.

57Kemudian beberapa orang bangkit memberi kesaksian palsu terhadap-Nya dengan berkata,

58‘Kami telah mendengar Dia berkata, “Aku akan membinasakan rumah ibadat yang diperbuat dengan tangan ini, dan dalam tiga hari Aku akan membina rumah ibadat yang diperbuat tanpa tangan.” ’ 59Tetapi kesaksian mereka masih bercanggah.

60Imam Besar bangkit berdiri di tengah-tengah kesaksian itu lalu bertanya kepada Isa, ‘Tidakkah Kamu mahu menjawab apa-apa? Apakah yang disaksikan oleh mereka ini terhadap-Mu?’ 61Tetapi Isa berdiam diri, tidak menjawab sepatah pun. Imam Besar itu bertanya lagi kepada-Nya, ‘Adakah Kamu al-Masih, Putera Allah Maha Suci?’

62Isa menjawab, ‘Ya, Akulah Dia. Kamu akan melihat Putera Insan duduk di kanan Allah Maha Kuasa, dan datang dengan awan syurga.’

63Imam Besar lalu mengoyak-ngoyakkan pakaiannya sambil berkata, ‘Adakah kita perlukan saksi lagi? 64Kamu telah mendengar kata-kata kufur-Nya sendiri! Apakah pendapatmu?’ Lalu mereka semua menjatuhkan hukum ke atas-Nya, bahawa Dia patut dibunuh. 65Kemudian sesetengah mereka mulai meludahi-Nya, membalut mata-Nya lalu memukul-Nya dan berkata kepada-Nya, ‘Bernubuatlah!’ Pengawal-pengawal pula menampar-Nya.

Petrus menyangkal Isa

66Petrus ada di bawah, di laman dalam. Seorang hamba perempuan Imam Besar datang ke situ.

67Apabila dia melihat Petrus sedang berdiang memanaskan tubuhnya, dia memandang Petrus dan berkata, ‘Kamu juga bersama Isa orang Nasaret.’

68Petrus menyangkal, katanya, ‘Aku tidak tahu dan tidak faham apa yang kaukatakan.’ Dia keluar ke serambi depan, lalu ayam berkokok.

69Hamba perempuan itu melihatnya lagi, lalu mula berkata kepada orang yang berdiri di situ, ‘Ini seorang daripada mereka.’ 70Petrus menyangkalnya lagi. Sejurus kemudian, mereka yang berdiri di situ berkata pula kepada Petrus, ‘Tentu sekali kamu seorang daripada mereka, kerana kamu orang Galilea. Ini nyata daripada cara percakapanmu.’

71Petrus mengucapkan kutuk dan sumpah, ‘Aku tidak kenal orang yang kaukatakan itu!’

72Ayam pun berkokok bagi kali kedua. Lalu Petrus teringat kata-kata Isa kepadanya: ‘Sebelum ayam berkokok dua kali, kamu akan menyangkal-Ku tiga kali.’ Memikirkan perkara itu, Petrus menangis.

↑ ↑ ↑ 15

Isa di hadapan Pilatus

1Awal-awal pagi lagi ketua-ketua imam segera bermesyuarat dengan para tua-tua, guru Taurat dan seluruh Majlis Agama. Kemudian mereka mengikat Isa, membawa-Nya pergi dan menyerahkan-Nya kepada Pilatus.

2Pilatus bertanya kepada-Nya, ‘Adakah Kamu Raja orang Yahudi?’ Isa menjawab, ‘Begitulah seperti katamu.’ 3Kemudian ketua-ketua imam melemparkan pelbagai tuduhan terhadap-Nya. 4Pilatus bertanya lagi kepada-Nya, ‘Tidakkah Engkau mahu menjawab apa-apa? Lihat betapa banyaknya tuduhan mereka terhadap-Mu?’

5Tetapi Isa masih tidak menjawab sepatah pun, sehingga Pilatus kehairanan.

6Pada waktu perayaan, lazimnya Pilatus membebaskan seorang banduan dari penjara, iaitu sesiapa yang diminta oleh mereka. 7Ada seorang bernama Barabas yang dirantaikan bersama beberapa orang pemberontak lain. Mereka telah melakukan pembunuhan dalam pemberontakan itu. 8Orang ramai mula berseru lantang meminta Pilatus membebaskan seorang daripada penjara seperti yang biasa dilakukannya.

9Pilatus bertanya, ‘Adakah kamu mahu aku membebaskan kepadamu Raja orang Yahudi?’ 10kerana dia tahu bahawa ketua-ketua imam telah menyerahkan Isa kepadanya kerana iri hati. 11Tetapi ketuaketua imam menghasut orang ramai supaya meminta Barabas dibebaskan kepada mereka.

12Pilatus berkata kepada mereka, ‘Kalau begitu, apa yang kamu mahu kulakukan kepada Dia yang kamu panggil Raja orang Yahudi?’

13Mereka berseru lagi dengan kuatnya, ‘Salibkan Dia!’

14Kata Pilatus kepada mereka, ‘Mengapa? Apakah kejahatan yang telah dilakukan-Nya?’ Tetapi mereka semakin kuat berseru, ‘Salibkan Dia!’

15Oleh itu, untuk memuaskan hati orang ramai itu, Pilatus membebaskan Barabas kepada mereka. Setelah menyebat Isa, dia menyerahkan-Nya untuk disalib.

Isa dipermainkan

16Kemudian para askar membawa-Nya ke dewan yang dipanggil Praetorium, lalu menghimpunkan seluruh pasukan tentera yang ada di situ. 17Mereka mengenakan pakaian berwarna ungu pada tubuh-Nya, dan membuat mahkota daripada duri lalu meletakkannya di atas kepala-Nya.

18Kemudian mereka menyindir-Nya, ‘Daulat Tuanku, Raja orang Yahudi!’ 19Mereka memukul kepala-Nya dengan mensiang, meludahi-Nya, kemudian tunduk menyembah-Nya. 20Setelah mempermainmainkan-Nya, mereka melucutkan pakaian ungu itu dan mengenakan semula pakaian-Nya. Lalu mereka membawa-Nya untuk disalib.

Isa disalib

21Ketika itu seorang yang bernama Simon, orang Kirene, bapa kepada Iskandar dan Rufus sedang lalu di situ. Dia baru sahaja datang dari luar bandar. Kemudian mereka memaksanya mengangkat salib Isa. 22Mereka membawa-Nya ke tempat yang dipanggil Golgota (bermaksud Tempat Tengkorak). 23Kemudian mereka memberi-Nya air anggur bercampur mur tetapi Dia enggan meminumnya. 24Setelah mereka menyalib-Nya, mereka membahagikan pakaian-Nya antara mereka dengan membuang undi.

25Mereka menyalib-Nya pada pukul sembilan pagi. 26Tuduhan terhadap-Nya tertulis di atas: RAJA ORANG YAHUDI. 27Mereka menyalib dua orang perompak bersama Isa, seorang di kanan dan seorang lagi di kiri-Nya. 28Dengan demikian berlakulah apa yang tersurat di dalam Kitab Suci: ‘Dan Dia digolongkan dengan penjahat.’ 29Semua orang yang lalu di situ menggeleng-gelengkan kepala sambil mengejek Isa. Mereka berkata, ‘Kamu mahu memusnahkan rumah ibadat dan membinanya semula dalam tiga hari! 30Sekarang turunlah dari salib itu dan selamatkanlah diri-Mu!’

31Ketua-ketua imam dan guru-guru Taurat juga mempermainkan Isa. Mereka berkata sesama sendiri, ‘Dia menyelamatkan orang, tetapi tidak dapat menyelamatkan diri-Nya sendiri! 32Kiranya Dia Raja orang Yahudi dan al-Masih, turunlah dari salib, supaya kami melihat dan percaya kepada-Nya!’ Orang yang disalib bersama Isa pun mencela-Nya.

Kematian Isa

33Pada tengah hari, selama tiga jam, seluruh negeri itu gelap-gelita. 34Pada pukul tiga petang, Isa berseru dengan suara lantang, ‘Eloi, Eloi, lama sabakhtani?’ Ertinya, ‘Ya Allah, Ya Tuhan-Ku, mengapa Kautinggalkan Aku?’

35Beberapa orang di situ mendengar seruan itu dan berkata, ‘Dengarlah, Dia memanggil Ilyas.’

36Seorang daripada mereka berlari mengambil span lalu mencelupnya ke dalam air anggur murah. Kemudian dia mencucukkan span itu di hujung sebatang mensiang dan menawarkannya kepada Isa untuk minum, sambil berkata, ‘Kita menunggu, kalau-kalau Ilyas datang menurunkan-Nya dari salib.’

37Isa berteriak dengan kuat lalu menghembuskan nafas terakhir.

38Sejurus kemudian, tirai di dalam rumah ibadat terbelah dua, dari atas hingga ke bawah. 39Ketua tentera yang berdiri di hadapan salib itu melihat semua ini lalu berkata, ‘Benarlah Dia Putera Allah!’

40Beberapa orang wanita menyaksikan segala-galanya dari jauh. Antara mereka ialah Salome, Maryam Magdalena, serta Maryam ibu Yakobus Muda dan Yoses. 41Mereka wanita-wanita yang mengikut dan menolong Isa ketika Dia di Galilea. Ada ramai juga wanita yang datang dengan Isa ke Baitulmaqdis.

Isa dimakamkan

42Hari sudah lewat petang. Hari itu Hari Persediaan, iaitu sehari sebelum hari Sabat. 43Yusuf dari Arimatea, seorang ahli terkemuka Majlis Agama yang sedang menunggu kerajaan Allah, datang lalu memberanikan hatinya menghadap Pilatus dan memohon untuk mengambil jenazah Isa. 44Pilatus hairan mendengar Isa sudahpun meninggal dunia, lalu memanggil ketua tentera dan bertanya sama ada Isa sudah meninggal. 45Setelah mendengar laporan ketua tentera itu, dia pun menyerahkan jenazah Isa kepada Yusuf. 46Yusuf membeli kain linen yang baik, menurunkan jenazah Isa dan mengkafankannya dengan kain itu. Dia membaringkan jenazah itu di dalam sebuah makam yang telah digali di permukaan batu pejal, lalu menggulingkan sebuah batu besar menutup pintu makam itu. 47Maryam Magdalena dan Maryam ibu Yoses memerhatikan tempat makam itu.

↑ ↑ ↑ 16

Kebangkitan Isa

1Setelah tamat hari Sabat, Maryam Magdalena, Maryam ibu Yakobus, dan Salome membeli ramuan rempah untuk melumuri jenazah Isa. 2Pada awal pagi hari pertama minggu itu, mereka sampai di makam itu ketika matahari terbit. 3Mereka berkata-kata sesama sendiri, ‘Siapa yang akan menggulingkan batu daripada pintu makam untuk kita?’

4Apabila mereka memandang makam itu, mereka mendapati batu yang sangat besar itu telahpun digulingkan. 5Mereka masuk ke dalam makam itu dan melihat seorang pemuda berjubah putih sedang duduk di sebelah kanan; mereka sungguh terkejut dan ketakutan.

6Tetapi dia berkata kepada mereka, ‘Jangan takut. Kamu mencari Isa orang Nasaret, yang telah disalib. Dia telah bangkit semula! Dia tidak ada di sini. Lihatlah tempat mereka baringkan jenazah-Nya. 7Tetapi, pergilah, beritahu para pengikut-Nya, termasuk Petrus, bahawa Dia mendahuluimu ke Galilea. Di sana kamu akan melihat-Nya, seperti yang telah dikatakan-Nya kepada kamu.’

8Mereka pun segera keluar dan berlari meninggalkan makam itu, kerana mereka gementar dan kehairanan. Mereka tidak berkata apa-apa kepada sesiapa, kerana mereka takut. Isa menampakkan diri kepada pengikut-Nya.

9Setelah Isa bangkit semula pada awal pagi hari pertama minggu itu, pertama sekali Dia menampakkan diri-Nya kepada Maryam Magdalena yang telah disembuhkan-Nya daripada dirasuk tujuh roh iblis dahulu. 10Maryam pun pergi memberitahu para pengikut-Nya yang sedang berkabung dan menangis. 11Ketika mendengar bahawa Isa hidup dan telah dilihat oleh Maryam, mereka tidak percaya.

12Selepas itu, Dia menampakkan diri dengan cara lain kepada dua orang daripada mereka ketika mereka sedang berjalan ke desa. 13Kedua-dua orang pengikut Isa itu segera pergi memberitahu yang lain, tetapi mereka juga tidak percaya. 14Kemudian Dia menampakkan diri kepada kesemua pengikut-Nya yang sebelas itu ketika mereka sedang makan. Dia menegur sikap mereka yang tidak percaya dan keras hati, kerana mereka tidak mempercayai orang yang telah melihat-Nya setelah Dia bangkit semula.

15Dia berkata kepada mereka, ‘Pergilah ke serata dunia dan sebarkan Injil kepada setiap insan.

16Sesiapa yang percaya dan diimadkan akan diselamatkan, tetapi sesiapa yang tidak percaya akan dihukum. 17Tanda-tanda ini akan menyertai mereka yang percaya: Dengan nama-Ku mereka akan menghalau roh-roh iblis, dan mereka akan bertutur dengan bahasa-bahasa baru. 18Mereka akan memegang ular tanpa mudarat. Kiranya mereka terminum racun, mereka tetap selamat. Mereka akan meletakkan tangan pada orang sakit dan orang itu akan sembuh.’

19Setelah Junjungan Isa berkata-kata dengan mereka, Dia disambut naik ke syurga lalu duduk di kanan Allah. 20Para pengikut-Nya pergi mengajar di serata dunia. Tuhan bekerja bersama mereka, mengesahkan firman dengan iringan tanda-tanda ajaib.

↑ ↑ ↑