Kitab Suci Zabur dan Injil/Kisah Para Rasul
Daftar perikop:
|
1
1Kepada Teofilus, dahulu di dalam kitabku yang pertama aku telah menceritakan segala yang dilakukan dan diajarkan oleh Isa, 2dari awal pelayanan-Nya hingga ke hari Dia diangkat ke syurga. Sebelumnya, Dia telah memberikan perintah melalui Roh Suci kepada para rasul yang telah dipilih-Nya. 3Dia telah menampakkan diri-Nya dalam keadaan hidup kepada mereka selepas kesengsaraan-Nya dengan banyak keterangan sahih. Mereka melihat-Nya selama empat puluh hari dan dalam berbagai-bagai cara dan Dia bercakap tentang perkara-perkara yang berkaitan dengan kerajaan Allah. 4Pada suatu hari ketika Isa bersama mereka, Dia berpesan supaya mereka jangan meninggalkan Baitulmaqdis. Kata-Nya, ‘Haruslah kamu menantikan apa yang dijanjikan Bapa, dan yang telah kamu dengar daripada-Ku; 5kerana Yahya telah mengimadkan orang dengan air, tetapi kamu akan diimadkan dengan Roh Suci tidak berapa lama lagi.’
6Oleh itu, ketika mereka berhimpun, mereka pun bertanya kepada Isa, ‘Ya Junjungan, pada masa inikah Junjungan mengembalikan kerajaan ini kepada bangsa Israel?’
7Dia berkata kepada mereka, ‘Tidaklah diberi bagi kamu mengetahui waktu atau saat yang sudah ditetapkan oleh Bapa dalam kekuasaan-Nya sendiri. 8Tetapi kamu akan menerima kuasa apabila Roh Suci datang ke atasmu; dan kamu akan menjadi saksi-Ku di Baitulmaqdis, di seluruh Yudea dan Samaria, bahkan sampai ke hujung bumi.’
9Setelah Dia berkata demikian, di hadapan mata mereka Dia diangkat lalu disambut awan dan lenyap daripada pandangan mereka.
10Sedang mereka merenung ke langit ketika Dia diangkat, tiba-tiba dua orang yang berpakaian putih berdiri dekat mereka. 11Orang itu berkata, ‘Wahai orang Galilea, mengapa kamu berdiri memandang ke langit? Sebagaimana Isa telah diangkat ke syurga dari kalanganmu, begitu jugalah Dia datang kelak.’
12Setelah itu para rasul pun kembali ke Baitulmaqdis dari bukit bernama Zaitun yang dekat dengan kota itu, jaraknya sehari Sabat perjalanan. 13Setibanya mereka di Baitulmaqdis, mereka naik ke bilik atas tempat mereka menumpang. Mereka ialah Petrus, Yahya, Yakobus, Andreas; Filipus dan Tomas, Bartolomeus, Matius, Yakobus anak Alfeus, dan Simon, orang Patriot; serta Yudas anak Yakobus.
14Mereka semuanya dengan sehati terus-menerus berdoa, bersama orang perempuan dan Maryam ibu Isa, serta saudara-saudara-Nya.
15Pada masa itu Petrus berdiri di kalangan para pengikut Isa (kesemuanya yang berhimpun kirakira seratus dua puluh orang) lalu berkata, 16‘Saudara-saudara, pastilah berlaku firman yang dahulu disampaikan oleh Roh Suci melalui lidah Daud tentang Yudas, yang menjadi pandu kepada orang yang menangkap Isa. 17Dia telah dianggap sebahagian daripada kita dan diberi jawatan dalam pekerjaan kita ini.’
18(Dia memperoleh sekeping tanah dengan upah durjananya; dia jatuh terjerumus, bahagian pertengahan tubuhnya pecah dan segala isi perutnya terburai. 19Seluruh penduduk Baitulmaqdis mendapat tahu hal itu lalu menamakan tanah itu Hakal Dama dalam bahasa mereka, iaitu Tanah Darah.)
20‘Sudah tersurat dalam kitab Zabur, ‘ “Biarlah tempat kediamannya menjadi sepi; Dan jangan sesiapapun tinggal di situ,” dan, ‘ “Biarlah orang lain mengambil jawatannya.”
21Oleh itu, di antara orang yang telah berserta dengan kita sepanjang masa Junjungan Isa, keluar masuk bersama kita, 22dari masa Isa diimadkan oleh Yahya sampailah ke hari Dia diangkat naik dari kalangan kita, seorang daripada mereka haruslah menjadi saksi di samping kita tentang kebangkitan-Nya.’
23Mereka mencadangkan dua orang: Yusuf yang juga dipanggil Barsabas (juga dikenali sebagai Yustus), dan Matias. 24Mereka pun berdoa, ‘Ya Tuhan yang mengetahui hati sekalian manusia, tunjukkanlah yang mana antara dua orang ini Engkau pilih 25untuk memegang jawatan ini serta menjalankan kerja kerasulan bagi menggantikan Yudas. Ini kerana Yudas telah meninggalkan jawatan dan pekerjaan ini untuk pergi ke tempat yang wajar baginya.’ 26Mereka membuang undi lalu terkena kepada Matias. Dia pun diambil menyertai sebelas rasul itu.
↑ ↑ ↑ 2
1Apabila tiba Hari Pentakosta, mereka semuanya bersama-sama di suatu tempat. 2Tiba-tiba kedengaran bunyi dari langit seperti angin kencang menderu, memenuhi seluruh rumah tempat mereka sedang duduk. 3Kemudian kelihatan lidah-lidah yang berbelah-belah, seperti api rupanya, dan setiap satu hinggap di atas setiap orang daripada mereka. 4Mereka semuanya dipenuhi Roh Suci lalu mulai bertutur dalam pelbagai bahasa asing, seperti yang diberi oleh Roh itu.
5Pada waktu itu terdapat orang Yahudi yang salih daripada segala bangsa di dunia tinggal di Baitulmaqdis. 6Apabila mendengar bunyi itu, mereka datang beramai-ramai lalu tercengang kerana masing-masing mendengar orang bertutur dalam bahasanya. 7Mereka hairan dan takjub lalu berkata sesama sendiri, ‘Bukankah semuanya yang berkata-kata ini orang Galilea? 8Bagaimanakah mungkin masing-masing kita mendengar bahasa ibunda sendiri? 9Orang Partia, Media, dan Elam, orang yang tinggal di Mesopotamia, Yudea dan Kapadokia, Pontus dan Asia Kecil. 10Frigia dan Pamfilia, Mesir dan kawasan-kawasan Libya yang bersempadan dengan Kirene, pengunjung dari Rom, 11baik berbangsa Yahudi mahupun mualaf, orang Kreta dan orang Arab, kita mendengar mereka bercakap dalam bahasa kita masing-masing tentang perbuatan Allah yang menakjubkan.’ 12Oleh itu mereka hairan dan bingung lalu bertanya sesama sendiri, ‘Apakah ertinya semua ini?’
13Ada pula yang mengejek, ‘Semua orang ini mabuk air anggur manis.’
14Petrus berdiri bersama sebelas rasul lagi lalu berkata dengan suara yang lantang, ‘Saudarasaudara orang Yahudi dan semua penduduk di Baitulmaqdis, ketahuilah hal ini serta dengarlah baikbaik kata-kataku. 15Mereka ini bukanlah mabuk seperti saudara-saudara sangka, kerana hari baru pukul sembilan pagi sekarang. 16Tetapi inilah yang dikatakan oleh Nabi Yoel:
17‘ “Bahawa akan berlaku pada akhir zaman, firman Allah, Aku akan mencurahkan Roh-Ku ke atas semua manusia. Anakmu lelaki perempuan akan bernubuat, Orang mudamu akan melihat penglihatan, Orang tuamu akan bermimpi.
18Dan ke atas hamba-Ku lelaki perempuan, Aku akan mencurahkan Roh-Ku ketika itu, lalu mereka bernubuat. 19Aku akan menunjukkan keajaiban di langit dan alamat di bumi, darah dan api serta kepulan-kepulan asap.
20Matahari akan menjadi gelap, dan bulan menjadi seperti darah, sebelum tiba hari Tuhan yang besar dan syahdu.
21Dan berlakulah kelak, bahawa sesiapa yang menyeru nama Tuhan akan diselamatkan.”
22‘Saudara-saudara orang Israel, dengarlah kata-kata ini: Isa orang Nasaret itu seorang Manusia yang dipersaksikan oleh Allah kepadamu dengan mukjizat, keajaiban dan alamat yang dilakukan Allah melalui-Nya di kalangan kamu. Kamu sendiri tahu tentang hal itu. 23Dia, yang diserahkan kepadamu seperti yang telah dirancangkan dan ditentukan oleh Allah, telah kamu salib dan bunuh dengan bantuan orang durjana. 24Allah telah membangkitkan-Nya, setelah membebaskan-Nya daripada kesengsaraan maut, kerana tidak mungkin maut dapat menahan-Nya. 25Kerana Daud telah berkata tentang-Nya: ‘ “Bahawa aku telah melihat Tuhan sentiasa di hadapanku. Dia ada di sisi kananku, aku tidak akan goyah.
26Maka hatiku bersukacita, dan lidahku bergembira; dan jasadku juga akan bersandar pada harapan.
27Kerana Kau tidak akan meninggalkan rohku di alam maut, serta Kau tidak akan membiarkan jasad Orang Suci-Mu reput.
28Kau telah memberitahuku jalan hidup, dan Engkau akan memenuhiku dengan kebahagiaan di hadirat-Mu.”
29‘Saudara-saudaraku, aku akan bercakap terus terang kepadamu tentang moyang kita Daud, bahawa dia telah wafat dan dimakamkan, dan makamnya ada di tanah kita sampai hari ini. 30Oleh sebab dia seorang nabi dan sedar bahawa Allah telah berjanji kepadanya dengan bersumpah bahawa Dia akan mengangkat daripada benih keturunan jasadnya dan mendudukkannya di atas takhta kerajaan-Nya.
31Dia telah melihat terdahulu hal ini, maka dia bercakap tentang kebangkitan al-Masih, bahawa roh-Nya tidak akan ditinggalkan di alam maut, dan jasad-Nya tidak akan reput. 32Allah telah membangkitkan Isa ini dan kami semua menyaksikannya. 33Dia telah dinaikkan ke syurga ke sebelah kanan Allah, dan daripada Allah Bapa dia telah menerima Roh Suci yang telah dijanjikan-Nya. Lalu Dia mencurahkan Roh itu seperti yang kamu lihat dan dengar sekarang. 34Daud tidak naik ke syurga, tetapi dia sendiri berkata demikian, ‘ “Tuhan berfirman kepada Junjunganku: ‘Duduklah di sebelah kanan-Ku,
35sehingga Kujadikan musuh-musuh-Mu alas kaki-Mu.’ ”
36‘Oleh itu, hendaklah seluruh orang Israel tahu dengan pastinya, bahawa Allah telah menjadikan Isa, yang kamu salib itu, Junjungan dan al-Masih.’ 37Apabila mereka mendengar ini, hati mereka pun berasa tertusuk, lalu mereka berkata kepada Petrus dan para rasul yang lain, ‘Saudara-saudara, apakah yang patut kami perbuat?’
38Petrus pun berkata kepada mereka, ‘Bertaubatlah, dan hendaklah setiap orang daripada kamu diimadkan atas nama Isa al-Masih supaya dosa-dosamu diampunkan; dan kamu akan menerima pemberian Roh Suci daripada Allah; 39kerana janji itu telah dibuat kepada kamu dan anak-anakmu, dan kepada semua yang jauh-jauh, seberapa ramai yang akan dipanggil oleh Allah Tuhan kita.’
40Petrus bersaksi dengan banyak perkataan lain lagi, dan menyeru mereka, ‘Selamatkanlah dirimu daripada angkatan yang ingkar ini.’ 41Kemudian semua orang yang menerima kata-katanya dengan rela hati diimadkan; pada hari itu bilangan mereka bertambah kira-kira tiga ribu orang.
42Mereka berpegang teguh kepada pengajaran para rasul, dan kepada perpaduan, pembahagian roti dan doa. 43Rasa takut memenuhi setiap hati dan banyak keajaiban serta alamat dilakukan melalui para rasul itu. 44Ketika itu semua yang beriman tetap bersatu dan berkongsi segala yang ada pada mereka, 45serta menjual semua harta benda mereka lalu membahagikan antara mereka menurut keperluan seseorang. 46Demikianlah setiap hari mereka di rumah ibadat dengan satu hati, dan membahagi roti dari rumah ke rumah, lalu memakan rezeki mereka dengan sukacita dan tulus hati, 47sambil memuji Allah dan menerima rasa muhibah daripada semua orang. Setiap hari Tuhan menambah bilangan jemaah mereka itu dengan orang yang diselamatkan.
↑ ↑ ↑ 3
1Petrus dan Yahya naik ke rumah ibadat bersama-sama pada waktu sembahyang, iaitu pukul tiga petang. 2Ada seorang lumpuh sejak dari rahim ibunya. Setiap hari dia diangkat orang dan diletakkan di pintu rumah ibadat itu yang dinamakan Pintu Indah, untuk meminta sedekah daripada orang yang masuk ke rumah ibadat itu. 3Apabila dia melihat Petrus dan Yahya sedang hendak masuk ke rumah ibadat itu, dia pun meminta sedekah. 4Petrus merenungnya, bersama Yahya, lalu berkata, ‘Pandanglah kami.’ 5Orang itu pun menatap mereka, dengan harapan mendapat sesuatu daripada mereka. 6Kemudian Petrus berkata, ‘Emas perak tiada padaku, tetapi apa yang ada padaku kuberikan kepadamu: Dalam nama Isa al-Masih, orang Nasaret, bangkit dan berjalanlah.’ 7Petrus memegang tangan kanannya dan menolongnya berdiri, lalu serta-merta tulang kaki dan buku lalinya mendapat kekuatan. 8Orang itu melompat bangun, berdiri lalu berjalan. Kemudian dia masuk ke rumah ibadat itu mengikut Petrus dan Yahya sambil berjalan, melompat dan memuji Allah. 9Semua orang melihatnya berjalan sambil memuji Allah. 10Ketika itu mereka pun mengetahui dia itu orang yang duduk meminta sedekah di Pintu Indah rumah ibadat itu. Mereka pun dipenuhi rasa hairan dan ajaib akan apa yang telah berlaku kepadanya.
11Sementara orang lumpuh yang telah disembuhkan itu berpegang kepada Petrus dan Yahya, semua orang yang tersangat hairan itu berlari mengerumuni mereka di serambi yang dinamakan Serambi Sulaiman. 12Apabila Petrus melihat keadaan ini, dia terus berkata kepada orang yang berhimpun itu, ‘Saudara-saudara orang Israel, mengapa kamu takjub melihat kejadian ini? Mengapa pula kamu merenung kami, seolah-olah dengan kuasa atau kewarakan kami sendiri kami telah membolehkan orang ini berjalan? 13Tuhan Ibrahim, Ishak dan Yakub, Tuhan nenek moyang kita, telah memuliakan Hamba-Nya Isa yang telah kamu serahkan dan sangkal di hadapan Pilatus walaupun dia membuat keputusan hendak melepaskan-Nya. 14Kamu menyangkal Yang Suci dan Benar itu, serta meminta seorang pembunuh diserahkan kepadamu, 15lalu kamu membunuh sumber hayat itu; Allah membangkitkan-Nya daripada kematian, dan kami ini menjadi saksinya. 16Iman pada nama Isa telah menguatkan orang ini, yang kamu lihat dan kenali. Ya, iman yang datang daripada-Nya telah memberi orang ini kesihatan yang sempurna di hadapan kamu sekalian.
17‘Namun, saudara-saudara, aku tahu bahawa kamu berbuat demikian dalam kejahilan, begitu juga para pemimpinmu. 18Tetapi dengan cara demikianlah segala yang dinyatakan Allah melalui lidah nabi-nabi-Nya, bahawa al-Masih akan menderita, telah ditunaikan-Nya. 19Oleh itu bertaubatlah dan berpalinglah kepada Allah, supaya dosa-dosamu dihapuskan, dan supaya masa yang memberikan kesegaran datang kelak daripada Tuhan. 20Dan juga supaya Dia menghantar Isa al-Masih yang telah ditentukan-Nya menjadi al-Masih bagimu. 21Al-Masih mesti tetap di syurga hingga sampai masa Allah memulihkan segala-galanya, seperti yang difirmankan-Nya dahulu kala melalui lidah nabi-nabi-Nya yang suci. 22Musa sesungguhnya telah berkata kepada nenek moyang kita, “Allah Tuhanmu akan membangkitkan untukmu seorang Nabi sepertiku dari kalangan saudara-saudaramu. Dengarlah segala kata-Nya kepadamu dalam semua hal. 23Setiap jiwa yang tidak mendengar kata Nabi itu akan dibinasakan sama sekali dari kalangan kaumnya.”
24‘Ya, semua nabi, dari Samuel dan selepasnya, semua yang telah bersuara, juga telah bernubuat tentang zaman ini. 25Kamu adalah anak cucu nabi-nabi itu, dan waris perjanjian yang dibuat Allah dengan nenek moyang kita melalui firman-Nya kepada Ibrahim, “Melalui benihmu semua kaum di dunia akan diberkati.” 26Pertama sekali kepada kamu, Allah telah membangkitkan Hamba-Nya Isa dan menghantar-Nya untuk memberkatimu dengan memalingkan kamu sekalian daripada kejahatanmu.’
↑ ↑ ↑ 4
1Sementara Petrus dan Yahya itu bercakap kepada orang ramai, para imam dan ketua pengawal rumah ibadat serta orang Saduki datang kepada mereka. 2Mereka sangat gelisah bahawa rasul itu mengajar orang ramai dan memberitakan kebangkitan daripada kematian melalui Isa. 3Mereka menangkap Petrus dan Yahya lalu memasukkan mereka ke dalam penjara sampai esok kerana hari sudah malam. 4Namun demikian, ramai orang yang telah mendengar apa yang diajarkan itu percaya, dan jumlah laki-laki telah bertambah kira-kira lima ribu.
5Pada esoknya, para pemimpin masyarakat Yahudi, tua-tua dan guru-guru Taurat berhimpun di Baitulmaqdis, 6dan juga imam besar Hanas, Kayafas, Yahya, Iskandar dan seluruh keluarga imam besar. 7Mereka membawa Petrus dan Yahya untuk dihadapkan kepada mereka. Kemudian mereka pun bertanya, ‘Dengan kuasa apa dan dengan nama siapakah kamu telah melakukan perkara itu?’
8Petrus yang dipenuhi Roh Suci berkata kepada mereka, ‘Para pemimpin masyarakat Israel!
9Sekiranya hari ini kami dihakimi atas perbuatan baik kepada seorang yang lumpuh, sehingga dia dipulihkan, 10maka ketahuilah kamu sekalian dan seluruh bangsa Israel, bahawa dengan nama Isa al-Masih dari Nasaret, yang telah kamu salib dan telah dibangkitkan Allah daripada kematian, dengan nama Dialah orang ini berdiri di sini di hadapanmu dalam keadaan sihat sempurna. 11Inilah ‘ “batu yang dibuang oleh kamu sebagai pembina, kini telah menjadi batu penjuru.”
12Tiadalah penyelamatan melalui sesiapa yang lain, kerana tiada nama lain di bawah langit ini diberikan di kalangan manusia, yang dapat menyelamatkan kita.’
13Apabila mereka melihat keberanian Petrus dan Yahya sedangkan kedua-duanya ternyata orang yang tidak berpelajaran serta tidak terlatih, mereka pun hairan. Mereka sedar bahawa kedua-duanya telah bersama dengan Isa. 14Apabila mereka melihat orang yang sudah disembuhkan itu berdiri di sisi kedua-duanya, mereka tidaklah dapat menyangkal lagi. 15Tetapi setelah mereka menyuruh kedua-duanya keluar dari majlis itu, mereka pun bermesyuarat sesama sendiri, 16‘Apakah yang akan kita lakukan kepada mereka itu? Sesungguhnya sudah nyata kepada semua orang Baitulmaqdis bahawa satu mukjizat yang mengagumkan telah dilakukan melalui mereka, dan kita tidak dapat menafikannya. 17Tetapi supaya berita ini tidak tersebar lebih luas di kalangan bangsa kita, eloklah kita melarang mereka berkata-kata lagi kepada sesiapapun dengan menggunakan nama itu.’
18Dengan demikian mereka pun memanggil kedua-duanya itu dan mengeluarkan perintah jangan sekali-kali bercakap atau mengajar dengan nama Isa. 19Tetapi Petrus dan Yahya menjawab, ‘Wajarkah pada pandangan Allah jika kami mendengar katamu lebih daripada mendengar kata Allah? Timbangkanlah, 20kerana kami mesti bercakap tentang segala yang telah kami lihat dan dengar itu.’
21Setelah membuat beberapa ugutan lagi, mereka melepaskan kedua-dua rasul itu kerana tidak tahu bagaimana hendak menghukum mereka, memandangkan seluruh masyarakat memuji Allah atas apa yang telah dilakukan itu; 22padahal orang yang disembuhkan melalui mukjizat itu sudah berumur lebih daripada empat puluh tahun.
23Setelah dilepaskan, Petrus dan Yahya segera pergi mendapatkan rakan-rakannya lalu menceritakan segala yang dikatakan oleh imam-imam besar dan para pemimpin masyarakat itu kepada mereka. 24Apabila mendengar segalanya, mereka semua berseru dengan satu hati, ‘Ya Allah, Engkaulah Tuhan yang menjadikan langit dan bumi serta laut dengan segala isinya, 25yang melalui lidah hamba-Mu Daud telah berfirman: ‘ “Mengapa bangsa-bangsa asing naik berang dan kaum-kaum berkomplot dengan sia-sia?
26Raja-raja bumi ini menegakkan pendirian, dan para pemimpin bermuafakat untuk melawan Tuhan dan melawan Dia yang diurapi-Nya.”
27Sesungguhnya Herodes dan Pontius Pilatus, bersama orang asing dan bangsa Israel telah berhimpun dalam negeri ini melawan Hamba Suci-Mu Isa yang telah Kauurapi, 28untuk melakukan segala yang sudah ditentukan oleh kuasa dan tujuan-Mu. 29Ya Tuhan, lihatlah ugutan mereka dan kurniakanlah kepada hamba-hamba-Mu ini, sepenuh keberanian untuk menyampaikan firman-Mu.
30Hulurkan tangan-Mu untuk menyembuhkan, dan melakukan tanda-tanda ajaib serta mukjizat dengan nama Hamba Suci-Mu Isa.’
31Setelah mereka berdoa, tempat mereka berhimpun itu bergoncang. Mereka semua dipenuhi dengan Roh Suci dan mengucap firman Allah dengan berani.
32Semua orang yang sudah percaya itu sehati sejiwa. Tiada seorang pun yang mengatakan sesuatu itu miliknya; mereka berkongsi segalanya. 33Dengan kuasa yang hebat rasul-rasul itu bersaksi tentang kebangkitan Junjungan Isa. Kasih kurnia besar melimpahi mereka sekalian. 34Tiada seorang pun di antara mereka yang kekurangan; kerana semua yang memiliki harta atau rumah telah menjualnya, membawa wang jualan itu 35dan meletakkannya di kaki para rasul; lalu dibahagikanlah di antara mereka menurut keperluan masing-masing.
36Yusuf yang digelar para rasul Barnabas (yang diterjemahkan sebagai Anak Pendorong), orang Lewi dari Kuprus, 37ada mempunyai tanah. Dia menjualnya lalu membawa wang jualan itu, dan meletakkannya di kaki para rasul.
↑ ↑ ↑ 5
1Seorang yang bernama Ananias, serta isterinya Safira, telah menjual sebidang tanah milik mereka. 2Dia menyimpan sebahagian wang jualan itu dengan pengetahuan isterinya dan membawa sebahagian lagi untuk diletakkan di kaki para rasul.
3Petrus berkata, ‘Ananias, mengapakah Iblis memenuhi hatimu sehingga kau berdusta kepada Roh Suci dengan menyimpan sebahagian wang jualan tanah itu untuk dirimu? 4Ketika tanah itu masih ada, bukankah tanah itu milikmu? Setelah dijual, bukankah wangnya dalam kawalanmu juga? Mengapakah kamu membentuk niat ini dalam hatimu? Kamu bukan berdusta kepada manusia tetapi kepada Allah.’
5Apabila Ananias mendengar kata-kata itu, dia pun rebah lalu meninggal dunia. Oleh yang demikian semua orang yang mendengar hal itu amat ketakutan. 6Orang muda-muda bangun lalu mengkafankannya, mengangkatnya keluar dan menguburkannya.
7Kira-kira tiga jam kemudian, isterinya masuk tanpa mengetahui apa yang telah terjadi. 8Petrus berkata kepadanya, ‘Katakanlah kepadaku, adakah kamu menjual tanah itu dengan harga sekian?’ Perempuan itu menjawab, ‘Ya, dengan harga sekian.’
9Petrus berkata kepadanya, ‘Bagaimana pula kamu berdua telah bermuafakat untuk mencubai Roh Tuhan? Lihatlah, kaki orang yang telah menguburkan suamimu ada di muka pintu, dan mereka akan mengangkatmu pula keluar.’
10Perempuan itu serta-merta rebah di kakinya lalu meninggal dunia. Orang muda-muda itu masuk dan mendapati perempuan itu sudah mati lalu mengangkatnya keluar dan menguburkannya di sisi suaminya. 11Oleh yang demikian, seluruh masyarakat yang beriman amat ketakutan, begitu juga semua yang mendengar hal itu.
12Melalui rasul-rasul itu banyak alamat ajaib dan mukjizat dilakukan di kalangan masyarakat itu. Semuanya berhimpun dengan sehati di Serambi Sulaiman. 13Walaupun orang lain tidak berani menyertai mereka, namun orang ramai sangat menghormati mereka. 14Semakin lama semakinlah bertambah bilangan orang yang mempercayai Tuhan, baik lelaki mahupun perempuan. 15Orang membawa orang sakit keluar ke tengah jalan, membaringkan mereka di atas katil dan kaus, dengan harapan sekurang-kurangnya bayang-bayang Petrus akan menyentuh sesetengahnya apabila dia lalu kelak. 16Ramai pula orang dari kota-kota sekeliling Baitulmaqdis datang berhimpun, membawa orang yang sakit dan yang dirasuk roh-roh durjana, lalu semuanya disembuhkan.
17Imam besar dan semua yang bersamanya (iaitu dari mazhab orang Saduki) amat iri hati 18lalu menangkap rasul-rasul itu dan memasukkan mereka ke penjara umum. 19Tetapi pada malam itu malaikat Tuhan membuka pintu penjara lalu membawa rasul-rasul itu keluar sambil berkata,
20‘Pergilah berdiri di rumah ibadat dan nyatakan segalanya tentang hidup baru ini kepada orang ramai.’ 21Setelah mendengar kata-kata itu, ketika fajar menyingsing, mereka pergi ke rumah ibadat dan mula mengajar. Kemudian tibalah imam besar dan pengikut-pengikutnya. Mereka memanggil para tua-tua bani Israel berkumpul untuk mengadakan mesyuarat Majlis Agama, lalu memerintahkan rasul-rasul itu dibawa dari penjara untuk dihadapkan kepada mereka. 22Apabila pegawai-pegawai itu sampai di penjara dan mendapati rasul-rasul itu tidak ada di situ, mereka pun pulang melaporkan hal itu, 23‘Kami dapati pintu penjara tetap berkunci dan pengawal-pengawal berjaga di situ, tetapi apabila kami membuka pintu, kami dapati tiada seorang pun di dalam penjara itu.’ 24Apabila ketua rumah ibadat dan ketua-ketua imam mendengar laporan itu, mereka kebingungan tentang apa yang mungkin terjadi kelak.
25Kemudian seorang lelaki masuk dan berkata kepada mereka, ‘Orang yang tuan-tuan penjarakan itu sedang mengajar orang ramai di dalam rumah ibadat!’ 26Dengan demikian, ketua rumah ibadat pergi diiringi pegawai-pegawai lalu membawa rasul-rasul itu beredar dari situ tanpa menggunakan kekerasan, kerana takut direjam oleh orang ramai.
27Mereka membawa para rasul ke hadapan Majlis Agama. Imam besar berkata, 28‘Bukankah kami telah melarang keras kamu mengajar atas nama itu? Tetapi lihatlah, kamu telah menyebarkan ajaran itu ke serata Baitulmaqdis dan berniat mempertanggungjawabkan kami atas kematian-Nya!’
29Petrus dan rasul yang lain menjawab, ‘Kami harus taat akan Allah, bukan manusia! 30Allah Tuhan yang disembah oleh nenek moyang kita telah membangkitkan Isa yang telah kamu bunuh dengan menyalib-Nya. 31Allah mengangkat Isa kepada kedudukan mulia di sebelah kanan-Nya, sebagai Anak Raja dan Penyelamat, supaya umat Israel dapat bertaubat dan dosa-dosa mereka diampuni. 32Kami menjadi saksi dalam semua hal ini, begitu juga Roh Suci yang dikurniai Allah kepada semua yang taat akan perintah-Nya.’
33Apabila anggota-anggota Majlis Agama mendengar kata-kata itu, mereka sangat marah sehingga berura-ura hendak membunuh para rasul. 34Akan tetapi di kalangan anggota Majlis Agama itu ada seorang Farisi bernama Gamaliel, seorang guru Taurat yang sangat disegani. Dia bangkit lalu mengarahkan orang membawa para rasul keluar sejurus. 35Kemudian dia berkata kepada Majlis Agama, ‘Saudara-saudara orang Israel! Timbangkan halus-halus apa yang hendak saudara semua lakukan terhadap orang itu. 36Suatu masa dulu, Teudas telah bangkit dan mengaku dirinya pemimpin besar. Kira-kira empat ratus orang menjadi pengikutnya. Tetapi dia dibunuh, lalu semua pengikutnya kucar-kacir dan pergerakannya hilang begitu saja. 37Selepas itu muncul pula Yudas, orang Galilea, pada masa pembancian. Dia mempengaruhi ramai orang untuk memberontak, namun dia juga dibunuh, lantas semua pengikutnya kucar-kacir. 38Dengan demikian, dalam hal ini, aku cadangkan jangan ambil apa-apa tindakan terhadap orang itu. Bebaskan mereka. Kalau rancangan atau usaha ini daripada manusia, segalanya akan hilang begitu saja. 39Sebaliknya, kalau segalanya itu datang daripada Allah, saudara-saudara tidak mungkin menumpaskannya, malah mungkin akan ternyata bahawa saudara-saudara melawan Allah.’
40Majlis Agama menerima nasihat Gamaliel. Para rasul dipanggil, dipukul, dilarang lagi bercakap dengan nama Isa, lalu dibebaskan.
41Ketika beredar pergi dari Majlis Agama, para rasul bersukacita kerana dianggap layak menanggung aib atas nama Isa. 42Setiap hari, di rumah ibadat dan di setiap rumah orang, mereka terusmenerus mengajarkan dan menyebarkan bahawa Isa itulah al-Masih, Penyelamat yang diutus Allah.
↑ ↑ ↑ 6
1Tidak berapa lama selepas itu, ketika pengikut Isa kian meningkat bilangannya, timbullah aduan daripada orang Yahudi peranakan Yunani terhadap orang Yahudi Ibrani. Orang Yahudi peranakan Yunani berkata bahawa balu di kalangan mereka diabaikan dalam pengagihan bantuan harian.
2Dengan demikian, dua belas rasul itu menghimpunkan semua pengikut Isa lalu berkata, ‘Kami ini tidaklah wajar mengetepikan kewajipan menyebarkan firman Allah untuk melayan di meja makan. 3Oleh itu, pilihlah tujuh orang di kalangan saudara-saudara yang mempunyai nama baik dan dipenuhi Roh Suci serta kebijaksanaan, supaya kami tugaskan mereka mengendalikan hal itu.
4Kami akan memenuhi masa kami dengan berdoa dan menyampaikan firman Allah.’
5Semua bersetuju dengan cadangan para rasul. Mereka memilih Stefanus, seorang yang sangat teguh imannya serta dikuasai oleh Roh Suci. Di samping itu mereka memilih Filipus, Prokhorus, Nikanor, Timon, Parmenas, dan Nikolaus dari Antiokhia, seorang penganut agama Yahudi. 6Tujuh orang itu dibawa ke hadapan para rasul. Para rasul pun berdoa dan meletakkan tangan ke atas mereka. 7Dengan demikian firman Allah semakin tersebar dan bilangan pengikut Isa di Baitulmaqdis kian meningkat, dan ramai imam menjadi orang beriman.
8Stefanus, yang dipenuhi iman dan kuasa rohani, banyak melakukan keajaiban dan alamat di kalangan orang ramai. 9Tetapi ada beberapa orang yang bangkit menentangnya, iaitu anggota saumaah yang disebut Saumaah Orang Yang Dibebaskan (terdiri daripada orang Yahudi dari Kirene, Iskandaria, Kilikia dan Asia). Mereka mulai berbahas dengan Stefanus. 10Namun, mereka tidak dapat menewaskan kebijaksanaan dan Roh Suci yang mengilhamkan kata-katanya.
11Setelah itu mereka senyap-senyap mendorong beberapa orang berkata, ‘Kami telah mendengar dia melafazkan kata-kata kufur terhadap Musa dan Allah.’
12Mereka menghasut orang ramai, tua-tua dan guru-guru Taurat sehingga Stefanus ditangkap dan dihadapkan ke Majlis Agama. 13Mereka membawa saksi-saksi palsu yang berkata tentang Stefanus, ‘Orang ini tidak putus-putus meluahkan kata-kata kufur tentang tempat suci ini dan hukum agama kita. 14Kami mendengar dia berkata bahawa Isa orang Nasaret itu akan membinasakan tempat ini dan mengubah segala adat yang telah disampaikan kepada kita oleh Musa.’
15Ketika itu semua orang yang duduk di Majlis Agama merenung Stefanus dan melihat mukanya seperti wajah malaikat.
↑ ↑ ↑ 7
1Kemudian imam besar bertanya kepada Stefanus, ‘Benarkah segala tuduhan ini?’ 2Stefanus menjawab, ‘Bapa-bapa dan saudara-saudara! Dengarlah: Sebelum moyang kita Ibrahim berpindah ke Haran, Allah Yang Maha Tinggi telah menampakkan diri kepadanya di Mesopotamia. 3Allah berfirman kepadanya, “Tinggalkanlah negerimu dan keluargamu. Pergilah ke negeri yang akan Kutunjukkan kepadamu.”
4‘Ibrahim pun terus meninggalkan negeri Kasdim dan tinggal di Haran. Setelah bapa Ibrahim meninggal dunia, Allah memindahkan pula Ibrahim ke negeri tempat saudara-saudara dan bapabapa tinggal sekarang ini. 5Ketika itu Allah tidak memberikan warisan apapun kepada Ibrahim sebagai miliknya, secebis tanah pun tidak. Namun begitu, Allah berjanji akan mengurniakan tanah ini kepada Ibrahim sebagai miliknya dan milik keturunannya, walaupun pada masa itu Ibrahim tidak mempunyai anak. 6Namun Allah berfirman kepadanya bahawa keturunannya akan tinggal di negeri orang, dan akan diperhamba serta ditindas selama empat ratus tahun. 7“Aku akan menghukum bangsa yang memperhamba mereka,” Allah berfirman. “Kemudian mereka akan keluar dari negeri itu dan menyembah-Ku di sini.” 8Kemudian Allah membuat perjanjian sunat dengan Ibrahim; maka Ibrahim mendapat anak lelaki bernama Ishak dan menyunatkannya pada hari kelapan; Ishak mendapat Yakub dan Yakub mendapat dua belas orang anak lelaki yang menjadi nenek moyang bangsa kita.
9‘Nenek moyang bangsa kita itu menaruh hasad dengki terhadap Yusuf lalu menjualnya sebagai hamba di Mesir. Tetapi Allah menyertainya 10dan menyelamatkannya daripada segala kesusahannya. Apabila Yusuf mengadap Firaun raja Mesir, Allah mengurniainya budi dan kebijaksanaan, sehingga raja Mesir melantiknya menjadi gabenor yang berkuasa ke atas seluruh negeri itu dan istananya.
11‘Kemudian seluruh Mesir dan Kanaan dilanda kebuluran, dan nenek moyang kita tidak dapat mencari makanan. 12Apabila Yakub mendengar bahawa di Mesir ada gandum, dia menyuruh anakanaknya, nenek moyang kita, pergi ke situ bagi kali pertama. 13Ketika mereka ke sana bagi kali kedua, Yusuf diperkenalkan kepada saudara-saudaranya itu dan keluarga Yusuf diketahui oleh Firaun.
14Lalu Yusuf mengirim khabar dan meminta bapanya, Yakub, serta seluruh keluarganya berpindah ke Mesir; tujuh puluh lima orang semuanya. 15Yakub sekeluarga pun berpindah ke Mesir. Di situlah dia dan nenek moyang kita meninggal dunia. 16Jenazah mereka dibawa ke Sikhem dan dikebumikan di kuburan yang telah dibeli oleh Ibrahim dengan sejumlah wang daripada suku Hamor, bapa Sikhem.
17‘Apabila masa bagi Allah menunaikan janji-Nya kepada Ibrahim semakin hampir, bilangan bangsa kita di Mesir telah meningkat banyak sekali. 18Kemudian seorang raja lain yang tidak kenal akan Yusuf naik takhta kerajaan Mesir. 19Raja itu memperdaya bangsa kita dan menindas nenek moyang kita, dengan memaksa mereka membuang bayi yang baru lahir dan membiarkannya mati.
20‘Pada masa itulah Musa dilahirkan, seorang bayi yang elok di mata Allah. Dia dipelihara di rumah bapanya selama tiga bulan. 21Apabila dia terpaksa dibuang, puteri Raja Mesir mengambilnya dan memeliharanya sebagai anak sendiri. 22Musa menjadi arif dalam segala ilmu pengetahuan serta kebijaksanaan orang Mesir dan menjadi seorang yang sangat handal, baik dari segi perkataan mahupun perbuatan.
23‘Sewaktu Musa berusia empat puluh tahun, hatinya tergerak hendak mengunjungi saudarasaudaranya bani Israel. 24Dia terpandang salah seorang daripada mereka sedang dianiaya oleh seorang Mesir. Dia pun membela orang yang dianiaya itu dan membunuh orang Mesir itu; 25kerana Musa menyangka saudara-saudara sebangsanya mengerti bahawa Allah akan membebaskan mereka melaluinya, tetapi mereka tidak mengerti. 26Esoknya, dia terlihat pula dua orang Israel sedang bergaduh lalu cuba mendamaikan mereka, katanya, “Kamu bersaudara. Mengapa kamu saling menganiaya?”
27‘Tetapi orang yang menganiaya saudara sebangsanya itu menolak Musa ke tepi sambil bertanya, “Siapa yang menjadikan kamu pemerintah dan hakim kami? 28Adakah kamu ingin membunuhku seperti kamu membunuh orang Mesir itu kelmarin?” 29Ketika Musa mendengar kata-kata itu, dia lari dari Mesir lalu menetap di negeri Midian. Di situ dia mendapat dua orang anak lelaki.
30‘Empat puluh tahun kemudian, malaikat menampakkan diri kepada Musa di dalam api belukar yang bernyala, di tanah gurun dekat Gunung Sinai. 31Musa kehairanan melihatnya lalu menghampirinya. Dia mendengar suara Tuhan berfirman, 32“Akulah Tuhan nenek moyangmu; Tuhan Ibrahim, Ishak dan Yakub.” Musa gementar ketakutan dan tidak berani memandang lagi.
33‘Tuhan berfirman seterusnya, “Tanggalkan kasutmu, kerana tempat kamu berdiri itu tanah suci.
34Aku telah melihat penindasan umat-Ku di Mesir. Aku telah mendengar rintihan mereka, dan telah turun untuk membebaskan mereka. Sekarang marilah, Aku akan mengutusmu ke Mesir.”
35‘Musa inilah yang telah ditolak oleh umat Israel dengan kata-kata, “Siapa yang menjadikan kamu pemerintah dan hakim kami?” Justeru dialah yang diutus Allah sebagai pemerintah dan pembebas, melalui malaikat yang menampakkan diri kepadanya di belukar itu. 36Musa memimpin orang Israel keluar dari Mesir setelah melakukan pelbagai mukjizat dan keajaiban di Mesir, di Laut Merah dan kemudian di tanah gurun selama empat puluh tahun.
37‘Musa inilah yang berkata kepada bangsa Israel, “Allah akan mengutus seorang Nabi kepadamu, sebagaimana Dia telah mengutusku dari kalangan bangsamu.” 38Musa inilah yang bersama bangsa Israel berhimpun di tanah gurun. Dia di sana berserta nenek moyang kita dan malaikat yang berkatakata kepadanya di Gunung Sinai. Dialah yang menerima firman hidup, untuk disampaikan kepada kita. 39‘Tetapi nenek moyang kita enggan taat kepadanya. Mereka menolaknya dan dalam hati mereka berpaling semula ke Mesir. 40Mereka berkata kepada Harun, “Buatkan kami patung pujaan yang dapat memimpin kami, kerana kami tidak tahu apa yang telah terjadi kepada Musa yang membawa kami keluar dari Mesir.” 41Setelah itu mereka membuat berhala berbentuk anak lembu dan mempersembahkan korban kepada berhala itu. Mereka bersuka ria meraikan buatan tangan mereka sendiri. 42Oleh itu Allah berpaling daripada mereka dan membiarkan mereka menyembah segala yang di langit. Demikianlah yang tersurat di dalam kitab nabi-nabi: ‘ “Adakah kamu mempersembahkan kepada-Ku binatang sembelihan dan korban selama empat puluh tahun di tanah gurun, hai orang Israel?
43Malah kamu mengusung khemah Molokh dan bintang berhalamu Refan, patung-patung yang kamu buat untuk kamu sembah; maka Aku akan membuangmu jauh ke seberang Babel.”
44‘Nenek moyang kita mempunyai Khemah Kesaksian di tanah gurun. Khemah ini dibuat sebagaimana yang diperintahkan kepada Musa menurut contoh yang telah dilihatnya. 45Nenek moyang kita, setelah menerimanya, bersama Yusak telah membawanya masuk ke negeri kita yang dikuasai oleh bangsa-bangsa asing. Allah telah mengusir bangsa-bangsa asing itu di hadapan mereka, dan khemah itu tetap di tanah tersebut hingga zaman Daud. 46Daud mendapat keredaan Allah dan memohon izin-Nya untuk membina sebuah rumah untuk Tuhan yang disembah oleh Yakub. 47Tetapi Sulaiman yang membina rumah untuk-Nya.
48‘Namun, Tuhan Yang Maha Tinggi tidak tinggal di dalam rumah buatan tangan manusia, seperti kata nabi:
49‘ “Syurga arasy-Ku, dan bumi alas kaki-Ku. Rumah apakah yang hendak kamu bina untuk-Ku, dan dimanakah tempat rehat-Ku?” firman Tuhan.
50‘ “Bukankah Aku sendiri yang telah mencipta semuanya?”
51‘Hai yang keras kepala dan tidak bersunat hati dan telingamu! Kamu sentiasa melawan Roh Suci sebagaimana yang dilakukan oleh nenek moyangmu. 52Nabi manakah yang tidak dianiaya oleh nenek moyangmu? Mereka membunuh nabi-nabi yang telah menubuatkan kedatangan Yang Benar itu, yang kamu khianati dan bunuh. 53Kamu telah menerima Taurat Allah yang disampaikan oleh malaikat, tetapi kamu tidak mematuhinya.’
54Apabila mendengar kata-kata ini, mereka tersangat sakit hati dan berang terhadap Stefanus.
55Akan tetapi dia dipenuhi Roh Suci lalu merenung ke langit dan melihat kemuliaan Allah serta Isa berdiri di sebelah kanan Allah. 56Dia berkata, ‘Lihatlah! Aku nampak syurga terbuka dan Putera Insan berdiri di sebelah kanan Allah!’
57Mereka pun bertempik sambil menutup telinga lalu menyerang Stefanus serentak. 58Mereka menyeret dia ke luar kota lalu merejamnya. Orang yang menyaksikan segalanya itu meletakkan jubah mereka di kaki seorang muda bernama Saul.
59Ketika mereka merejam Stefanus, dia berseru, ‘Junjungan Isa, terimalah rohku.’ 60Kemudian dia berlutut dan berteriak dengan suara yang kuat, ‘Junjungan, jangan tanggungkan dosa ini atas mereka.’ Setelah berkata demikian, dia pun meninggal dunia.
↑ ↑ ↑ 8
1Saul menyetujui kematian Stefanus. Pada masa itu penganiayaan yang dahsyat dilakukan terhadap jemaah di Baitulmaqdis; dan mereka pun bercerai-berai di serata Yudea dan Samaria, kecuali para rasul. 2Beberapa orang yang salih mengebumikan Stefanus dan amat meratapi kematiannya. 3Saul berusaha untuk menghapuskan jemaah; dia memasuki setiap rumah dan menyeret keluar lelaki perempuan lalu memasukkan mereka ke dalam penjara.
4Mereka yang bercerai-berai pergi merata-rata mengajarkan firman Allah. 5Kemudian Filipus pergi ke sebuah kota di Samaria dan memberitakan al-Masih kepada orang di situ. 6Apabila orang ramai mendengar apa yang dikatakan Filipus dan melihat segala keajaiban yang dilakukannya, mereka semua memperhatikan dengan sepenuh hati apa yang dikatakannya; 7kerana roh-roh durjana keluar sambil melolong daripada ramai orang yang kerasukan, manakala sebilangan besar yang lumpuh dan tempang telah disembuhkan. 8Seluruh kota itu amat bersukacita.
9Akan tetapi ada seorang lelaki bernama Simon, yang dahulunya mengamalkan sihir di situ dan mengagumkan orang Samaria serta mengaku dirinya seorang yang hebat. 10Mereka semua, daripada yang paling rendah tarafnya hinggalah kepada yang tertinggi, mendengar katanya. Mereka berkata, ‘Orang ini dikenal sebagai Kuasa Besar Allah.’ 11Mereka mendengar katanya kerana dia telah lama mengagumkan mereka dengan sihirnya. 12Namun apabila mereka mempercayai Filipus ketika dia bercakap tentang hal-hal berkaitan dengan kerajaan Allah dan nama Isa al-Masih, mereka pun diimadkan, baik lelaki mahupun perempuan. 13Kemudian Simon sendiri percaya; dan setelah diimadkan dia terus menyertai Filipus dan amat kagum melihat keajaiban serta alamat yang dilakukan.
14Apabila para rasul di Baitulmaqdis mendengar bahawa orang Samaria telah menerima firman Allah, mereka mengutus Petrus dan Yahya ke sana. 15Setelah sampai di situ, kedua-duanya berdoa semoga mereka menerima Roh Suci, 16kerana mereka belum lagi dipenuhi oleh-Nya. Mereka baru diimadkan sahaja dengan nama Junjungan Isa. 17Kemudian Petrus dan Yahya meletakkan tangan atas mereka lalu mereka menerima Roh Suci.
18Setelah Simon melihat betapa Roh Suci diberi ketika para rasul meletakkan tangan, dia menawarkan wang kepada mereka 19sambil berkata, ‘Berilah aku kuasa itu juga, supaya sesiapa yang kuletakkan tangan atasnya akan menerima Roh Suci.’
20Tetapi Petrus berkata kepadanya, ‘Punahlah wangmu bersamamu, kerana kamu menyangka kurnia Allah dapat dibeli dengan wang! 21Kamu tidak ada bahagian dalam pekerjaan kami, kerana hatimu tidak ikhlas di sisi Allah. 22Oleh itu bertaubatlah daripada kejahatanmu itu, dan berdoalah kepada Tuhan semoga kamu dapat diampuni kerana niat di hatimu itu; 23kerana kulihat kamu diracuni perasaan kepahitan dan dibelenggu dosa.’
24Simon menjawab, ‘Berdoalah kepada Tuhan untukku, supaya apa yang kamu sebutkan tadi tidak menimpaku.’
25Setelah mereka memberi kesaksian dan menyampaikan firman Tuhan, mereka pun pulang ke Baitulmaqdis, sambil menyebarkan perkhabaran baik tentang Isa di banyak kampung orang Samaria.
26Malaikat Tuhan berkata kepada Filipus, ‘Bangkit dan pergilah ke arah selatan di jalan antara Baitulmaqdis dengan Gaza. Sekarang tempat itu lengang.’ 27Dia pun bangkit lalu pergi. Ada seorang Habsyi, seorang sida-sida yang besar pangkatnya di bawah perintah Kandake, ratu negeri Habsyah, dan ditugaskan menjaga seluruh perbendaharaannya. Dia telah pergi ke Baitulmaqdis untuk sembahyang. 28Ketika dia sedang dalam perjalanan pulang dan sambil duduk di dalam kereta kudanya, dia membaca kitab Nabi Yasyaya. 29Roh Suci berkata kepada Filipus, ‘Pergi dekati kereta kuda itu.’ 30Filipus pun berlari mendapatkannya lalu mendengarnya membaca kitab Nabi Yasyaya. Filipus berkata, ‘Fahamkah apa yang kamu baca itu?’
31Jawabnya, ‘Bagaimana aku dapat memahaminya, kecuali ada orang yang membimbingku?’ Dia pun mengajak Filipus naik duduk di sisinya.
32Bahagian Kitab Suci yang dibacanya ialah: ‘Dia dibawa seperti domba untuk disembelih seperti anak domba yang senyap ketika bulunya digunting. Demikianlah Dia tidak membuka mulut. 33Dia dihina dan keadilan direntap daripada-Nya, maka siapa akan mengisahkan keturunan-Nya? Nyawa-Nya direnggut dari muka bumi.’
34Sida-sida itu berkata, ‘Aku bertanya kepadamu, tentang siapakah nabi itu bercakap, tentang dirinya atau seseorang lain?’ 35Filipus pun membuka mulutnya: bermula dari bahagian Kitab Suci itu, dia mengajar berita baik tentang Isa kepada sida-sida itu.
36Sedang mereka meneruskan perjalanan, mereka sampai ke suatu tempat yang berair. Sidasida itu berkata, ‘Lihat, di sini ada air. Apa yang menghalang aku daripada diimadkan?’ 37Filipus berkata, ‘Jika kamu percaya sepenuh hati, kamu boleh diimadkan.’ Sida-sida itu menjawab, ‘Aku percaya bahawa Isa al-Masih itu Putera Allah.’ 38Lalu dia mengarahkan kereta kuda itu dihentikan. Dia bersama Filipus turun ke dalam air, lalu Filipus mengimadkannya. 39Setelah mereka keluar dari air, Roh Suci mengambil Filipus dari situ. Sida-sida itu tidak melihatnya lagi, lalu meneruskan perjalanan dengan sukacita. 40Filipus mendapati dirinya di Asdod. Dia meneruskan perjalanan sambil mengkhabarkan Injil di segala kota hingga sampai di Kaisarea.
↑ ↑ ↑ 9
1Saul, yang terus-menerus mengancam hendak membunuh pengikut-pengikut Junjungan Isa, pergi mendapatkan imam besar 2dan meminta surat untuk ditunjukkan kepada saumaah di Damsyik, supaya sekiranya dia menjumpai sesiapa yang mengikut Jalan Isa, baik lelaki mahupun perempuan, dia boleh memberkas dan membawa mereka ke Baitulmaqdis. 3Dalam perjalanannya, apabila dia hampir sampai di Damsyik, tiba-tiba cahaya dari langit bersinar sekelilingnya. 4Dia rebah ke bumi lalu mendengar suara berkata, ‘Saul, Saul, mengapa kauaniaya Aku?’
5Saul bertanya, ‘Siapakah Engkau, Tuan?’ Suara itu menjawab, ‘Akulah Isa yang kauaniaya.
6Bangkitlah, masuklah ke kota. Di sana engkau akan diberitahu apa yang harus kaubuat.’
7Orang seperjalanan Saul terpegun kerana mendengar suara itu tanpa melihat sesiapapun.
8Saul bangkit sambil membuka mata tetapi tidak dapat melihat suatu apa. Oleh demikian mereka memegang tangannya dan memimpinnya masuk ke Damsyik. 9Selama tiga hari dia tidak dapat melihat dan tidak makan atau minum. 10Ada seorang pengikut Isa yang bernama Ananias tinggal di Damsyik. Dalam suatu penglihatan dia mendengar Junjungan berkata, ‘Ananias!’ ‘Ya, Junjungan,’ sahut Ananias.
11Junjungan berkata kepadanya, ‘Bersiaplah dan pergilah ke rumah Yudas di Jalan Lurus. Tanyakanlah seorang yang bernama Saul dari kota Tarsus. Dia sedang berdoa, 12dan melihat seorang bernama Ananias meletakkan tangan di atasnya supaya dia dapat melihat semula.’
13Ananias menjawab, ‘Ya Junjunganku, aku telah mendengar ramai orang mengatakan hal orang itu. Dia telah banyak menganiaya umat-Mu yang salih di Baitulmaqdis. 14Sekarang dia datang ke Damsyik membawa kuasa daripada ketua-ketua imam untuk menangkap semua orang yang menyebut nama-Mu.’
15Namun, Junjungan berkata, ‘Pergilah, kerana Aku telah memilihnya sebagai alat pilihan-Ku untuk mengkhabarkan nama-Ku kepada bangsa-bangsa asing, raja-raja, dan umat Israel. 16Aku akan menunjukkan kepadanya segala kesengsaraan yang akan ditanggungnya kerana-Ku.’
17Dengan demikian Ananias pun pergi lalu masuk ke rumah itu dan meletakkan tangannya ke atas Saul sambil berkata, ‘Saudaraku Saul, Junjungan telah mengutusku. Isa yang menampakkan diri-Nya kepadamu dalam perjalanan ke sini telah mengutusku supaya engkau dapat melihat semula dan dipenuhi Roh Suci.’ 18Serta-merta sesuatu seperti sisik gugur daripada mata Saul dan dia dapat melihat semula. Dia pun bangun lalu diimadkan. 19Kemudian dia makan dan kekuatannya pun pulih. Saul di Damsyik dan Baitulmaqdis Saul tinggal beberapa hari di Damsyik bersama para pengikut Isa. 20Dia terus mengkhabarkan di saumaah-saumaah tentang Isa, bahawa Dia Putera Allah. 21Semua yang mendengarnya tercengang lalu berkata, ‘Bukankah dia ini yang menganiaya semua yang menyebut nama itu di Baitulmaqdis? Malah dia datang ke mari untuk menangkap semua orang yang demikian di sini dan menyeret mereka ke hadapan ketua-ketua imam.’ 22Makin sehari makin bertambah kuasa yang diberi Allah kepada Saul. Semua orang Yahudi di Damsyik tercengang apabila dia menyatakan bahawa Isa itu al-Masih.
23Selepas beberapa hari, orang Yahudi berpakat hendak membunuh Saul 24tetapi dia mendapat tahu tentang pakatan itu. Orang yang hendak membunuhnya itu menunggu di pintu gerbang siang malam; 25tetapi pengikut-pengikut Saul mengambilnya pada waktu malam dan menurunkannya melalui tingkap ke kaki tembok di dalam sebuah keranjang.
26Apabila Saul sampai di Baitulmaqdis, dia cuba menghubungi para pengikut Isa tetapi mereka takut dan tidak percaya bahawa dia benar-benar pengikut Isa. 27Barnabas membawa Saul ke hadapan para rasul dan menceritakan bagaimana dia telah melihat Junjungan ketika dalam perjalanan, katakata Junjungan kepadanya dan keberanian Saul menyebarkan nama Isa di Damsyik. 28Selepas itu Saul keluar masuk di Baitulmaqdis bersama para rasul
29serta menyebarkan nama Junjungan dengan berani. Dia bercakap dan berhujah dengan orang Yahudi peranakan Yunani; mereka pun hendak membunuhnya. 30Apabila para pengikut Isa yang lain mengetahui hal itu, mereka membawa Saul ke Kaisarea dan menghantarnya ke Tarsus.
31Dengan demikian sejahteralah jemaah di seluruh tanah Yudea, Galilea dan Samaria. Jemaah itu diberi kekuatan dan hidup bertakwa kepada Allah. Dengan pertolongan Roh Suci bilangan mereka semakin besar.
32Ketika Petrus melawat daerah-daerah, dia mengunjungi orang salih yang tinggal di Lida. 33Di situ dia menemui seorang bernama Eneas yang sudah lapan tahun lumpuh terlantar di tempat tidur.
34Petrus berkata kepadanya, ‘Eneas, Isa al-Masih menyembuhkanmu. Bangunlah, kemaskan tempat tidurmu.’ Pada saat itu juga Eneas bangun. 35Semua penduduk Lida dan Saron melihatnya lalu beriman kepada Tuhan.
36Di Yope ada seorang perempuan pengikut Isa bernama Tabita (dalam bahasa Yahudi disebut Dorkas); dia sentiasa membuat kebajikan dan memberi sedekah. 37Pada masa itu dia jatuh sakit lalu meninggal dunia. Setelah dimandikan, jenazahnya dibaringkan di dalam bilik di tingkat atas. 38Oleh sebab Lida berdekatan dengan Yope, para pengikut Isa di Yope mendapat tahu Petrus ada di Lida lalu menghantar dua orang berjumpa dengannya dan memintanya datang secepat mungkin.
39Petrus segera pergi bersama mereka. Setibanya di situ, dia dibawa naik ke bilik di tingkat atas itu. Semua balu di situ berdiri di sisinya sambil menangis dan menunjukkan pelbagai pakaian yang telah dijahit oleh Dorkas untuk mereka sewaktu hidupnya.
40Petrus menyuruh semuanya keluar; kemudian dia bertelut dan berdoa. Selepas itu dia berpaling kepada jenazah itu lalu berkata, ‘Hai Tabita, bangunlah.’ Tabita membuka matanya dan apabila dia melihat Petrus, dia pun duduk. 41Petrus memegang tangannya dan membantunya berdiri. Seterusnya Petrus memanggil semua pengikut Isa termasuk balu-balu itu dan menunjukkan kepada mereka perempuan yang sudah hidup itu. 42Berita itu tersebar di seluruh Yope dan ramai orang beriman kepada Tuhan. 43Petrus tinggal beberapa hari di Yope di rumah Simon, seorang penyamak kulit.
↑ ↑ ↑ 10
1Di Kaisarea ada seorang bernama Kornelius, ketua tentera yang disebut pasukan Itali. 2Dia seorang yang bertakwa dan takut akan Allah, begitu juga seisi rumahnya. Dia banyak bersedekah kepada orang yang miskin dan sentiasa berdoa kepada Allah. 3Pada suatu hari kira-kira pukul tiga petang, dalam suatu penglihatan dia melihat dengan nyata malaikat Allah mendapatkannya dan berkata kepadanya, ‘Hai Kornelius!’
4Dia merenung dengan ketakutan sambil bertanya, ‘Ya tuan, ada apa tuan?’ Malaikat itu berkata, ‘Segala doa dan sedekahmu telah diredai Allah. 5Suruhlah orang pergi ke Yope memanggil seorang bernama Simon bergelar Petrus. 6Dia menumpang di rumah Simon penyamak kulit, di tepi laut.’
7Setelah malaikat itu pergi, Kornelius memanggil dua orang hambanya dan seorang askar yang takut akan Allah dari kalangan orang yang bertugas melayaninya. 8Dia menceritakan segala yang berlaku itu kepada mereka dan menyuruh mereka pergi ke Yope.
9Esoknya, ketika mereka dalam perjalanan dan hampir sampai ke Yope, Petrus naik ke atas bumbung rumah untuk berdoa, kira-kira pukul dua belas tengah hari. 10Kemudian dia berasa lapar dan hendak makan, tetapi sementara makanan sedang disediakan, dia diliputi kuasa ilahi. 11Dia melihat langit terbuka dan sesuatu seperti kain yang amat lebar, terikat keempat-empat penjurunya, diturunkan ke arahnya lalu ke bumi. 12Di dalamnya ada segala jenis binatang, yang berkaki empat dan yang melata, juga burung-burung. 13Dia terdengar suara berkata, ‘Hai Petrus, bangunlah, sembelih dan makanlah.’ 14Petrus berkata, ‘Ya Tuhan, jangan demikian, aku belum pernah makan barang yang haram atau najis.’
15Suara itu berkata pula kepadanya, ‘Barang yang dihalalkan oleh Allah, jangan kauharamkan.’
16Ini berulang tiga kali, kemudian kain itu terangkat naik ke langit.
17Sedang Petrus bertanya-tanya apa agaknya erti penglihatan itu, orang yang disuruhkan oleh Kornelius itu telah bertanyakan rumah Simon. 18Mereka berdiri di muka pintu sambil berseru bertanya sama ada Simon bergelar Petrus ada menumpang di situ.
19Petrus masih lagi memikirkan penglihatannya itu. Roh Suci berkata kepadanya, ‘Ada tiga orang mencarimu. 20Bangunlah, turun dan pergi bersama mereka tanpa ragu-ragu, kerana Aku yang menyuruh mereka datang.’
21Petrus pun turun mendapatkan orang itu lalu berkata, ‘Aku inilah orang yang kamu cari itu; apa hajatmu datang ke mari?’
22Mereka berkata, ‘Kornelius, seorang ketua tentera yang benar dan takut akan Allah serta disegani oleh seluruh bangsa Yahudi, telah menerima pesan Allah melalui malaikat yang suci bahawa dia hendaklah menjemput tuan datang ke rumahnya untuk mendengar apa yang akan tuan katakan.’
23Petrus mengajak ketiga-tiga orang itu masuk dan menumpang bermalam di rumah itu. Petrus di rumah Kornelius Esoknya dia bangun lalu pergi bersama mereka; beberapa orang saudara seiman di Yope turut serta. 24Keesokan harinya mereka sampai di Kaisarea. Kornelius sedang menantikan kedatangan mereka, bersama semua kaum keluarga dan sahabat handai yang diajaknya berhimpun di situ.
25Apabila Petrus masuk, Kornelius mendapatkannya lalu sujud menyembah di kakinya; 26tetapi Petrus menariknya bangkit berdiri sambil berkata, ‘Bangkitlah; aku in pun seorang manusia juga.’
27Sambil bercakap dengan Kornelius, Petrus masuk ke dalam rumah itu dan melihat betapa ramainya orang yang berhimpun di situ. 28Petrus berkata kepada mereka, ‘Saudara-saudara sedia maklum bahawa orang Yahudi dilarang berhubung dengan orang bangsa lain atau mengunjungi mereka; tetapi Allah telah menyatakan kepadaku supaya jangan memandang sesiapapun sebagai haram atau najis. 29Oleh itu apabila aku dipanggil, aku terus datang tanpa teragak-agak. Sekarang aku bertanya kepadamu, apakah sebabnya aku dipanggil datang ke sini?’
30Kornelius berkata, ‘Empat hari lalu, kira-kira pukul tiga petang, aku sedang berdoa di rumah; tiba-tiba seorang berdiri di hadapanku, pakaiannya bersinar-sinar. 31Dia berkata, “Hai Kornelius! Segala doa dan sedekahmu telah diredai Allah. 32Suruhlah orang pergi ke Yope memanggil seorang bernama Simon bergelar Petrus. Dia menumpang di rumah Simon penyamak kulit, di tepi laut.” 33Aku terus menyuruhkan orang mendapatkanmu; kamu sungguh baik hati datang ke mari. Sekarang kami semua hadir di sini di hadapan Allah untuk mendengar segala perkara yang diperintahkan Tuhan kepadamu untuk disampaikan kepada kami.’
34Petrus pun berkata, ‘Sesungguhnya aku mengerti sekarang bahawa Allah tidak memilih kasih.
35Sesiapa yang takut akan Allah dan mengerjakan yang benar, tidak kira apa bangsanya, dialah yang diredai-Nya. 36Firman yang disampaikan Allah kepada bangsa Israel adalah firman yang mengkhabarkan kesejahteraan melalui Isa al-Masih, Junjungan semua manusia. 37Saudara-saudara tahu akan apa yang berlaku di seluruh tanah Yudea mulai dari Galilea, selepas pengimadan yang dikhabarkan oleh Yahya. 38Perkhabaran itu tentang Isa orang Nasaret, betapa Allah telah memilih-Nya sebagai al-Masih dan memberi-Nya Roh Suci serta kuasa. Dia telah pergi merata-rata membuat kebajikan dan menyembuhkan orang yang diseksa oleh Iblis, kerana Allah menyertai Isa.
39‘Kami ini menjadi saksi akan segala yang dilakukan-Nya di tanah orang Yahudi malah juga di Baitulmaqdis. Dia telah dibunuh dengan disalib; 40tetapi Allah membangkitkan-Nya pada hari yang ketiga serta memperlihatkan Dia; 41bukan kepada semua orang tetapi kepada kami yang telah dipilih oleh Allah sebagai saksi, kami yang semakan seminum dengan-Nya setelah Dia bangkit dari kalangan orang mati. 42Dia memerintah kami mengkhabarkan kepada semua orang dan memberikan kesaksian bahawa Dialah yang dijadikan Allah hakim ke atas orang hidup dan orang mati. 43Semua nabi bersaksi tentang-Nya bahawa setiap orang yang percaya kepada Isa akan diampunkan dosanya dengan nama-Nya.’
44Ketika Petrus sedang bercakap, Roh Suci turun dan memenuhi semua yang mendengar perkhabaran itu. 45Beberapa orang Yahudi yang percaya kepada Isa dan datang bersama Petrus dari Yope berasa hairan melihat Allah mencurahkan Roh Suci kepada orang bukan bani Israel juga.
46Mereka mendengar orang itu bertutur dalam aneka bahasa memuji Allah. Kemudian Petrus berkata, 47‘Lihatlah, mereka telah menerima Roh Suci seperti kita. Dapatkah sesiapa menghalang mereka diimadkan dengan air?’ 48Petrus pun menyuruh mereka diimadkan dengan nama Isa al-Masih. Selepas itu mereka meminta Petrus tinggal dengan mereka beberapa hari.
↑ ↑ ↑ 11
1Para rasul dan saudara-saudara di seluruh Yudea mendengar khabar bahawa orang bukan bani Israel juga telah menerima firman Allah. 2Apabila Petrus pergi ke Baitulmaqdis, orang Yahudi yang percaya kepada Isa dan masih berpegang kepada upacara sunat, membantah perbuatannya. 3Mereka berkata, ‘Kamu telah menumpang di rumah orang bangsa asing yang tidak bersunat; malah kamu telah makan bersama mereka!’ 4Oleh yang demikian, Petrus menerangkan segala yang telah berlaku, satu persatu: 5‘Ketika aku sedang berdoa di Yope, aku telah melihat satu penglihatan. Aku melihat sesuatu seperti kain yang amat lebar, terikat keempat-empat penjurunya, diturunkan dari langit lalu terletak dekat denganku.
6Aku memerhatikannya lalu melihat binatang yang berkaki empat, yang liar dan yang melata, juga burung-burung. 7Aku mendengar suara berkata, “Hai Petrus, bangunlah, sembelih dan makanlah.”
8‘Aku berkata, “Ya Tuhan, jangan demikian, aku belum pernah makan barang yang haram atau najis.”
9‘Suara itu berkata pula kepadaku, “Barang yang dihalalkan oleh Allah, jangan kau haramkan.”
10Ini berulang tiga kali, kemudian semuanya terangkat naik semula ke langit.
11‘Pada ketika itu tiga orang yang diutus dari Kaisarea kepadaku berdiri di hadapan rumah yang kami tumpang. 12Roh Suci menyuruh aku pergi bersama mereka tanpa ragu-ragu. Enam orang saudara seiman di Yope menyertaiku ke Kaisarea lalu kami masuk ke rumah Kornelius. 13Kornelius bercerita kepada kami bahawa dia telah melihat malaikat berdiri di hadapannya di rumahnya dan berkata kepadanya, “Suruhlah orang pergi ke Yope memanggil seorang bernama Simon bergelar Petrus. 14Dia akan menyampaikan perkhabaran yang menyelamatkan kamu sekeluarga.”
15‘Apabila aku mula bercakap, Roh Suci memenuhi mereka, seperti yang terjadi kepada kita dahulu.
16Ketika itu aku teringat kata-kata Junjungan: “Yahya mengimadkan dengan air, tetapi kamu akan diimadkan dengan Roh Suci.” 17Jelaslah bahawa Allah telah memberi orang asing itu kurnia yang sama seperti yang kita terima ketika kita beriman kepada Junjungan Isa al-Masih. Siapakah aku untuk cuba menghalang kuasa Allah?’
18Setelah mendengar penjelasan Petrus, mereka tidak membantah perbuatannya lagi, lantas mereka memuji Allah dan berkata, ‘Kalau begitu, Allah memberikan peluang kepada orang bukan bani Israel juga untuk bertaubat dan mendapat hidup.’
19Setelah Stefanus dibunuh, orang yang tercerai-berai kerana dianiaya sampai ke Finisia, Siprus dan Antiokhia. Mereka menyampaikan firman hanya kepada orang Yahudi; 20tetapi sesetengah daripada mereka dari Siprus dan Kirene datang ke Antiokhia lalu menyampaikan berita baik tentang Junjungan Isa kepada orang bukan bani Israel. 21Melalui kuasa Tuhan yang menyertai mereka, ramai orang percaya dan berpaling kepada-Nya.
22Jemaah di Baitulmaqdis mendengar hal itu lalu menyuruh Barnabas pergi ke Antiokhia.
23Setelah dia sampai dan melihat kasih kurnia Allah itu, dia amat sukacita dan menggalakkan mereka semua supaya meneguhkan azam untuk tetap setia kepada Tuhan. 24Barnabas orang baik, penuh dengan Roh Suci dan iman. Semakin bertambahlah bilangan orang yang percaya akan Tuhan.
25Kemudian Barnabas pergi ke Tarsus mencari Saul; 26setelah menemuinya, dibawanya ke Antiokhia. Selama setahun kedua-duanya berserta dengan jemaah dan mengajar ramai orang. Di Antiokhialah para pengikut mula-mula disebut Masihi.
27Pada masa itu beberapa orang nabi turun dari Baitulmaqdis ke Antiokhia. 28Seorang yang bernama Agabus bernubuat dengan ilham Roh Suci bahawa bencana kebuluran akan melanda seluruh dunia; ini sesungguhnya terjadi pada zaman Klaudius. 29Para pengikut Isa membuat keputusan hendak menghantar bantuan, menurut kemampuan masing-masing, kepada saudarasaudara di Yudea. 30Mereka mengirimkannya kepada tua-tua melalui Barnabas dan Saul.
↑ ↑ ↑ 12
1Pada masa itu Raja Herodes pula turut menganiaya beberapa orang daripada jemaah. 2Yakobus saudara Yahya dibunuhnya dengan pedang. 3Apabila dilihatnya orang Yahudi sukacita dengan tindakannya, dia menangkap Petrus pula, pada Perayaan Roti Tidak Beragi. 4Dia memasukkan Petrus ke dalam penjara dan menyerahkannya kepada enam belas orang askar yang bertugas menjaganya bergilir-gilir, empat orang segiliran. Niatnya hendak membawa Petrus ke hadapan orang Yahudi selepas perayaan Paska.
5Sementara itu Petrus dikawal rapi di dalam penjara; tetapi jemaah berdoa dengan sungguhsungguh kepada Allah untuknya.
6Pada malam sebelum hari perbicaraan yang ditetapkan oleh Herodes itu, Petrus tidur antara dua orang askar, terikat dengan dua rantai; di samping itu para pengawal berjaga di hadapan pintu penjara itu. 7Tiba-tiba malaikat Tuhan terdiri di situ dan cahaya menyinari bilik itu. Malaikat itu menepuk Petrus dan membangunkannya lalu berkata, ‘Cepat bangun.’ Dalam sekelip mata gugurlah rantai dari tangan Petrus.
8Malaikat itu berkata lagi, ‘Ikatlah tali pinggang dan pakailah kasutmu.’ Setelah Petrus berbuat demikian, malaikat itu berkata lagi, ‘Pakailah jubahmu dan ikutlah aku.’ 9Petrus mengikut malaikat itu keluar dari penjara tanpa mengetahui sama ada segalanya itu benar-benar terjadi atau hanya suatu penglihatan. 10Mereka melalui tempat pengawal berjaga yang pertama dan yang kedua. Akhirnya mereka sampai di pintu besi yang menghala ke kota lalu pintu itu terbuka dengan sendirinya dan mereka pun keluar. Ketika mereka berjalan di suatu lorong, malaikat itu pun tibatiba meninggalkan Petrus.
11Pada saat itu barulah Petrus sedar apa yang telah terjadi. Dia berkata, ‘Sekarang tahulah aku bahawa segalanya benar-benar berlaku. Tuhan telah mengutus malaikat-Nya untuk menyelamatkan aku daripada Raja Herodes dan segala yang hendak dilakukan oleh orang Yahudi kepadaku.’
12Setelah itu, Petrus pergi ke rumah Maryam, ibu kepada Yahya yang bergelar Markus. Di situ ramai orang berhimpun dan sedang berdoa. 13Apabila Petrus mengetuk pintu, seorang perempuan bernama Rode datang ke pintu. 14Dia mengenali suara Petrus. Akan tetapi dia begitu sukacita hinggakan terus masuk semula tanpa membukakan pintu. Dia memberitahu bahawa Petrus ada di luar.
15‘Kamu gila!’ seru mereka, namun Rode beria-ia mengatakan orang yang di luar itu Petrus. Mereka berkata, ‘Tentu itu rohnya!’ 16Petrus mengetuk pintu lagi berulang-ulang. Akhirnya mereka membukakan pintu dan tercengang apabila melihat Petrus. 17Petrus memberikan isyarat meminta mereka bertenang lalu mengisahkan betapa Tuhan telah mengeluarkannya dari penjara. Selepas itu Petrus berkata, ‘Khabarkanlah hal ini kepada Yakobus dan saudara-saudara lain.’ Kemudian dia pun pergi ke tempat lain.
18Setelah hari siang, askar-askar yang berkawal itu gempar, tertanya-tanya apakah yang telah terjadi kepada Petrus. 19Raja Herodes menyuruh orang mencari Petrus tetapi tidak berjaya. Lantas Raja Herodes mengeluarkan perintah supaya askar-askar yang berkawal itu disoal siasat dan kemudiannya dihukum bunuh. Kematian Raja Herodes Selepas itu Raja Herodes berpindah dari Yudea ke Kaisarea lalu tinggal di sana. 20Raja Herodes amat murka terhadap orang Tirus dan Sidon. Oleh yang demikian, mereka datang bersama-sama untuk menghadap Raja Herodes. Pertama sekali mereka mendapatkan sokongan Blastus, ketua istana Raja Herodes. Selepas itu mereka menghadap Raja Herodes dan meminta berdamai, kerana bekalan makanan negeri mereka bergantung kepada negeri Raja Herodes.
21Pada hari yang telah ditetapkan, Raja Herodes mengenakan pakaian kebesaran diraja, duduk di atas singgahsana lalu berkata kepada rakyat. 22Mereka berseru, ‘Itu suara seorang dewa, bukan manusia.’ 23Pada saat itu malaikat Tuhan memukul Raja Herodes kerana tidak menghormati Allah. Raja Herodes pun mati dimakan ulat.
24Firman Allah semakin luas tersebar dan kian ramai orang percaya kepada Isa.
25Setelah Barnabas dan Saul menjalankan tugas mereka pulang dari Baitulmaqdis dan membawa Yahya yang bergelar Markus itu bersama mereka.
↑ ↑ ↑ 13
1Di antara jemaah di Antiokhia ada beberapa orang nabi dan guru: Barnabas, Simeon yang bergelar Niger, Lukius dari Kirene, Menahem, yang dibesarkan bersama raja Herodes, dan Saul. 2Sedang mereka beribadat dan berpuasa, Roh Suci berkata kepada mereka, ‘Khaskan Barnabas dan Saul untuk-Ku, bagi melaksanakan tugas yang telah Kutetapkan untuk mereka.’ 3Setelah berpuasa dan berdoa, mereka meletakkan tangan ke atas Barnabas dan Saul lalu melepaskan mereka pergi.
4Barnabas dan Saul diutus ke Seleukia oleh Roh Suci. Dari situ mereka belayar ke pulau Siprus.
5Apabila sampai di Salamis, mereka menyampaikan firman Allah di saumaah-saumaah, dibantu oleh Yahya.
6Mereka pergi ke serata pulau itu hingga sampai di Pafos. Di situ mereka bertemu dengan seorang ahli sihir bernama Bar-Yusha, seorang nabi palsu Yahudi. 7Dia berkawan baik dengan Sergius Paulus, pemerintah pulau itu, seorang yang bijaksana. Sergius Paulus memanggil Barnabas dan Saul kerana ingin mendengar firman Allah. 8Akan tetapi Elimas ahli sihir itu (ini namanya dalam bahasa Yunani) cuba menghalang pemerintah itu daripada percaya kepada Isa. 9Saul, yang juga disebut Paulus, dipenuhi oleh Roh Suci lalu merenung ahli sihir itu dan 10berkata, ‘Hai kamu anak Iblis, seteru segala yang benar, kamu yang penuh dengan tipu daya! Tiadakah kamu mahu berhenti memesongkan jalan Tuhan yang betul? 11Tuhan akan menghukum kamu pada saat ini juga. Kamu akan buta, tidak dapat melihat cahaya matahari buat beberapa waktu.’ Dalam sekelip mata Elimas merasa kabus gelap menyelaputi matanya. Dia pun berjalan terabaraba mencari orang yang dapat memimpinnya. 12Apabila pemerintah itu melihat apa yang terjadi, dia pun mempercayai Isa dan amat kagum akan pengajaran Tuhan.
13Paulus dan rakan-rakannya belayar dari Pafos ke kota Perga di tanah Pamfilia. Dari situ Yahya meninggalkan mereka lalu pulang ke Baitulmaqdis. 14Yang lain meneruskan perjalanan dari Perga ke kota Antiokhia di Pisidia. Pada hari Sabat mereka masuk ke rumah ibadat lalu duduk di situ. 15Selepas pembacaan Taurat Musa dan Surah Nabi-nabi, ketua-ketua saumaah itu menghantar orang berkata kepada kedua-dua rasul itu, ‘Saudara-saudara, sekiranya ada sesuatu nasihat untuk menggalakkan orang di sini, silalah sampaikan.’
16Paulus bangkit, memberikan isyarat lalu berkata, ‘Saudara-saudara orang Israel dan sekalian yang taat kepada Allah, dengarlah! 17Allah, Tuhan umat Israel, telah memilih nenek moyang kita untuk dijadikan bangsa besar, ketika mereka tinggal menumpang di Mesir. Allah membawa mereka keluar dari Mesir dengan kuasa-Nya. 18Selama empat puluh tahun di gurun, Dia bersabar dengan kelakuan mereka. 19Dia membinasakan tujuh bangsa di tanah Kanaan dan menjadikan kawasan itu kepunyaan umat-Nya. 20Segala ini berlaku selama 450tahun. ‘Selepas itu Allah mengurniai mereka hakim-hakim sampai ke zaman Nabi Samuel. 21Kemudian mereka memohonkan seorang Raja lalu Allah memberi mereka Saul anak Kis daripada suku Benyamin sebagai raja mereka selama empat puluh tahun. 22Setelah Allah memecatnya daripada takhtanya, Allah memberi mereka Daud pula sebagai raja. Allah berfirman tentang Daud, “Aku mendapati Daud, anak Isai, seorang yang menyenangkan hati-Ku; dia akan melakukan segala yang Kuingini.”
23‘Dari keturunan Daud inilah Allah membangkitkan Isa, seorang Penyelamat bagi umat Israel sebagaimana telah dijanjikan-Nya. 24Sebelum Isa memulakan tugas-Nya, Yahya menyeru supaya semua orang Israel bertaubat daripada dosa dan diimadkan. 25Ketika tugas Yahya hampir selesai, dia berkata kepada orang ramai, “Siapakah aku ini pada sangkaanmu? Aku bukanlah Dia yang kamu nanti-nantikan itu. Dia akan datang kemudian, dan aku ini tidak layak membuka kasut-Nya pun.”
26‘Hai saudara-saudara keturunan Ibrahim, dan semua yang takut akan Allah! Kepada kitalah Allah telah menyampaikan berita penyelamatan itu. 27Penduduk Baitulmaqdis dan ketua-ketua mereka tidak sedar bahawa Penyelamat itu ialah Isa. Mereka tidak memahami ajaran nabi-nabi yang dibacakan setiap hari Sabat, maka mereka menghukum Isa. Dengan tindakan mereka itu, segala yang telah dinubuatkan oleh nabi-nabi menjadi kenyataan. 28Walaupun mereka tidak ada apaapa asas untuk menjatuhkan hukuman bunuh kepada Isa, mereka mendesak Pilatus menjatuhkan hukuman itu ke atas-Nya. 29Setelah mereka melakukan segala yang tersurat di dalam Kitab Suci tentang-Nya, mereka menurunkan jenazah-Nya dari salib dan meletakkannya di dalam makam.
30Akan tetapi Allah membangkitkan-Nya daripada kematian. 31Selepas itu selama beberapa hari Dia menampakkan diri-Nya kepada mereka yang dahulu mengiringi-Nya dalam perjalanan dari Galilea ke Baitulmaqdis. Kini mereka itu menjadi saksi bagi-Nya kepada umat Israel.
32‘Dengan demikian kami datang ke sini untuk menyampaikan berita baik ini kepada kamu.
33Allah telah melaksanakan untuk kita apa yang dijanjikan-Nya kepada nenek moyang kita, dengan membangkitkan Isa daripada kematian, sebagaimana yang tersurat di dalam Zabur bab dua: ‘ “Engkaulah Putera-Ku; pada hari ini Aku menjadi Bapa-Mu.”
34Allah telah membangkitkan-Nya daripada kematian. Dia tidak akan mati lagi. Tentang ini Allah berfirman: ‘ “Aku akan memberkati-Mu dengan berkat yang suci, sebagaimana telah Kujanjikan kepada Daud.”
35Dalam suatu ayat lagi firman-Nya: ‘ “Engkau tidak akan membiarkan Hamba-Mu yang setia itu reput di dalam kubur.”
36‘Daud melakukan suruhan Allah ketika dia hidup. Apabila dia wafat dia dimakamkan di sisi nenek moyangnya dan jasadnya reput. 37Namun, ini tidak terjadi kepada Dia yang dibangkitkan Allah daripada kematian.
38‘Oleh itu, ketahuilah saudara-saudara, melalui Isa berita pengampunan dosa disampaikan kepada saudara sekalian. 39Setiap orang yang percaya kepada-Nya diampunkan segala dosanya yang tidak dapat diampunkan melalui Taurat Musa. 40Berhati-hatilah, supaya apa yang telah disebutkan oleh nabi-nabi tidak menimpa saudara sekalian:
41‘ “Dengarlah hai orang yang menghina Allah! Kamu akan terkejut dan punah! Apa yang Kulakukan kini tidak akan kamu percayai, walaupun diterangkan kepadamu!” ’
42Apabila Paulus dan Barnabas hendak meninggalkan rumah ibadat itu, orang Yahudi meminta mereka datang lagi pada hari Sabat berikutnya untuk meneruskan penerangan mereka tentang halhal tersebut. 43Setelah bersurai perhimpunan di rumah ibadat itu, ramai orang Yahudi mahupun orang bangsa lain yang telah memeluk agama Yahudi mengikut Paulus dan Barnabas. Kedua-dua rasul itu menasihati mereka supaya sentiasa hidup berpegang teguh kepada kasih kurnia Allah.
44Pada hari Sabat berikutnya, hampir seluruh penduduk kota itu berhimpun mendengar firman Allah. 45Setelah dilihat oleh orang Yahudi betapa ramainya orang datang itu, timbullah hasad dengki dalam hati mereka lalu mereka membangkang kata-kata Paulus serta mencelanya.
46Namun demikian, Paulus dan Barnabas bercakap dengan berani. Mereka berkata, ‘Memang seharusnya firman Allah disampaikan kepada kamu terlebih dahulu. Akan tetapi disebabkan kamu menolak firman-Nya dan menganggap dirimu tidak layak menerima hidup kekal, kami berpaling daripadamu dan pergi kepada bangsa asing. 47Inilah perintah Tuhan kepada kami: ‘ “Aku telah menetapkan bahawa kamu menjadi cahaya kepada semua bangsa asing, dan melalui-Mu Allah akan menyelamatkan seluruh dunia.” ’
48Orang bangsa asing bersukacita dan memuji firman Allah setelah mendengar kata-kata itu. Mereka yang dipilih Allah untuk menerima hidup kekal pun percayalah kepada Isa.
49Firman Tuhan tersebar di serata daerah itu. 50Orang Yahudi menghasut orang yang berkuasa di kota itu dan wanita-wanita terkemuka bangsa asing yang takut akan Allah. Mereka mula menganiaya Paulus dan Barnabas lalu mengusir kedua-duanya dari daerah tersebut. 51Rasul-rasul itu pun mengebaskan debu dari kaki mereka sebagai bantahan terhadap orang di situ lalu pergi ke Ikonium.
52Bagaimanapun, para pengikut Isa amat bergembira dan dipenuhi Roh Suci.
↑ ↑ ↑ 14
1Di Ikonium, Paulus dan Barnabas juga masuk ke saumaah dan kata-kata mereka begitu berkesan sehingga ramai orang Yahudi dan orang Yunani percaya kepada Isa. 2Akan tetapi orang Yahudi yang tidak mahu percaya kepada Isa menghasut orang bangsa lain sehingga mereka marah dan menentang pengikut Isa. 3Rasul-rasul itu tinggal lama di situ dan berkata-kata dengan berani tentang Tuhan. Tuhan pun menunjukkan kebenaran kata-kata mereka tentang kasih kurnia-Nya dengan memberi mereka kuasa melakukan pelbagai alamat dan mukjizat. 4Penduduk bandar itu terbahagi dua: sebahagian memihak kepada orang Yahudi dan yang sebahagian lagi kepada rasulrasul itu. 5Kemudian orang Yahudi dan bangsa lain serta ketua-ketua mereka berpakat untuk menganiaya dan merejam rasul-rasul itu. 6Apabila rasul-rasul itu mendapat tahu tentang hal itu, mereka lari ke Listra dan Derbe, kota-kota di Likaonia, serta daerah sekitarnya. 7Di situ mereka menyampaikan berita baik.
8Di Listra ada seorang lelaki yang lumpuh kakinya sejak lahir dan tidak pernah berjalan. 9Dia duduk mendengar kata-kata Paulus. Pada pandangan Paulus orang itu dapat disembuhkan kerana dia mempunyai iman. 10Oleh yang demikian Paulus merenungnya sambil bersuara lantang, ‘Bangunlah berdiri tegak!’ Lalu orang itu melompat berdiri dan mula berjalan.
11Orang ramai melihat apa yang dilakukan oleh Paulus itu lalu berseru dalam bahasa Likaonia, ‘Lihatlah, dewa-dewa telah menjelma sebagai manusia dan turun ke dunia.’ 12Dengan demikian Barnabas dipanggil mereka ‘Zeus’ dan Paulus disebut ‘Hermes’ kerana dia yang terutama bercakap.
13Imam Dewa Zeus, yang rumah berhalanya di luar kota, datang membawa lembu jantan dan kalungan bunga ke pintu gerbang untuk dijadikan korban persembahannya dan orang ramai kepada rasul-rasul itu.
14Apabila Barnabas dan Paulus mendengar apa yang hendak dilakukan oleh orang di situ, mereka mengoyak-ngoyakkan pakaian dan berlari ke tengah-tengah orang ramai sambil berseru,
15‘Mengapa kamu berbuat begini? Kami manusia biasa seperti kamu sekalian! Kami datang membawa berita baik supaya kamu berhenti daripada pemujaan yang sia-sia ini dan datang kepada Allah yang hidup, yang menjadikan langit, bumi dan laut serta segala yang di dalamnya. 16Pada zaman silam, Allah membiarkan manusia mengikut jalan masing-masing. 17Namun, Allah sentiasa memberikan kesaksian tentang diri-Nya dengan kebaikan yang dilakukan-Nya. Dia mengurniaimu hujan dari langit dan hasil dari bumi menurut musimnya. Dia mengurniaimu makanan dan kegembiraan.’ 18Sungguhpun rasul-rasul itu berkata begitu, sukar juga mereka menghalang orang ramai mempersembahkan korban kepada mereka.
19Setelah itu beberapa orang Yahudi dari Antiokhia dan Ikonium mempengaruhi orang ramai sehingga berpihak kepada mereka. Mereka merejam Paulus, kemudian menyeretnya ke luar kota, dengan sangkaan dia sudah mati. 20Akan tetapi apabila pengikut Isa mengelilinginya, dia bangun lalu masuk semula ke dalam kota. Esoknya dia keluar pergi ke Derbe bersama Barnabas.
21Setelah menyebarkan berita baik kepada semua penduduk dan membawa beberapa orang menjadi pengikut Isa, kedua-duanya kembali ke Listra, ke Ikonium dan Antiokhia. 22Di sana mereka menguatkan hati para pengikut Isa dan mengingatkan mereka supaya berpegang teguh kepada kepercayaan mereka, katanya, ‘Memang tidak dapat dielakkan bahawa kita masuk ke dalam kerajaan Allah dengan menanggung banyak kesusahan.’ 23Setelah menetapkan para tua-tua bagi setiap jemaah dan berdoa serta berpuasa, mereka menyerahkan mereka kepada Tuhan yang sudahpun dipercayai oleh mereka. 24Setelah melalui tanah Pisidia, rasul-rasul itu sampai ke tanah Pamfilia.
25Mereka menyampaikan firman Allah di Perga, kemudian pergi ke Atalia.
26Dari sana mereka belayar ke Antiokhia, tempat mereka dahulunya menyerahkan tugas yang baru mereka selesaikan kepada kasih kurnia Allah. 27Setelah sampai di sana, mereka menghimpunkan jemaah lalu menceritakan segala yang telah dilakukan Allah melalui mereka dan bagaimana Allah telah membukakan pintu kepercayaan bagi orang bangsa asing. 28Mereka tinggal di situ beberapa lama bersama pengikut Isa yang lain.
↑ ↑ ↑ 15
1Kemudian, beberapa orang datang dari Yudea dan mengajar pengikut Isa di Antiokhia, ‘Jika kamu tidak disunat menurut adat Musa, kamu tidak akan mendapat penyelamatan.’ 2Ini menyebabkan Paulus dan Barnabas banyak berbahas dan berbantah dengan orang dari Yudea itu. Akhirnya diputuskan bahawa Paulus dan Barnabas serta beberapa orang lain pergi ke Baitulmaqdis berjumpa dengan para rasul dan tua-tua untuk bertanyakan persoalan tersebut. 3Jemaah menghantar mereka sampai ke luar kota. Semasa mereka meneruskan perjalanan melalui Fenisia dan Samaria, mereka memberitahu bagaimana orang bangsa asing telah percaya kepada Isa. Pengikut-pengikut Isa di situ amat sukacita mendengarnya. 4Setelah sampai ke Baitulmaqdis, jemaah dan para rasul serta tua-tua menyambut mereka. Mereka pun menceritakan segala perkara yang telah dilakukan Allah melalui mereka. 5Akan tetapi beberapa orang daripada mazhab Farisi yang telah mempercayai Isa bangkit lalu berkata, ‘Orang bangsa asing itu haruslah disunat dan wajib menurut Taurat Musa.’
6Para rasul dan tua-tua berkumpul untuk menyelidik serta membincangkan perkara itu. 7Setelah perkara itu banyak dibincangkan, Petrus berdiri lalu berkata, ‘Saudara-saudara semuanya tahu bahawa Allah telah memilihku sejak dahulu kala dari kalangan kita semua untuk menyampaikan firman-Nya tentang berita baik kepada bangsa asing, lalu mereka percaya. 8Allah yang mengetahui hati manusia telah bersaksi akan mereka itu dan memberi mereka Roh Suci sebagaimana diberi-Nya kepada kita. 9Allah tidak membezakan mereka dengan kita sedikit pun. Dia menyucikan hati mereka kerana iman mereka. 10Sekarang ini mengapa saudara-saudara menduga Allah dengan meletakkan ke atas mereka suatu beban yang tidak dapat ditanggung oleh nenek moyang kita, malah oleh kita ini juga? 11Kami percaya hanya dengan kasih kurnia Junjungan Isa dapat kita berharap untuk diselamatkan, samalah seperti orang bangsa asing itu.’
12Orang ramai pun diam lalu mendengar Barnabas dan Paulus menceritakan segala alamat dan mukjizat yang dilakukan Allah di kalangan bangsa asing melalui mereka berdua. 13Setelah mereka habis bercerita, Yakobus pula berkata, ‘Saudara-saudara, dengarlah. 14Simon telah menceritakan bagaimana Allah pada mulanya menunjukkan kasih-Nya kepada orang bangsa asing dan memilih dari kalangan mereka suatu kaum untuk menjadi umat-Nya. 15Hal ini selaras dengan nubuat nabinabi yang tersurat:
16‘ “Setelah itu Aku akan kembali dan membina semula khemah Daud yang roboh; dan segala keruntuhannya akan Kubangunkan, lalu Kutegakkan semula,
17supaya semua bangsa yang lain akan mencari Tuhan, bangsa asing yang Kupanggil menjadi umat-Ku.”
18Demikianlah firman Tuhan yang telah melakukan semua ini dan yang telah menyatakannya sejak dahulu kala.
19‘Oleh itu pada fikiranku janganlah kita menyusahkan orang bangsa asing yang telah mempercayai Allah;
20tetapi hendaklah kita berkirim surat kepada mereka dan menasihati mereka supaya menjauhkan diri daripada memakan makanan yang telah dipersembahkan kepada berhala, binatang yang mati dicekik, dan darah; dan daripada melakukan zina. 21Sejak dahulu kala dalam setiap negara ada orang yang menyebarkan berita tentang Musa dan membaca Tauratnya di saumaah-saumaah pada hari Sabat.’
22Selepas itu, para rasul dan tua-tua serta seluruh jemaah bersetuju memilih beberapa orang di antara mereka untuk ke Antiokhia bersama Paulus dan Barnabas. Orang yang dipilih itu ialah Yudas yang bergelar Barsabas, dan juga Silas, yang mengetuai saudara-saudara itu. 23Mereka diamanahkan membawa sepucuk surat yang berbunyi: ‘Salam daripada para rasul, tua-tua jemaah dan saudara-saudaramu kepada saudara-saudara bukan Yahudi yang tinggal di Antiokhia, Siria dan Kilikia.
24Kami telah mendengar khabar bahawa ada beberapa orang daripada bangsa kami telah mengganggu saudara-saudara dengan kata-kata yang bukan daripada kami. 25Oleh itu kami bermuafakat hendak memilih orang untuk pergi bertemu dengan saudara-saudara bersama Barnabas dan Paulus yang kami kasihi, 26iaitu orang yang telah mempertaruhkan nyawa kerana nama Junjungan kita Isa al-Masih. 27Kami telah memilih Yudas dan Silas untuk pergi menyampaikan kepada saudara-saudara 28pesan daripada Roh Suci dan daripada kami: iaitu janganlah diletakkan ke atas saudara-saudara beban yang lebih berat daripada yang perlu.
29Cuma, jauhkanlah diri daripada memakan makanan yang telah dipersembahkan kepada berhala, binatang yang mati dicekik, dan darah; dan daripada melakukan zina. Jika saudarasaudara memeliharakan diri daripada segala ini, saudara-saudara melakukan hal yang betul. Sekian, selamat sejahtera.’
30Mereka yang diutus itu bertolak ke Antiokhia. Di sana mereka menghimpunkan jemaah dan menyampaikan surat. 31Apabila jemaah membaca surat itu, mereka bersukacita kerana surat itu memberi perangsang kepada mereka. 32Yudas dan Silas itu kedua-duanya nabi. Mereka menasihati dan menetapkan hati saudara-saudara seiman di situ. 33Setelah Yudas dan Silas tinggal di situ, jemaah melepaskan mereka untuk pulang dengan sejahtera kepada orang yang mengutus mereka.
34Akan tetapi Silas memutuskan untuk tetap tinggal di Antiokhia. 35Paulus dan Barnabas tinggal di situ beberapa lama sambil mengajar dan menyampaikan firman Tuhan bersama ramai orang lain.
36Kemudian, Paulus berkata kepada Barnabas, ‘Sekarang baiklah kita melawat semula saudarasaudara yang percaya kepada Isa di semua kota yang telah kita sampaikan firman Tuhan, untuk melihat bagaimana hal mereka.’ 37Barnabas hendak membawa Yahya yang juga bergelar Markus
38tetapi Paulus tidak bersetuju kerana Markus telah meninggalkan mereka di Pamfilia dan tidak ikut serta menjalankan tugas. 39Oleh itu timbul perselisihan sengit dan mereka berpisah: Barnabas membawa Markus belayar ke Siprus
40manakala Paulus memilih Silas sebagai teman seperjalanannya. Setelah jemaah menyerahkan mereka kepada kasih kurnia Tuhan, mereka pun berangkat. 41Mereka menjelajahi Siria dan Kilikia sambil menetapkan hati jemaah di situ.
↑ ↑ ↑ 16
1Paulus meneruskan perjalanan ke Derbe dan dari situ ke Listra. Di situ ada seorang pengikut Isa bernama Timotius, ibunya orang Yahudi yang percaya kepada Isa tetapi bapanya orang Yunani.
2Timotius dipandang tinggi oleh para pengikut Isa di Listra dan di Ikonium. 3Paulus hendak membawa Timotius bersamanya. Dia pun menyunatkan Timotius kerana semua orang Yahudi di daerah itu tahu bapanya orang Yunani. 4Di setiap kota yang dikunjungi, mereka menyampaikan peraturan yang telah ditetapkan oleh para rasul dan ketua-ketua di Baitulmaqdis kepada jemaah di situ untuk dipatuhi. 5Dengan demikian setiap jemaah semakin teguh imannya dan setiap hari bilangan mereka meningkat.
6Mereka menjelajahi pula Frigia dan Galatia, kerana Roh Suci melarang mereka menyampaikan firman Allah di Asia. 7Setelah sampai di sempadan Misia, mereka mencuba masuk ke Bitinia, tetapi dilarang oleh Roh Isa. 8Oleh itu mereka terus ke Troas melalui Misia. 9Pada malam itu Paulus mendapat suatu penglihatan: seorang Makedonia berdiri di hadapannya sambil memohon, ‘Marilah ke Makedonia menolong kami.’ 10Setelah Paulus melihat penglihatan itu, kami pun hendak segera bertolak ke Makedonia, kerana pada hemat kami Allah memerintahkan kami menyampaikan berita baik kepada orang di situ.
11Oleh yang demikian, kami belayar dari Troas terus ke Samotrake dan esoknya ke Neapolis; 12dan dari situ ke Filipi, sebuah kota di Makedonia, yang termasuk jajahan Empayar Rom; kami tinggal beberapa hari di situ.
13Pada hari Sabat kami pergi ke luar pintu gerbang kota ke tepi sungai, kerana di situ kami jangka ada tempat orang berdoa. Kami duduk bercakap dengan perempuan yang berhimpun di situ. 14Salah seorang yang mendengar kami bercakap ialah seorang perempuan bernama Lidia, yang berjual kain ungu dan berasal dari Tiatira. Dia penyembah Allah. Tuhan membukakan hatinya lalu dia menerima segala yang dikatakan oleh Paulus. 15Setelah dia dan seisi rumahnya diimadkan, dia berkata, ‘Jika pada hemat kamu, aku ini benar-benar percaya akan Junjungan, marilah tinggal di rumahku.’ Demikian dia bersungguh-sungguh mengajak kami ke rumahnya.
16Di tempat orang berdoa itu juga ada seorang hamba perempuan yang dirasuk roh penilik; dia membawa keuntungan yang besar kepada tuan-tuannya dengan tilikannya itu. 17Hamba perempuan itu mengikut Paulus dan kami sambil berseru-seru, ‘Orang ini hamba Allah Yang Maha Tinggi; mereka memberitahu kamu bagaimana Allah dapat menyelamatkan kamu!’ 18Demikianlah dilakukannya selama beberapa hari. Akhirnya Paulus gusar dan berpaling sambil berkata kepada roh itu, ‘Dengan nama Isa al-Masih aku perintahkan kamu keluar daripadanya!’ Roh itu pun keluar serta-merta.
19Apabila tuan-tuan budak perempuan itu sedar bahawa sumber keuntungan mereka telah dihapuskan, mereka menangkap Paulus dan Silas lalu menyeret mereka ke hadapan pihak berkuasa di medan kota. 20Mereka menghadapkan Paulus dan Silas kepada pegawai-pegawai kerajaan Rom dan berkata, ‘Mereka berdua ini membuat kacau di kota kita. Mereka orang Yahudi 21dan mereka menyebarkan ajaran yang tidak patut kita terima atau ikut kerana kita ini orang Rom.’
22Orang ramai pun bangkit menentang Paulus dan Silas. Pegawai-pegawai melucutkan pakaian kedua-duanya dan mengarahkan supaya mereka disebat. 23Setelah disebat beberapa kali, keduaduanya dimasukkan ke dalam penjara; ketua penjara itu diberi arahan mengawal mereka dengan ketat. 24Oleh itu, ketua penjara memasukkan Paulus dan Silas ke bahagian penjara yang di dalam sekali serta membelenggu kaki mereka.
25Namun demikian, pada waktu tengah malam Paulus dan Silas berdoa dan memuji Allah. Sekalian yang terpenjara itu mendengar doa dan pujian mereka. 26Tiba-tiba berlaku gempa bumi yang besar, sehingga bergoncang asas penjara itu. Serta-merta semua pintu penjara terbuka dan belenggu semua orang yang terpenjara itu terlucut. 27Apabila ketua penjara terjaga daripada tidur dan melihat semua pintu penjara itu terbuka, dia menghunus pedang hendak membunuh diri, kerana sangkanya semua orang yang terpenjara telah lepas lari. 28Akan tetapi Paulus berseru dengan lantang, ‘Jangan apaapakan dirimu, kami semua ada di sini.’
29Ketua penjara meminta pelita lalu berlari masuk serta sujud dengan gementar di hadapan Paulus dan Silas. 30Kemudian dia membawa mereka keluar lalu berkata, ‘Tuan-tuan, apakah yang patut aku lakukan supaya diselamatkan?’
31Mereka menjawab, ‘Percayalah kepada Junjungan Isa, dan kamu akan diselamatkan, kamu dan seisi rumahmu.’ 32Mereka pun menyampaikan firman Tuhan kepadanya dan seisi rumahnya. 33Pada malam itu juga ketua penjara membasuhkan luka-luka Paulus dan Silas. Dia dan seisi rumahnya diimadkan. 34Selepas itu dia membawa Paulus dan Silas naik ke rumahnya serta menghidangkan makanan untuk mereka dengan amat sukacita kerana dia sekeluarga telah percaya kepada Allah.
35Setelah hari siang, pegawai-pegawai kerajaan Rom menghantar anggota polis untuk menyampaikan perintah membebaskan Paulus dan Silas. 36Ketua penjara memberitahu mereka tentang perintah itu, ‘Pegawai-pegawai menyuruh tuan-tuan dibebaskan. Oleh itu keluarlah dan pergilah dengan sejahtera.’
37Akan tetapi Paulus berkata, ‘Mereka telah menyebat kami di hadapan orang ramai tanpa menyiasat, sungguhpun kami orang Rom. Mereka telah memasukkan kami ke dalam penjara. Sekarang mereka hendak membebaskan kami senyap-senyap? Tidak boleh begitu! Hendaklah mereka sendiri datang membawa kami keluar.’
38Kata-kata Paulus itu disampaikan oleh anggota polis kepada pegawai-pegawai itu. Apabila mendengar bahawa Paulus dan Silas orang Rom, pegawai-pegawai itu pun takut 39lalu datang memujuk mereka, membawa mereka keluar dan meminta mereka meninggalkan kota itu. 40Paulus dan Silas keluar dari penjara lalu pergi ke rumah Lidia. Setelah bertemu dengan pengikut-pengikut Isa di situ dan menetapkan hati mereka, Paulus dan Silas pun meneruskan perjalanan.
↑ ↑ ↑ 17
1Paulus dan Silas melalui Amfipolis dan Apolonia lalu sampai di Tesalonika. Di situ ada saumaah.
2Seperti biasa, Paulus masuk dan berbincang dengan orang di situ tiga hari Sabat berturut-turut tentang ayat-ayat Kitab Suci. 3Dia menyatakan dan menunjukkan bahawa al-Masih mengalami kematian dan kemudian bangkit daripada kematian; juga katanya, ‘Isa yang kusebutkan kepadamu inilah al-Masih.’ 4Beberapa orang di situ percaya lalu bersahabat dengan Paulus dan Silas; antara mereka terdapat sebilangan besar orang Yunani yang taat akan Allah serta cukup ramai wanita yang terkemuka. 5Tetapi orang Yahudi berasa dengki lalu mengumpulkan orang jahat dan memulakan huru-hara di kota itu; mereka menyerang rumah Yason untuk membawa keluar rasul-rasul itu menghadap orang ramai. 6Apabila mereka tidak menemui Paulus dan Silas, mereka menyeret Yason dan beberapa orang lagi pengikut Isa ke hadapan pegawai-pegawai yang berkuasa sambil berseru, ‘Orang ini telah menimbulkan kekacauan di merata-rata dan sekarang mereka datang pula ke sini 7lalu dialu-alukan oleh Yason ke rumahnya. Mereka ini melanggar undang-undang Kaisar Rom dengan mengatakan ada orang lain yang menjadi raja, bernama Isa.’ 8Apabila orang ramai dan pegawai kerajaan mendengar kata-kata itu, mereka pun gempar. 9Mereka menerima ikat jamin untuk Yason dan yang lain lalu membenarkan mereka pergi.
10Para pengikut Isa itu segera menyuruh Paulus dan Silas bertolak ke Beria pada waktu malam. Setelah sampai di sana, mereka masuk ke saumaah. 11Orang Yahudi di situ lebih mulia rohaninya daripada yang di Tesalonika kerana mereka menerima firman Allah dengan amat sukacita dan menyelidik Kitab Suci untuk memastikan setiap kebenaran yang dikatakan Paulus. 12Oleh yang demikian ramailah di antara mereka yang percaya, baik wanita-wanita Yunani yang berkedudukan tinggi mahupun kaum lelaki.
13Akan tetapi apabila orang Yahudi di Tesalonika mendapat tahu bahawa Paulus menyebarkan firman Allah di Beria juga, mereka pergi menghasut dan mengapi-apikan orang di situ supaya merusuh. 14Para pengikut Isa di Beria segera menyuruh hantar Paulus ke pantai manakala Silas dan Timotius masih di Beria. 15Orang yang menghantar Paulus itu membawanya hingga ke Atena; setelah menerima pesan Paulus menyuruh Silas dan Timotius segera menyertainya, orang itu pun pulang ke Beria.
16Sementara Paulus menantikan kedua-duanya di Atena, dia berasa amat sedih melihat kota itu penuh dengan berhala. 17Oleh itu, dia berhujah di saumaah dengan orang Yahudi dan orang Yunani yang taat akan Allah; dan di medan kota juga dia berbincang dengan siapa sahaja yang ditemuinya.
18Beberapa orang yang berpegang kepada ajaran Epikuros dan Stoa berhujah dengannya. Ada yang berkata, ‘Apa yang dibebelkannya itu?’ Yang lain berkata, ‘Nampaknya orang ini menyebarkan berita tentang dewa-dewa orang bangsa asing.’ Demikianlah kata mereka kerana Paulus menyebarkan berita baik tentang Isa dan kebangkitan daripada kematian. 19Mereka membawanya ke Areopagus sambil berkata, ‘Bolehkah kami mengetahui apakah ajaran baru yang kamu katakan ini? 20Kamu menyampaikan ke telinga kami perkara-perkara yang aneh; oleh itu kami hendak mengetahui ertinya segala perkara ini.’ 21(Semua orang Atena dan orang asing di situ asyik sekali membincangkan atau mendengar tentang perkara-perkara terbaru).
22Paulus berdiri di tengah Areopagus itu lalu berkata, ‘Saudara-saudara orang Atena, aku lihat dalam semua hal saudara-saudara sentiasa ingat menyembah tuhan. 23Sedang aku berjalan-jalan sambil memerhatikan apa yang saudara-saudara sembah, di suatu tempat aku dapati suatu tempat korban yang ditulis begini: “Kepada Tuhan yang tidak diketahui.” Tuhan yang saudara-saudara sembah tanpa mengetahui-Nya itulah yang hendak aku nyatakan kepada saudara-saudara.
24‘Allah yang menjadikan dunia dengan segala isinya serta memerintah langit dan bumi tidak tinggal di tempat sembahyang buatan manusia, 25dan tidak dilayani oleh manusia kerana Dia tidak kekurangan apa-apa. Malah Dialah yang memberi manusia hidup dan nafas serta segala-galanya.
26Daripada seorang manusia Dia menjadikan semua bangsa manusia yang menduduki seluruh muka bumi; Dia juga menetapkan masa dan tempat mereka hidup. 27Masing-masing diharap mencari Tuhan, mudah-mudahan mereka menemui-Nya. Dia tidaklah jauh daripada kita. 28“Kerana-Nya kita bergerak serta ada di dunia ini.” Sebagaimana kata penyair bangsamu, “Kita adalah anak-Nya.”
29‘Oleh sebab kita anak-Nya, tidak patut kita sangka Dia serupa dengan emas, perak atau batu yang diukir dengan kepandaian dan akal manusia. 30Allah membiarkan manusia melalui zaman kejahilan itu; tetapi sekarang Dia menyuruh manusia di seluruh dunia ini bertaubat; 31kerana Dia telah menetapkan bahawa pada suatu hari seisi dunia ini akan dihakimkan dengan adil oleh seorang yang ditentukan-Nya. Allah bersaksi akan hal ini kepada semua manusia dengan membangkitkan-Nya daripada kematian.’
32Apabila mendengar ‘membangkitkan-Nya daripada kematian’, ada yang mengejek-ejek; tetapi ada yang berkata, ‘Kami mahu mendengar lagi kamu bercakap tentang perkara itu.’ 33Selepas itu Paulus keluar daripada perhimpunan itu. 34Namun, ada beberapa orang yang menjadi pengikut Paulus dan percaya akan kata-katanya; di antaranya ialah Dionisius anggota Areopagus, dan seorang wanita bernama Damaris, serta beberapa orang lagi.
↑ ↑ ↑ 18
1Seterusnya, Paulus berangkat dari Atena ke Korintus. 2Apabila tiba di situ, dia bertemu dengan seorang Yahudi bernama Akwila, yang lahir di kota Pontus. Dia baru datang dari Itali dengan isterinya Priskila, kerana Klaudius telah menitahkan semua orang Yahudi keluar dari Rom. Paulus pergi menemui mereka 3lalu tinggal dan bekerja bersama mereka kerana mata pencarian mereka sama iaitu sebagai tukang khemah. 4Pada setiap hari Sabat, Paulus berhujah di saumaah untuk meyakinkan orang Yahudi dan juga orang Yunani menjadi pengikut Isa.
5Setelah Silas dan Timotius sampai di situ dari Makedonia, Paulus menumpukan masa kepada usaha menyampaikan firman Allah serta memberikan kesaksian kepada orang Yahudi bahawa Isa itulah al-Masih. 6Akan tetapi mereka menentang dan mencelanya; maka Paulus mengebaskan debu daripada pakaiannya lalu berkata, ‘Jika kamu musnah, kamu sendirilah yang bertanggungjawab, aku tidak salah, aku bersih. Dari sekarang aku hendak pergi kepada orang bangsa asing.’
7Paulus pun berpindah ke rumah Titus Yustus, seorang yang menyembah Allah; rumahnya bersebelahan dengan saumaah. 8Krispus, ketua saumaah itu, serta seisi rumahnya, percaya kepada Junjungan Isa; ramai lagi orang Korintus turut mendengar dan percaya lalu diimadkan.
9Pada suatu malam Tuhan berfirman kepada Paulus dalam satu penglihatan, ‘Jangan takut, berkata-katalah terus dan jangan berhenti, 10kerana Aku menyertaimu. Tiada seorang pun akan dapat mencederakanmu, kerana ramai orang di kota ini umat-Ku.’ 11Paulus tinggal di situ setahun setengah sambil menyebarkan firman Allah kepada orang di situ.
12Semasa Galio menjadi pemerintah negeri Akhaya, orang Yahudi bangkit dengan sehati melawan Paulus lalu membawanya ke muka keadilan. 13Mereka berkata, ‘Orang ini cuba mempengaruhi orang ramai supaya menyembah Allah dengan cara yang bercanggah dengan hukum Taurat.’
14Apabila Paulus hendak menjawab, Galio berkata, ‘Hai orang Yahudi, jikalau perkara ini tentang kesalahan atau jenayah, patutlah aku bersabar mendengarnya; 15tetapi jikalau pertikaianmu tentang perkataan, nama dan hukummu hendaklah kamu menyelesaikannya sendiri; aku tidak mahu mengadili perkara yang demikian.’ 16Lalu Galio mengusir mereka keluar dari tempat pengadilan itu. 17Kemudian mereka menangkap Sostenes, ketua saumaah, lalu memukulnya di hadapan tempat pengadilan itu, tetapi Galio tidak menghiraukannya.
18Paulus tinggal dengan para pengikut Isa di Korintus beberapa hari lagi. Selepas itu dia meninggalkan mereka lalu belayar bersama Priskila dan Akwila ke Siria. Sebelum bertolak, Paulus mencukur rambutnya di Kengkrea sebagai menunaikan nazarnya. 19Apabila mereka sampai di Efesus, Paulus meninggalkan Priskila dan Akwila di situ. Dia masuk seorang ke saumaah lalu berbincang dengan orang Yahudi. 20Ketika mereka memintanya tinggal lebih lama lagi di sana, dia menolak permintaan itu 21lalu bermohon diri sambil berkata, ‘Insya-Allah, aku akan kembali bertemu denganmu.’ Selepas itu dia belayar meninggalkan Efesus. 22Setelah sampai di Kaisarea, dia naik memberi salam kepada jemaah, lalu turun ke Antiokhia.
23Di sana dia tinggal beberapa lama, kemudian berangkat melawat seluruh daerah Galatia dan Frigia serta mengukuhkan iman para pengikut Isa di situ.
24Pada masa itu seorang Yahudi bernama Apolos, yang lahir di Iskandaria, pandai berpidato dan amat memahami Kitab Suci, datang ke Efesus. 25Dia telah diajar tentang jalan Tuhan, dan dengan bersungguh-sungguh dia berkata-kata dan mengajarkan ajaran Isa dengan betul, walaupun dia hanya mengetahui pengimadan Yahya. 26Dia mula bercakap dengan berani di saumaah. Priskila dan Akwila mendengar dia bercakap lalu membawanya ke tempat tinggal mereka dan menerangkan jalan Allah kepadanya dengan lebih betul lagi.
27Apabila dia hendak menyeberang ke Akhaya, para pengikut Isa di Efesus membantunya dengan menulis surat kepada saudara-saudara seiman di Akhaya, supaya mereka menyambut Apolos. Setibanya di Akhaya, dia banyak menolong orang yang dengan kasih kurnia Allah telah beriman.
28Dengan wibawa yang penuh Apolos mengalahkan orang Yahudi dalam perbahasan di hadapan orang ramai. Dengan memetik ayat-ayat Kitab Suci, dia membuktikan bahawa Isa itu al-Masih.
↑ ↑ ↑ 19
1Sementara Apolos berada di Korintus, Paulus menjelajahi kawasan pedalaman lalu sampai di Efesus.
2lalu berkata, ‘Adakah kamu menerima Roh Suci pada waktu kamu percaya kepada Isa?’ Mereka menjawab, ‘Kami belum pernah mendengar pun tentang adanya Roh Suci.’
3Paulus bertanya, ‘Kalau begitu, dalam pengimadan apakah kamu diimadkan?’ Kata mereka, ‘Dalam pengimadan Yahya.’
4Paulus berkata, ‘Yahya telah mengimadkan orang dengan pengimadan taubat dan berkata kepada mereka bahawa mereka hendaklah mempercayai Dia yang akan datang selepasnya, iaitu Isa.’ 5Setelah mereka mendengar penerangan itu, mereka diimadkan dengan nama Junjungan Isa. 6Paulus meletakkan tangan di atas mereka lalu datanglah Roh Suci menguasai mereka dan mereka semuanya bercakap dalam berbagai-bagai bahasa serta bernubuat. 7Semuanya ada kira-kira dua belas orang.
8Paulus masuk ke saumaah dan bercakap di situ dengan beraninya selama tiga bulan. Dia berbincang dengan orang di situ dan berusaha meyakinkan mereka tentang kerajaan Allah. 9Akan tetapi beberapa orang berkeras hati dan tidak mahu percaya malah memburuk-burukkan Jalan Tuhan di hadapan orang ramai. Oleh itu Paulus meninggalkan mereka lalu membawa pengikutpengikut Isa bersamanya ke dewan syarahan Tiranus dan di situlah dia mengadakan perbincangan.
10Hal itu berlaku selama dua tahun, hingga semua penduduk Asia, baik orang Yahudi mahupun orang Yunani, telah mendengar firman Tuhan.
11Allah melakukan mukjizat yang luar biasa melalui Paulus. 12Sesetengah mereka membawa pulang sapu tangan atau kain yang pernah dipakai Paulus kepada orang yang sakit lalu mereka sembuh dan roh-roh iblis yang merasuk mereka keluar dari tubuh mereka.
13Beberapa orang Yahudi yang mengamalkan ilmu sihir turut serta menyebut nama Junjungan Isa untuk mengubat orang yang dirasuk roh-roh iblis, dengan berkata, ‘Aku menyumpahi kamu demi Isa yang dikhabarkan oleh Paulus.’ 14Ada tujuh orang anak Skewa, imam besar orang Yahudi, yang berbuat demikian. 15Akan tetapi roh durjana itu menjawab, ‘Aku kenal akan Isa, dan tahu akan Paulus, tetapi kamu ini siapa?’ 16Lalu orang yang dirasuk roh durjana itu menerkam dan mengerjakan mereka. Mereka pun lari dari dalam rumah itu dalam keadaan telanjang dan luka.
17Berita itu tersebar di kalangan orang Yahudi mahupun Yunani di Efesus; mereka ketakutan lalu nama Junjungan Isa semakin dimuliakan. 18Ramai orang yang mempercayai Isa datang sambil mengakui segala perbuatan jahat mereka yang lalu. 19Beberapa orang yang mengamalkan ilmu sihir mengumpulkan semua buku sihirnya dan membakarnya di hadapan orang ramai. Semua buku sihir itu dianggar nilainya kira-kira lima puluh ribu keping wang perak. 20Demikianlah, firman Tuhan tersebar luas dan semakin berkuasa.
21Setelah selesai peristiwa itu, Paulus berniat dalam hatinya hendak menjelajahi Makedonia dan Akhaya dan kemudian ke Baitulmaqdis. Dia berkata, ‘Selepas itu, aku mesti pergi ke Rom pula.’ 22Dia pun menyuruh Timotius dan Erastus, dua orang daripada pembantu-pembantunya, pergi dahulu ke Makedonia, manakala dia tinggal lebih lama di Asia.
23Pada masa itu berlaku huru-hara di Efesus kerana ajaran tentang Jalan Tuhan. 24Seorang tukang perak bernama Demetrius membuat balai-balai berhala Dewi Artemis daripada perak. Pekerjaan ini membawa hasil lumayan kepada pekerja-pekerjanya. 25Dia menghimpunkan para pekerja serta tukang-tukang yang sama mata pencariannya lalu berkata, ‘Saudara-saudara sekalian tahu bahawa daripada pekerjaan inilah kita mendapat keuntungan. 26Saudara-saudara juga melihat dan mendengar bahawa di Efesus ini malah hampir di seluruh Asia, Paulus itu telah mempengaruhi ramai orang dengan berkata bahawa barang yang diperbuat oleh manusia bukannya dewa. 27Dengan demikian, apa yang dikhuatiri bukan saja mata pencarian kita ini dihina, bahkan rumah Artemis, dewi yang besar itu pun tidak akan diindahkan lagi, lalu hilanglah kebesaran dewi yang disembah orang di seluruh Asia malah di serata dunia.’
28Setelah mendengar kata-kata itu, semua yang hadir naik berang dan berseru, ‘Maha besar Artemis, dewi orang Efesus!’ 29Dengan demikian orang ramai merusuh di kota itu. Mereka menangkap Gayus dan Aristarkhus, orang Makedonia yang menemani Paulus dalam perjalanannya, lalu menyeret mereka ke stadium kota itu. 30Paulus hendak pergi bercakap kepada orang ramai tetapi para pengikut Isa tidak membenarkannya. 31Beberapa orang pegawai kerajaan yang bersahabat dengan Paulus berpesan kepadanya supaya jangan masuk ke stadium itu.
32Orang yang berkumpul di situ berseru-seru, sesetengah berkata begini dan sesetengah begitu; kerana semuanya dalam keadaan kelam-kabut dan sebilangan besar daripada mereka tidak tahu mengapa mereka berhimpun. 33Orang Yahudi menolak Iskandar ke hadapan untuk menghadapi orang ramai. Iskandar memberikan isyarat dengan tangannya kerana dia hendak menjelaskan segalanya kepada mereka. 34Akan tetapi apabila mereka mengenalinya sebagai orang Yahudi, semuanya berseru serentak selama kira-kira dua jam, ‘Maha besar Artemis, dewi orang Efesus!’
35Ketika itu setiausaha kota menyuruh mereka diam lalu berkata, ‘Hai orang Efesus, siapa yang tidak tahu bahawa orang kota Efesuslah yang memelihara kuil dewi besar Artemis dan patung sucinya yang turun dari langit? 36Ini tidak dapat dinafikan. Oleh itu kamu patut bertenang dan jangan bertindak gopoh-gapah. 37Kedua-dua orang ini tidak merampas harta tempat berhala dan tidak pula menghina dewi kita, tetapi kamu membawa mereka ke mari. 38Jika Demetrius dan tukangtukang yang menyertainya itu ada sesuatu yang hendak diadukan tentang sesiapa, kita mempunyai mahkamah perbicaraan dan hakim; hendaklah mereka mendakwa orang berkenaan di mahkamah.
39Jika kamu menuntut perkara lain, hendaklah diselesaikan dalam majlis yang berpatutan. 40Oleh sebab apa yang berlaku hari ini, kita akan didakwa menimbulkan huru-hara tanpa sebab; dan kita tidak dapat memberikan alasan yang wajar untuk membenarkan perhimpunan ini.’ 41Selepas itu, setiausaha kota menyuruh perhimpunan itu bersurai.
↑ ↑ ↑ 20
1Setelah kota itu aman semula, Paulus memanggil para pengikut Isa dan menasihatkan mereka, kemudian memohon diri lalu bertolak ke Makedonia. 2Dia menjelajahi seluruh Makedonia sambil memberi nasihat kepada orang di situ. Kemudian dia tiba di Yunani dan 3tinggal di sana selama tiga bulan. Apabila dia hendak belayar ke Siria, dia mendengar bahawa orang Yahudi berpakat hendak membunuhnya. Oleh itu dia membuat keputusan hendak berangkat melalui Makedonia.
4Dia diiringi hingga ke Asia oleh Sopater anak Purrus orang Beria, oleh Aristarkhus dan Sekundus orang Tesalonika, oleh Gayus orang Derbe, Timotius, dan dua orang dari Asia, Tikhikus dan Trofimus.
5Mereka berjalan dahulu, menantikan kami di Troas. 6Kami belayar dari Filipi selepas Perayaan Roti Tidak Beragi, lalu menemui mereka di Troas lima hari kemudian. Kami tinggal di situ selama tujuh hari.
7Pada hari pertama minggu itu, kami berkumpul untuk memecah-mecahkan roti. Paulus yang akan belayar esoknya bercakap dengan orang di situ sampai tengah malam. 8Di dalam bilik atas, tempat kami berhimpun itu, ada beberapa pelita. 9Seorang pemuda bernama Eutikhus duduk di jendela. Dia tertidur sementara Paulus masih bercakap. Oleh sebab lena tidurnya, pemuda itu jatuh dari tingkat ketiga itu sampai ke bawah. Orang mengangkatnya dan mendapatinya sudah mati.
10Paulus turun lalu merebahkan diri ke atas pemuda itu serta memeluknya sambil berkata, ‘Jangan bimbang, kerana ada lagi nyawanya.’ 11Selepas itu dia naik, membahagikan roti, makan lalu bertutur sampai dinihari. Kemudian dia pun berangkat. 12Pemuda itu didapati hidup dan dibawa pulang ke rumahnya. Mereka semua amat terhibur.
13Kami berjalan dulu naik ke kapal lalu belayar ke Asos untuk menyambut Paulus di sana; demikianlah yang telah dirancangnya, kerana dia sendiri hendak berjalan kaki. 14Setelah menyambutnya di Asos, kami mengiringinya ke Metilene. 15Kami belayar dari sana: Esoknya kami bertentangan dengan pulau Khios; lusanya kami singgah di Samos; dan tulatnya kami sampai di Miletus. 16Paulus telah membuat keputusan untuk belayar melalui Efesus, supaya jangan berlarutan di Asia; dia hendak cepat, dengan harapan sampai di Baitulmaqdis pada Perayaan Pentakosta.
17Dari Miletus Paulus menyuruh orang pergi ke Efesus memanggil tua-tua jemaah di situ.
18Apabila mereka datang menemuinya, Paulus berkata, ‘Kamu semua tahu cara hidupku sejak aku bersamamu, dari hari pertama aku datang ke Asia. 19Aku telah memperhambakan diri kepada Tuhan dengan sehabis-habis rendah hati dan dengan air mata. Sudah beberapa cubaan menimpa diriku akibat pakatan orang Yahudi. 20Aku tidak pernah menyembunyikan daripadamu sesuatu yang berfaedah kepadamu. Aku menyatakan segalanya kepadamu dan mengajarmu di khalayak ramai mahupun di rumah masing-masing, 21sambil memberikan kesaksian kepada orang Yahudi dan orang Yunani tentang pertaubatan kepada Allah dan iman akan Junjungan Isa.
22‘Sekarang aku pergi ke Baitulmaqdis mentaati perintah Roh Suci sedangkan aku tidak tahu apa yang akan berlaku kepadaku. 23Yang kuketahui hanyalah ini: Dari kota ke kota Roh Suci telah memberikan kesaksian kepadaku dan berkata bahawa penjara dan penderitaan ada lagi menantikan aku. 24Tetapi sekali-kali aku tidak mengindahkan soal nyawaku, asalkan aku dapat menyempurnakan tanggungjawab dan tugas yang kuterima daripada Junjungan Isa iaitu memberikan kesaksian akan berita baik tentang kasih kurnia Allah.
25‘Sekarang ingatlah. Aku tahu bahawa kamu tidak akan memandang mukaku lagi, setelah sekian lama aku bersamamu dan mengajarmu tentang kerajaan Allah. 26Oleh itu pada hari ini aku bersaksi bahawa aku tidak bersalah terhadap penumpahan darah manusia. 27Aku telah menyatakan kepadamu seluruh kehendak Allah dengan sepenuh kerelaan. 28Jagalah dirimu dan semua orang yang telah diamanahkan oleh Roh Suci kepada kamu untuk memeliharanya seperti gembala memelihara domba, iaitu jemaah Tuhan yang telah ditebus-Nya dengan darah-Nya sendiri.
29Aku tahu bahawa sepeninggalanku nanti, beberapa serigala garang akan masuk menyerang jemaah ini; 30malah dari antara kamu sendiri akan bangkit beberapa orang yang memesongkan ajaran yang benar dan berusaha menarik ahli-ahli jemaah mengikut mereka. 31Oleh itu berjaga-jagalah, serta ingatlah bagaimana selama tiga tahun aku tidak berhenti-henti siang malam menasihatkan setiap orang dengan air mataku.
32‘Sekarang aku menyerahkan kamu kepada Allah dan kepada perkhabaran tentang kasih kurnia Allah, yang berkuasa meneguhkan imanmu dan memberimu warisan yang diperuntukkan bagi seluruh umat Allah. 33Aku tidak pernah ingin memiliki emas perak atau pakaian orang. 34Kamu tahu bahawa kedua belah tanganku ini telah bekerja untuk mencukupkan sara hidupku dan orang yang bersamaku. 35Dalam semua perkara aku telah menunjukkan teladan kepadamu iaitu bagaimana kamu juga patut bekerja demikian untuk menolong orang yang lemah; dan ingatlah firman Junjungan Isa, “Memberi itu lebih berkatnya daripada menerima.” ’
36Setelah berkata demikian, Paulus berlutut dan berdoa-doa bersama semua yang hadir.
37Semuanya menangis seraya memeluk dan mencium Paulus. 38Mereka berdukacita terutamanya kerana dia berkata bahawa mereka tidak akan memandang mukanya lagi. Kemudian mereka menghantarkannya ke kapal.
↑ ↑ ↑ 21
1Setelah berpisah dengan mereka, kami belayar ke Kos, dan esoknya ke Rodos, dan dari sana ke Patara. 2Kami mendapati ada sebuah kapal yang hendak menyeberang ke Fenesia. Kami menaikinya lalu belayar. 3Setelah kelihatan Kiprus di sebelah kiri, kami terus belayar ke Siria lalu turun di kota Tirus kerana kapal itu hendak memunggah muatannya di situ. 4Kami menemui para pengikut Isa lalu tinggal di kota itu selama tujuh hari. Melalui pimpinan Roh Suci mereka menggesa Paulus supaya jangan pergi ke Baitulmaqdis. 5Setelah sampai waktu yang dirancang, kami bertolak dari situ. Semua pengikut Isa bersama anak isteri menghantarkan kami sampai ke luar kota. Kami semua berlutut di pantai lalu berdoa dan bersalam-salaman. 6Selepas itu kami naik ke kapal dan mereka pulang ke rumah masing-masing.
7Dari Tirus kami meneruskan pelayaran ke Ptolemais. Di situ kami memberi salam kepada saudarasaudara seiman lalu tinggal dengan mereka selama sehari. 8Esoknya kami pergi ke Kaisarea lalu masuk ke rumah Filipus, pemberita Injil yang menjadi salah seorang daripada tujuh pembantu para rasul, lalu kami tinggal dengannya. 9Dia mempunyai empat orang anak gadis yang belum berkahwin dan mereka bernubuat. 10Setelah kami tinggal di situ beberapa hari, seorang nabi bernama Agabus datang dari Yudea.
11Dia mendapatkan kami lalu mengambil tali pinggang Paulus dan mengikat kaki tangannya sendiri sambil berkata, ‘Demikianlah kata Roh Suci, bahawa orang yang mempunyai tali pinggang ini akan diikat demikian di Baitulmaqdis oleh orang Yahudi dan diserahkan ke tangan orang bangsa asing.’
12Apabila mendengar kata-kata itu, kami dan penduduk kota itu meminta Paulus supaya jangan pergi ke Baitulmaqdis. 13Paulus menjawab, ‘Mengapa kamu menangis dan menyedihkan hatiku? Aku bersedia bukan sahaja untuk diikat, malah untuk mati di Baitulmaqdis demi Junjungan Isa.’
14Oleh sebab dia tidak mahu mendengar kata kami, kami pun berhenti memujuknya lalu berkata, ‘Berlakulah kehendak Tuhan.’ 15Selepas itu kami berkemas lalu pergi ke Baitulmaqdis. 16Beberapa orang pengikut Isa dari Kaisarea menyertai kami lalu membawa kami berjumpa Menason, orang Siprus, yang sudah lama percaya akan Isa; di rumahnyalah kami menumpang.
17Setelah sampai di Baitulmaqdis, kami disambut oleh saudara-saudara seiman dengan sukacita.
18Pada esoknya Paulus bersama kami masuk berjumpa dengan Yakobus; ketua-ketua yang lain pun ada di situ. 19Setelah memberi salam kepada mereka, Paulus menceritakan segala yang telah dilakukannya secara terperinci di kalangan bangsa asing dengan kehendak Allah.
20Apabila mendengar kisah itu mereka memuji Allah dan berkata kepada Paulus, ‘Saudara, sebagaimana kamu lihat, ada berpuluh ribu orang Yahudi yang sudah percaya akan Isa dan mereka itu berpegang teguh kepada Taurat. 21Ada orang memberitahu mereka bahawa kamu mengajar orang Yahudi yang tinggal di kalangan orang bangsa asing supaya berpaling daripada Musa, jangan menyunatkan anak-anak dan jangan menurut adat orang Yahudi. 22Sekarang bagaimana? Mereka tentu mendengar berita kedatanganmu ke sini. 23Oleh itu, ikutlah seperti kata kami. Di antara kami ada empat orang yang telah bernazar. 24Bawalah mereka bersamamu dan sucikan dirimu bersama mereka serta tanggung belanja mencukur kepala mereka. Dengan demikian semua orang akan tahu bahawa apa yang dikatakan tentangmu itu tidak benar, sebaliknya kamu mengikut Taurat. 25Namun, tentang orang bangsa asing yang percaya akan Isa, kami telah berkirim surat memberikan hukum bahawa mereka hendaklah memeliharakan diri daripada makanan yang dipersembahkan kepada berhala, daripada darah dan binatang yang mati dicekik, dan daripada zina.’
26Paulus pun membawa empat orang itu bersamanya dan pada esoknya dia menyucikan diri bersama mereka. Kemudian dia masuk ke rumah ibadat dan memberitahu orang di situ bilangan harinya upacara penyucian itu akan selesai dan korban akan dipersembahkan bagi setiap mereka.
27Apabila hampir genap tujuh hari, beberapa orang Yahudi dari Asia terpandang Paulus di dalam rumah ibadat. Mereka menghasut orang ramai lalu menangkap Paulus 28sambil berseru, ‘Hai orang Israel, marilah tolong kami! Inilah dia orang yang menyebarkan merata-rata ajaran yang menghina kaum kita, Taurat dan rumah ibadat. Dia juga telah membawa orang Yunani ke dalam rumah ibadat, menajiskan tempat suci ini.’ 29Mereka berkata begitu kerana pernah melihat Trofimus orang Efesus bersama Paulus di kota itu lalu mereka menyangka bahawa Paulus telah membawanya ke dalam rumah ibadat. 30Ini menggemparkan semua orang Yahudi di kota itu lalu mereka berlari dan berhimpun mengerumuni Paulus. Mereka menangkapnya dan menyeretnya ke luar rumah ibadat. Semua pintu rumah ibadat pun segera ditutup. 31Ketika mereka hendak membunuhnya, ketua pasukan tentera Rom mendengar bahawa seisi kota Baitulmaqdis sedang merusuh. 32Dia segera membawa beberapa orang ketua tentera dan askar-askar untuk mendapatkan perusuh-perusuh itu. Apabila melihat mereka datang, perusuh-perusuh itu berhenti memukul Paulus.
33Ketua pasukan tentera itu datang menangkap Paulus, disuruhnya ikat dengan dua rantai. Dia bertanya siapakah itu dan apakah yang telah dilakukannya. 34Di antara orang ramai itu sesetengah menjawab begini dan sesetengahnya begitu. Oleh sebab ketua pasukan tentera itu tidak dapat memastikan punca huru-hara itu, dia menyuruh orangnya membawa Paulus ke dalam kubu. 35Setelah sampai ke tangga, askar-askar mengangkat Paulus kerana orang ramai mengganas.
36Mereka mengikut sambil berseru-seru, ‘Hapuskan dia!’
37Ketika Paulus hendak dibawa masuk ke dalam kubu, dia berkata kepada ketua pasukan tentera itu, ‘Bolehkah aku menyatakan sesuatu kepadamu?’ Ketua pasukan tentera itu berkata, ‘Kamu tahu bahasa Yunani? 38Bukankah kamu ini orang Mesir yang dulu mencetuskan pemberontakan dan memimpin empat ribu orang pengganas ke gurun?’
39Paulus berkata, ‘Aku ini orang Yahudi dari kota Tarsus di tanah Kilikia iaitu kota yang agak terkenal, dan aku meminta kamu benarkan aku bercakap kepada orang ramai itu.’
40Setelah mendapat kebenaran daripada ketua pasukan tentera, Paulus berdiri di atas tangga dan memberikan isyarat dengan tangannya supaya mereka diam. Setelah orang ramai itu senyap, Paulus berucap dalam bahasa Ibrani,
↑ ↑ ↑ 22
1‘Bapa-bapa dan saudara-saudara sekalian. Dengarlah peneranganku.’
2Setelah mereka mendengar Paulus bertutur dalam bahasa Ibrani, mereka terus senyap. Paulus berkata, 3‘Aku ini orang Yahudi, dilahirkan di Tarsus di tanah Kilikia, tetapi dibesarkan di kota ini, berguru kepada Gamaliel. Aku diajar hukum nenek moyang kita dengan betul, dan aku pula tekun beribadat kepada Allah, sama seperti saudara-saudara sekalian pada hari ini. 4Aku pernah menganiaya pengikut Jalan Tuhan malah membunuh mereka di samping mengikat dan memenjarakan mereka, baik lelaki mahupun perempuan. 5Imam besar dan seluruh anggota Majlis Agama boleh bersaksi akan perbuatanku itu. Aku telah mendapatkan beberapa surat daripada mereka lalu pergi ke Damsyik untuk menangkap dan mengikat para pengikut Isa di sana dan membawa mereka ke Baitulmaqdis ini untuk diseksa.
6‘Dalam perjalanan, ketika hampir sampai di Damsyik, sekitar tengah hari, tiba-tiba suatu cahaya yang besar bersinar dari langit mengelilingiku. 7Aku rebah ke tanah lalu mendengar suara berkata kepadaku, “Saul, Saul, mengapa engkau aniayakan Aku?”
8‘Aku berkata, “Siapakah Engkau, Tuan?” ‘Jawab-Nya, “Akulah Isa orang Nasaret yang kauaniayakan.” 9Semua orang yang bersamaku turut melihat cahaya itu tetapi tidak mendengar suara yang berkata-kata denganku itu.
10‘Aku berkata, “Tuan, apakah yang harus kulakukan?” ‘Dia menjawab, “Bangunlah, pergi ke Damsyik. Di sana engkau akan diberitahu segala yang sudah ditetapkan untukmu melakukannya.” 11Aku tidak dapat melihat langsung akibat cahaya yang terang itu. Teman seperjalananku memimpin tanganku masuk ke Damsyik.
12‘Ada seorang bernama Ananias yang kuat beribadat menurut hukum Taurat. Dia dipandang tinggi oleh orang Yahudi di Damsyik. 13Dia datang berdiri di sisiku lalu berkata, “Saudaraku Saul, kamu dapat melihat semula!” Pada saat itu juga aku dapat melihat semula lalu memandangnya.
14‘Dia berkata, “Allah, Tuhan nenek moyang kita, telah menetapkan bahawa kamu akan mengetahui kehendak-Nya, dan melihat Isa serta mendengar suara-Nya. 15Kamu akan menjadi saksi tentang-Nya kepada semua manusia, termasuk segala yang telah kamu lihat dan dengar itu. 16Sekarang mengapa kamu berlengah-lengah lagi? Bangunlah untuk diimadkan dan minta dihapuskan segala dosamu sambil menyeru nama-Nya.”
17‘Setelah aku pulang ke Baitulmaqdis, sedang aku berdoa di rumah ibadat, aku terlalai 18lalu melihat Dia dan mendengar kata-kata-Nya kepadaku, “Segeralah keluar dari Baitulmaqdis, kerana mereka tidak akan menerima kesaksian daripadamu tentang-Ku.”
19‘Aku berkata, “Ya Junjungan, mereka tahu bahawa aku pernah memenjarakan dan memukul orang yang mempercayai-Mu dalam semua saumaah; 20dan apabila darah Stefanus saksi-Mu itu ditumpahkan, aku turut berdiri berdekatan dan menyetujui pembunuhan itu, serta menjaga pakaian orang yang membunuhnya.”
21‘Kata-Nya kepadaku, “Keluarlah dari sini, kerana Aku hendak mengutusmu jauh-jauh kepada orang bangsa asing.” ’
22Orang ramai mendengar ucapan Paulus setakat itu, kemudian berseru lantang, ‘Hapuskan orang begini dari muka bumi, tidak patut dia dibiarkan hidup!’
23Mereka berteriak-teriak sambil mengebas-ngebas pakaian sehingga debu berterbangan. 24Ketua pasukan tentera itu menyuruh orangnya membawa Paulus ke dalam kubu. Dia mengarahkan mereka menyebat dan menyoalnya untuk mengetahui mengapa orang ramai berseru-seru demikian tentangnya. 25Paulus diikat dengan tali kulit lalu dia berkata kepada ketua tentera yang berdiri di situ, ‘Jikalau seorang warganegara Rom belum diadili dan didapati bersalah, berkuasakah kamu menyebatnya?’
26Apabila ketua tentera itu mendengar kata-kata Paulus, dia pergi memberitahu ketuanya tentang perkara itu. Katanya, ‘Apa kamu hendak buat? Orang ini warganegara Rom.’
27Ketua pasukan tentera itu mendapatkan Paulus lalu berkata, ‘Katakanlah kepadaku, adakah engkau ini warganegara Rom?’ Paulus menjawab, ‘Ya.’
28Ketua pasukan tentera itu berkata, ‘Aku dapat menjadi warganegara dengan bayaran yang tinggi.’ Paulus menjawab, ‘Tetapi aku dilahirkan sebagai warganegara Rom.’
29Semua orang yang hendak menyoalnya itu berundur, dan ketua pasukan tentera itu ketakutan kerana telah mengikat warganegara Rom.
30Esoknya, untuk mengetahui dengan pasti apa sebabnya Paulus dituduh oleh orang Yahudi, ketua tentera itu meminta imam besar dan semua ahli Majlis Agama berhimpun. Kemudian dia melepaskan Paulus daripada ikatan dan menghadapkannya kepada perhimpunan itu.
↑ ↑ ↑ 23
1Paulus merenung perhimpunan itu lalu berkata, ‘Saudara-saudara, dengan setulus hati aku telah melakukan segalanya di sisi Allah sampai hari ini.’ 2Ananias, imam besar, menyuruh orang yang berdiri di sisi Paulus menampar mulutnya. 3Paulus berkata kepadanya, ‘Allah akan menampar mulutmu nanti. Kamu seperti tembok yang dicat putih! Kamu sekarang duduk untuk mengadiliku menurut hukum tetapi kamu sendiri melanggar hukum itu dengan menyuruh orang menamparku!’
4Orang yang berdiri di sisi Paulus berkata, ‘Beranikah kamu mencela imam besar Tuhan?’
5Paulus menjawab, ‘Saudara-saudara, aku tidak tahu dia itu imam besar. Memang tersurat di dalam Kitab Suci, “Jangan hinakan pemimpin bangsamu.” ’
6Paulus mengetahui bahawa dalam perhimpunan itu separuhnya orang Saduki dan separuhnya orang Farisi. Dia pun berkata, ‘Saudara-saudara, aku ini orang Farisi dan anak orang Farisi. Aku didakwa kerana percaya akan kebangkitan daripada kematian.’ 7Dengan demikian orang Farisi dan orang Saduki mula berbahas. Seluruh perhimpunan berpecah kepada dua pihak. 8Orang Saduki mengatakan bahawa tiada kebangkitan daripada kematian, tiada malaikat dan tiada roh; tetapi orang Farisi percaya akan semuanya.
9Pertengkaran besar tercetus. Beberapa orang guru Taurat dari pihak orang Farisi bangkit dan menegaskan dengan penuh kesungguhan, ‘Kami dapati orang ini tidak bersalah langsung. Mungkin sekali roh atau malaikat telah bercakap dengannya.’ 10Perkelahian menjadi begitu sengit sehingga ketua pasukan tentera itu takut kalau-kalau Paulus diserang. Dia menyuruh askar-askar segera mengambil Paulus dengan paksaan dari tengah-tengah orang itu dan membawanya ke dalam kubu.
11Pada malam berikut itu Tuhan berdiri di sisinya dan berkata, ‘Tetapkanlah hatimu; kerana sebagaimana kamu telah bersaksi tentang-Ku dengan sungguh-sungguh di Baitulmaqdis ini, begitulah kamu akan bersaksi di Rom pula.’
12Setelah hari siang, orang Yahudi membuat pakatan. Mereka bersumpah tidak akan makan dan minum hingga mereka membunuh Paulus. 13Lebih empat puluh orang sepakat mengangkat sumpah itu. 14Mereka semua menghadap ketua-ketua imam dan para pemimpin masyarakat mereka lalu berkata, ‘Kami telah bersumpah tidak akan makan dan minum hingga kami membunuh Paulus itu.
15Kamu dan ahli-ahli Majlis Agama tolonglah minta ketua pasukan tentera itu hadapkan Paulus kepada kamu esok, seolah-olah kerana kamu hendak meneliti perkara itu dengan lebih halus lagi. Kami akan bersedia untuk membunuhnya sebelum dia sampai ke sini.’
16Anak saudara Paulus mendengar tentang pakatan itu lalu masuk ke kubu memberitahunya.
17Paulus memanggil dan berkata kepada seorang ketua tentera, ‘Bawalah pemuda ini kepada ketua pasukan tentera kerana ada suatu perkara yang hendak dikatakan kepadanya.’ 18Pegawai itu membawa pemuda itu berjumpa ketuanya lalu berkata, ‘Paulus, orang yang terpenjara itu, memanggilku dan meminta pemuda ini dibawa berjumpa tuan kerana ada suatu perkara yang hendak dikatakannya kepada tuan.’
19Ketua pasukan tentera memegang tangan pemuda itu dan membawanya ke tempat yang sunyi lalu bertanya, ‘Apa hal yang hendak kaukatakan kepadaku itu?’
20Pemuda itu berkata, ‘Orang Yahudi telah berpakat hendak meminta tuan membawa Paulus menghadap Majlis Agama esok, seolah-olah hendak meneliti halnya lebih halus lagi. 21Janganlah tuan terpedaya oleh kata-kata mereka, kerana lebih empat puluh orang daripada mereka telah bersumpah tidak akan makan dan minum hingga mereka membunuh Paulus. Mereka akan membunuhnya sebelum dia sampai ke hadapan Majlis Agama itu. Sekarang pun mereka semua sudah sedia menantikan tuan berjanji demikian.’
22Ketua pasukan tentera itu menyuruh pemuda itu pulang setelah berpesan, ‘Jangan beritahu sesiapapun bahawa kamu telah menyatakan hal ini kepadaku.’
23Kemudian dia memanggil dua orang ketua tentera lalu berkata, ‘Lengkapkan dua ratus orang askar untuk pergi ke Kaisarea; askar bertombak dua ratus orang dan askar berkuda tujuh puluh. Mereka mesti bertolak pada pukul sembilan malam ini.’ 24Ketua tentera itu juga menyuruh melengkapkan kenderaan dan menaikkan Paulus ke atasnya untuk dibawa kepada Feliks, pemerintah negeri, dengan selamat.
25Ketua tentera itu menulis surat seperti berikut:
26‘Salam daripadaku, Klaudius Lisias, kepada Feliks, pemerintah yang amat mulia.
27‘Orang ini telah ditangkap oleh orang Yahudi. Mereka hendak membunuhnya, lalu aku datang dengan askar-askar dan menyelamatkannya. Aku mendapat tahu dia warganegara Rom. 28Aku ingin mengetahui apa sebabnya dia dituduh oleh bangsanya. Oleh itu aku membawanya untuk menghadap Majlis Agama mereka. 29Aku mendapati dia tertuduh atas beberapa pertikaian tentang hukum agama; tetapi tiada suatu tuduhan pun yang patut dihukum bunuh atau penjara. 30Apabila aku diberitahu tentang suatu pakatan hendak membunuh orang ini, aku segera menghantarkannya kepada tuan. Aku berpesan kepada mereka yang menuduhnya supaya mendakwanya di hadapan tuan.’
31Askar-askar mengambil Paulus sebagaimana diarahkan lalu membawanya pada waktu malam ke Antipatris. 32Esoknya askar berkuda sahaja meneruskan perjalanan bersama Paulus manakala askar yang lain pulang ke Baitulmaqdis. 33Setelah sampai ke Kaisarea, surat itu dipersembahkan kepada pemerintah dan Paulus pun dihadapkan kepadanya. 34Selepas membaca surat itu, pemerintah itu bertanya kepada Paulus di mana negeri asalnya. Apabila dia mendengar bahawa Paulus orang Kilikia,
35dia berkata, ‘Aku akan mengadili perkara ini setelah pendakwa-pendakwa kamu sampai.’ Kemudian dia mengarahkan supaya Paulus ditahan di dalam istana yang dulu dibina oleh Herodes.
↑ ↑ ↑ 24
1Selepas lima hari, Ananias imam besar datang ke Kaisarea dengan beberapa orang pemimpin masyarakat Yahudi dan seorang peguam bernama Tertulus. Mereka menuduh Paulus di hadapan pemerintah itu. 2Setelah Paulus dipanggil hadir, Tertulus memulakan dakwaannya: ‘Feliks yang mulia, dengan limpah kurnia dan kebijaksanaanmu, kami hidup sejahtera dan menikmati perubahan yang baik di negeri ini. 3Kami amat berterima kasih atas segala yang telah kamu lakukan. 4Kerana tidak ingin mengambil terlalu banyak masamu, aku memohon kamu mendengar dakwaanku yang ringkas ini.
5‘Kami telah mendapati orang ini pengacau dan menimbulkan huru-hara di kalangan orang Yahudi di serata dunia. Dialah pemimpin mazhab ajaran orang Nasaret itu. 6Malah dia cuba menajiskan rumah ibadat tetapi kami menangkapnya dan hendak mengadilinya menurut hukum kami. 7Akan tetapi ketua pasukan tentera Lisias datang lalu merampasnya daripada kami. 8Dia mengarahkan kami, pendakwa-pendakwa orang ini, supaya menghadapmu. Jika kamu menyoal orang ini, kamu akan mendapati bahawa segala tuduhan kami ini benar.’
9Orang Yahudi turut serta menuduh Paulus, dan mengatakan bahawa segala yang dikatakan itu benar. 10Setelah menerima isyarat daripada pemerintah itu menyuruhnya bercakap, Paulus menjawab dakwaan itu demikian: ‘Aku tahu kamu telah lama menjadi hakim di negeri ini. Oleh itu aku dengan senang hati mengadukan hal kepadamu. 11Hanya dua belas hari yang lalu aku telah pergi ke Baitulmaqdis untuk beribadat. 12Aku tidak didapati berbincang dengan sesiapa atau menghimpunkan orang ramai itu untuk menimbulkan huru-hara, baik di rumah ibadat, saumaah, atau di mana-mana di kota itu. 13Para pendakwa juga tidak dapat membuktikan kepadamu segala tuduhan mereka terhadapku. 14Aku mengaku di hadapanmu bahawa aku menyembah Allah, Tuhan nenek moyangku, menurut Jalan Tuhan yang dianggap salah oleh mereka. Aku juga percaya dan berpegang kepada hukum Taurat, dan segala yang tersurat di dalam kitab nabi-nabi. 15Seperti mereka juga, aku berharap kepada Allah bahawa semua orang akan dibangkitkan daripada kematian kelak, sama ada orang benar ataupun orang jahat. 16Oleh itu aku sentiasa berusaha supaya hatiku bersih daripada kesalahan kepada Allah dan kepada manusia.
17‘Selepas beberapa tahun di tempat-tempat lain, aku ke Baitulmaqdis membawa derma untuk bangsaku, dan mempersembahkan korban. 18Mereka mendapati aku di dalam rumah ibadat setelah aku menyucikan diri; aku tidak membawa kumpulan yang besar dan tidak mencetuskan huru-hara.
19Ketika itu ada beberapa orang Yahudi dari Asia. Merekalah yang patut menghadap kamu di sini untuk mendakwa, kalaulah ada sesuatu yang patut didakwa tentang aku. 20Ataupun biarlah orang ini menyatakan apa kesalahan yang didapatinya pada diriku ketika aku berdiri di hadapan majlis mereka itu. 21Pada waktu itu aku hanya melafazkan kata-kata yang sama, iaitu, “Tentang kebangkitan daripada kematianlah aku didakwa di hadapanmu pada hari ini.” ’
22Feliks menangguhkan perbicaraan walaupun dia memahami selok-belok agama berkenaan. Dia berkata, ‘Apabila Lisias, ketua pasukan tentera itu, datang nanti, aku akan menyelesaikan perkara ini.’ 23Dia mengarahkan ketua tentera menahan Paulus tetapi secara longgar, dan membenarkan sahabat-sahabatnya membawa apa-apa untuknya.
24Beberapa hari kemudian, Feliks datang bersama isterinya Drusila, seorang Yahudi. Dia menyuruh orang memanggil Paulus lalu mendengar penerangannya tentang iman terhadap Isa al-Masih. 25Apabila Paulus bercakap tentang kebenaran, tentang penguasaan diri, dan tentang hukuman yang akan datang pada hari kemudian, Feliks ketakutan lalu berkata, ‘Pergilah sekarang. Apabila ada kesempatan nanti, aku akan memanggilmu lagi.’ 26Dalam pada itu dia berharap Paulus akan memberikan wang kepadanya. Oleh itu dia kerapkali menyuruh orang memanggil Paulus lalu bercakap dengannya.
27Dua tahun kemudian, Feliks digantikan oleh Perkius Festus. Feliks membiarkan Paulus terpenjara kerana hendak mengambil hati orang Yahudi.
↑ ↑ ↑ 25
1Tiga hari selepas Festus menjadi pemerintah negeri itu, dia berangkat dari Kaisarea ke Baitulmaqdis.
2Ketua-ketua imam dan para pemimpin masyarakat Yahudi menuduh Paulus di hadapan Festus.
3Mereka memohon jasa baik Festus menghantar Paulus ke Baitulmaqdis kerana mereka telah berpakat hendak membunuhnya di pertengahan jalan. 4Akan tetapi Festus menjawab bahawa Paulus terpenjara di Kaisarea dan dia sendiri pun hendak segera ke sana. 5Dia berkata, ‘Oleh itu hendaklah orang yang berkuasa di antara kamu berangkat ke sana bersamaku dan mendakwa orang itu, jika dia telah melakukannya.’
6Setelah tinggal di Baitulmaqdis kira-kira lapan atau sepuluh hari lagi, Festus pun berangkat ke Kaisarea. Pada esoknya dia duduk sebagai hakim di mahkamah lalu menyuruh orang membawa Paulus menghadapnya. 7Setelah Paulus masuk, semua orang Yahudi yang datang dari Baitulmaqdis itu berdiri mengelilinginya serta menuduhnya atas beberapa kesalahan yang berat, yang tidak dapat dibuktikan oleh mereka. 8Kemudian Paulus membela dirinya sendiri dan berkata ‘Satu pun tiada kesalahanku, terhadap hukum orang Yahudi, atau terhadap rumah ibadat, atau terhadap Kaisar.’
9Akan tetapi Festus hendak mengambil hati orang Yahudi lalu bertanya kepada Paulus, ‘Mahukah kamu pergi ke Baitulmaqdis supaya aku mengadili perkaramu ini di sana?’
10Paulus menjawab, ‘Aku sekarang berdiri di mahkamah Kaisar, dan di sinilah aku patut dibicarakan. Aku tidak pernah melakukan sesuatu yang buruk terhadap orang Yahudi, sebagaimana kamu terlebih maklum. 11Kalaulah aku bersalah, atau telah melakukan sesuatu yang patut aku dibunuh, aku tidaklah enggan mati; tetapi jika segala tuduhan mereka ke atas aku itu tidak benar, tiada seorang pun yang boleh menyerahkanku kepada mereka. Aku hendak mengadu kepada Kaisar.’
12Setelah berbincang dengan semua penasihatnya, Festus menjawab, ‘Kamu hendak mengadu kepada Kaisar; pergilah menghadap Kaisar!’
13Beberapa hari kemudian, Raja Agripa berangkat bersama Bernike ke Kaisarea untuk meraikan kedatangan Festus. 14Dalam beberapa hari raja itu tinggal di sana, Festus menceritakan hal Paulus kepadanya, ‘Di sini ada seorang yang ditinggalkan oleh Feliks di dalam penjara. 15Ketika aku di Baitulmaqdis, ketua-ketua imam dan para pemimpin masyarakat Yahudi menuduh orang itu dan meminta supaya dia dihukum.
16‘Tetapi aku menjawab bahawa menurut adat orang Rom, seseorang itu tidak boleh diserahkan sebelum berhadapan dengan pendakwanya dan diberi peluang membela diri. 17Apabila mereka datang ke sini, esoknya tanpa berlengah-lengah aku duduk sebagai hakim dan mengarahkan supaya orang itu dibawa masuk ke mahkamah. 18Para pendakwanya mengemukakan tuduhan tetapi tiada satu pun merupakan perbuatan jahat sebagaimana aku jangkakan. 19Semua tuduhan itu berlegar sekitar perselisihan tentang agama, tentang seorang bernama Isa yang sudah mati dan dikatakan hidup semula oleh Paulus. 20Aku pun tidak tahu bagaimana hendak mengadili hal itu, lalu bertanya kalau dia mahu ke Baitulmaqdis supaya dibicarakan di sana. 21Tetapi Paulus meminta tangguh, hendak mengadukan halnya supaya dibicarakan di hadapan yang maha mulia Kaisar; lalu aku menyuruh dia dipenjarakan hingga aku menghantarnya kepada Kaisar.’
22Agripa berkata, ‘Aku pun ingin mendengar orang itu.’ Festus menjawab, ‘Esok dapatlah kamu mendengarnya.’
23Pada esoknya Agripa dan Bernike berangkat dengan selengkap kebesarannya, masuk ke dalam balai mahkamah bersama para panglima dan orang yang terkemuka di kota itu. Dengan perintah Festus, Paulus dibawa masuk. 24Festus berkata, ‘Tuanku Raja Agripa dan sidang hadirin. Orang ini didakwa oleh semua orang Yahudi, baik yang di Baitulmaqdis mahupun yang di sini. Mereka berteriak-teriak bahawa dia tidak patut dibiarkan hidup lagi. 25Tetapi pada pandangan aku, dia tidak melakukan apa-apa kesalahan yang patut dijatuhkan hukuman mati. Oleh sebab dia sendiri hendak mengadukan halnya kepada yang maha mulia Kaisar, aku telah memutuskan akan menghantarnya kepada Kaisar. 26Namun, tiada suatu pun yang pasti untuk aku tuliskan tentangnya kepada Kaisar. Itulah sebabnya aku membawanya menghadapmu, dan terutamanya Raja Agripa. Setelah dia disoal nanti, bolehlah didapati sesuatu untuk aku tuliskan. 27Pada pandanganku, tidaklah wajar menghantarkan seseorang untuk diadili tanpa menyatakan tuduhan ke atasnya dengan jelas.’
↑ ↑ ↑ 26
1Setelah itu Agripa berkata kepada Paulus, ‘Sekarang kamu diberi izin untuk membela dirimu.’ Paulus pun memberikan isyarat dengan tangannya lalu membela dirinya demikian, 2‘Tuanku Raja Agripa, aku berasa bahagia kerana dapat menjawab tuduhan orang Yahudi ke atasku di hadapan kamu pada hari ini; 3lebih-lebih lagi kerana kamu memahami adat dan perselisihan yang berlaku di kalangan orang Yahudi. Oleh itu aku memohon kamu mendengarku dengan sabar.
4‘Semua orang Yahudi telah maklum tentang diriku dari muda lagi, ketika di negeriku dan kemudiannya di Baitulmaqdis. 5Dari mulanya mereka telah mengenaliku, kalaulah mereka mahu bersaksi. Mereka tahu bahawa aku menurut ajaran yang paling keras dalam agama kami kerana aku orang Farisi. 6Sekarang pun aku berdiri di sini dan didakwa kerana aku berharap akan janji Allah kepada nenek moyang kami. 7Dua belas suku bangsa kami tekun menyembah Allah siang malam dan berharap akan janji itu juga. Oleh sebab harapan inilah, aku dituduh oleh orang Yahudi. 8Jika benar Allah membangkitkan orang daripada kematian, mengapakah pada hematmu hal itu tidak dapat dipercayai orang?
9‘Satu masa dulu, pada perasaan hatiku, wajar sekali aku mengambil pelbagai tindakan terhadap pengikut Isa orang Nasaret itu; 10dan aku sudahpun berbuat demikian di Baitulmaqdis. Setelah mendapatkan kuasa daripada ketua-ketua imam, aku telah memenjarakan ramai orang yang salih; dan apabila mereka dibunuh, aku menyetujui pembunuhan itu. 11Kerapkali di saumaah-saumaah aku menyeksa mereka dalam usaha memaksa mereka berpaling daripada Isa; dan oleh sebab terlalu berang terhadap mereka, aku memburu mereka hingga ke negeri asing.
12‘Pada suatu hari sedang aku dalam perjalanan ke Damsyik, dengan membawa surat kuasa daripada ketua-ketua imam, 13pada waktu tengah hari, aku melihat di tengah jalan suatu cahaya datang dari langit, lebih terang daripada sinar matahari, bersinar mengelilingiku dan semua orang yang berjalan bersamaku. 14Aku rebah ke bumi, lalu aku mendengar suatu suara berkata dalam bahasa Ibrani kepadaku, “Saul, Saul, mengapakah engkau menganiaya Aku? Sukarlah bagimu, seperti menendang sesuatu yang tajam.”
15‘Aku bertanya, “Siapakah Engkau, Tuan?” ‘Dia menjawab, “Akulah Isa yang kauaniayakan. 16Tetapi bangunlah, berdirilah. Aku menampakkan diri kepadamu untuk memberitahumu bahawa engkau akan membuat kerja-Ku, dan bersaksi tentang engkau melihat-Ku ini, dan tentang apa yang akan Kutunjukkan lagi kepadamu. 17Aku akan menyelamatkanmu daripada orang Yahudi dan bangsa lain juga. Aku akan mengutusmu kepada mereka, 18untuk mencelikkan mata mereka dan membawa mereka daripada kegelapan kepada cahaya, daripada kuasa Iblis kepada kuasa Allah. Dengan demikian dosa mereka akan diampunkan dan mereka akan menjadi umat yang dipilih oleh Allah kerana mereka percaya akan Aku.”
19‘Oleh itu, Tuanku Raja Agripa, aku dengan sepenuh rela menurut perintah dari penglihatan yang datang dari syurga itu. 20Aku telah menyampaikan kepada semua orang Damsyik, Baitulmaqdis dan seluruh tanah Yudea, juga kepada orang bangsa asing, bahawa mereka hendaklah bertaubat dan berpaling kepada Allah serta berkelakuan selaras dengan pertaubatan itu. 21Itulah sebabnya orang Yahudi menangkapku di dalam rumah ibadat, serta mencari jalan hendak membunuhku.
22Tetapi hingga saat ini Allah telah menolongku dan aku berdiri di sini sambil bersaksi kepada orang besar dan orang biasa, dengan mengatakan perkara yang telah dinubuatkan oleh nabi-nabi dan oleh Musa:
23iaitu al-Masih pasti mengalami kematian dan menjadi orang yang pertama bangkit daripada kematian. Dengan demikian Dia mengisytiharkan penyelamatan kepada orang Yahudi dan bangsa lain, penyelamatan yang seperti cahaya bagi semua.’
24Sedang Paulus menegakkan pembelaannya demikian, Festus berkata dengan suara nyaring, ‘Kamu gila, Paulus; ilmu yang terlalu banyak menjadikan kamu gila.’
25Paulus menjawab, ‘Aku bukannya gila, Festus yang mulia. Aku mengatakan perkara yang benar dan bijaksana. 26Tuanku Raja Agripa, aku berani berkata-kata di hadapanmu dengan bebas kerana aku tahu di dalam hati bahawa kamu faham akan perkara-perkara ini, memandangkan segalanya tidaklah berlaku di tempat yang tersembunyi. 27Tuanku Raja Agripa, percayakah kamu akan kata nabi-nabi itu? Aku tahu bahawa kamu percaya.’
28Agripa berkata kepada Paulus, ‘Dengan sepatah dua katamu, kausangka dapat menjadikanku orang Masihi?’
29Paulus menjawab, ‘Sepatah dua atau banyak, aku berdoa kepada Allah, mudah-mudahan kamu dan sekalian yang mendengar kata-kataku hari ini akan menjadi sama sepertiku, cuma tidak diikat dengan rantai.’
30Raja Agripa, Festus pemerintah Kaisarea, Bernike dan semua yang bersama mereka, 31berangkat keluar dari mahkamah sambil berbincang. Seorang daripada mereka berkata, ‘Orang itu tidak melakukan apa-apa yang menyebabkan dia patut dibunuh atau dipenjara.’
32Agripa berkata kepada Festus, ‘Orang ini boleh dibebaskan, kalau tidak kerana dia hendak mengadukan halnya kepada Kaisar.’
↑ ↑ ↑ 27
1Setelah diputuskan bahawa kami akan belayar ke Itali, Paulus dan beberapa orang tahanan diserahkan kepada seorang ketua tentera dari Rejimen Kaisar, bernama Yulius. 2Kami menaiki sebuah kapal yang datang dari Adramitium dan hendak menyusur teluk rantau tanah Asia. Aristarkhus, orang Makedonia dari Tesalonika, menyertai kami.
3Esoknya kami singgah di Sidon. Yulius berasa kasihan dan melayani Paulus dengan baik serta membenarkannya bertemu dengan sahabat-sahabatnya untuk mendapatkan apa-apa yang diperlukannya. 4Kemudian kami belayar menyusur Siprus di sebelah bawah angin, kerana ketika itu angin bertiup ke arah yang bertentangan dengan hala tujuan kami. 5Setelah menyeberang laut Kilikia dan Pamfilia, kami sampai ke Mira di tanah Likia. 6Di sana ketua tentera Kaisar itu mendapati sebuah kapal dari Iskandaria yang hendak belayar ke Itali, lalu dia menumpangkan kami dalam kapal itu. 7Kami belayar dengan lambat dan susah payah kerana melawan arah tiupan angin. Selepas beberapa hari, kami tiba di kota Knidus. Oleh sebab masalah angin itu, kami belayar ke selatan pulau Kreta, melalui Salmone. 8Dengan susah payah juga kami menyusur pulau itu, lalu sampai ke tempat yang bernama Lindungan Indah, berdekatan Lasea.
9Beberapa hari kemudian, keadaan kian berbahaya untuk meneruskan pelayaran. Hari Raya Puasa orang Yahudi pun sudah berlalu. Paulus mengingatkan ketua tentera itu, 10‘Saudara-saudara, pada pandanganku, jika kita belayar, banyak bencana dan kerugian akan menimpa, bukan sahaja kapal ini dan muatannya malah nyawa kita juga.’ 11Tetapi ketua tentera itu lebih mempercayai kata kapten dan tuan punya kapal itu daripada kata Paulus. 12Pelabuhan itu memang tidak selesa untuk tinggal sepanjang musim dingin. Oleh itu kebanyakan mereka hendak meneruskan pelayaran dengan harapan akan sampai ke Feniks lalu tinggal di situ, di pelabuhan di pulau Kreta yang menghadap barat daya dan barat laut.
13Apabila bertiup angin selatan sepoi-sepoi bahasa, sangka mereka telah tercapailah hasrat mereka. Mereka pun membongkar sauh lalu menyusur pulau Kreta. 14Tidak berapa lama kemudian, angin ribut yang bergelar Timur Laut membadai dari arah pulau itu. 15Kapal kami dipukul ribut dan tidak terdaya belayar melawan arah angin. Kami pun membiarkannya berhanyut, 16sampai ke selatan sebuah pulau kecil bernama Kauda. Dengan susah payah kami menyelamatkan sekoci kapal itu. 17Setelah dinaikkan sekoci itu ke kapal, diusahakan memperkukuh kapal itu dengan ikatan tali. Oleh sebab takut terdampar ke tebing Sirtis, layar diturunkan dan kapal itu dibiarkan mengikut angin. 18Kami begitu teruk dipukul ribut sehingga esoknya muatan kapal mula dibuang ke laut; 19dan lusanya sebahagian alat kapal itu pula dibuangkan. 20Beberapa hari kami tidak melihat matahari dan bintang serta dipukul ribut yang dahsyat; akhirnya putuslah harapan kami diselamatkan.
21Sekian lama orang di dalam kapal itu tidak makan, lalu Paulus berdiri dan berkata, ‘Saudarasaudara, sepatutnya dulu saudara-saudara menurut kataku, jangan belayar meninggalkan Kreta, nanti ditimpa bencana dan kerugian demikian. 22Sekarang aku berkata kepada saudara-saudara, tetapkan hati masing-masing, kerana seorang pun tidak akan kehilangan hidup, hanya kapal ini tidak dapat diselamatkan. 23Malam tadi, di sisi aku terdiri malaikat daripada Allah, Tuhan yang memiliki seluruh diriku dan yang aku sembah. 24Malaikat itu berkata, “Paulus, jangan takut. Kau pasti akan berdiri di hadapan Kaisar. Semua yang belayar bersamamu akan diselamatkan juga sebagai kurnia Allah kepadamu.” 25Oleh itu, saudara-saudara, tetapkanlah hati masing-masing. Aku percaya akan Allah dan janji-Nya yang disampaikan kepadaku itu. 26Tetapi tidak dapat dielakkan, kita akan terdampar di sebuah pulau.’
27Sampai ke malam yang keempat belas kami masih berhanyut dalam Laut Adria. Kira-kira tengah malam, anak kapal merasakan kami sudah hampir ke darat. 28Mereka membuang batu duga untuk mengukur dalamnya laut, didapatinya dua puluh depa; kemudian, apabila diduga lagi, didapatinya lima belas depa dalamnya. 29Mereka takut kalau-kalau terdampar pada batu karang, lalu mereka menurunkan empat sauh dari buritan kapal serta menanti hari siang. 30Ketika itu anak kapal hendak menyelamatkan diri sendiri. Mereka menurunkan sekoci ke laut dengan berpura-pura hendak menurunkan sauh di haluan kapal. 31Paulus pun berkata kepada ketua tentera dan askaraskar, ‘Jika mereka itu meninggalkan kapal, saudara-saudara tidak akan selamat.’ 32Oleh itu askar mengerat tali sekoci dan membiarkannya hanyut.
33Sementara menunggu hari siang, Paulus meminta semua orang makan. Dia berkata, ‘Sekarang sudah empat belas hari saudara-saudara berlapar. 34Aku meminta kepada sekalian, makanlah sesuatu, kerana itulah yang akan membuat saudara-saudara selamat. Tiada seorang pun di antara kita yang akan binasa sehelai rambutnya pun.’ 35Setelah berkata demikian, Paulus mengambil roti lalu mengucapkan syukur kepada Allah di hadapan semua. Kemudian dia membahagi roti itu lalu makan. 36Masing-masing pun berasa bersemangat lagi lalu makan bersama-sama. 37Bilangan kami yang di dalam kapal itu dua ratus tujuh puluh enam orang. 38Setelah kenyang sekaliannya, kapal itu diringankan lagi dengan membuang gandum ke laut.
39Apabila hari siang, mereka melihat daratan yang tidak dikenali; di situ ada teluk yang berpantai rata lalu mereka bercadang hendak mengandaskan kapal itu ke situ. 40Mereka memotong tali sauh dan membiarkannya tenggelam di laut. Selepas itu mereka melucutkan tali kemudi lalu menaikkan layar di haluan supaya angin meniup kapal itu menuju ke pantai. 41Kapal itu terlanggar busung pasir lalu terkandas haluannya, dan tidak dapat bergerak manakala buritannya pecah dipukul gelombang.
42Askar-askar mula berura-ura hendak membunuh semua orang tahanan supaya tidak seorang pun berenang melarikan diri.
43Tetapi ketua tentera itu hendak menyelamatkan Paulus lalu melarang askar-askarnya berbuat demikian. Dia menyuruh mereka yang tahu berenang terjun dahulu dan berenang ke darat. 44Yang lain berpegang pada papan atau pecahan-pecahan kapal. Dengan demikian semuanya selamat naik ke darat.
↑ ↑ ↑ 28
1Setelah selesai segalanya, barulah kami mendapat tahu bahawa pulau itu bernama Malta.
2Penduduk pulau itu bersikap ramah mesra kepada kami. Mereka menyalakan api dan menyambut kami sekalian masuk berlindung daripada hujan dan kesejukan. 3Paulus memungut ranting dan apabila dia meletakkannya di atas api, seekor ular keluar melarikan diri dari kepanasan lalu memagut tangan Paulus. 4Apabila penduduk pulau itu melihat ular tersebut pada tangan Paulus, mereka berkata sama sendiri, ‘Tentu dia ini seorang pembunuh; sungguhpun dia selamat daripada bahaya laut, tetapi Dewi Keadilan tidak membiarkan dia hidup.’ 5Paulus mengebaskan ular itu ke dalam api tanpa mengalami sebarang kecederaan. 6Semuanya menantikan kalau-kalau dia naik bengkak atau rebah mati; tetapi lama mereka menanti-nanti, tidak juga mereka melihat apa-apa bencana menimpanya. Sangkaan mereka pun berubah, mengatakan Paulus itu seorang dewa.
7Di daerah itu ada tanah yang dipunyai oleh Publius, pemerintah pulau itu. Dia menyambut kami dan melayani kami selama tiga hari dengan budi bahasa yang baik. 8Ketika itu bapa Publius terlantar mengidap demam dan mengalami cirit-birit. Paulus masuk menghampirinya lalu berdoa sambil meletakkan tangan ke atasnya dan menyembuhkannya. 9Selepas itu, beberapa orang yang mengidap penyakit di pulau itu datang berjumpa Paulus, lalu dia menyembuhkan mereka. 10Mereka menunjukkan penghargaan yang tinggi kepada kami; dan apabila kami hendak belayar, mereka membawa pelbagai barang yang berguna ke dalam kapal sebagai bekalan untuk kami.
11Tiga bulan kemudian, kami belayar dalam sebuah kapal bernama Dioskuri yang telah datang dari Iskandaria dan tinggal di pulau itu sepanjang musim dingin. 12Kami singgah di Sirakusa lalu tinggal di sana tiga hari, 13kemudian belayar ke kota Regium. Esoknya angin mula bertiup dari selatan dan lusanya kami sampai ke Putioli. 14Di sana kami bertemu saudara-saudara seiman lalu menerima ajakan tinggal bersama mereka selama tujuh hari. Kemudian sampailah kami ke Rom.
15Para pengikut Isa di Rom mendengar khabar tentang kami lalu datang dari sana sampai ke Pasar Apius dan Kedai Tiga untuk bertemu dengan kami. Apabila Paulus melihat mereka, dia mengucapkan syukur kepada Allah dan menjadi tabah. 16Di Rom Paulus dibenarkan tinggal seorang diri, hanya dijaga oleh seorang askar.
17Tiga hari kemudian, Paulus meminta para pemimpin masyarakat Yahudi datang berjumpa dengannya. Dia berkata kepada mereka, ‘Saudara-saudara, sungguhpun aku tidak melakukan sebarang kesalahan terhadap bangsa kita atau melanggar adat nenek moyang kita, namun aku ditahan di Baitulmaqdis lalu diserahkan ke tangan orang Rom. 18Mereka memeriksa perkaraku dan hendak membebaskanku kerana mereka mendapati aku tidak melakukan satu kesalahan pun yang patut dihukum mati. 19Apabila orang Yahudi menentang keputusan itu, terpaksalah aku meminta hendak mengadu kepada Kaisar; tetapi bukanlah kerana hendak mengajukan apa-apa dakwaan terhadap bangsa kita. 20Itulah sebabnya aku meminta saudara-saudara bertemu dan bercakap dengan aku. Aku dibelenggu begini kerana Dia yang diharapkan oleh orang Israel.’
21Mereka berkata kepada Paulus, ‘Kami belum mendapat surat dari Yudea tentang saudara. Tiada seorang pun yang datang ke sini menyebutkan apa-apa kesalahan saudara. 22Tetapi kami ingin mendengar pendapat saudara, kerana kami tahu orang di serata tempat mencela ajaran yang saudara anuti.’ 23Mereka menetapkan hari untuk bertemu lagi dengan Paulus. Pada hari itu lebih ramai lagi yang datang ke tempat dia menumpang itu. Dia menerangkan segala-galanya, bersaksi tentang kerajaan Allah dan berusaha meyakinkan mereka tentang Isa dengan menunjukkan bukti dalam Taurat Musa dan tulisan para nabi, dari pagi hingga ke malam. 24Ada yang percaya akan katanya itu dan ada yang tidak. 25Mereka pergi dari situ dengan pendapat yang bercanggah sesama sendiri, setelah Paulus berkata, ‘Benarlah apa yang dikatakan oleh Roh Suci melalui Nabi Yasyaya kepada nenek moyang kita,
26‘ “Pergilah kepada bangsa ini dan katakan: ‘Kamu akan mendengar tetapi tidak mengerti; Kamu terus melihat tetapi tidak mengetahui.’
27Kerana hati umat ini telah buntu, mereka pekakkan telinga, dan pejamkan mata. Kalau tidak demikian, mereka tentu melihat dengan mata, mendengar dengan telinga, dan mengerti dengan hati, lalu berpaling kepada-Ku dan Aku menyembuhkan mereka. ” ’
28Paulus berkata, ‘Saudara-saudara, ketahuilah: perkhabaran tentang penyelamatan yang dikurniakan Allah sekarang telah disampaikan kepada orang bangsa asing. Merekalah yang akan menerimanya.’ 29Setelah Paulus berkata demikian, orang Yahudi meninggalkan tempat itu sambil bertengkar hebat sesama mereka.
30Paulus tinggal selama dua tahun di rumah yang disewanya sendiri. Dia menyambut semua yang mengunjunginya 31dan menyampaikan ajaran tentang kerajaan Allah serta Junjungan Isa al-Masih dengan berani dan bebas, tiada siapa yang menghalangnya.