Kitab Suci Zabur dan Injil/1 Korintus
1
1Daripada Paulus yang dengan kehendak Allah telah dilantik sebagai Rasul Isa al-Masih, dan daripada Sostenes, saudara kita;
2Kepada jemaah di Korintus, yang telah disucikan dalam Isa al-Masih, dan yang telah dipanggil untuk menjadi orang salih bersama semua orang di mana jua, yang berseru kepada Junjungan kita Isa al-Masih, Junjungan mereka dan Junjungan kita juga.
3Semoga Allah Bapa kita dan Junjungan Isa al-Masih menganugerahimu kasih kurnia dan sejahtera.
4Aku sentiasa bersyukur kepada Allah kerana kamu, sebab Dia telah menganugerahimu kasih kurnia dalam Isa al-Masih. 5Oleh sebab di dalam Isa al-Masih, kamu telah diperkayakan dalam segala hal: dalam segala perkataan dan dalam segala pengetahuan; 6bahkan kesaksian tentang al-Masih telah diperkukuh dalam dirimu, 7sehingga kamu tidak kekurangan satu kurnia pun sementara menunggu Junjungan kita Isa al-Masih dinyatakan. 8Dia akan menguatkanmu hingga akhir supaya kamu tidak bercela pada hari Junjungan kita Isa al-Masih. 9Allah setia. Allah telah memanggilmu hidup dalam keakraban dengan Putera-Nya, Isa al-Masih, Junjungan kita.
10Saudara-saudaraku! Demi nama Junjungan kita Isa al-Masih aku berseru kepada kamu semua supaya seia sekata dan tidak wujud perpecahan. Dengan demikian, kamu bersatu hati dan fikiran sepenuhnya. 11Saudara-saudaraku, beberapa orang anggota keluarga Kloe telah menyatakan kepadaku bahawa berlaku sengketa antara kamu. 12Inilah yang kumaksudkan: Ada orang yang berkata, ‘Aku mengikut Paulus’; ada yang berkata, ‘Aku mengikut Apolos’; ada yang berkata, ‘Aku mengikut Petrus’; dan ada pula yang berkata, ‘Aku mengikut al-Masih.’
13Adakah al-Masih berbelah-bahagi? Bukannya Paulus yang mati di kayu salib untukmu! Bukanlah sebagai pengikut Paulus kamu telah diimadkan! 14Aku bersyukur kepada Allah kerana aku tidak mengimadkan kamu, kecuali Krispus dan Gayus. 15Oleh itu tiada siapapun dapat mengatakan kamu diimadkan dalam namaku. 16(Sebenarnya, aku juga mengimadkan Stefanus sekeluarga. Selain itu, aku tidak ingat siapakah lagi yang kuimadkan.) 17Al-Masih mengutusku bukan untuk mengimadkan orang, tetapi untuk menyebarkan Injil. Aku menyampaikannya bukan dengan katakata kebijaksanaan manusia. Dengan demikian salib al-Masih tidak menjadi sia-sia.
18Bagi mereka yang akan binasa, berita tentang salib dianggap suatu kebodohan. Namun, bagi kita yang diselamatkan Allah, berita itu menunjukkan kekuasaan-Nya. 19Telah tersurat: ‘Allah berfirman, “Aku akan memusnahkan kebijaksanaan orang yang bijak. Dan kepandaian orang yang pandai Aku akan ketepikan.” ’
20Jadi, di manakah orang yang bijak? Di manakah ahli Taurat? Di manakah orang berilmu zaman ini? Bukankah Allah telah menunjukkan bahawa kebijaksanaan dunia sebenarnya kebodohan sematamata?
21Oleh sebab kebijaksanaan Allah, Dia telah menetapkan bahawa manusia tidak mungkin mengenal-Nya dengan kebijaksanaan sendiri. Allah berkenan menyelamatkan mereka yang beriman kepada-Nya melalui berita yang kami sampaikan, yang dianggap sebagai kebodohan. 22Orang Yahudi menuntut tanda berbentuk mukjizat, manakala orang Yunani menuntut kebijaksanaan. 23Sebaliknya kami memberitakan al-Masih yang disalib. Hal ini menjadi batu sandungan kepada orang Yahudi dan dipandang bodoh oleh bangsa-bangsa lain. 24Namun, bagi mereka yang dipanggil Allah, baik Yahudi mahupun Yunani, al-Masih kuasa Allah dan kebijaksanaan Allah. 25Kebodohan Allah lebih bijak daripada kebijaksanaan manusia. Kelemahan Allah lebih kuat daripada kekuatan manusia.
26Saudara-saudara! Fikirkan keadaanmu ketika Allah memanggilmu. Di mata manusia, tidak ramai daripadamu yang bijak, atau berkuasa, atau bangsawan. 27Sememangnya Allah memilih orang yang bodoh di dunia untuk memalukan orang yang bijak. Allah memilih orang yang lemah di dunia, untuk memalukan orang yang kuat. 28Allah memilih yang rendah dan dihina di dunia bahkan yang tidak ada untuk meniadakan yang ada. 29Oleh itu, tiada siapapun dapat bermegah di hadapan Allah. 30Oleh sebab Allah, kamu berada dalam Isa al-Masih. Allah telah membuat Dia menjadi kebijaksanaan bagi kita, dan melalui Dia, Allah memperbenar, menyucikan, serta menebus kita. 31Dengan demikian, sebagaimana telah tersurat, ‘Jika sesiapa bermegah, maka hendaklah dia bermegah di dalam Tuhan.’
↑ ↑ ↑ 2
1Saudara-saudaraku! Ketika aku datang kepadamu untuk menyampaikan rahsia Allah, aku tidak datang dengan kata-kata indah atau kebijaksanaan. 2Ini kerana sewaktu aku bersamamu, aku telah bertekad untuk menyampaikan berita tentang Isa al-Masih semata-mata, khususnya tentang kewafatan-Nya di kayu salib. 3Oleh itu, ketika aku mendekatimu, aku daif dan gementar ketakutan. 4Dan perkhabaran serta pengajaranku tidak disampaikan dengan kata-kata hikmat yang meyakinkan. Sebaliknya aku menyampaikannya secara menunjukkan kuasa Roh. 5Dengan demikian, imanmu bukanlah berasaskan kebijaksanaan manusia, tetapi berasaskan kuasa Allah.
6Namun begitu, aku berkata juga tentang kebijaksanaan kepada mereka yang sudah matang kehidupan rohaninya. Kebijaksanaan itu bukanlah kebijaksanaan dunia, atau kebijaksanaan para penguasa dunia ini, kerana kuasa mereka akan punah. 7Kebijaksanaan yang kusampaikan itu kebijaksanaan daripada Allah, di luar pengetahuan manusia, yang telah diwujudkan-Nya untuk kemuliaan kita sebelum Dia mencipta dunia ini. 8Para penguasa dunia ini tidak mengetahui kebijaksanaan itu. Kalaulah mereka tahu, mereka tidak akan menyalib Junjungan Yang Mulia.
9Sebagaimana telah tersurat: ‘Apa yang belum pernah dilihat oleh mata atau didengar oleh telinga, atau timbul dalam hati manusia, itulah yang disediakan Allah untuk mereka yang mengasihi-Nya.’
10Akan tetapi kepada kita, Allah menyatakannya melalui Roh-Nya, kerana Roh itu yang menyoroti segala-galanya, termasuk rahsia Allah yang paling dalam. 11Siapakah di antara kita yang mengetahui apa yang terdapat dalam diri seseorang selain roh orang itu sendiri yang berada dalam dirinya? Begitulah juga tidak ada seorang pun yang mengetahui apa yang terdapat dalam diri Allah selain Roh Allah. 12Kita tidak menerima roh dunia ini. Kita menerima Roh daripada Allah agar mengetahui segala kurnia Allah kepada kita. 13Jadi, segala perkara ini kami sampaikan bukan dengan kata-kata daripada kebijaksanaan manusia tetapi daripada ajaran Roh yang menggabungkan fikiran rohani dengan kata-kata rohani. 14Orang yang tidak mempunyai Roh Suci tidak dapat menerima kurnia daripada Roh Allah, kerana mereka tidak mungkin mengertinya malah menganggapnya kebodohan semata-mata, dan mereka tidak dapat memahaminya, disebabkan perkara-perkara itu hanya dapat dinilai secara rohani. 15Orang yang mempunyai Roh Suci dapat menilai segala-galanya tetapi tiada siapa dapat menilai orang itu. 16Ini kerana: ‘Siapakah yang mengetahui fikiran Tuhan? Siapakah yang berupaya menasihati-Nya?’
↑ ↑ ↑ 3
1Saudara-saudaraku! Aku tidak dapat bercakap denganmu seperti dengan orang yang mempunyai Roh Suci. Aku terpaksa bercakap denganmu seperti dengan orang yang masih hidup secara duniawi atau yang masih mentah dalam iman terhadap al-Masih. 2Dulu aku memberimu susu kerana kamu belum sedia menerima makanan keras. Tetapi sekarang pun kamu masih belum bersedia menerimanya. 3Kerana kamu masih hidup secara duniawi. Kamu berdengki-dengkian dan berbalah; bukankah itu tanda kamu masih hidup secara duniawi, sama seperti manusia biasa? 4Apabila seorang daripadamu berkata, ‘Aku mengikut Paulus’ dan seorang lagi berkata, ‘Aku mengikut Apolos’, bukankah kelakuanmu sama seperti kelakuan orang dunia ini?
5Siapakah Apolos? Siapakah Paulus? Kami hanyalah hamba Allah yang memimpinmu ke arah iman terhadap al-Masih. Kami sekadar menjalankan tugas yang ditetapkan oleh Tuhan. 6Aku menyemaikan benih manakala Apolos menyiram, tetapi Allah yang membolehkan tanaman itu tumbuh. 7Yang menyemaikan benih dan yang menyiram tidak penting. Hanya Allah yang penting, kerana Dialah yang membolehkan tanaman itu tumbuh. 8Yang menyemaikan benih dan yang menyiram mempunyai kedudukan yang sama. Allah akan mengurniakan ganjaran berdasarkan kerja masing-masing.
9Kami sama-sama pekerja Allah, dan kamu ibarat ladang Allah. Kamu juga boleh diumpamakan sebagai bangunan Allah.
10Dengan kasih kurnia Allah, aku sebagai pembina yang mahir telah meletakkan asas bangunan itu, lalu orang lain membina bangunan di atas asas itu. Setiap orang yang membina perlu berhatihati.
11Kerana tiada siapa yang dapat meletakkan asas selain asas yang telah tersedia, iaitu Isa al-Masih. 12Ada orang yang menggunakan emas, perak atau permata untuk membina bangunan di atas asas itu. Ada pula yang menggunakan kayu, rumput kering atau jerami. 13Mutu kerja setiap orang akan terserlah pada hari Tuhan datang kembali, kerana ia akan diuji dengan api.
14Sekiranya bangunan yang didirikan di atas asas itu tahan api, pembinanya akan mendapat ganjaran. 15Sebaliknya, jika bangunan yang dibina oleh seseorang itu dimakan api, dia akan kerugian, walaupun dirinya terselamat seperti orang yang terlepas daripada kebakaran.
16Kamu tentu tahu bahawa kamu tempat kediaman Allah, kerana Roh Suci tinggal di dalam dirimu.
17Oleh itu, sekiranya seseorang memusnahkan tempat kediaman Allah, Allah akan memusnahkan orang itu, kerana tempat kediaman Allah itu suci dan kamulah tempat kediaman Allah itu.
18Janganlah menipu diri. Jika sesiapa di kalanganmu menganggap dirinya bijak berdasarkan penilaian dunia, dia harus menjadikan dirinya bodoh di mata dunia supaya dia benar-benar bijak;
19kerana apa yang dipandang dunia sebagai kebijaksanaan sebenarnya kebodohan di sisi Allah. Telah tersurat: ‘Allah memerangkap orang bijak dengan kecerdikan mereka sendiri.’ 20Juga tersurat: ‘Tuhan mengetahui fikiran orang bijak itu sia-sia.’ 21Jadi, janganlah bermegah dengan perbuatan manusia, kerana segala-galanya telah dikurniakan kepadamu. 22Paulus, Apolos, Kefas, dunia ini, hidup dan mati, zaman ini dan zaman akan datang, segala-galanya milikmu, 23dan kamu milik al-Masih, dan al-Masih milik Allah.
↑ ↑ ↑ 4
1Kamu hendaklah memandang kami sebagai hamba al-Masih yang diamanahkan dengan rahsiarahsia Allah. 2Setelah dipertanggungjawabkan dengan amanah, hamba demikian itu wajib membuktikan bahawa dia dapat dipercayai. 3Aku tidak peduli apa pandanganmu dan orang lain terhadapku; malah pandanganku terhadap diriku sendiri pun tidak penting. 4Aku tidak berasa bersalah, tetapi ini tidak bererti aku tidak bersalah. Hanya Tuhan yang berhak menentukan sama ada aku bersalah atau tidak. 5Oleh itu janganlah putuskan sama ada seseorang itu bersalah atau tidak sebelum sampai waktunya. Tunggulah hingga Junjungan datang kembali dan mendedahkan segala rahsia yang diselubungi kegelapan, segala niat yang terpendam di hati manusia. Ketika itulah setiap orang akan mendapat penilaian yang sewajarnya daripada Allah.
6Saudara-saudaraku! Untuk kebaikanmu, segala ini telah kukerjakan dalam diriku dan Apolos supaya dengan mengikut teladan kami, kamu dapat mengerti kata-kata hikmat ini: ‘Janganlah melampaui apa yang telah tersurat’. Dengan demikian, kamu tidak memegahkan seseorang daripada yang lain. 7Siapakah yang menjadikan dirimu lebih baik daripada yang lain? Apakah yang ada padamu yang tidak kamu terima? Jadi, jika kamu memang menerimanya, mengapakah kamu bermegah, seolah-olah apa yang ada padamu itu bukan kurnia-Nya?
8Ya, kamu tidak memerlukan apa-apa lagi! Kamu memang sudah kaya-raya! Tanpa kami pun kamu sudah menjadi raja! Namun, kamu tidak begitu. Alangkah baiknya jika kamu benar-benar raja. Dapatlah kami memerintah bersamamu. 9Pada pandanganku, Allah memberikan kedudukan paling rendah kepada kami para rasul; tak ubah seperti orang yang dijatuhi hukum mati di hadapan orang ramai, dijadikan tontonan para malaikat dan manusia. 10Kerana al-Masih, kami menjadi orang yang bodoh; tetapi kerana al-Masih, kamu menjadi orang bijak. Kami lemah, namun kamu kuat! Kami dihina, sedangkan kamu dimuliakan! 11Hingga saat ini kami lapar dan dahaga, berpakaian lusuh, didera, tiada tempat tinggal yang tetap. 12Kami bertungkus-lumus menyara hidup. Kami membalas sumpah seranah dengan berkat restu, dan bersabar ketika dianiaya. 13Kami membalas caci maki dengan kata-kata yang baik. Kami dianggap sampah masyarakat, sampah dunia hingga sekarang.
14Aku menulis demikian kepadamu bukanlah untuk memalukanmu, tetapi untuk menasihatimu sebagai anak-anakku yang kusayangi. 15Walaupun kamu mungkin mempunyai sepuluh ribu orang pengasuh dalam Isa al-Masih, bapamu tidaklah ramai. Ini kerana dalam al-Masih, aku seperti bapamu yang telah membawa Injil kepadamu. 16Oleh itu aku menyeru kamu, ikutlah teladanku. 17Bagi tujuan itu aku mengutus Timotius, anakku yang dikasihi dan setia dalam Tuhan. Dia akan mengingatkan kamu tentang jalan hidup yang kuikut sejak beriman kepada al-Masih, iaitu jalan hidup yang telah kuajarkan kepada jemaah di serata tempat.
18Ada di antara kamu yang bersikap angkuh kerana menyangka aku tidak akan mengunjungimu.
19Kiranya diizinkan Tuhan, aku akan mengunjungimu tidak lama lagi dan melihat bukan hanya apa yang dikatakan oleh orang yang angkuh itu tetapi apa kuasa mereka. 20Kerana kerajaan Allah bukan sekadar kata-kata sahaja tetapi terdiri daripada kuasa. 21Mana yang kamu pilih? Agar aku datang kepadamu dengan rotan, atau dengan kasih sayang dan lemah lembut?
↑ ↑ ↑ 5
1Aku dimaklumkan bahawa di kalanganmu ada perbuatan cabul yang tidak pernah dilakukan oleh orang yang tidak mengenal Tuhan pun: Seorang lelaki berzina dengan isteri ayahnya. 2Namun begitu, kamu masih bermegah. Sewajarnya kamu bersedih dan bertindak menyingkirkan orang yang melakukan perbuatan itu. 3Walaupun pada lahirnya aku jauh daripadamu, namun pada batinnya aku bersamamu. Aku pun sudah menjatuhkan hukuman atas orang yang melakukan perbuatan itu seolah-olah aku berada di tengah-tengah kamu. 4Apabila kamu berhimpun demi nama Junjungan kita Isa, sifatkanlah aku ada di kalanganmu pada batinnya dan dengan kuasa Junjungan kita Isa 5serahkanlah orang itu kepada Iblis supaya tubuhnya dimusnahkan tetapi rohnya dapatlah diselamatkan pada hari Junjungan datang kembali.
6Kamu tidak harus bermegah. Tentu kamu mengenal pepatah ini: ‘Sedikit ragi mencemari seluruh adunan.’ 7Buanglah ragi lama supaya kamu menjadi adunan baru tanpa ragi. Aku tahu bahawa kamu sebenarnya begitu. Kerana al-Masih, domba Paska kita telah dikorbankan. 8Marilah kita sambut perayaan Paska bukan dengan ragi yang lama, ragi lambang kejahatan dan kezaliman, melainkan dengan roti yang tidak beragi, iaitu ketulusan hati dan keikhlasan.
9Dalam suratku yang lalu, aku telah menyerumu supaya menjauhkan diri daripada orang yang cabul. 10Orang cabul yang kumaksudkan bukanlah yang tidak mengenal Allah maka berkelakuan cabul, tamak, menipu dan menyembah berhala. Untuk menjauhkan diri daripada mereka ini, terpaksalah kamu keluar dari dunia ini. 11Maksudku ialah kamu tidak harus bergaul dengan orang yang mengaku dirinya sebagai saudara tetapi pada hakikatnya orang yang cabul, tamak, penyembah berhala, pengumpat, pemabuk atau penipu. Janganlah makan bersama mereka.
12Apakah urusanku sehingga aku harus mengadili orang di luar jemaah? Bukankah kamu hanya mengadili orang di dalam jemaah saja? 13Tetapi bagi yang di luar jemaah, Allah sendiri akan mengadili mereka. Oleh itu, kamu harus singkirkan orang yang durjana dari kalanganmu.
↑ ↑ ↑ 6
1Sekiranya salah seorang antara kamu bertikai dengan yang lain, wajarkah dia bawa perkara itu ke hadapan hakim yang tidak mengenal Allah dan bukan kepada orang salih? 2Tidakkah kamu tahu bahawa orang salih akan mengadili dunia ini? Jika kamu mengadili dunia ini, tidak sanggupkah kamu mengadili perkara yang kecil? 3Tidakkah kamu tahu bahawa kita akan mengadili para malaikat? Apatah lagi hal ehwal hidup sehari-hari? 4Adakah kamu akan membawa perkara begitu ke hadapan orang yang langsung tidak ada kedudukan di kalangan jemaah? 5Alangkah memalukan! Tentu ada seorang daripada kamu yang cukup bijaksana untuk menyelesaikan pertikaian antara saudara seiman. 6Tetapi tidak, seorang saudara tergamak mendakwa saudara yang lain, justeru di hadapan orang yang tidak percaya!
7Dengan adanya pendakwaan sesama kamu, jelaslah bahawa kamu sudah ditewaskan. Daripada yang demikian, bukankah lebih baik kamu dipersalahkan? Bukankah lebih baik kamu dirugikan.
8Sebaliknya kamu sendiri yang bersalah dan merugikan saudara seimanmu sendiri!
9Kamu tentu tahu bahawa orang yang tidak taat akan perintah Allah tidak akan menikmati kerajaan Allah. Janganlah menipu diri. Orang yang berkelakuan cabul, menyembah berhala, berzina, melakukan liwat, 10mencuri, bersikap tamak, sering mabuk, mengumpat atau merompak – semuanya tidak akan menikmati kerajaan Allah. 11Begitulah kelakuan sebilangan daripadamu dahulu. Tetapi kamu telah dibersihkan, dikuduskan dan diperbenarkan dalam nama Junjungan Isa al-Masih dan dengan Roh Allah Tuhan kita.
12Segala-galanya halal bagiku, tetapi bukan segala-galanya berfaedah. Segala-galanya halal bagiku, tetapi aku tidak membiarkan sesuatu memperhamba diriku. 13Makanan untuk perut dan perut untuk makanan. Ya, tetapi Allah akan menghapuskan kedua-duanya. Tubuh kita bukan untuk melakukan perbuatan cabul, tetapi untuk Tuhan, dan Tuhan untuk tubuh kita. 14Allah telah membangkitkan Junjungan daripada kematian. Begitu jugalah Allah akan membangkitkan kita daripada kematian dengan kuasa-Nya. 15Kamu tahu bahawa tubuh kamu itu sebahagian tubuh al-Masih; maka wajarkah kamu menjadikannya sebahagian tubuh seorang pelacur? Tidak sekali-kali!
16Atau tidakkah kamu tahu bahawa seseorang yang bersetubuh dengan seorang pelacur itu menjadi satu tubuh dengan pelacur itu? Di dalam kitab suci jelas tersurat, ‘Mereka berdua menjadi satu.’
17Apabila seseorang menyatukan diri dengan Tuhan, rohnya akan menjadi satu dengan Roh Tuhan.
18Jauhilah perbuatan cabul. Dosa lain tidak dilakukan terhadap tubuh sendiri; tetapi seseorang yang melakukan perbuatan cabul berdosa terhadap tubuhnya sendiri. 19Kamu tentu tahu bahawa tubuhmu itu tempat kediaman Roh Suci yang telah dikurniakan Allah kepadamu. Tubuhmu bukanlah milikmu, tetapi milik Allah. 20Allah telah membelimu dengan harga yang sudah dibayar sepenuhnya. Oleh itu, gunakanlah tubuhmu untuk memuliakan Allah.
↑ ↑ ↑ 7
1Sekarang aku akan membincangkan masalah yang kamu kemukakan di dalam suratmu. Jika seorang lelaki tidak berkahwin, itu memang baik. 2Namun demikian, supaya tidak tergoda melakukan perbuatan yang cabul, lebih baiklah setiap lelaki itu beristeri dan setiap perempuan bersuami. 3Seorang suami harus menunaikan kewajipan kepada isterinya, begitu juga seorang isteri kepada suaminya. 4Seorang isteri tidak berkuasa ke atas tubuhnya sendiri; suaminya berkuasa ke atas tubuhnya. Demikianlah juga, seorang suami tidak berkuasa ke atas tubuhnya sendiri; isterinya yang berkuasa ke atas tubuhnya. 5Jangan renggangkan hubungan sebagai suami isteri, kecuali sementara waktu dengan persetujuan bersama untuk bertumpu kepada ibadat. Tetapi setelah itu teruskan hubungan sebagai suami isteri, supaya Iblis tidak berjaya menggodamu kerana kamu tidak dapat menahan nafsu. 6Aku menyampaikan ini bukanlah sebagai perintah tetapi sebagai nasihat.
7Memanglah aku lebih suka sekiranya kamu semua sepertiku. Tetapi Allah memberikan kurnia yang khusus; yang seorang kurnia ini, yang lain kurnia itu.
8Kepada yang belum berkahwin dan kepada wanita yang telah menjadi balu. Inilah nasihatku: Memang baik kamu terus hidup sendirian seperti aku. 9Tetapi sekiranya kamu tidak dapat menahan nafsu, berkahwinlah. Ini lebih baik daripada membiarkan hawa nafsu bergelora.
10Kepada yang sudah berkahwin, inilah perintahku, yang sebenarnya bukan perintah aku tetapi perintah Tuhan. Seorang isteri tidak boleh meninggalkan suaminya. 11Tetapi jika seorang isteri telah meninggalkan suaminya, dia mesti terus hidup bersendirian, atau dia boleh balik kepada suaminya. Seorang suami tidak boleh menceraikan isterinya.
12Kepada yang lain aku memberikan nasihat ini, iaitu nasihatku sendiri, bukan perintah Allah: Jika seorang lelaki beriman mempunyai isteri yang tidak beriman dan isteri itu bersetuju terus hidup bersamanya, maka lelaki itu tidak boleh menceraikan isterinya. 13Jika seorang wanita beriman mempunyai suami yang tidak beriman dan suami itu bersetuju untuk terus hidup bersamanya, maka wanita itu tidak boleh menceraikan suaminya. 14Seorang suami yang tidak beriman menjadi suci kerana isterinya. Demikian juga, seorang isteri yang tidak beriman menjadi suci kerana suami. Jika tidak, anak-anakmu akan menjadi anak-anak yang tercela. Tetapi dengan demikian mereka adalah anak-anak yang suci.
15Namun demikian, jika seseorang yang tidak beriman hendak meninggalkan isteri atau suaminya yang beriman, biarkanlah dia berbuat demikian. Jika ini terjadi, suami atau isteri yang beriman itu bebas membuat pilihan. Allah mahu kamu semua hidup aman damai. 16Wahai isteri yang beriman, bagaimana kamu boleh pasti bahawa kamu tidak akan dapat menyelamatkan suamimu? Demikian juga, wahai suami yang beriman, bagaimana kamu boleh pasti bahawa kamu tidak akan dapat menyelamatkan isterimu?
17Setiap orang harus hidup dalam keadaan yang ditetapkan Tuhan untuknya ketika memanggilnya. Demikianlah ajaran yang telah kusampaikan kepada semua jemaah. 18Contohnya, jika seseorang itu sudahpun bersunat sewaktu Allah memanggilnya, janganlah pula dia cuba menghilangkan tanda sunat itu. Demikian juga, sekiranya seseorang itu tidak bersunat semasa Allah memanggilnya, janganlah dia meminta disunat. 19Bersunat atau tidak bersunat bukan perkara yang terpenting. Yang terpenting ialah taat akan perintah Allah. 20Setiap orang harus terus hidup dalam keadaannya ketika dia telah dipanggil Allah. 21Jika kamu hamba ketika dipanggil Allah, janganlah bersusah hati kerana itu; tetapi jika kamu mendapat peluang untuk menjadi orang merdeka, ambillah peluang itu. 22Hamba yang beriman kepada Tuhan menjadi orang merdeka di sisi Tuhan. Begitu juga orang merdeka yang beriman kepada al-Masih menjadi hamba kepada al-Masih. 23Kamu telah dibeli dengan harga yang dibayar sepenuhnya; maka janganlah kamu menjadi hamba manusia.
24Saudara-saudaraku, masing-masing hiduplah bersama Allah dalam keadaan yang sama seperti ketika dipanggil Allah.
25Tuhan tidak memberiku perintah tentang orang yang belum kahwin; tetapi aku menasihatimu, kerana dengan belas kasihan Tuhan aku boleh dipercayai. 26Oleh sebab kini kita diancam pelbagai pancaroba, aku yakin bahawa setiap lelaki baiklah meneruskan hidup dalam keadaannya sekarang.
27Sekiranya kamu sudah beristeri, janganlah cuba menceraikan isterimu. Jika kamu belum beristeri, usahlah berkahwin. 28Namun, kalau kamu berkahwin, kamu tidaklah berdosa. Demikian juga, jika seorang gadis berkahwin, dia tidak berdosa. Tetapi orang yang berkahwin banyak menghadapi masalah; aku mahu kamu bebas daripada masalah itu.
29Saudara-saudaraku, maksudku demikian: Masa kita sudah semakin suntuk. Mulai sekarang, setiap lelaki yang beristeri, hiduplah seolah-olah tidak beristeri; 30orang yang menangis, hiduplah seolah-olah tidak bersedih; orang yang tertawa, hiduplah seolah-olah tidak gembira; orang yang membeli barang, sifatkanlah seolah-olah barang yang dibeli itu tidak dimiliknya; 31Orang yang menggunakan barang-barang yang ada di dunia seolah-olah tidak menggunakannya kerana dunia dalam keadaan sekarang sedang lenyap.
32Aku mahu kamu bebas daripada kerunsingan. Seorang yang tidak beristeri akan menumpukan minat kepada hal-hal ketuhanan untuk mendapat keredaan-Nya. 33Sebaliknya, seorang yang mempunyai isteri akan menumpukan perhatian kepada hal-hal duniawi untuk menggembirakan isterinya. 34Dengan demikian perasaannya berbelah-bagi. Seorang wanita atau gadis yang tidak bersuami menumpukan minatnya kepada hal-hal ketuhanan kerana ingin mengabdikan seluruh dirinya kepada Tuhan. Tetapi seorang wanita yang telah bersuami akan memusatkan perhatian kepada hal-hal duniawi untuk menyukakan hati suaminya. 35Aku menasihati kamu demikian untuk menolongmu. Aku tidak mahu melarangmu membuat itu dan ini. Aku ingin kamu melakukan apa yang wajar dan mengabdikan diri sepenuh hati kepada Tuhan.
36Sekiranya seorang lelaki merasa dia tidak adil terhadap tunangnya, dan jika gadis itu semakin meningkat usianya, dan dia merasa dia patut berkahwin dengan gadis itu, maka dia harus bertindak menurut hasratnya. Dia tidaklah berdosa jika berkahwin. 37Tetapi jika seorang lelaki dengan kerelaannya sendiri mengambil keputusan tidak akan berkahwin dengan gadis tunangnya itu, dan dia dapat mengawal nafsunya, serta tahu apa yang akan dilakukannya, maka lebih baiklah dia tidak berkahwin. 38Tegasnya, berkahwin itu baik, tetapi tidak berkahwin lebih baik lagi.
39Seorang wanita yang telah berkahwin terikat kepada suaminya hanya sepanjang hayat suaminya itu. Setelah suaminya meninggal dunia, wanita itu bebas berkahwin lagi dengan sesiapa sahaja lelaki pilihannya asalkan dia seorang beriman. 40Tetapi wanita itu akan lebih berbahagia jika tidak berkahwin lagi. Ini fikiranku sendiri, tetapi aku yakin aku mendapat panduan daripada Roh Allah.
↑ ↑ ↑ 8
1Sekarang tentang soal makanan yang telah dipersembahkan kepada berhala: Kita tahu bahawa kita semua mempunyai ilmu pengetahuan. Tetapi ilmu pengetahuan boleh membuat orang angkuh manakala kasih membina hidup. 2Seseorang yang menyangka dirinya serba tahu, sebenarnya tidak mengetahui apa yang patut diketahui. 3Tetapi seseorang yang mengasihi Allah, dikenal oleh Allah.
4Tentang makan makanan yang dipersembahkan kepada berhala: Kita tahu bahawa berhala menggambarkan sesuatu yang tidak ada. Kita tahu bahawa Allah itu Esa, tiada tuhan selain Allah.
5Walaupun ramai yang dipanggil dewa dan junjungan, di syurga dan di bumi, 6namun bagi kita Allah adalah Esa, Bapa yang mencipta segala-galanya, dan untuk Dialah kita hidup. Junjungan kita juga Esa, iaitu Isa al-Masih. Segala-galanya dicipta melalui-Nya, dan kerana Dialah kita hidup.
7Tetapi tidak semua orang yang mengetahui hakikat ini. Ada orang yang hingga sekarang ini sudah biasa menyembah berhala, dan apabila mereka makan makanan yang telah dipersembahkan kepada berhala, mereka merasakan bahawa makanan itu makanan berhala. Oleh itu, hati nurani mereka yang lemah menjadi ternoda. 8Sebenarnya makanan tidak dapat mengeratkan hubungan kita dengan Allah. Kita tidak akan rugi jika kita tidak makan makanan itu, dan tidak pula untung jika memakannya.
9Namun demikian, berhati-hatilah, jangan sampai kebebasanmu melakukan apa sahaja menjadi batu sandungan kepada orang yang lemah. 10Sekiranya seseorang yang hati nuraninya lemah melihat kamu yang dianggap lebih berpengetahuan makan di kuil berhala, tidakkah ini akan menggalakkannya makan makanan yang dipersembahkan kepada berhala? 11Dengan demikian pengetahuan kamu itu membawa kebinasaan kepada saudaramu yang lemah itu, sedangkan al-Masih telah mati untuknya juga. 12Jika kamu secara demikian berdosa terhadap saudara-saudaramu dan melukai hati nurani mereka yang lemah, kamu sebenarnya berdosa terhadap al-Masih. 13Jadi, jika makanan menyebabkan saudaraku berdosa, aku tidak akan makan daging lagi, supaya jangan sampai aku membuat saudaraku tersandung.
↑ ↑ ↑ 9
1Bukankah aku seorang yang ‘merdeka’? Bukankah aku seorang rasul? Tidakkah aku pernah melihat Isa, Junjungan kita? Bukankah kamu hasil kerjaku untuk Tuhan? 2Mungkin orang lain enggan mengakuiku sebagai rasul, tetapi kamu pasti mengakuiku! Hidupmu bersatu dengan Tuhan membuktikan kerasulanku. 3Apabila orang mengecamku, kujawab demikian. 4Tidak berhakkah kami menerima makanan dan minuman untuk kerja kami? 5Tidakkah kami berhak membawa isteri yang beriman, sebagaimana yang dilakukan oleh saudara-saudara Junjungan dan oleh rasul-rasul lain termasuk Kefas? 6Wajarkah aku dan Barnabas sahaja mencari nafkah sendiri?
7Tiada askar yang menyara diri sendiri dalam angkatan perang. Tiada peladang yang tidak makan buah anggur dari ladang sendiri. Tiada gembala yang tidak minum susu dari domba sendiri.
8Adakah aku mengatakan semua ini hanya dari segi pandangan manusia? Tidakkah hukum Taurat juga menyuarakan perkara ini? 9Telah tersurat dalam Taurat Musa, ‘Jangan berangus mulut lembu yang sedang mengirik bijirin.’ Tentulah Allah tidak menumpukan perhatian kepada lembu sahaja. 10Bukankah kita yang dimaksudkan oleh Allah dalam firman itu? Tentu sekali. Orang yang membajak dan menuai memang wajar bekerja dengan harapan menerima sebahagian daripada tuaian. 11Kami telah menyemai benih rohani dalam hidupmu. Memang patutlah kami menuai sedikit hasil daripadamu. 12Jika orang lain berhak mengharapkannya daripadamu, bukankah kami lebih berhak lagi? Namun, kami tidak menggunakan hak itu. Kami lebih suka menanggung segala-galanya supaya tidak tergendala penyebaran Injil tentang al-Masih. 13Kamu tentu tahu bahawa orang yang bekerja dalam rumah ibadat menerima makanan dari rumah ibadat. Orang yang bertugas mempersembahkan korban di atas mazbah menerima sebahagian daripada korban itu. 14Begitu jugalah Tuhan telah menetapkan, bahawa orang yang menyampaikan Injil harus menerima nafkah daripada kerja itu. 15Tetapi aku belum menggunakan satu pun hak itu. Aku menulis demikian bukanlah untuk menuntut hak-hak itu bagi diriku. Biarlah aku mati daripada kehilangan apa yang kumegahkan.
16Namun, aku tidak berhak untuk bermegah dengan mengkhabarkan Injil kerana kerja ini telah menjadi kewajipanku. Malanglah aku jika tidak menjalankannya. 17Andainya aku melakukannya mengikut kehendakku sendiri, patutlah aku mengharapkan upah. Tetapi aku melakukannya sebagai kewajipan, kerana Allah telah memberiku tugas itu. 18Jadi, apakah upahku? Upahku ialah mendapat hak istimewa untuk mengkhabarkan Injil tanpa meminta bayaran atau menuntut hakku sebagai penyebarnya.
19Aku orang merdeka, bukan hamba sesiapa. Tetapi aku memperhambakan diri kepada semua orang supaya aku dapat menawan hati ramai orang. 20Bagi orang Yahudi, aku berlaku seperti orang Yahudi supaya aku dapat menawan hati orang Yahudi. Bagi orang yang terikat kepada Taurat, aku berlaku seperti orang yang terikat kepada Taurat, padahal aku tidak terikat kepada Taurat. Aku berbuat demikian supaya aku dapat menawan hati mereka. 21Bagi orang yang tidak terikat kepada Taurat, aku berlaku seperti orang yang tidak terikat kepada Taurat. Aku berbuat demikian supaya aku dapat menawan hati mereka. Ini tidaklah bermakna aku tidak taat akan hukum Allah. Sebenarnya aku dikuasai oleh hukum al-Masih. 22Bagi mereka yang lemah, aku berlaku lemah untuk menawan hati mereka. Aku menjadi segala-galanya kepada semua orang supaya dengan sedaya upaya aku dapat menyelamatkan seramai mungkin. 23Aku melakukan semua ini untuk Injil, semoga aku juga mendapat berkatnya.
24Sebagaimana kamu tahu, dalam lumba lari, semua peserta mengambil bahagian tetapi hanya seorang yang mendapat hadiah. Oleh yang demikian, berlarilah, hingga menerima hadiah. 25Setiap ahli sukan yang bertanding dalam sukan berlatih dengan gigih, kerana ingin mendapat mahkota, walaupun mahkota itu tidak kekal. Tetapi kita menjalani latihan yang ketat untuk mendapat mahkota yang kekal. 26Oleh itu aku terus-menerus lari ke garis penamat. Juga seperti ahli tinju, aku tidak mahu mensia-siakan tumbukanku. 27Aku bersungguh-sungguh melatih diri, untuk menguasai diri, supaya aku tidak ditolak setelah mengkhabarkan Injil kepada orang lain.
↑ ↑ ↑ 10
1Saudara-saudaraku, aku ingin mengingatkan kamu bahawa nenek moyang kita berada di bawah awan, dan semuanya menyeberangi Laut Merah. 2Mereka semua diimadkan di dalam awan dan laut itu untuk menjadi pengikut Musa. 3Mereka makan makanan rohani yang sama 4dan minum minuman rohani yang sama dari batu rohani yang menyertai mereka, dan batu rohani itu adalah al-Masih sendiri. 5Namun demikian, Allah tidak meredai kebanyakan daripada mereka, maka mayat mereka bergelimpangan di gurun.
6Semua ini menjadi contoh kepada kita supaya kita tidak ingin akan kejahatan seperti mereka dahulu; 7dan supaya kita tidak menyembah berhala seperti sebilangan daripada mereka. Telah tersurat, ‘Umat itu mula makan minum dan menari untuk menyembah berhala.’ 8Janganlah kita berkelakuan cabul seperti sesetengah mereka. Akibat perbuatan itu, dua puluh tiga ribu orang mati dalam sehari. 9Janganlah kita cubai Tuhan seperti yang dilakukan oleh sebilangan daripada mereka. Akibatnya mereka mati dipagut ular berbisa. 10Janganlah kita bersungut seperti sesetengah mereka, sehingga nyawa mereka dicabut Malaikat Maut.
11Semua yang terjadi kepada mereka merupakan suatu iktibar, dan telah ditulis untuk menjadi amaran kepada kita yang hidup pada akhir zaman. 12Sesiapa yang menyangka dirinya berdiri tegap, berhati-hatilah supaya tidak jatuh. 13Setiap cubaan yang kamu alami memang biasa dihadapi orang. Tetapi Allah setia menepati janji-Nya. Dia tidak akan membiarkan kamu dicubai melebihi kekuatanmu. Sewaktu kamu dicubai, Allah akan memberimu jalan keluar supaya kamu mendapat kekuatan menanggungnya.
14Oleh itu, saudara-saudara yang kukasihi, jauhkanlah diri daripada penyembahan berhala. 15Aku berkata-kata kepadamu seperti kepada orang bijaksana. Fikirkanlah masak-masak. 16Bukankah cawan kesyukuran yang kita berkati itu menunjukkan kita sama-sama mengambil bahagian dalam darah al-Masih? Bukankah roti yang kita pecah-pecahkan itu menunjukkan kita sama-sama mengambil bahagian dalam tubuh al-Masih? 17Walaupun kita ramai, kita semua merupakan satu tubuh, kerana kita makan roti yang satu itu bersama-sama.
18Perhatikan orang Yahudi: Bukankah mereka yang makan makanan yang dipersembahkan di atas mazbah itu bersama-sama mengambil bahagian dalam penyembahan? 19Adakah maksudku bahawa berhala, atau makanan yang dipersembahkan kepada berhala, tidak bererti apa-apa? 20Tidak! Apa yang dipersembahkan di atas mazbah berhala bukanlah persembahan kepada Allah tetapi kepada roh-roh iblis. Aku tidak mahu kamu terlibat dengan roh-roh iblis. 21Kamu yang tidak dapat minum daripada cawan Tuhan, minum pula daripada cawan roh iblis. Kamu yang tidak dapat makan di meja Tuhan, makan pula di meja roh iblis. 22Bukankah kita yang membuat Tuhan cemburu sekiranya kita berbuat demikian? Adakah kita lebih kuat daripada Tuhan?
23Kita dibenarkan berbuat segala sesuatu tetapi tidak semuanya berfaedah; kita dibenarkan berbuat segala sesuatu tetapi tidak semuanya membina hidup. 24Janganlah lakukan sesuatu untuk kepentingan diri sendiri saja. Lakukanlah untuk kepentingan orang lain juga.
25Kamu boleh makan apa saja yang dijual di pasar daging. Jangan tanyakan apa-apa, supaya hati nuranimu tidak terganggu; 26kerana ‘Bumi ini dan segala yang di dalamnya milik Tuhan.’
27Jika kamu diajak makan oleh seorang yang tidak beriman dan kamu menerima, makanlah apaapa yang dihidangkan. Usah tanyakan apa-apa, supaya hati nuranimu tidak terganggu. 28Tetapi jika seseorang memberitahumu, ‘Makanan ini telah dipersembahkan kepada berhala’, janganlah makan makanan itu, demi kebaikan orang itu, dan demi hati nurani. 29Maksudku bukan hati nuranimu, tetapi hati nurani orang itu. Mungkin ada yang bertanya, ‘Mengapa pula kebebasanku harus kubatasi untuk hati nurani orang lain? 30Jika aku telah mengucap syukur kepada Allah atas makanan itu, mengapa orang harus mengecamku?’
31Setiap yang kamu lakukan, baik makan mahupun minum, lakukanlah untuk memuliakan Allah.
32Jagalah tingkah lakumu, jangan sampai menyebabkan orang lain berdosa, baik orang Yahudi, bukan Yahudi, mahupun jemaah Allah. 33Ikutlah teladanku. Dalam setiap yang kubuat, aku cuba menyukakan hati semua orang. Aku tidak melebihkan kepentingan diriku. Aku mengutamakan kepentingan orang lain, untuk menyelamatkan mereka.
↑ ↑ ↑ 11
1Teladani aku, sebagaimana aku meneladani al-Masih.
2Sekarang aku memujimu, saudara-saudaraku, kerana kamu mengingatiku dalam semua hal dan memelihara segala ajaran yang telah kusampaikan kepadamu.
3Tetapi aku mahu kamu tahu bahawa ketua setiap lelaki ialah al-Masih, ketua wanita ialah lelaki dan ketua al-Masih ialah Allah. 4Jika seorang lelaki berdoa atau bernubuat dengan kepala bertudung, dia mengaibkan kepalanya. 5Sebaliknya, jika seorang wanita berdoa atau bernubuat dengan kepala tidak bertudung, dia mengaibkan kepalanya, samalah seperti dia membotakkan kepalanya. 6Jika seseorang wanita tidak bertudung kepala, baiklah rambutnya dicukur. Jika satu keaiban bagi wanita dicukur atau dibotakkan kepalanya, hendaklah dia bertudung kepala. 7Seorang lelaki tidak patut menudung kepalanya, kerana dia mencerminkan dan memuliakan Allah; tetapi wanita adalah kemuliaan lelaki. 8Lelaki tidak berasal daripada wanita, tetapi wanita berasal daripada lelaki. 9Begitu juga, lelaki tidak dicipta untuk wanita, tetapi wanita dicipta untuk lelaki. 10Oleh itu, dan oleh sebab para malaikat, wanita harus memakai satu lambang kewibawaan di atas kepalanya.
11Walau bagaimanapun, lelaki dan wanita saling bergantung, di bawah kuasa Tuhan.
12Sebagaimana wanita berasal daripada lelaki, maka lelaki pula lahir melalui wanita; segala-galanya daripada Allah. 13Timbangkanlah sendiri. Wajarkah seorang wanita berdoa kepada Allah dengan tidak bertudung kepala? 14Tidakkah alam tabii sendiri mengajar kamu bahawa jika seorang lelaki menyimpan rambut panjang, itu suatu keaiban baginya? 15Tetapi jika seorang wanita mempunyai rambut panjang, itu suatu kemuliaan baginya; kerana rambut dikurniakan kepadanya sebagai penudung. 16Namun demikian, jika sesiapa kelihatan ingin membantah, maka jawablah bahawa kita tidak mempunyai adat yang lain, begitu juga semua jemaah Allah.
17Dalam memberimu petunjuk-petunjuk berikut, aku tidak memujimu kerana apabila kamu berhimpun, bukan kebaikan tetapi keburukan yang timbul. 18Pertama sekali, apabila kamu berhimpun sebagai satu jemaah, aku dengar kamu berkelompok-kelompok, dan aku percaya sebahagian yang kudengar. 19Sememangnya di kalanganmu pasti terbentuk beberapa kelompok, sehingga mereka yang diperkenan Allah menjadi nyata. 20Apabila kamu berhimpun di suatu tempat, bukanlah Perjamuan Tuhan yang kamu makan
21kerana semua berebut hendak makan dahulu; sehingga ada yang lapar dan ada pula yang mabuk. 22Apa! Tidakkah kamu mempunyai rumah untuk makan minum di dalamnya? Atau adakah kamu memandang hina jemaah Allah dan hendak memperkecil orang yang tidak mempunyai apa-apa? Apakah akan kukatakan kepadamu? Akan kupujikah kamu dalam hal ini? Tentunya tidak!
23Aku telah menerima daripada Junjungan apa yang telah kusampaikan kepadamu: Bahawa pada malam Dia dikhianati, Junjungan Isa telah mengambil roti; 24dan selepas mengucap syukur, Dia telah memecah-mecahkan roti itu lalu berkata, ‘Ambil, dan makanlah; ini tubuh-Ku yang diserahkan untukmu; lakukanlah ini sebagai peringatan kepada-Ku.’ 25Demikian juga, Dia mengambil cawan makan malam itu sambil berkata, ‘Cawan Perjanjian Baru dengan darah-Ku. Setiap kali kamu meminumnya, lakukan ini sebagai peringatan kepada-Ku,’ 26Kerana setiap kali kamu makan roti dan minum dari cawan dengan cara demikian, kamu memberitakan kematian Junjungan hingga kedatangan-Nya.
27Jika sesiapa makan roti atau minum dari cawan Tuhan ini secara yang tidak wajar, dia akan menanggung dosa terhadap tubuh dan darah Junjungan. 28Hendaklah setiap orang memeriksa dirinya, dan kemudian makan roti itu dan minum dari cawan itu; 29kerana jika seseorang memakannya dan meminumnya secara yang tidak wajar, dia makan dan minum akan penghukuman kepada dirinya, kerana tidak mengenal dan menghargai tubuh Tuhan. 30Oleh sebab itu ada sebilangan besar yang lemah dan yang sakit di kalanganmu, malah ada yang meninggal dunia. 31Jika kita menghakimi diri sendiri, tidaklah kita dihakimi. 32Tetapi apabila kita dihakimi, kita dihukum oleh Tuhan supaya kita insaf, agar kita tidak dibinasakan bersama-sama dunia.
33Oleh itu, saudara-saudaraku, apabila kamu berhimpun untuk makan, tunggulah satu sama lain sebelum bermula. 34Tetapi jika ada sesiapa yang lapar, makanlah dahulu di rumah, supaya perhimpunanmu tidak mendatangkan hukuman. Hal-hal lain akan kuatur ketika aku datang kelak.
↑ ↑ ↑ 12
1Aku tidak mahu kamu jahil, saudara-saudaraku, tentang kurnia-kurnia rohani: 2Kamu tahu bahawa dulu, sebelum kamu menjadi umat Allah, kamu telah terpedaya dalam pelbagai cara untuk menjadi pengikut berhala-berhala yang bisu. 3Oleh itu aku menyatakan kepadamu, tiada siapapun yang bersuara di bawah pimpinan Roh Allah akan berkata: ‘Isa terkutuk’; dan tiada siapapun dapat mengakui, ‘Isa adalah Junjungan Yang Esa,’ kecuali di bawah bimbingan Roh Suci.
4Terdapat berbagai-bagai kurnia, tetapi semuanya berpunca daripada satu Roh. 5Ada berbagaibagai pelayanan, tetapi hanya satu Tuhan. 6Ada berbagai-bagai kerja, tetapi Allah Yang Esa mengerjakan semuanya.
7Tetapi Roh Suci memberi seseorang kurnia tertentu untuk kebaikan semua. 8Ada yang diberi kurnia oleh Roh Suci untuk berbicara dengan penuh hikmat, dan ada pula yang dikurniakan Roh Suci untuk berbicara tentang pengetahuan. 9Ada juga yang dikurniai dengan keteguhan iman, ada yang diberi kurnia kebolehan untuk menyembuhkan orang sakit daripada Roh yang sama. 10Kepada yang lain diberi kurnia untuk mengerjakan mukjizat, ada yang diberi kebolehan bernubuat dan menyampaikan perkhabaran daripada Allah. Juga ada mereka yang dikurniai kebolehan untuk membezakan di antara roh-roh. Ada juga mereka yang diberi kurnia untuk bertutur dalam pelbagai lidah, dan ada pula yang diberi kurnia untuk mentafsirkan lidah-lidah itu. 11Namun Roh yang satu dan sama mengerjakan semua ini, Roh Sucilah yang mengagih-agihkan kurnia yang berlainan menurut kehendak-Nya.
12Sebagaimana tubuh yang satu mempunyai banyak anggota, tetapi semua anggota itu merupakan satu tubuh, demikian juga al-Masih. 13Oleh satu Roh kita semua telah diimadkan ke dalam satu tubuh – baik Yahudi atau Yunani, baik hamba atau orang merdeka – dan semua telah disuruh minum ke dalam satu Roh yang sama.
14Tubuh bukan hanya terdiri daripada satu anggota tetapi banyak anggota. 15Kalaulah kaki berkata, ‘Oleh sebab aku bukan tangan, aku bukanlah sebahagian tubuh,’ maka benarkah kaki itu bukan sebahagian tubuh? 16Dan kalaulah telinga berkata, ‘Oleh sebab aku bukan mata, aku bukanlah sebahagian tubuh,’ maka benarkah telinga itu bukan sebahagian tubuh? 17Andainya seluruh tubuh itu satu mata, di manakah pendengaran? Sekiranya seluruh tubuh itu pendengaran, di manakah pula penghiduan? 18Tetapi Allah telah meletakkan setiap anggota di tubuh menurut kehendak-Nya.
19Kalaulah semuanya hanya satu anggota, di manakah tubuh? 20Tetapi sekarang ada banyak anggota, namun kesemuanya dalam satu tubuh.
21Mata tidak boleh berkata kepada tangan, ‘Aku tidak memerlukanmu,’; kepala tidak boleh berkata kepada kaki, ‘Aku tidak memerlukanmu.’ 22Malah, anggota-anggota tubuh yang kelihatan lebih lemah itulah yang amat kita perlukan. 23Kepada anggota-anggota yang kita anggap kurang terhormat, kita berikan lebih banyak penghormatan; dan bahagian-bahagian tubuh kita yang tidak layak ditunjukkan mempunyai lebih banyak kesopanan. 24Sedangkan bahagian-bahagian yang layak ditunjukkan tidak memerlukannya. Dalam mencipta tubuh, Allah telah memberikan lebih banyak penghormatan kepada bahagian yang kurang memilikinya, 25supaya tidak ada perpecahan dalam tubuh, tetapi semua anggota sama-sama prihatin antara satu sama lain. 26Jika satu anggota menderita, semuanya turut menderita; sebaliknya jika satu diberi penghormatan, semua turut bersukacita. 27Kamu adalah tubuh al-Masih, dan setiap daripadamu anggota tubuh itu. 28Allah telah menentukan tempat masing-masing anggota jemaah: Pertama sebagai rasul-rasul, kedua nabi-nabi, ketiga guru-guru; seterusnya mereka yang diamanahkan untuk melakukan pelbagai mukjizat, mereka yang diberi kurnia untuk menyembuhkan, untuk memberikan pertolongan, untuk memimpin dan untuk bertutur dalam aneka lidah. 29Adakah semua menjadi rasul? Adakah semua menjadi guru? Adakah semua melakukan mukjizat? 30Adakah semua diberi kurnia untuk menyembuhkan? Adakah semua dapat bertutur dalam pelbagai lidah? Adakah semua diberi kurnia untuk mentafsirkan bahasabahasa itu? 31Oleh itu, berusahalah kamu bersungguh-sungguh untuk mendapat kurnia-kurnia yang lebih besar. Aku akan menunjukkan kepadamu jalan yang lebih baik.
↑ ↑ ↑ 13
1Kalaupun aku dapat bertutur dalam semua lidah manusia, malah bahasa malaikat juga, tetapi tidak mempunyai kasih, maka aku tak ubah seperti gong tembaga atau genta yang berbunyi.
2Kalaupun aku diberi kurnia untuk bernubuat, dan mengetahui semua rahsia serta ilmu, malah memiliki kekuatan iman yang dapat mengalih gunung-ganang, tetapi tidak mempunyai kasih, maka aku langsung tidak bererti. 3Begitu juga, kalaupun aku memberikan segala milikku untuk memberi makan kepada orang miskin, atau menyerahkan tubuhku untuk dibakar, tetapi tidak mempunyai kasih, maka aku langsung tidak berguna.
4Kasih bersifat penyabar dan penyayang. Kasih tidak iri hati, tidak membanggakan diri, dan tidak angkuh. 5Kasih tidak berkelakuan biadab, tidak memburu kepentingan sendiri, tidak cepat meradang, tidak memperhitungkan kesalahan orang lain. 6Kasih tidak gembira dengan kejahatan, tetapi gembira meraikan kebenaran. 7Kasih tahan menderita segala-galanya, percaya akan segalagalanya, berharap akan segala-galanya, terus-menerus menanggung segala-galanya.
8Kasih tidak akan luput. Nubuat-nubuat akan berakhir, bahasa-bahasa akan berhenti, dan ilmu pengetahuan akan lenyap 9kerana pengetahuan dan nubuat kita tidak sempurna. 10Setelah yang sempurna datang, maka yang tidak sempurna akan disingkirkan. 11Pada zaman kanak-kanak, aku bercakap secara kanak-kanak, mengerti secara kanak-kanak. Tetapi setelah aku dewasa, segala sifat kanak-kanak itu kutinggalkan. 12Sekarang kita hanya melihat samar-samar melalui cermin, tetapi akan tiba saatnya kita melihat dengan jelas berpandang muka. Demikianlah, sekarang aku hanya mengetahui sebahagian, tetapi akan tiba masanya aku mengetahui sepenuhnya, sebagaimana aku diketahui. 13Hanya tiga yang tinggal: iman, harapan dan kasih. Antara ketiga-tiga ini, yang paling utama ialah kasih.
↑ ↑ ↑ 14
1Usahakanlah memperoleh kasih dan cubalah sungguh-sungguh untuk mendapatkan kurniakurnia rohani, terutamanya kurnia untuk bernubuat. 2Apabila seseorang bertutur dalam lidah, dia bukanlah bercakap kepada sesama manusia tetapi kepada Allah; dia bertutur tentang hal-hal rahsia dengan rohnya. 3Sebaliknya, apabila seseorang bernubuat, dia bercakap kepada sesama manusia dengan kata-kata yang membina, menasihati dan menghibur. 4Orang yang bertutur dalam lidah membina diri sendiri, manakala orang yang bernubuat membina jemaah. 5Aku suka jika kamu bertutur dalam lidah, tetapi aku lebih suka jika kamu bernubuat; kerana orang yang bernubuat lebih membawa manfaat daripada orang yang bertutur dalam lidah, kecuali jika dia mentafsirkan apa yang dituturkannya itu untuk membina jemaah.
6Saudara-saudaraku, bermanfaatkah bagimu sekiranya aku datang bertutur kepadamu dalam lidah? Tidakkah lebih bermanfaat jika aku bertutur dalam bahasa yang kamu fahami, baik dalam penyampaian wahyu, ilmu pengetahuan, nubuat mahupun pengajaran? 7Samalah dengan benda-benda tidak bernyawa yang mengeluarkan bunyi; seperti suling atau kecapi, jika bunyinya tidak terang, bagaimana orang dapat mengetahui lagu apa yang dimainkan? 8Sekiranya nafiri mengeluarkan bunyi yang tidak menentu, siapa yang akan bersiap untuk berperang? 9Demikianlah juga, jika kamu tidak bertutur dengan bahasa yang jelas, bagaimanakah orang dapat mengetahui apa yang kamu katakan? Kamu seolah-olah bercakap kepada angin. 10Bahasa dunia entah berapa banyaknya, tetapi tiada satu pun yang tidak bererti. 11Namun, jika aku tidak mengetahui erti sesuatu bahasa, maka bagi orang yang menggunakannya aku orang asing, dan bagiku orang yang menggunakannya itu orang asing. 12Begitu jugalah kamu. Dalam berusaha untuk mendapat kurniakurnia rohani, berusahalah untuk memperoleh yang utama, iaitu yang dapat membina jemaah.
13Oleh itu, seseorang yang bertutur dalam lidah harus berdoa agar dia dapat mentafsirkannya juga. 14Kalaulah aku berdoa dalam lidah, maka hanya rohku yang berdoa, sedangkan akalku tidak menghasilkan apa-apa. 15Oleh itu, apa yang harus kulakukan? Aku akan berdoa dengan rohku dan akalku juga. Aku akan menyanyi dengan rohku dan akalku juga. 16Sekiranya kamu mengucap syukur hanya dengan rohmu, bagaimana orang yang tidak memahami dapat mengaminkan ucap syukurmu?
Mereka tidak tahu apa yang kamu ucapkan!
17Oleh itu, walaupun ucap syukurmu itu baik, orang lain tidak dapat dibina.
18Aku mengucap syukur kepada Allah kerana aku dapat bertutur dalam lidah, lebih daripada kamu semua. 19Tetapi dalam perhimpunan jemaah, aku lebih suka mengucapkan lima patah kata dari akalku daripada sepuluh ribu patah dalam lidah; dengan demikian aku dapat menyampaikan pengajaran kepada orang lain.
20Saudara-saudaraku! Janganlah kamu menjadi kanak-kanak dalam akal fikiranmu. Berhubungan hal kejahatan, memang kamu harus menjadi kanak-kanak, tetapi akal fikiranmu hendaklah matang.
21Dalam Kitab Taurat telah tersurat: ‘Dengan bahasa-bahasa asing dan dari mulut orang asing Aku akan bersuara kepada bangsa ini; Namun demikian, mereka tidak akan mendengar-Ku,’ Tuhan berfirman.
22Oleh itu, bertutur dalam lidah adalah tanda, bukan bagi orang yang percaya, tetapi bagi orang yang tidak percaya; manakala nubuat adalah tanda, bukan bagi orang yang tidak percaya, tetapi bagi orang yang percaya. 23Sekiranya seluruh jemaah berhimpun di suatu tempat dan semuanya bertutur dalam lidah, lantas masuk orang yang tidak tahu atau orang yang tidak percaya, tidakkah mereka menyangka kamu semua gila? 24Tetapi jika semuanya bernubuat, lalu masuk seorang yang tidak tahu atau yang tidak percaya, dia akan merasa diyakinkan dan dihakimi oleh segala yang didengarinya.
25Dengan demikian, segala rahsia hatinya akan ternyata, lalu dia sujud menyembah Allah serta mengakui bahawa Allah sesungguhnya ada bersamamu.
26Jadi bagaimana, saudara-saudaraku? Apabila kamu berhimpun, hendaklah masing-masing menyampaikan mazmur, atau pengajaran, atau wahyu, atau sesuatu dalam lidah, ataupun pentafsirannya. Tetapi hendaklah semuanya bertujuan untuk membina jemaah. 27Jika ada orang yang bertutur dalam lidah, biarlah dua atau tiga orang saja, seorang lepas seorang, dan hendaklah ada orang yang mentafsirkannya. 28Sekiranya tiada yang dapat mentafsirkannya, janganlah dituturkan di perhimpunan itu. Tuturkanlah bagi diri sendiri dan kepada Allah.
29Bagi orang yang diberi kurnia sebagai nabi, biarlah dua atau tiga orang sahaja yang bernubuat, dan yang lain menilainya. 30Tetapi sekiranya ternyata Allah mewahyukan sesuatu melalui seorang lain yang turut hadir, hendaklah orang pertama itu berhenti bernubuat. 31Kamu semua boleh bernubuat, seorang demi seorang, agar semua mendapat pengajaran dan kekuatan. 32Kurnia untuk bernubuat tertakluk kepada nabi yang memilikinya, 33kerana Allah tidak menghendaki kekeliruan, tetapi kesejahteraan. Sebagaimana dalam semua jemaah orang salih, 34wanita-wanita hendaklah berdiam diri dalam perhimpunan jemaah. Mereka tidak dibenarkan bercakap. Hendaklah mereka menurut perintah, sebagaimana tersurat dalam Taurat. 35Jika mereka ingin mempelajari sesuatu, hendaklah mereka bertanya kepada suami mereka di rumah. Sungguh memalukan jika seorang wanita bersuara dalam perhimpunan jemaah.
36Adakah firman Allah datang daripadamu? Atau adakah datangnya kepada kamu sahaja?
37Sekiranya seseorang menyangka dirinya mendapat kurnia untuk bernubuat atau kurnia rohani yang lain, dia hendaklah mengakui bahawa yang kutuliskan kepadamu ini adalah perintah Tuhan.
38Tetapi jika sesiapa tidak tahu, biarlah dia demikian.
39Oleh itu, saudara-saudaraku, berusahalah untuk dapat bernubuat, dan jangan larang orang bertutur dalam lidah. 40Tetapi hendaklah segalanya dilakukan dengan sopan dan teratur.
↑ ↑ ↑ 15
1Aku menyatakan kepadamu, saudara-saudaraku, tentang Injil yang telah kusampaikan kepadamu, telah kamu terima dan pegang hingga sekarang. 2Melalui Injil itu kamu diselamatkan, jika kamu tetap berpegang kepada Firman yang telah kusampaikan, dan imanmu bukan kosong sematamata.
3Aku telah menyampaikan kepadamu hal-hal utama, yang telah kuterima sendiri: Bahawa al-Masih telah mati untuk menebus dosa kita, sebagaimana tersurat dalam Kitab Suci; 4bahawa Dia telah dikuburkan, dan telah dibangkitkan pada hari yang ketiga, sebagaimana tersurat dalam Kitab Suci;
5dan bahawa Dia telah memperlihatkan diri-Nya kepada Kefas, kemudian kepada kedua-dua belas pengikut-Nya. 6Selepas itu Dia memperlihatkan diri-Nya kepada saudara-saudara kita, lebih daripada lima ratus orang pada satu masa. Kebanyakan mereka masih hidup, dan ada yang sudah meninggal dunia. 7Seterusnya Dia memperlihatkan diri-Nya kepada Yakobus, kemudian kepada semua rasul-Nya. 8Akhir sekali Dia telah memperlihatkan diri-Nya kepadaku, yang seperti bayi yang dilahirkan sebelum masa; 9kerana akulah yang paling rendah antara rasul-rasul, malah aku tidak layak disebut rasul, kerana aku telah menganiaya jemaah Allah. 10Tetapi dengan kasih kurnia Allah, aku telah menjadi seperti diriku sekarang. Kasih kurnia-Nya yang telah dianugerahkan-Nya kepadaku tidaklah sia-sia, kerana aku telah bekerja lebih keras daripada mereka semua; sesungguhnya bukan aku yang melakukannya, tetapi kasih kurnia Allah yang bersamaku. 11Dengan demikian, baik aku mahupun mereka, begitulah yang kami khabarkan, dan begitulah yang kamu percaya.
12Setelah kami khabarkan kepadamu tentang al-Masih yang dibangkitkan daripada kematian, mengapakah ada di kalanganmu yang berkata bahawa tiada kebangkitan selepas mati? 13Jika tiada kebangkitan selepas mati, maka al-Masih juga tidak dibangkitkan. 14Jika al-Masih tidak dibangkitkan, maka sia-sialah perkhabaran kami dan sia-sialah imanmu. 15Kami juga ternyata sebagai saksi dusta kepada Allah, kerana kami telah membuat kesaksian bahawa Allah telah membangkitkan al-Masih, sedangkan Allah tidak membangkitkan-Nya, kalaulah benar tiada kebangkitan selepas mati; 16kerana jika tiada kebangkitan selepas mati, maka al-Masih tidaklah dibangkitkan. 17Dan jika al-Masih tidak dibangkitkan, sia-sialah imanmu; dan kamu masih bergelumang dosa! 18Orang yang mati dalam iman kepada al-Masih juga tetap binasa. 19Sekiranya dalam hidup ini sahaja kita mempunyai harapan dalam al-Masih, kitalah yang paling malang antara manusia!
20Tetapi al-Masih memang telah dibangkitkan daripada kematian. Dialah yang pertama dari kalangan orang yang telah mati. 21Oleh sebab satu orang, kematian berlaku; dan oleh sebab satu orang juga, kebangkitan orang mati berlaku; 22kerana sebagaimana dalam Adam semua manusia mati, demikian juga dalam al-Masih semua manusia akan dihidupkan semula; 23masing-masing mengikut aturannya: Pertama al-Masih, kemudian mereka yang telah menjadi milik-Nya, pada saat kedatangan-Nya kelak. 24Selepas itu datanglah pengakhiran, ketika Dia menyerahkan kerajaan kepada Allah Bapa, ketika dia melenyapkan semua pemerintahan, semua kewibawaan dan semua kekuasaan; 25kerana Dia harus memerintah sehingga semua musuh telah diletakkan-Nya di bawah kaki-Nya. 26Musuh terakhir yang akan dilenyapkan ialah Maut. 27Semua perkara telah ditaklukkan oleh Allah di bawah kaki al-Masih. Jelaslah bahawa Allah tidak turut ditaklukkan. 28Oleh itu setelah semua perkara ditaklukkan kepada al-Masih, Dia sebagai Putera akan menaklukkan diri-Nya juga kepada Allah, maka Allah menjadi segala-galanya dalam semua perkara.
29Apakah akan dilakukan oleh mereka yang telah diimadkan bagi pihak orang mati? Sekiranya orang mati tidak dibangkitkan, mengapa orang diimadkan untuk orang mati? 30Begitu juga kami, mengapa sepanjang masa kami rela menghadapi bahaya? 31Setiap hari aku menghadapi kematian. Aku mengakui ini, saudara-saudaraku, demi kebanggaanku denganmu yang kumiliki dalam Isa al-Masih, Junjungan kita. 32Jika menurut pertimbangan manusia, apa faedahnya bagiku berjuang seperti dengan binatang buas di Efesus? Juga, sekiranya orang mati tidak dibangkitkan, ‘marilah kita makan dan minum, kerana esok kita mati.’
33Jangan kamu biarkan dirimu disesatkan orang. ‘Kebiasaan yang baik musnah kerana pergaulan yang buruk.’ 34Insaflah sepenuhnya dan jangan berbuat dosa lagi, kerana di kalanganmu ada sebilangan yang tidak mengenal Allah. Aku berkata demikian supaya kamu berasa malu.
35Mungkin ada yang menyoal, ‘Bagaimana caranya orang mati dibangkitkan? Dengan tubuh yang bagaimanakah mereka akan hidup?’ 36Hai orang yang tidak berakal, sesuatu yang kamu semaikan tidak mungkin tumbuh jika tidak mati terlebih dahulu. 37Tambahan pula, yang kamu semaikan bukanlah seluruh tubuh tanaman, tetapi bijinya sahaja, contohnya biji gandum atau biji-bijiran lain. 38Tetapi kemudian Allah memberikan biji itu suatu tubuh, menurut kehendak-Nya. Setiap biji mempunyai tubuhnya yang tersendiri. 39Semua yang bernyawa tidak serupa. Rupa manusia berbeza dengan rupa binatang, rupa burung berlainan dengan rupa ikan. 40Ada benda di langit dan ada benda di bumi. Kemuliaan benda di langit berbeza dengan kemuliaan benda di bumi. 41Kemuliaan matahari berbeza dengan kemuliaan bulan, dan berlainan pula dengan kemuliaan bintang-bintang; manakala kemuliaan bintang-bintang berbeza antara satu sama lain.
42Demikianlah dengan kebangkitan orang mati: Tubuh disemaikan dalam kebinasaan, dan dibangkitkan dalam ketidakbinasaan; 43disemaikan dalam kehinaan, dibangkitkan dalam kemuliaan; disemaikan dalam kelemahan, dibangkitkan dalam kekuatan; 44disemaikan dalam tubuh jasmani, dibangkitkan dalam tubuh rohani. Jika ada tubuh jasmani, maka adalah juga tubuh rohani. 45Sebagaimana telah tersurat, ‘Adam, manusia yang pertama, menjadi makhluk yang hidup,’ manakala Adam yang terakhir menjadi roh yang menghidupkan. 46Yang pertama bukan rohani tetapi jasmani, dan yang kemudian adalah yang rohani; 47kerana manusia yang pertama berasal daripada debu bumi, tetapi manusia yang kedua berasal daripada syurga. 48Seperti manusia yang berasal daripada debu bumi itu, begitulah semua orang yang berasal daripada debu bumi. Dan seperti manusia dari syurga itu, begitulah semua orang yang syurgawi. 49Sebagaimana kita telah memakai rupa yang berasal daripada debu bumi itu, kita akan memakai rupa manusia yang berasal daripada syurga.
50Saudara-saudaraku, aku ingin mengatakan kepadamu, daging dan darah tidak akan mendapat tempat dalam kerajaan Allah, dan sesuatu yang boleh binasa tidak akan mendapat tempat dalam ketidakbinasaan. 51Dengarlah, aku memberitahumu suatu rahsia: Tidak semua kita akan mati, tetapi semua akan diubah 52serta-merta, dalam sekelip mata, ketika berbunyinya sangkakala yang terakhir. Pada saat itu orang mati akan dibangkitkan dalam ketidakbinasaan, dan kita yang masih hidup akan diubah, 53kerana yang boleh binasa ini mesti mengenakan bentuk yang tidak boleh binasa, dan yang boleh mati ini mesti mengenakan bentuk yang tidak boleh mati. 54Setelah ini berlaku, terbuktilah firman: ‘Maut telah ditelan dalam kemenangan.’
55‘Hai Maut, di manakah kemenanganmu? Hai Maut, di manakah sengatmu?’
56Sengat maut ialah dosa, manakala kuasa dosa ialah Taurat. 57Tetapi syukurlah kepada Allah yang telah memberi kita kemenangan melalui Junjungan kita Isa al-Masih.
58Oleh itu, saudara-saudara yang kukasihi, teguhkan pendirian, jangan berganjak, dan bersungguh-sungguhlah dalam pengabdianmu kepada Tuhan. Kamu tahu bahawa dalam Tuhan, jerih lelahmu tidak akan sia-sia.
↑ ↑ ↑ 16
1Sekarang aku menyentuh tentang pengumpulan bantuan bagi orang salih. Lakukanlah sebagaimana yang telah kutentukan bagi semua jemaah di Galatia. 2Pada hari pertama setiap minggu, setiap orang daripada kamu hendaklah mengasingkan wang menurut kemampuan masing-masing dan menyimpannya. Janganlah setelah aku datang baru kamu mula mengumpulnya. 3Setelah aku tiba, aku akan menghantar sesiapa yang kamu anggap sesuai untuk membawa pemberianmu itu bersama surat ke Baitulmaqdis. 4Sekiranya aku perlu pergi juga, mereka akan pergi bersamaku.
5Aku akan datang ke tempatmu selepas Makedonia kerana aku akan datang melalui Makedonia.
6Mungkin aku akan tinggal beberapa waktu denganmu, malah mungkin sepanjang musim dingin; kemudian kamu boleh menolongku meneruskan perjalanan. 7Kali ini aku tidak mahu singgah sahaja; aku berharap akan dapat tinggal agak lama denganmu jika diizinkan Tuhan. 8Namun, aku akan tetap berada di Efesus sampai hari Pentakosta, 9kerana pintu untuk melakukan pekerjaan besar telah terbuka luas bagiku walaupun ramai orang yang menentang.
10Jika Timotius datang ke tempatmu, jangan biarkan dia berasa takut tinggal di kalanganmu, kerana dia juga melakukan pekerjaan untuk Tuhan, sama sepertiku. 11Oleh itu jangan sesiapa memandang ringan kepadanya. Setiap orang hendaklah menolongnya, supaya dia dapat meneruskan perjalanan dengan sejahtera dan datang menemuiku, kerana aku dan beberapa orang saudara lain menunggu kedatangannya.
12Tentang saudara kita Apolos, aku telah mendesaknya mengunjungimu bersama saudara-saudara yang lain, tetapi dia enggan pergi sekarang ini. Jika ada kesempatan, dia akan datang juga.
13Berhati-hatilah, berdiri teguh dalam iman, sentiasa berani dan gigih. 14Lakukan segala-galanya dalam kasih. 15Saudara-saudaraku, ada satu permintaanku kepadamu. Kamu sedia maklum bahawa Stefanus sekeluarga merupakan hasil pertama pelayananku di Akhaya, dan mereka telah bertekad untuk mengabdikan diri kepada orang salih. 16Aku meminta supaya kamu tunduk kepada orang yang demikian, dan kepada semua yang turut berusaha dengan kami. 17Aku gembira bahawa Stefanas, Fortunatus dan Akhaikus telah datang, kerana apa-apa kekuranganku telah dilengkapkan oleh mereka. 18Mereka telah menyenangkan hatiku dan hatimu. Oleh itu, hargailah orang yang demikian.
19Jemaah-jemaah di Asia berkirim salam kepadamu. Akwila dan Priskila, serta jemaah di rumah mereka, berkirim salam mesra kepadamu dalam Tuhan. 20Semua saudara seiman juga berkirim salam kepadamu. Bersalamanlah dengan mesra.
21Aku juga menyampaikan salam yang kutulis dengan tanganku sendiri – Paulus.
22Jika ada yang tidak mengasihi Junjungan, terkutuklah dia. Ya Tuhan, datanglah segera!
23Kasih kurnia Junjungan Isa al-Masih menyertaimu.
24Kasihku menyertai kamu semua dalam Isa al-Masih. Amin.