Lompat ke isi

Hang Tuah

Dari Wikisumber bahasa Indonesia, perpustakaan bebas
Hang Tuah
oleh Amir Hamzah

Hang Tuah

[sunting]

Bayu berpuput alun digulung
Banyu direbut buih dibubung.

Selat Melaka ombaknya memecah
Pukul-memukul belah membelah.

Bahtera ditepuk buritan dilanda
Penjajah dihantuk haluan ditunda.

Camar terbang riuh suara
Alkamar hilang menyelam segera.

Armada Perenggi lari bersusun
Melaka negeri hendak diruntun.

Galyas dan pusta tinggi dan kukuh
Pantas dan angkara ranggi dan angkuh

Melaka! Laksana kehilangan bapa
Randa! Sibuk mencari cendera mata.

"Hang Tuah ! Hang Tuah! Dimana dia
Panggilkan aku kesuma Parwira!"

Tuanku, Sultan Melaka, Maharaja Bintan!
Dengarkan kata bentara Kanan.

"Tun Tuah, di Majapahit nama termasyhur
Badannya sakit rasakan hancur!"

Wah, alahlah rupanya negara Melaka
kerana Laksamana ditimpa mara.

Tetapi engkau wahai Kesturi
Kujadikan suluh, mampukah diri?.....

Hujan rintik membasahi bumi
Guruh mendayu menyedihkan hati.

Keluarlah suluh menyusun pantai
Angkatan Pertugal hajat dihintai.

Cucuk diserang ditikami seligi
Sauh terbang dilempari sekali.

Lela dipasang gemuruh suara
Rasakan terbang ruh dan nyawa.

Suluh Melaka jumlahnya kecil
Undur segera mana yang tampil.

"Tuanku, armada Peringgi sudahlah dekat
Kita keluari denganlah cepat.

Hang Tuah coba lihati
Apakah 'afiat rasanya diri?"

Laksamana, Hang Tuah mendengar berita
Armada Peringgi duduk di kuala.

Mintak didirikan dengan segera
Hendak berjalan ke hadapan raja.

Negeri Melaka hidup kembali
Bukankah itu, Laksamana sendiri.

Laksamana, cahaya Melaka, bunga pahlawan
Kemala setia maralah tuan.

Tuanku, jadikan patik tolak-bala
Turunkan angkatan dengan segera.

Genderang perang disuruhnya palu
Memanggil imbang iramanya tentu.

Keluarlah Laksamana mahkota ratu
Tinggallah Melaka di dalam ragu........

Marya! Marya! Tempik Peringgi
Lelapun meletup berganti-ganti.

Terang cuaca berganti kelam
Bujang Melaka menjadi geram.

Galyas dilanda pusta dirampat
Sabas Melaka sukma di Selat!

Amuk-beramuk buru-memburu
Tesuk-menusuk laru-meluru.

Lala rentaka berputar-putar
Cahaya senjata bersinar-sinar.

Laksamana mengamuk di atas pusta
Yu menyambar umpamanya nyata......

Hijau segera bertukar warna
Sinau senjata pengantar nyawa.

Hang Tuah empat berkawan
Serangnya hebat tiada tertahan.

Cucuk peringgi menarik layar
Induk dicari tempat behindar.

Angkatan besar maju segera
Mendapatkan payar ratu Melaka.

Perang ramai berlipat ganda
Pencalang berai tempat kesegala.

Dang Gubenur memasang lela
Umpama guntur diterang cuaca.

Peluru terbang menuju bahtera
Laksamana dijulang ke dalam segara...